Fikratul Ummah – Jun 2010
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam ukhuwah kepada seluruh muslimah yang dikasihi kerana Allah..
Kini, kita berada di bulan Rejab 1431H bersamaan dengan Jun 2010 Masehi. Ramai di kalangan umat Islam pada hari ini mungkin sedang disihir dengan temasya bolasepak Piala Dunia 2010 yang sedang hangat berlangsung. Tidak ketinggalan juga para wanita, bukan sedikit dari kita yang turut hanyut dengan keasyikan pesta ini. Persoalannya, sama ada kita sedar atau tidak, tahukah kita sebagai umat Islam bahawa ada satu peristiwa penting yang telah berlaku di dalam bulan Rejab ini?. Tragedi inilah yang telah mengubah sejarah warna-warni kehidupan umat Islam dari sebuah kekuatan yang tiada tolok bandingan dan menjadi umat yang dimuliakan, berubah secara total menjadi umat yang berfikiran mundur, lemah dan ditindas, sehingga menepati sabda Rasulullah SAW; umat Islam kini seperti layaknya ’hidangan’ kepada musuh-musuh Islam. Peristiwa yang berlaku pada 28 Rejab 1342 Hijrah itu ialah tragedi kejatuhan daulah Khilafah Islamiyyah di Turki. Peristiwa ini telah meninggalkan kesan mendalam dari semua aspek kehidupan umat Islam sehingga ke saat ini.
Bermula dari detik itu juga, pusat Daulah Islamiyyah iaitu Turki sendiri menampakkan kebenciannya kepada Islam apabila mula mengharamkan muslimah dari memakai hijab dan pakaian mereka mula ditukar kepada skirt-skirt pendek yang ditiru dari barat. Kesan tersebut berlanjutan sehingga ke hari ini apabila kita dapat menyaksikan saudara-saudara muslimah kita di Eropah telah dihalang untuk melaksanakan kewajipan menutup auratnya di dalam kehidupan umum. Undang-undang larangan memakai hijab mula diperkenalkan oleh kerajaan kufar barat Eropah yang diketahui umum, adalah kerajaan yang memusuhi dan membenci Islam. Barat juga pada masa yang sama mulai menyerang beberapa hukum syara’ yang terdapat di dalam Islam seperti poligami, jihad, khilafah dan sebagainya. Mereka (baca: barat) mengatakan poligami adalah suatu tindakan yang merendahkan martabat wanita. Ironinya, ada dikalangan umat Islam yang terpengaruh dengan serangan-serangan yang dilakukan oleh pihak kuffar. Maka, FU keluaran kali ini telah memilih isu poligami untuk dibincangkan agar ianya dapat mencerahkan pemikiran umat Islam di dalam menghadapi serangan pemikiran yang dilancarkan oleh barat sekian lama.
Diharapkan agar FU edisi kali ini akan dapat memberikan pencerahan pemikiran khususnya kepada para pembaca dan umumnya kepada seluruh pencinta-pencinta kebenaran. Wahai seluruh muslimah yang dikasihi!.Manfaatkanlah kehidupan yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepada kita ini dengan sebaik-baiknya untuk bersama-sama memperjuangkan Islam agar ia kembali menjadi kuasa dunia. Yakinlah bahawa sesungguhnya muslimah itu mempunyai peranan yang sangat besar untuk mencetak generasi muda Islam bagi memastikan kesinambungan perjuangan Islam itu akan terus bersinar di bumi ini.
Sekian Selamat Membaca.
Isu poligami merupakan salah satu isu yang tidak pernah surut diperdebatkan oleh masyarakat. Segelintir kaum lelaki mendabik dada mendakwa poligami sebagai hak mereka, manakala sebahagian kaum wanita pula berkeras enggan dimadu dengan berbagai-bagai alasan. Isu ini juga dianggap ‘taboo’ oleh golongan yang mengaku pembela wanita khususnya gerakan-gerakan feminis. Ironinya, alasan-alasan tersebut disandarkan kepada dalil-dalil Al-Quran dan hadis Rasululullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam yang telah ditafsir-ulang dengan akal manusia berfahaman liberalisme.
Di dalam ruangan terbatas ini, kami terpanggil untuk membawakan beberapa isu penting yang sering menjadi tanda-tanya dan perdebatan di kalangan kaum muslimin berkaitan dengan isu poligami ini. Semoga dengan penjelasan ini ianya dapat merungkaikan kekeliruan dan memberikan kefahaman yang sempurna berkenaan isu tersebut. Pada masa yang sama, kami juga ingin membawakan hujah bidasan ke atas kenyataan-kenyataan golongan feminis yang menolak dan cuba memutarbelitkan hukum Allah ini.
REALITI POLEMIK POLIGAMI DI MALAYSIA: ISU EVER GREEN?
Di tengah kehangatan perdebatan pro-kontra poligami, baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan kisah perkahwinan penuh kontroversi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin dan pelakon wanita Zizie Ezzete. Datuk Bung Moktar, 51, dijatuhkan hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 18 Mei lepas atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah. Isterinya, pelakon Zizie Izette, 32, pula mengaku bersalah atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran mahkamah manakala tiga iparnya dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dan kesemua mereka didenda RM1,000, dan jika gagal membayar denda tersebut, akan dikenakan enam bulan penjara [Berita Harian Online, 19/5/2010]. Tidak berhenti setakat itu, kes ini juga menjadi satu lagi modal ‘permainan kotor’ politik sekular apabila ada suara-suara berbaur ugutan , jika Datuk Bung Mokhtar Radin boleh menipu isteri pertamanya berkenaan perkahwinan keduanya, tidak mustahil beliau juga boleh menipu rakyat.
