SYEIKH ABDUL QADIM ZALLUM (1924-2003)

Amir Kedua Hizbut Tahrir
SYEIKHABDULQADIMZALLUMBeliau adalah Al-’Alim al-Kabir Syeikh Abdul Qadim bin Yusuf bin Abdul Qadim bin Yunus bin Ibrahim. Syeikh Abdul Qadim Zallum lahir pada tahun 1342H (1924M). Menurut pendapat paling kuat, beliau lahir di Kota al-Khalil, Palestin. Beliau berasal dari keluarga yang dikenalluas dan terkenal kecerdasannya. Ayah beliau -rahimahullah- adalah salah seorang dari para penghafal al-Quran. Beliau membaca al-Quran di luar kepala hingga akhir hayat beliau. Ayahanda Syeikh Zallum bekerja sebagai guru pada masa Daulah al-Khilafah Utsmaniyah.

 

Paman ayahanda beliau, iaitu Syaikh Abdul Ghafar Yunus Zallum, adalah Mufti al-Khalil pada masa Daulah al-Khilafah Utsmaniyah. Keluarga Syeikh Zallum termasuk keluarga yang memelihara dan mengurus Masjid al-Ibrahimi al-Khalil. Mereka termasuk keluarga yang memelihara peninggalan Nabi Ya’qub as. Keluarga Zallum adalah orang-orang yang menjunjung ilmu di atas mimbar-mimbar pada hari Jumaat (menjadi Khathib solat Jumaat) dan hari raya. Mereka adalah orang-orang yang menebar ilmu di berbagai musim dan perayaan. Dulu Daulah Utsmaniyah mengagih-agihkan tugas mengurus masjid al-Ibrahimi kepada keluarga-keluarga terkenal di al-Khalil. Adalah suatu kehormatan dan kemuliaan bagi keluarga-keluarga itu mendapat tugas mengurus Masjid al-Ibrahimi al-Khalil. Syeikh Abdul Qadim Zallum membesar dan berkembang di kota al-Khalil hingga mencapai usia 15 tahun.

Beliau menempuh pendidikan dasar di Madrasah al-Ibrahimiyah di al-Khalil. Kemudian ayahanda beliau -rahimahullah- memutuskan untuk mengirim beliau ke al-Azhar asy-Syarif untuk mempelajari fikih, agar menjadi pengembangnya dan menjadi sebahagian dari orang-orang yang menyeru kepada Allah SWT. Setelah beliau genap berusia 15 tahun, ayahanda beliau mengirimkan beliau ke Kaherah, yakni ke Universiti al-Azhar. Hal itu terjadi pada tahun 1939M. Beliau memperoleh ijazah al-Ahliyah al-غlâ pada tahun 1942M. Berikutnya, beliau memperoleh ijazah Pendidikan tinggi (Syahadah al-Aliyah) Universiti al-Azhar pada tahun 1947. Kemudian beliau memperoleh Ijazah al-Alamiyah dalam bidang keahlian al-Qadha’ (peradilan) -seperti ijazah kedoktoran sekarang- pada tahun 1368H (1949M). Selama perang Palestin-Israel, Syeikh Zallum beraktiviti menghimpun para pemuda dan kembali dari Mesir untuk berjihad di Palestin. Namun, ketika beliau kembali, perdamaian telah diumumkan dan perang telah pun berhenti. Oleh sebab itu, beliau tidak berkesempatan berjihad di Palestin meski beliau telah bertekad untuk itu.

 

