Mencapai Ketinggian Modal Insan – Melalui Pembinaan Syakhsiyah Islamiyyah

DALAM ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2006, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi menekankan aspek penjanaan modal insan berkualiti. Lebih menarik, penggunaan istilah ‘Ulul-Albab’ yang buat pertama kali diungkapkan oleh seorang Perdana Menteri untuk memperjelaskan maksud modal insan berkualiti. Laporan Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010 menggariskan 8 teras Dasar Pembangunan Modal Insan merangkumi penambahbaikan sistem penyampaian pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat akan dilaksanakan di samping penekanan terhadap pembangunan kemahiran usahawan.

Hakikatnya usaha itu pasti menemui kegagalan kerana sudah terbukti selagi kerajaan Malaysia masih lagi berkiblat kepada mabda (ideology) kapitalisme, maka selagi itu apa sahaja rancangan akan menemui jalan buntu. Kerajaan sering menggunakan istilah-istilah dan slogan-slogan tertentu sebagai sebahagian daripada propaganda untuk menunjukkan kehebatannya. Termasuk istilah modal insan. Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, salah seorang penyokong kuat usaha Perdana Menteri dalam aspek modal insan ini mengakui bahawa semakin banyak kita berbicara mengenai hala tuju negara makin banyak berita sedih mengenai generasi muda terjebak dengan pelbagai krisis nilai dan identiti didedahkan. Semakin banyak kita berbicara mengenai pencapaian ekonomi dan teknologi, semakin banyak orang Melayu yang didedahkan tersungkur dalam kecelaruan moral dan konflik akal budi.


Hakikatnya walau apa slogan yang diwar-warkan hakikat sebenar modal insan di Malaysia adalah sebaliknya.Walaupun kerajaan Malaysia telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia dan melancarkan Pelan Integriti Nasional pada April 2004 di dalam usaha untuk memerangi rasuah, tetapi rasuah semakin menjadi-jadi. Muhammad Hisyam Mohamad, Fellow Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), dalam artikelnya Usaha Terap Nilai Murni Mesti Dipergiat(Berita Harian, 23 November 2006) mengakui kegagalan kerajaan untuk memerangi gejala rasuah setelah Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2006 (CPI 2006) dikeluarkan oleh Transparency International. Kajian itu menunjukkan terdapat kemerosotan berbanding keputusan laporan tahun 2003, 2004 dan 2005. Berdasarkan CPI 2006, rasuah semakin meningkat di Malaysia berdasarkan kedudukan Malaysia yang jatuh dari tangga ke44 dunia berbanding tangga ke39 untuk 2005 dan 2004, serta tangga ke37 untuk 2003. Laporan itu menunjukkan masyarakat memandang rasuah semakin meningkat di Malaysia. Laporan kajian persepsi oleh The Business Ethics of Malaysia (BEIM) dengan kerjasama University of Nottingham Malaysia dan Kolej Universiti Binary juga menunjukkan ketidakpercayaan masyarakat Malaysia terhadap 15 bidang kerjaya. Antara kerjaya yang dikaji ialah doktor, guru, profesor, menteri, pemimpin perniagaan dan ahli politik. Keputusan laporan BEIM menunjukkan tahap kepercayaan responden terhadap ahli politik, pemimpin perniagaan dan menteri adalah rendah sekali. Hanya 11 % masyarakat percaya kepada ahli politik, hanya 16 % percaya kepada pemimpin perniagaan (tokoh korporat) dan hanya 20 % percaya kepada menteri. Oleh itu ahli politik, pemimpin perniagaan menduduki senarai tiga terbawah berbanding doktor (72%), guru (67%), dan profesor (58%) menduduki senarai tiga teratas. Laporan Bank Dunia 2006 mengenai Worldwide Governance Indicators melaporkan tahap pencapaian Malaysia bertambah buruk sepanjang 10 tahun kebelakangan ini khususnya dalam aspek kecekapan kerajaan, kawalan rasuah dan prinsip pertanggungjawaban.

Di dalam Islam, modal insan sebenar merujuk kepada Syakhsiah Islamiyyah (keperibadian Islam). Keperibadian setiap manusia terdiri dari aqliyah (cara berfikir) dan nafsiyah (cara bersikap). Keperibadian tidak ada kaitannya dengan bentuk tubuh, perhiasan, dan yang seumpama dengannya. Semua itu hanya penampilan luaran belaka. Adalah dangkal untuk berfikir bahawa perhiasan merupakan salah satu faktor utama keperibadian atau mempengaruhi keperibadian. Islam memberikan penyelesaian berasaskan aqidah, yang dijadikan sebagai kaedah berfikir, dan di atas aqidah tersebut dibangunkan seluruh pemikiran, dan dibentuk mafahimnya (pandangannya). Ini membolehkannya membezakan pemikiran mana yang benar dan pemikiran mana yang salah. Memiliki Nafsiyah Islam bermakna menjadikan seluruh kecenderungan (muyul) bertumpu kepada asas Islam iaitu menjadikan Islam sebagai kayu ukur terhadap seluruh pemenuhan keperluan jasmani mahu pun naluri. Keunggulan Syakhsiyah Islamiyyah memang tidak dapat disangkal lagi telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka yang memiliki modal insan yang cemerlang. Sejarah telah membuktikan apabila Khilafah dalam sejarah lebih 1,300 tahun kewujudannya telah melahirkan modal insan yang dikagumi seluruh pelusuk dunia. Seseorang yang dikurniakan akal yang genius sekalipun jika tidak mempunyai mabda Islam yang dipegang sebagai kayu ukur berfikir dan bertingkah laku, belum boleh digelar sebagai seorang yang bersyakhsiah cemerlang atau memiliki modal insan cemerlang.
Wallahu alam


Sumber : mykhilafah.com