Kes ini bukanlah yang pertama seumpamanya di dalam masyarakat kita. Cuma perbezaannya, ia dilakukan oleh pasangan yang dikenali ramai sehingga ia menjadi ‘buah mulut’ dan celaan umum. Persoalannya, adakah wajar seseorang yang memilih untuk mengamalkan poligami secara sah mengikut syarak dijatuhkan hukuman, sedangkan perkara tersebut telah dihalalkan oleh Al-Khaliq? Mungkinkah penggubal undang-undang seksyen 23(1) Akta Undang- Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang mewajibkan suami untuk memperolehi kebenaran bertulis dari Mahkamah syariah sebelum menjalankan poligami ini, tidak pernah terbaca firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung” [TMQ an-Nahl (16):116].
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam sendiri pernah mendapat teguran tegas dari Allah Subhanahu wa Taala yang melarang baginda (dan umatnya) daripada mengharamkan perkara yang telah dihalalkanNya secara jelas;
“Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagimu semata-mata kerana kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ At-Tahrim (66):1].
MELAWAN ARUS!
Di satu pihak lain pula, Global Ikhwan bertindak melawan arus dengan menawarkan para pelacur untuk menyertai Kelab Poligami Ikhwan yang telah dilancarkan pada Ogos 2009. Kelab yang terdiri daripada 300 suami dan lebih 700 isteri ini mengalu-alukan penyertaan para pelacur untuk bergabung bersama-sama mereka untuk berpoligami. Alasan penubuhan kelab tersebut adalah untuk menangkis persepsi negatif masyarakat berkaitan poligami sekaligus menyelamatkan mereka (baca: pelacur) daripada terus bergelumang dengan dosa.
Persoalannya, wajarkah Kelab Poligami seumpama ini diwujudkan dan perlukah membuka tawaran kepada golongan pelacur?
Islam telah menetapkan bahawa poligami adalah suatu perbuatan yang mubah (boleh), bukan pula sunnah atau wajib. Islam tidak menjadikan poligami sebagai kewajiban ke atas kaum Muslimin, bukan pula perbuatan mandub (sunat) bagi mereka, melainkan sesuatu yang mubah (boleh), yang boleh mereka lakukan jika mereka berpandangan demikian [Nizhamul Ijtima’i fi al-Islam; Syeikh Taqiuddin an-Nabhani].
“Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua-dua, tiga-tiga atau empat-empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya” [TMQ an-Nisa’ (4):3].
Ayat ini telah diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam pada tahun ke-8 hijriyah. Sebelum ayat ini diturunkan, jumlah isteri bagi seorang lelaki adalah tidak terbatas. Diriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam pernah mengarahkan Ghailan bin Umayyah Ats- Tsaqafi yang baru masuk Islam untuk memilih empat sahaja dari sepuluh orang isteri yang dimilikinya semasa beliau masih kafir. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Pilihlah empat orang dari mereka, dan ceraikanlah yang lainnya!” [HR Malik, an-Nasa’i, dan Ad- Daruquthni].
Walaupun amalan poligami diperbolehkan di dalam Islam, ia bukan bertujuan untuk disensasikan dan dipromosikan kepada umum. Ia dibolehkan sebagai alternatif yang dibolehkan dalam Islam dengan hukum-hukum yang tertentu kepada kaum lelaki yang berkehendak melakukan poligami kerana yakin mereka boleh dan mampu berbuat demikian. Pada masa yang sama, menawarkan peluang poligami kepada golongan pelacur tidak akan menyelesaikan permasalahan pelacuran secara tuntas dan menyeluruh.
PUNCA POLEMIK POLIGAMI
Polemik yang berpanjangan ini timbul kesan dari kekeliruan dan kesalahfahaman umat terhadap hukum-hakam Islam berkaitan poligami, ditambah lagi dengan realiti hitam yang berlaku di tengah-tengah masyarakat lantaran pengamalan poligami yang tidak selaras dengan syara’. Maka, disimpulkan terdapat dua sebab utama kepada polemik ini:
Pertama, penafsiran ulang yang sesat dan menyesatkan tentang dalil-dalil kebolehan poligami
Dalil-dalil dari Al-Quran dan hadis nubuwwah yang secara jelas memperbolehkan poligami tanpa sebarang syarat, telah ditafsirkan semula dengan kaedah yang salah oleh pihak-pihak yang telah diracuni dengan pemikiran barat sehingga menimbulkan polemik tentang hukum sebenar poligami di dalam Islam.
Hajjah Nik Noriani Nik Badli Shah, salah seorang ahli Sisters In Islam (SIS) pernah menulis di dalam ruangan Letters to Editor bertajuk “Poligami dalam hukum Islam” , di laman web SIS bagi menjawab kritikan beberapa pihak terhadap pandangan SIS yang secara tegas menolak poligami. Di dalam jawapan tersebut, sangat jelas kekeliruan beliau di dalam menafsirkan Surah An-Nisa: 3 dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam yang tidak membenarkan menantunya iaitu Saidina Ali daripada mengahwini puteri Abu Jahal. Beliau juga merujuk pandangan dari sebilangan ilmuan Muslim termasuk dari Indonesia, Tunisia dan Maghribi yang mengemukakan hujah bahawa menghadkan bilangan isteri kepada empat orang lebih 14 kurun yang lalu merupakan langkah revolusioner yang dipelopori oleh hukum Islam, dan kini tiba masanya untuk kita kembali menghadkan bilangan isteri kepada seorang sahaja.