Beliau dicintai oleh rakan-rakan sejawat beliau di Universiti al-Azhar. Mereka memanggil beliau “al-malik”, hal itu kerana beliau sangat menonjol dalam pelajaran beliau. Ketika kembali ke al-Khalil pada tahun 1949M, beliau bekerja dalam bidang perguruan. Beliau diangkat menjadi guru di Madrasah Bait al-Lahem selama beberapa tahun. Kemudian beliau pindah ke al-Khalil pada tahun 1951 dan bekerja sebagai guru di Madrasah Usamah bin Munqidz. Syeikh Zallum berjumpa dengan Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah pada tahun 1952. Lalu Syeikh Zallum pergi ke al-Quds untuk bergabung dengan Syeikh Taqiyuddin dan melakukan kajian serta berdiskusi seputar masalah parti (Hizb). Beliau telah bergabung dengan Hizbut Tahrir sejak awal mula aktiviti Hizb. Beliau menjadi anggota qiyadah Hizb sejak tahun 1956M. Beliau adalah seorang jurucakap yang ulung, sekali gus dicintai oleh masyarakat. Beliau menyampaikan kuliah sebelum solat Jumaat di masjid al-Ibrahimi di ruang yang disebut al-Yusufiyah. Kuliah itu dihadiri oleh ramai orang. Kemudian beliau juga menyampaikan kuliah setelah solat Jumaat di masjid yang sama di ruang yang disebut ash-Shuhn. Kuliah ini juga dihadiri oleh ramai orang. Ketika diumumkan (berita) pilihan raya anggota parlimen pada tahun 1954M, beliau mencalonkan diri di Kota al-Khalil. Begitu juga pada tahun 1956. Akan tetapi, di kedua-dua pilihan raya itu beliau gagal, kerana penipuan yang berupa pemalsuan keputusan pilihan raya yang dilakukan oleh negara. Beliau pernah ditangkap dan dimasukkan ke penjara al-Jafar ash-Shahrawi (penjara al-Jafar ash-Shahrawi adalah penjara di padang pasir yang berada di al-Jafar, suatu desa yang bersempadan dengan Desa Ma’an di bagian selatan Yordania. Penjara ini khusus untuk para tahanan politik). Beliau menempati penjara itu selama beberapa tahun sehingga Allah memberikan pertolongan dengan pembebasan beliau.

 

Syaikh Abdul Qadim Zallum rahimahullah benar-benar merupakan seorang pembantu yang amat dipercayai oleh amir pendiri Hizbut Tahrir (Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah) dan menjadi salah satu anak panah di busur amir pendiri Hizb. Syeikh Taqiyuddin sering mengutus Syeikh Zallum untuk beberapa tugas besar dan beliau tidak ragu sedikit pun. Syeikh Zallum rahimahullah lebih mengedepankan dakwah daripada keluarga, anak-anak, dan kenikmatan-kenikmatan dunia yang berlimpah. Hari ini anda melihat beliau di Turki, besok di Iraq, lusa di Mesir, tulat di Lebanon, kemudian di Jordan dan selepas itu di tempat-tempat lain lagi. Di mana sahaja amir beliau, iaitu Syeikh Taqiyuddin rahimahullah meminta Syeikh Zallum, maka Syeikh Zallum selalu berada di sisi amir dan siap melaksanakan kebenaran (al-haq). Salah satu misi Syeikh Zallum di Iraq adalah misi yang sangat penting yang tidak boleh dilakukan kecuali oleh orang pilihan di antara orang-orang pilihan. Beliau melaksanakan misi itu sesuai taklif perintah amir Hizb, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani. Kondisi beliau di sana (Iraq) atas izin Allah sungguh mulia. Ketika amir pendiri Hizb, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah wafat, Syeikh Zallum terpilih untuk memegang amanah sesudahnya. Beliau memikul amanah ini dan menjalankannya dari satu dataran tinggi ke dataran tinggi yang lain. Beliau lantang berdakwah. Di bawah kepimpinannya, medan dakwah Hizbut Tahrir pun semakin meluas hingga mencapai Asia Tengah dan Asia Tenggara. Bahkan arena dakwah bergema di benua Eropah dan juga benua lainnya. Hizbut Tahrir benar-benar mengalami proses peluasan pada zaman kepimpinan Syeikh Zallum -rahimahullah-.

 

Pada akhir masa al-Alim Syeikh Abdul Qadim Zallum ini, terjadi fitnah di dalam tubuh Hizb, iaitu ketika syaitan-syaitan berhasil menyelinap masuk dan membisikkan ke dalam fikiran sekelompok anggota. Mereka lalu ‘memanfaatkan’ kelembutan peribadi Syeikh Zallum dan menjalankan misi mereka secara rahsia (dari dalam). Mereka berusaha membengkokkan Hizb dari perjalanan lurus yang ditempuhinya selama ini. Walaupun berlaku goncangan yang hebat dalam parti, namun, berkat kebijaksanaan dan ketegasan Syeikh Zallum dan dengan pertolongan Allah, usaha-usaha kelompok tersebut berjaya dipatahkan. Tubuh Hizb pun kembali sembuh dan malah ia pulih dengan menjadi lebih kuat dari sebelumnya.

