Kunjungan Obama ke Arab Saudi: Raja Abdullah Meraikan Kafir Harbi Sebagai Teman Akrab
Jika ditelusuri kembali sejarah, hubungan antara kedua-dua buah negara tersebut telah terjalin semenjak sekian lamanya. Pengasas Kerajaan Arab Saudi moden, Ibn Saud telah berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada AS setelah menubuhkan kerajaan tersebut hasil daripada pemberontakannya terhadap Khilafah Uthmaniyah.
Meskipun pada mulanya AS tidak menunjukkan kesungguhan untuk menjalin hubungan dengan Ibn Saud, namun hubungan tersebut menjadi semakin akrab apabila berita penemuan minyak di Arab Saudi mulai tersebar. Semenjak dari itu, hubungan erat antara kedua-dua buah negara tersebut menjadi semakin kukuh saban tahun. AS mulai mengiktiraf KAS pada Mei 1931 setelah KAS mendapat pengiktirafan daripada beberapa buah negara semenjak 1928.
Hubungan tersebut menjadi semakin kukuh dengan penubuhan syarikat carigali minyak California Arabian Standard Oil Company (CASOC) pada tahun 1933 yang kemudiannya dikenali sebagai ARAMCO (Arab-American Company). Pada tahun 1980, KAS membeli sepenuhnya saham ARAMCO dan menukar nama syarikat tersebut kepada Saudi-ARAMCO pada 1988. Pada tahun 2005, syarikat tersebut dilaporkan sebagai sebuah syarikat terbesar dunia dengan keuntungan dianggarkan sebanyak $781 bilion.2 Sebahagian besar daripada kekayaan tersebut menjadi hak milik peribadi penguasa KAS dan kaum kerabatnya.
Petroleum adalah Hak Milik Umum dan bukannya Sumber Kekayaan Peribadi!
Meskipun rakyat KAS turut menerima sedikit hasil daripada sejumlah keuntungan jualan minyak tersebut, namun mereka sewajarnya menerima lebih daripada itu. Bahkan adalah tidak wajar sekiranya kekayaan tersebut hanya berlegar-legar di tangan segelintir pihak sahaja. Kekayaan hasil bumi yang melimpah ruah di wilayah umat Islam adalah hak milik umat Islam keseluruhannya. Tindakan KAS ini secara jelas bertentangan dengan hukum kepemilikan menurut Islam, yang dirumus daripada sabda Rasulullah SAW berikut:
“Sesungguhnya Abyad bin Hammal ra berkunjung kepada Nabi SAW, dan Rasulullah SAW memberinya lombong garam. Ketika Abyad bin Hammal telah pergi, seorang laki-laki berkata, “Ya Rasulullah, tahukah engkau apa yang telah engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberinya sesuatu seperti air yang mengalir”. Abyad bin Hammal berkata, “Rasulullah saw menarik kembali pemberian tersebut”. [HR Imam Abu Dawud]
Islam juga mencegah terjadinya perputaran kekayaan hanya kepada segelintir orang sahaja. Allah SWT berfirman, “…supaya harta itu jangan hanya berlegar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kalian” [TMQ al-Hasyr (59):7].
(Sila rujuk Sautun Nahdhah keluaran HTM3 untuk mendapatkan gambaran umum tentang pembahasan isu kepemilikan dalam Islam).
Keberadaan Pangkalan Tentera AS – Bukti Kebergantungan KAS terhadap AS
Saban tahun, pengaruh AS terhadap KAS dan Timur Tengah secara umumnya semakin melebar. Meskipun berdepan dengan ancaman komunis di bawah Kesatuan Soviet sewaktu Perang Dingin, namun AS tetap mendapat tempat yang istimewa di sisi penguasa KAS. Di penghujung Perang Dunia Kedua, AS telah membuka pangkalan tenteranya di Dhahran dengan alasan untuk melindungi laluan umat Islam yang menunaikan haji. Sedangkan pada hakikatnya, keberadaan tentera AS adalah untuk melindungi loji penggalian minyak CASOC di kawasan tersebut.4
Dalam pada itu, KAS juga telah membenarkan AS membuka pangkalan-pangkalan tentera mereka di wilayahnya demi menjaga kepentingan polisi luar AS. Pangkalan-pangkalan tersebut telah digunakan oleh AS untuk menyerang Iraq dalam dua Perang Teluk yang menelan korban jutaan nyawa termasuklah orang awam yang tidak bersalah.
KAS masih meneruskan hubungannya dengan AS biarpun menyedari hakikat sokongan AS terhadap usaha pembentukan negara haram Israel semenjak tahun 1936 lagi (dengan hanya menerima sepucuk surat daripada Presiden AS pada waktu itu, Franklin D. Roosevelt).5 Walaupun pada zahirnya penguasa KAS menyatakan bantahan, namun hakikatnya hubungan AS tetap diteruskan biarpun AS terang-terang menyatakan komitmennya untuk menjaga keselamatan Israel semenjak penubuhannya pada 1948.
Hubungan antara kedua-dua buah negara tersebut menjadi renggang seketika apabila Raja Faisal mengumumkan embargo (sekatan) terhadap pengeluaran minyak pada tahun 1973 lantaran Perang Yom Kippur yang tercetus antara negara-negara Arab dan Israel. Tindakan ini menyebabkan AS mengalami krisis tenaga dan memaksa AS menekan Israel untuk melakukan perjanjian damai dengan Syria. Hubungan tersebut kembali menjadi reda pada tahun berikutnya, manakala Raja Faisal pula telah dibunuh oleh saudaranya sendiri yang dilaporkan mempunyai masalah mental pada 1975.6
Khatimah
Keakraban yang ditunjukkan oleh Presiden Obama dan Raja Abdullah di Rawdat Khuraim, berhampiran Riyadh itu merupakan kesinambungan hubungan akrab antara kedua-dua buah negara yang telah terjalin sejak beberapa dekad lamanya. Melalui tindakan tersebut, Raja Abdullah telah mengkhianati umat Islam keseluruhannya kerana beliau tergamak berjabat erat tangan Obama yang berlumuran dengan darah kaum Muslimin.
Sesungguhnya, gelaran “Khadam Haramain” (Penjaga Dua Tanah Haram) itu tidak sedikitpun memberikan sebarang kemuliaan, apatah lagi ia langsung tidak menunjukkan keprihatinannya terhadap nasib yang menimpa umat Islam. Tidakkah beliau pernah mendengar hadis Rasulullah SAW yang jelas menyatakan; “Setitik darah seorang Muslim adalah lebih bernilai daripada seluruh Kaabah dan sekelilingnya” [HR Bukhari dan Muslim]
Sumber:
1) “Obama arrives in Saudi Arabia on Official Visit” – Al-Arabiyya, 28 Mac 2014.
2) 2) “FT Top 150 Non-Publicly listed companies” – Financial Times, 14 Disember 2006.
3) Soutun Nahdhah SN 367 – Bagaimana Islam Mengagihkan Kekayaan di Tengah-tengah Manusia
4) “Saudi-American Relations”, Benson Lee Greyson; 1982 University Press of America.
5) US Saudi Arabia Diplomatic and Political Cooperation Handbook
6) “BBC On This Day – 1975: Saudi’s King Faisal assassinated”