Hakikatnya, sepanjang lebih 1300 tahun (sehingga abad ke-18 M atau 13 H), para ulama tidak pernah berbeza pendapat dalam membincangkan tentang hukum poligami (ta’addud al-zawjat). Seluruh ulama pada ketika itu sepakat tentang kemubahan (kebolehan) berpoligami berdasarkan nas-nas dan dalil yang bersifat qath’i (pasti). Abdurrahman Faris Abu Lu’bah di dalam kitab beliau :
Syawa`ib al-Tafsir fi al-Qarni al-Rabi’ ‘Asyara al-Hijri hal. 360 :
“Menurut para fuqaha’, pernikahan dengan lebih dari satu isteri bagi seorang lelaki adalah ketentuan syariah yang sudah tetap (syar’un tsabit) dan sunnah/ jalan yang diikuti (sunnah muttaba’ah). Tidak pernah para fuqaha’ memperdebatkan masalah ini, meskipun mereka berbeza pendapat di dalam kebanyakan bab dan masalah fikih. Ini kerana hukum tersebut (kebolehan berpoligami) didasarkan pada dalil qath’i tsubut (pasti bersumber dari Rasulullah) dan qath’i dalalah (pasti maksudnya) dan tidak ada sebarang ruang ijtihad untuk memperdebatkannya”.
Para imam madzhab yang empat, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i, dan Imam Ahmad, telah bersepakat bahawa hukum poligami adalah mubah. Hal ini disimpulkan melalui kitab al-Fiqh ‘Ala Al-Madzahib Al-Arba’ah karya Syaikh Abdurrhaman Al-Jaziry Juz IV hal. 206-217 (Beirut: Darul Fikr, 1996) yang membahaskan tentang pembahagian nafkah dan bermalam kepada para isteri (mabahits al-qasm bayna al-zawjat fi al-mabit wa al-nafaqah wa nahwihima).
Maka, terbuktilah bahawa selama lebih 1300 tahun, tidak pernah ada percanggahan tentang hukum kebolehan berpoligami di kalangan seluruh ulama’ muktabar kaum muslimin, kecuali setelah masuknya pengaruh barat sejak abad ke-19 M (bersamaan 14 H). Ketika itu imperialisme Barat cuba menjaja ideologi sekular dan menancapkan kukunya di pelbagai belahan dunia Islam. Di dalam situasi serangan pemikiran terhadap syariah Islam oleh para kafir penjajah ini, barulah muncul beberapa modernis dan puak liberalis dari kalangan orang Islam sendiri yang menggugat dan menolak poligami. Di antaranya ialah, Sayyid Ahmad Khan (1817-1898), Ameer Ali (1849-1928), Muhammad Abduh (1849-1905), Qasim Amin (1863-1908), dan Maulana Abul Kalam Azad (1888-1958) [Lihat Maryam Jameelah, Islam and Modernism, Lahore : Muhammad Yusuf Khan and Sons, 1988].
Hujah kaum liberalis berkenaan larangan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam ke atas Saidina Ali ketika beliau ingin berpoligami juga tidak boleh diterima. Memang pernah berlaku situasi di mana Ali yang telah mengahwini Fatimah, puteri kesayangan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam; meminta izin dari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam untuk menikahi Puteri Abu Jahal. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam kemudiannya bersabda,
“Tidak aku izinkan, tidak aku izinkan, tidak aku izinkan! Kecuali Ali bin Abi Thalib rela untuk menceraikan puteriku dan menikahi puterinya Abu Jahal. Sesungguhnya Fatimah adalah darah dagingku, menyenangkan aku apa yang menyenangkannya, menyakitiku apa yang menyakitinya ”
Jika hadis di atas hanya dibaca sehingga di sini sahaja, seolah-olah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah mengharamkan poligami. Kaum liberal yang cenderung mendustakan Allah dan RasulNya, biasanya hanya menyampaikan hadis di atas tanpa melihat hadis yang disampaikan dari jalur periwayatan yang lain. Sedangkan, di dalam jalur riwayat lain ada perkataan Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam yang sangat penting kaitannya dengan status hukum poligami. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam tersebut ialah:
“Sungguh aku tidaklah mengharamkan sesuatu yang halal, dan tidak pula menghalalkan sesuatu yang haram. Akan tetapi, demi Allah, tidak akan puteri Rasulullah berkumpul dengan puteri musuh Allah dalam suatu tempat selama-lamanya.” [HR Bukhari].
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam yang terakhir ini dengan jelas menunjukkan bahawa poligami itu adalah halal, bukannya haram. Maka, larangan Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam kepada Ali yang ingin memadukan Fatimah dengan puteri Abu Jahal bukanlah kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam mengharamkan poligami, melainkan kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam tidak redha Ali mengumpulkan puteri kesayangan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam dengan puteri musuh Allah di bawah lindungan seorang lelaki (suami).