 

Al-Alim Syeikh Abdul Qadim Zallum rahimahullah terus mengembang dakwah dan memegang kepemimpinan Hizb hingga mencapai usia lebih kurang 80 tahun. Ketika itu, beliau telah pun menghabiskan selama dua pertiga dari usia beliau untuk jalan dakwah dan telah memimpin Hizb sekitar dua puluh lima tahun. Selama hidupnya, beliau telah menjadi pembantu yang dipercayai oleh amir pendiri Hizb, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah, dan setelah kurang lebih 25 tahun menjadi amir Hizb, maka beliau lalu mengundurkan diri dari kepemimpinan Hizb. Setelah itu Hizbut Tahrir menyaksikan pemilihan amir yang baru. Begitulah apa yang terjadi.

 

Syeikh Zallum mengundurkan diri dari kepemimpinan Hizb pada hari Isnin tanggal 14 Muharram 1424H (17 Mac 2003M). Sekitar 40 hari setelah itu, Al-Alim Syeikh Abdul Qadim Yusuf Zallum rahimahullah meninggal di Beirut pada malam Selasa tanggal 27 Safar 1423H (29 April 2003M) pada usia lebih kurang 80 tahun. Majlis takziah diselenggarakan di Dewan (rumah utama) Abu Gharbiyah asy-Sya’rawi di al-Khalil. Di kala itu Kota al-Khalil belum pernah menyaksikan pemandangan sedemikian di mana masyarakat dari berbagai kota dan desa mengirimkan para utusan, para penyair, para jurucakap dan orang ramai yang berduyun-duyun datang mengirimkan ucapan takziah dalam bentuk syair dan kalimat-kalimat belasungkawa. Deringan telefon susul-menyusul menyampaikan kepada semua yang hadir kalimat duka dan belasungkawa sama ada dari Sudan, Kuwait, berbagai penjuru Eropa, Indonesia, Amerika, Jordan, Mesir dan dari berbagai penjuru dunia lainnya. Hal yang sama juga terjadi di majlis takziah yang diselenggarakan di Amman dan beberapa tempat lainnya.

 

Selama hidupnya, Syeikh Zallum rahimahullah senantiasa menyampaikan Islam dan istiqamah berjalan di dalam kebenaran. Beliau tidak takut sedikit pun di jalan Allah terhadap celaan orang-orang yang suka mencela. Beliau terus melakukan aktiviti tanpa kenal penat dan lelah dan tidak pernah bersikap lemah di jalan dakwah. Beliau dikenal tawadhu’, berakhlak mulia, lemah lembut dan dihormati ramai orang. Beliau juga dikenal banyak melakukan qiyam al-lail dan sering menangis saat sedang membaca ayat-ayat al-Qur’anul kareem. Beliau terkenal dengan kesabaran dan kekuatan syaksiyah di jalan dakwah. Beliau sering diburu dan dikejar oleh penguasa-penguasa yang zalim hingga Allah SWT memanggilnya ke haribaanNya. Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmatNya yang Maha Luas.

 

Di antara karya beliau dan buku-buku yang dikeluarkan Hizbut Tahrir pada masa beliau adalah:-

  1. Al-Amwal fi Daulah al-Khilafah (Harta kekayaan Dalam Daulah Khilafah).
  2. Perluasan dan revisi atas kitab Nizham al-Hukm fi al-Islam (Sistem Pemerintahan Islam) karya Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani.
  3. Ad-Dimuqrathiyah Nizhamul Kufr (Demokrasi Adalah Sistem Kufur)
  4. Hukm asy-Syar’i fi al-Istinsakh wa Naql al-A’dha’ wa Umur Ukhra (Hukum Syariah dalam Masalah Kloning, Pemindahan Organ dan Masalah Lainnya).
  5. Manhaj Hizb at-Tahrir fi Taghyir (Metode Hizbut Tahrir dalam Melakukan Perubahan Total)
  6. At-Ta’rif bi Hizb at-Tahrir (Mengenal Hizbut Tahrir).
  7. Al-Hamlah al-Amirikiyah li al-Qadha’ ‘ala al-Islam (Serangan Amerika untuk Menghancurkan Islam).
  8. Al-Hamlah ash-Shalibiyah li Jurj Busy ‘ala al-Muslimin (Serangan Salib George Bush untuk Menghancurkan Kaum Muslimin).
  9. Hazat al-Aswaq al-Maliyah (Kegoncangan Pasar Modal).
  10. Hatmiyah Shira’ al-Hadharat (Kenescayaan Benturan Antar Peradaban).