Serangan Charlie Hebdo vs serangan ke atas Islam
Dunia digemparkan dengan serangan yang dilakukan ke atas akhbar mingguan Charlie Hebdo di tengah-tengah bandar raya Paris. Dua lelaki dikatakan bersenjata Kalashnikov dan pelancar roket menyerang bangunan terbabit yang mengakibatkan 12 kematian dan mencederakan beberapa orang yang lain. Inilah apa yang dilaporkan oleh media.
Sehubungan itu, Presiden Perancis, Francois Hollande dan banyak pihak di Barat, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan keganasan dan penembakan yang terjadi di Charlie Hebdo itu sebagai serangan terhadap kebebasan mengemukakan pendapat (freedom of expression).
Charlie Hebdo memang terkenal dengan penerbitannya yang sering menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Jadi, jika inilah serangan ke atas kebebasan berpendapat yang dimaksudkan Barat, maka kebebasan yang mereka amalkan itu termasuklah kebebasan menghina agama orang lain! Inilah nilai Barat yang amat menjijikkan, yang terhasil dari konsep kebebasan di bawah sistem demokrasi yang mereka agung-agungkan selama ini, yakni merangkumi kebebasan menghina Islam!
Dalam pada mereka mendakwa bahawa kononnya mereka menjaga kebebasan, namun pada masa yang sama mereka menghalang orang Islam dari mengamalkan agamanya. Semua orang tahu bahawa Perancis adalah negara yang menghalang wanita (Muslimah) daripada memakai purdah. Walhal tidak ada siapa pun yang terganggu dengan purdah yang dipakai oleh Muslimah ini dan hakikatnya pakaian seumpama ini memang tidak menyakitkan atau mengganggu gugat sesiapa.
Namun, jika Islam dan Nabi Muhammad SAW dihina, hal ini sudah pasti menyakitkan dan mengganggu umat Islam, bukan sahaja di Perancis, malah di seluruh dunia. Justeru, tidak hairanlah jika ada segelintir umat Islam yang tidak dapat mengawal emosi dengan penghinaan yang dilakukan oleh Charlie Hebdo ini.
Inilah hipokrasi Barat dan inilah kejahatan nyata Barat ke atas umat Islam. Kononnya mereka berpegang dan mengagungkan kebebasan berpendapat dan bertingkah laku, namun tatkala kebebasan itu diamalkan oleh umat Islam, walaupun dalam bentuk tidak menyentuh mereka sedikit pun, maka hal ini dilarang dan diharamkan oleh mereka!
Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, setelah banyak rakaman video serangan ke atas Charlie Hebdo ini tersebar, ternyata banyak hal yang meragukan timbul seperti tindakan “pengganas” yang dimaksudkan itu begitu profesional seperti orang yang cukup terlatih (well trained). Manakala mangsa yang ditembak juga tidak seperti sepatutnya dengan tiada percikan mahupun kesan darah langsung. Begitu juga dengan video yang menunjukkan orang yang berada di pejabat Charlie Hebdo yang memakai jaket kalis peluru dan adanya beberapa orang berpakaian seperti polis di salah satu sudut bangunan yang kemudiannya muncul kesan editing pada video secara tiba-tiba.
Apa pun, peristiwa yang dikatakan mengorbankan 12 nyawa hasil dari provokasi yang dilakukan oleh Charlie Hebdo sendiri ini, jika dibandingkan dengan jumlah korban yang dilakukan oleh Barat ke atas umat Islam, amat jauh sekali perbezaannya. Lihatlah serangan Amerika ke atas Iraq yang mengorbankan lebih kurang 1.5 juta nyawa. Serangan Barat ke atas Afghanistan dan Pakistan pun menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak terhitung. Serangan Israel ke atas Gaza yang didukung oleh Amerika dan banyak lagi, telah mengorbankan ribuan umat Islam. Malah sampai sekarang Amerika masih terus menyerang Afghanistan sehingga puluhan angka korban yang dilaporkan setiap kali serangan. Kenapa dunia Barat hanya membisu dengan semua serangan dan kematian ini? Kenapa serangan ke atas Charlie Hebdo begitu dibesar-besarkan?
Sesungguhnya sikap hipokrit yang ditunjukkan oleh Barat ini, walaupun nampak seperti dunia memihak kepadanya, namun sebenarnya memakan diri sendiri. Lihat sahaja berapa ramai yang telah memeluk Islam setelah peristiwa 9/11. Jadi, tidak mustahil selepas serangan Charlie Hebdo ini akan ada lebih ramai orang kafir yang memeluk Islam. Tambahan lagi, semua kejadian ini telah semakin menyedarkan dan membangkitkan umat Islam di seluruh dunia.
Apa yang lebih penting untuk kita (Muslim) sedar dan lakukan ialah, berjuang untuk menegakkan kembali Negara Khilafah sebagai sebuah entiti politik Islam yang akan mengajar Barat atas penghinaan yang mereka lakukan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW. Ini kerana, pemimpin Muslim yang ada pada hari ini ternyata bacul dan tidak melakukan apa-apa tatkala Islam dan Nabi Muhammad dihina. Jauh sekali ingin menggertak musuh dengan jihad, ingin putuskan hubungan diplomatik pun tidak berani! Oleh yang demikian, kita memerlukan seorang Khalifah yang berani lagi bertakwa yang akan mengembalikan semula kemuliaan Islam dan kaum Muslimin.