Kedua, persepsi negatif kesan dari pengamalan poligami yang tidak dipandu oleh syarak.
Data statistik dari tahun 1994 sehingga tahun 2005 yang diperolehi daripada Jabatan Kebajikan Islam (JAKIM) menunjukkan terdapat 13,516 pernikahan poligami, iaitu 1.4% dari jumlah pernikahan umat Islam di Malaysia dan kini peratusannya dikatakan meningkat kepada 2%. (Sumber: JAKIM). Dari jumlah tersebut, memang tidak dinafikan, pernah terjadi lembaran-lembaran hitam berkaitan amalan poligami, yang kemudiannya dihebahkan secara meluas ke dalam masyarakat. Kesan-kesan negatif poligami seperti kemungkinan berlaku penganiayaan, ketidakadilan dan pengabaian hak isteri dan anak sering dijadikan alasan untuk menyukarkan malah menghalangi proses poligami.
Pada tahun 2005, SIS sebagai sebuah gerakan feminisme yang menganut fahaman liberal pernah mengadakan kajian melibatkan 40 keluarga yang mengamalkan poligami. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa poligami menyebabkan anak-anak mereka terlibat dengan masalah sosial seperti merokok dan mengambil arak. Padahal, jika diteliti, implikasi-implikasi negatif tersebut bukanlah sesuatu yang mutlak hasil dari pengamalan poligami oleh 2% umat Islam di Malaysia kerana ia juga boleh berlaku di dalam 98% perkahwinan monogami yang lain! (malah boleh juga terjadi di dalam keluarga yang anti-poligami!). Maka persoalannya, adakah monogami juga harus diharamkan secara mutlak dalam situasi yang sama?!
Perasaan trauma dan fobia ini semakin diapi-apikan dengan wujudnya gerakan feminisme dan liberalisme di Malaysia yang memperjuangkan bantahan terhadap poligami seperti Kumpulan Tindakan Bersama Bagi Persamaan Jantina (JAG). Kumpulan ini terdiri daripada Sisters In Islam (SIS), Woman’s Aid Organization (WAO) dan banyak lagi. Golongan ini dengan berani menyuarakan bantahan terhadap isu poligami dan mencadangkan agar ianya diharamkan untuk diamalkan di Malaysia.
Pihak yang cuba untuk menolak poligami dengan menggunakan maklumat-maklumat dan data-data statistik untuk menjelaskan banyaknya bahaya (dharar) akibat dari pelaksanaan poligami (Contohnya, perbalahan di antara para isteri, tekanan perasaan kepada isteri dan anak-anak dan sebagainya) seperti ini sebenarnya mengalami kecelaruan berfikir yang tragis sehingga mereka sampai kepada kesimpulan yang jauh dari realiti permasalahan.
Secara metodologi (ushul fiqih), cara berfikir sedemikian adalah salah. Ini kerana tindakan tersebut bererti menjadikan akal sebagai satu-satunya alat untuk mengetahui status hukum syara’. Sedangkan akal tidak akan pernah mampu untuk memutuskan halal-haramnya sesuatu dengan bersandarkan “dalil-dalil” dari statistik dan fakta-fakta empirik semata-mata. Tugas akal hanyalah untuk memahami teks wahyu, bukan untuk menyimpulkan status hukum tanpa bersandarkan wahyu.
Imam Ghazali mengatakan, “Al-Ahkam as-sam’iyah laa tudraku bi al-‘aql,” (Hukum-hukum syar’i tidaklah dapat dijangkau dengan akal semata) [Imam Ghazali, Al-Mushtashfa min ‘Ilm al-Ushul, Juz I hal. 127]. Allah SWT juga berfirman yang mafhumnya; “… Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (TMQ al-Baqarah: 216)
Ada pula pihak lain yang menggunakan data-data tersebut untuk menolak poligami, dengan disokong oleh kaidah fiqih dar’ul mafasid muqaddamun ‘ala jalbil mashalih (menolak kerosakan, lebih didahulukan daripada memperoleh kemaslahatan). Pendapat ini menyatakan poligami dilarang, kerana melarang poligami bererti menolak kerosakan, yang perlu didahulukan daripada mencari kemaslahatan, iaitu dengan melakukan poligami.
Pendapat ini juga adalah batil. Ini kerana pengamalan kaidah fikih di atas berlaku hanya di dalam kes-kes yang memerlukan proses ijtihad dilakukan untuk sampai kepada sesuatu hukum. Penting untuk disebutkan di sini, bahawa ijtihad tidak berlaku jika ada nash yang qath’i (pasti) di dalam sesuatu masalah. Kaidah fikih menyebutkan laa ijtihaada fi maurid al-nash (Tidak boleh melakukan ijtihad dalam keadaan ada nas yang qath’i).
Di dalam hal ini telah ada nas yang qath’i iaitu Surah an Nisaa 4: 3 yang membolehkan poligami. Jika ada nas yang qath’i, tidak boleh lagi berijtihad pada nas yang qath’i itu, apatahlagi sehingga hasil ijtihadnya membatalkan hukum dalam nas qath’i itu.
Tindakan yang paling tepat untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul akibat pengamalan poligami sepatutnya bukan dengan melarang atau mengharamkan poligami, melainkan dengan cara meluruskan penyimpangan di dalam berpoligami, atau menghilangkan bahaya yang muncul ketika berpoligami. Ini boleh dilakukan melalui proses pendidikan dengan menanamkan kesedaran kepada para suami berkenaan hak-hak isteri dan tanggungjawab yang mereka pikul setelah berpoligami kelak.
