Kenyataan Rasmi HTM – “Bencana Alam di Padang, Sumatera Barat”

Kenyataan Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia (HTM)

“BENCANA ALAM DI PADANG, SUMATERA BARAT”

 16 Syawal 1430H / 5 Oktober 2009M

Tepat pada hari Rabu 30 September 2009, suatu gegaran pada 7.6 skala Richter telah menggegarkan kawasan Sumatera Barat yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa, kecederaan dan runtuhan rumah serta bangunan yang tidak sedikit. Walaupun hingga kini angka rasmi korban dan kemusnahan masih belum dapat dipastikan, namun kita sudah cukup sedih dan insaf dengan bencana yang menimpa yang menunjukkan betapa kerdil dan lemahnya kita apabila berhadapan dengan kuasa Allah SWT.

Di kesempatan ini, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) ingin menyampaikan takziah dengan ucapan Innalillahi wa inna ilaihi raji’un kepada mangsa dan ahli keluarga mereka yang ditimpa ketentuan (qadha’) Allah ini. Kepada yang terselamat, HTM harap mereka dapat bersabar menempuh dan menerima ujian ini dengan penuh redha. Kepada yang terkorban kami doakan semoga Allah SWT mencucuri rahmatNya ke atas mereka.

Berhubung dengan musibah yang menimpa, HTM dengan ini ingin menegaskan:-

1.     Bahawa pemerintah kaum Muslimin wajib menyalurkan bantuan segera. Pemerintah wajib mengutamakan urusan menyelamat dan memulihkan keadaan ini agar hak rakyat dipenuhi sewajarnya dan secepatnya. Sesungguhnya di dalam Islam tidak ada batas sempadan negara asobiyyah yang memisahkan kaum Muslimin dan setiap individu rakyat wajib dibantu tanpa mengira bangsa, keturunan mahupun pangkat. Bantuan di dalam bentuk makanan, wang, rawatan dan ubat-ubatan, pengebumian, perlindungan sementara, pembinaan semula rumah dan sebagainya wajib diberikan oleh pemerintah tanpa lengah sedikitpun.

2.     Bahawa umat Islam yang mampu hendaklah menyalurkan bantuan dalam apa bentuk sekalipun bagi memenuhi keperluan hidup saudaranya yang ditimpa bencana, dan pemerintah hendaklah mempermudahkan urusan saluran bantuan ini agar ia dapat segera sampai kepada mereka yang sangat memerlukannya.

3.     Bahawa kita hendaklah berhati-hati terhadap sebarang bentuk campurtangan luar terutama Barat dalam sebarang bentuk bantuan yang diberikan, baik berupa makanan, rawatan, pinjaman kewangan dan sebagainya. Ini kerana, mereka mungkin menyusup masuk misi missionaries dan dalam masa yang sama berusaha untuk menjerat umat Islam dengan hutang luar bagi mengukuhkan hegemoni mereka ke atas negara umat Islam.

4.    Bahawa umat Islam perlu sedar dan insaf yang kita semua adalah bersaudara dan betapa pentingnya kita semua bersatu di bawah satu pemerintahan (Khilafah) yang mana dengan ini tidak ada lagi sempadan asobiyah yang akan menjadi sekatan atau kelewatan dalam menyalurkan bantuan kerana kita semua berada di dalam Negara yang satu.

Oleh kerana pemimpin/negara adalah pihak yang paling besar kewajipannya membantu mangsa gempa, maka HTM ingin mengingatkan pemerintah bahawa melengah-lengahkan usaha menyelamat dan memulih keadaan ini adalah suatu kelalaian yang mengakibatkan kalian berdosa di sisi Allah SWT.

USTAZ ABDUL HAKIM OTHMAN
Presiden HTM