UNDANG-UNDANG POLIGAMI DI MALAYSIA
SIS juga telah mewujudkan kolum khas untuk poligami di dalam laman webnya, khusus untuk menarik perhatian wanita-wanita yang merasa teraniaya akibat poligami. Akhirnya, kes-kes terpencil seperti ini menimbulkan perasaan kebencian, trauma dan fobia masyarakat terhadap amalan poligami.
Di dalam ruangan tersebut mereka menyediakan khidmat nasihat guaman dengan mempergunakan sepenuhnya Akta Undang-undang Keluarga Islam (AUKI) 1984. Berkaitan dengan masalah poligami, seksyen 23(3) AUKI 1984 menggariskan bahawa “Permohonan suami hendaklah dikemukakan kepada mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan. Akuan tersebut hendaklah mengandungi alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami ini patut dan perlu, keadaan kewangan suami dengan memberi butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan serta bilangan tanggungan termasuk orang yang akan ditanggungnya berikutan dengan perkahwinan baru yang dicadangkan. Selain dari itu pemohon juga kena menyatakan sama ada telah memperolehi izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri mengenai perkara tersebut.
Seterusnya, mahkamah dalam memberi pertimbangan pula akan mengambil kira empat syarat kebenaran untuk berpoligami sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(4) AUKI 1984, iaitu:
1. Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.
2. Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru.
3. Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak.
4. Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri.
Allah SWT telah berfirman dengan jelas di dalam Al-Quran,
“Sesungguhnya aku (Muhammad) berada di atas hujjah yang nyata (Al Quran) dari Tuhanku sedang kamu mendustakannya. Bukanlah kuasaku (menurunkan azab) yang kamu tuntut untuk disegerakan kedatangannya. Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan yang sebenarnya dan Dia pemberi keputusan yang paling baik” (Surah Al An’aam,ayat 57)
Frasa “menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” merupakan peringatan tegas daripada Allah SWT. Maka, sebagai seorang Muslim, adalah sangat penting untuk kita menggunakan akal fikiran yang dikurniakan Allah kepada kita untuk memahami hukum dengan kaedah yang benar, dan bukannya menciptakan hukum baru! Definisi hukum syara’ sendiri ialah khithâb asy-Syâri‘ (Seruan Sang Pembuat Hukum) yang menescayakan bahawa hukum tersebut wajib diambil dari seruan asy-Syâri’ (Sang Pembuat Hukum iaitu Allah SWT), baik secara tekstual (nashan), kontekstual (mafhûman), atau secara penunjukkan (dalâlatan); ataupun dengan adanya ‘amarah (tanda/indikasi) bahawa nas tersebut mengandungi hukum syara’. Amârah (tanda/indikasi) tersebut merupakan ‘illat syar‘îyyah yang dinyatakan di dalam nas. Illat syar’iyyah inilah satu-satunya yang menjadi sandaran hukum, dan bukannya illat aqliyyah (illat yang ditetapkan oleh akal rasional).
Apabila kita melakukan pengkajian ke atas nas-nas yang membolehkan poligami, dan dikaji batas-batas pengertiannya baik secara bahasa mahupun syariah, kita akan mendapati bahawasanya Allah SWT telah membolehkan poligami secara umum TANPA ada suatu pembatas (qayad) atau syarat. Nas-nas tersebut tidak mengandungi apa-apa illat syar’iyyah sebagai syarat memperbolehkan poligami. Bahkan Allah SWT memperbolehkan poligami secara mutlak kepada sesiapa lelaki yang mampu berdasarkan frasa, “….wanita-wanita yang kamu senangi.” (TQS an-Nisâ’ [4]: 3).
Sementara syarat-syarat yang terkandung di dalam AUKI 1984 pula sebenarnya adalah illat aqliyyah, yang sengaja direka-reka oleh manusia. Contohnya, keadaan-keadaan tertentu diperlukan sebelum poligami dibenarkan (seperti isteri yang sakit, atau uzur), keadilan, dan untuk mengelakkan dharar (telah dibincangkan sebelumnya). Illat aqliyyah seperti ini tidak dianggap sebagai hukum syara’ dan secara automatik tertolak mutlak!.
Contohnya, keadilan suami tidak boleh dijadikan sebagai syarat dan illat poligami. Sebenarnya, adil bukanlah syarat untuk berpoligami, sebaliknya ia merupakan kewajipan yang dilakukan oleh seorang lelaki ketika ia memilih untuk berpoligami. “Syarat” ialah suatu sifat atau keadaan yang perlu terwujud sebelum adanya sesuatu yang disyaratkan (masyrut).
Sebagai contoh, wudhu’ adalah syarat sah solat; yang bermaksud wudhu’ perlu diwujudkan dulu sebelum solat. Jika kita menyatakan bahawa “adil” adalah syarat bagi poligami, bermaksud “adil” perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum orang tersebut berpoligami. Hal ini adalah sangat mustahil untuk dibuktikan! Sebenarnya, yang terwujud sebelum seseorang lelaki berpoligami bukanlah “adil” itu sendiri, tetapi “perasaan” seseorang sama ada ia mampu untuk berlaku adil atau tidak. Di sinilah, syariah mendorongnya untuk berkahwin dengan satu isteri sahaja (fa-in khiftum an-laa ta’diluu fa waahidah, “Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja”.
Oleh yang demikian, jelas sekali bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala telah membolehkan poligami tanpa ada ikatan ataupun syarat apa pun, juga tanpa mesti menelusuri ‘illatnya (alasan). Aspek keadilan yang dituntut kepada seorang suami terhadap para isterinya bukanlah keadilan yang mutlak. Sikap adil seorang suami terhadap isteri-isterinya sebatas yang masih berada dalam lingkaran kemampuan seorang manusia untuk merealisasikannya. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri tidak membebani manusia kecuali dalam batas-batas kesanggupannya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya” [TMQ al-Baqarah (2):286].
POLIGAMI: SOLUSI, BUKAN PROBLEM!
Poligami merupakan solusi kepada beberapa permasalahan yang muncul di dalam masyarakat. Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani di dalam kitab “Sistem Pergaulan di dalam Islam” menghuraikan hikmah-hikmah poligami ini dengan sangat jelas dan mendalam. Di antaranya, poligami merupakan jalan keluar untuk mengelakkan berlakunya penzinaan secara bermaharajalela jika poligami tidak dibenarkan. Poligami juga memberikan alternatif kepada suami yang memiliki isteri yang mandul, berpenyakit, uzur dan tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya, sedangkan sang suami sangat mencintai isterinya. Jikalau poligami diterima dalam suatu komuniti masyarakat, maka akan memberikan impak yang positif iaitu tidak akan wujud wanita-wanita simpanan atau masalah sosial yang lain dan perkara sebaliknya akan berlaku apabila komuniti masyarakat menentang dan membantah poligami.
Di sini, penting untuk diperhatikan bahawa hikmah/ implikasi tersebut bukan syarat atau illat untuk poligami. Sang suami, walaupun tidak berada di dalam situasi-situasi tersebut berhak untuk melakukan poligami dengan syarat, hukum-hukum berkaitan dengan poligami (seperti bab keadilan) perlu dilaksanakan dengan sempurna setelah memilih untuk berpoligami.
Kaedah fiqih menyebutkan adh-dharaar yuzaalu syar’an (Segala bahaya wajib secara syar’i untuk dihilangkan). Maka, jika di dalam berpoligami seseorang suami berbuat zalim, misalnya tidak adil dalam memberikan nafkah, atau suka memukul isteri, maka yang dilakukan bukan membubarkan atau menyukarkan poligami, melainkan mengadukan masalah tersebut kepada hakim (peradilan Islam). Hakim boleh menjatuhkan hukuman syar’i (ta’zir) kepada suami dan mewajibkan suami agar memenuhi hak-hak isteri. Analogi mudahnya, jika kereta kita rosak, misalnya penghawa dinginnya tidak berfungsi atau tangki minyaknya bocor, penyelesaiannya bukanlah dengan membuang kereta itu. Tetapi bawalah kereta itu ke bengkel untuk diperbaiki. Inilah yang haq.
Demikianlah, pembahasan yang terkait dengan poligami yang dijelaskan oleh nash-nash syariat. Oleh itu, kita wajib menunjukkan kepatuhan dan ketaatan terhadap batas-batas nash syariat serta hukum syariat yang digali daripada nash-nash tersebut. Kita juga perlu sentiasa berjaga-jaga dengan helah dan muslihat dari musuh-musuh Islam yang cuba untuk memutarbelitkan hukum Islam yang benar dan menggantikannya dengan kekufuran pemikiran dan sistem jahiliyyah barat. Semoga Allah Subhanahu wa Taala melapangkan hati kita dan memudahkan kita untuk tunduk kepada aturanNya semata-mata.
Wallahualam.
OH AMAH…CAN LIVE WITH YOU…CAN’T LIVE WITHOUT YOU…..
Rutin kehidupan bagi seorang wanita yang berkerjaya; keluar dari rumah di pagi hari, seharian di pejabat dengan tugasan yang tiada penghujungnya, menghadapi kesesakan lalulintas yang memeningkan kepala dan terdedah kepada segala bahaya yang semakin berleluasa hari ini. Natijahnya, beliau terpaksa meninggalkan anak-anak dan urusan rumahtangga yang menjadi kewajiban mendasar bagi seorang isteri dan ibu. Tugasan ini hanya digalas semula apabila beliau pulang ke rumah menjelang dinihari; bertukar karektor dari seorang wanita kerjaya menjadi suri di dapur, bertungkus-lumus menyediakan makan malam untuk suami dan anak-anak, sambil membasuh dan menyidai pakaian, seterusnya menyelesaikan segala urusan rumahtangga yang terbengkalai. Kehendak suami dan anak-anak yang inginkan layanan sempurna perlu dipenuhi sebelum melelapkan mata dan kembali menjalankan rutin harian yang sama apabila celik mata pada keesokan harinya. Begitulah diari seorang ibu dan isteri yang bekerja.
Persoalannya, wajarkah senario ini berlaku? Apakah punca utama seorang wanita yang juga isteri dan ibu, keluar bekerja sehingga menomborduakan tanggungjawabnya di rumah? Apabila diteliti dengan mendalam, kita akan menyedari bahawa terdapat desakan tertentu yang memaksa wanita untuk hidup seperti layaknya seorang ‘superwomen’. Desakan yang dimaksudkan di sini sebenarnya lahir akibat keperluan untuk memenuhi tuntutan ekonomi rumahtangga yang kian membebankan di dalam sistem kehidupan sekular-kapitalisme hari ini. Contohnya, perbelanjaan pendidikan anak-anak yang semakin mencengkam, keinginan untuk memiliki keperluan sekunder seperti kereta, rumah yang selesa dan lain-lain, serta impian untuk memastikan sebuah kehidupan berkeluarga yang sentiasa bahagia tanpa belenggu bebanan kewangan. Maka, bagi yang berkemampuan, anak-anak dan urusan rumahtangga terpaksa diserahkan sepenuhnya kepada pembantu rumah. Alternatif lainnya, ada dikalangan ibu berkerjaya ini meletakkan tugas mengurusi anak-anak mereka kepada pusat asuhan ataupun menggunakan perkhidmatan ‘baby sitter’. Manakala bagi yang kurang berkemampuan untuk menggaji seorang pembantu, perkhidmatan pembantu rumah ‘on call’ juga turut disediakan. Mereka hanya perlu menghubungi agen-agen yang menguruskan perkhidmatan tersebut yang semakin mudah didapati sama ada di ruangan internet, melalui iklan-iklan yang diedarkan ataupun melalui kenalan-kenalan yang juga menggunakan perkhidmatan ini. Apapun pilihan yang dibuat, tujuannya hanya satu, iaitu untuk mengurangkan dan meringankan beban urusan rumahtangga yang agak sukar diselesaikan oleh kudrat seorang wanita berkerjaya.
Realiti ini membawa kepada kemasukan pekerja warga asing ke dalam negara. Statistik terbaru melaporkan 1.92 juta pekerja asing yang sah setakat Disember 2009. [Utusan Malaysia, 3 Mac 2010]. Indonesia mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 991,940 orang dan daripada jumlah tersebut hampir 280, 000 bekerja di dalam sektor pembantu rumah. Jumlah ini menyumbang kepada bekalan 80% pembantu rumah warga asing Negara.[Utusan Malaysia, 16 Februari 2010]. Di antara faktor yang menyumbang kepada jumlah terbesar warga Indonesia yang bekerja di Malaysia adalah kerana kesediaan untuk menerima tawaran gaji yang lebih rendah berbanding dengan pembantu rumah asing dari negara lain, kedudukan geografi yang lebih hampir dan persamaan sosio-budaya, bahasa serta rumpun bangsa. [Laporan pembentangan Dewan Rakyat, Sidang kedua, berkaitan isu pembantu rumah, Kementerian Sumber Manusia].
REALITI
Kusangkakan cerah hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari; begitulah diibaratkan realiti yang berlaku sama ada dipihak pembantu rumah atau majikan tempatan sendiri.
Hal ini dibuktikan daripada kes-kes yang melibatkan penderaan fizikal dan mental yang dilakukan oleh pihak majikan kepada pembantu mereka. Walaupun masih boleh dikategorikan sebagai kes terpencil, kes-kes ini menimbulkan suasana tegang bukan saja di antara majikan dengan pembantu rumah mereka, malah turut mengeruhkan hubungan di antara dua negara berjiran.
Kisah malang pembantu rumah dari Indonesia, Nirmala Bonat beberapa tahun lepas masih segar di dalam ingatan. Kes penderaan ini disifatkan sebagai kezaliman seorang majikan terhadap pekerjanya. Cerita mengenainya tersebar luas selama dua tahun sehingga mencetuskan tunjuk perasaaan anti Malaysia di Indonesia. Presiden Susilo Bambang Yudiyono juga turut memberi perhatian serius sehingga mengambil peluang untuk bertemu Nirmala ketika sesi lawatan presiden itu ke Malaysia. Majikan kejam tersebut, Pek Hua telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun atas tiga pertuduhan di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata. [Utusan Malaysia, 28 Oktober 2009].
Nasib yang sama juga menimpa pembantu rumah warga Indonesia bernama Siti Hajar yang berusia 33 tahun. Beliau telah disimbah dengan air panas oleh majikannya sehingga menyebabkan kecederaan yang serius pada muka dan tubuh badannya. Selama 3 tahun tinggal bersama-sama majikannya, gaji sebanyak RM500 sebulan tidak pernah dibayar, malah beliau diseksa dan didera dengan pelbagai cara malah yang lebih menyakitkan apabila beliau diberi makan nasi berlauk daging babi! Sungguh biadap perbuatan yang dilakukan oleh majikan ini kerana ia seolah-olah mencabar hukum Islam yang jelas dan telah pun diketahui umum.
Inilah di antara kes-kes penderaan yang pernah dilaporkan dan mendapat perhatian masyarakat umumnya. Sungguh memalukan dan memberi impak negatif kepada negara sehinggakan pada 25 Jun 2009, kerajaan Indonesia melalui kedutaannya di Kuala Lumpur telah membuat pengumuman untuk membekukan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia berkuatkuasa serta merta. Walaubagaimanapun, pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah Indonesia ke negara ini telah ditarik semula berikutan rundingan tahunan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada 18 Mei 2010 yang lalu.[Utusan Malaysia, 28 Mei 2010].
Ironinya, isu penderaan pembantu rumah yang seringkali dihidangkan oleh media massa selama ini seolah-olah meletakkan majikan sebagai satu-satunya pihak yang dipersalahkan di dalam kemelut ini, sedangkan perlu juga ditekankan di sini bahawa ada juga kes-kes di mana pihak majikan pula yang menjadi mangsa tindakan pembantu rumah mereka. Tindakan seperti sanggup menendang anak kecil majikan berkali-kali sehingga terpelosok, malah memijak-mijak tubuh anak kecil tersebut sehingga menangis kesakitan semata-mata kerana pembantu rumah kepenatan melayan kerenahnya pernah dilaporkan sebelum ini. Ini dirakamkan melalui litar rakaman tertutup (CCTV) dari sebuah keluarga mangsa melalui laman You-Tube di internet yang menunjukkan penderaan seorang bayi berusia 18 bulan oleh pembantu rumah ketika ibu bapanya keluar bekerja. Penderaan tersebut hanya disedari oleh doktor yang merawati anak kecil tersebut dan kemudiannya membuat laporan polis setelah mendapati kesan darah, lebam dan calar pada tubuh anak kecil itu. Pembantu rumah tersebut telah mengaku bersalah dan sedang menerima hukuman sejak 11 Mac yang lalu.
Begitu juga yang berlaku di Desa Subang Permai apabila empat orang anak-anak majikan telah didera oleh pembantu rumahnya sehingga lebam-lebam di seluruh badan. Tambah menyedihkan apabila amah tersebut melarikan diri dengan membawa wang tunai sebanyak RM200.00 serta komputer riba milik majikannya.
Berbeza dengan kejadian yang berlaku di Kuala Terengganu, seorang pembantu rumah bertindak berani dengan membakar rumah majikannya serta melarikan diri bersama-sama wang sebanyak RM500.00 dan dua buah komputer riba serta mengakibatkan kerugian yang dianggarkan sebanyak RM115,000.00 bagi pihak majikan tersebut. Perlakuan ini disifatkan sebagai tidak mengenang budi kerana kehadiran pembantu rumah itu di dalam keluarga malang tersebut dianggap seperti anaknya sendiri dan dilayan dengan baik seperti menatang minyak yang penuh. [BERNAMA, 7 Januari 2010].
PENYELESAIAN HARI INI
Kemelut yang berlaku pastinya mengundang keresahan kepada kedua-dua pihak; majikan tempatan dan pembantu rumah warga asing. Di saat wanita dihimpit kesibukan mengurusi karier dan rumahtangga, mereka akhirnya terpaksa menggunakan khidmat pembantu rumah. Pada masa yang sama, ruang dan peluang ini digunakan oleh warga asing yang berniat untuk memperbaiki tahap sosio-ekonomi masing-masing. Isu ini juga menuntut perhatian serius dari pihak kerajaan kedua-dua negara kerana ia terkait dengan kepentingan ekonomi serta pembelaan terhadap nasib warganegara masing-masing.
Kemelut yang melanda Malaysia khususnya, dan kepada majikan tempatan umumnya mengenai isu pembantu rumah Indonesia ini dikatakan menemui ‘jalan penyelesaiannya’ apabila Memorandum Persefahaman [Memorandum of Understanding (MOU)] ditandatangani di antara Indonesia dan Malaysia. MOU ini antara lain menyepakati bahawa pihak majikan perlu memberi kebenaran untuk memberi cuti satu hari seminggu kepada pembantu rumahnya. Perdana Menteri berkata, “Kalau kedua-dua pihak (majikan dan pembantu rumah) tidak mengambil cuti maka pekerja berkenaan boleh dibayar pampasan kepada cuti berkenaan dan dibayar bersesuaian dengan gaji mereka”. [Utusan Malaysia, 28 Mei 2010]. Selain itu, pembantu rumah juga dibenarkan untuk memegang sendiri passport masing-masing tidak sepertimana hari ini, passport tersebut berada di dalam simpanan pihak majikan. Datuk Seri Najib Tun Razak juga menjelaskan bahawa, “Bagi pasport pula, ia juga boleh dipegang majikan atas persetujuan bersama manakala soal gaji minimum akan terus dibincangkan antara kedua-dua Negara”.
Sesetengah pihak menyatakan persetujuan dengan rancangan kerajaan ini dengan pandangan bahawa mereka (baca: pembantu rumah) juga manusia yang perlukan rehat setelah seharian menjaga anak-anak majikan dan mengurusi rumahtangga. Walaubagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan menyatakan bahawa kebenaran tersebut (cuti seminggu dan memegang passport sendiri) adalah satu peluang terbaik untuk pembantu rumah terbabit bertindak untuk melarikan diri. Beliau juga melahirkan rasa bimbang terhadap implikasi daripada pelaksanaan rancangan tersebut. Maka, beliau mencadangkan perlunya pemantauan lebih ketat terhadap mereka. Walaubagaimanapun, beliau tidak membantah pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri. [Utusan Malaysa, 18 Mei 2010].
Pelbagai pandangan diperolehi setelah MOU ini ditandatangani. Hal ini menimbulkan polemik tidak berkesudahan tentang kewajaran pelaksanaan pelbagai cadangan di dalam MOU tersebut. Ada pihak yang mendakwa bahawa perjanjian ini seperti memihak dan seolah-olah memanjakan pekerja Indonesia. Ada pula yang bimbang dengan pelbagai kemungkinan buruk sekiranya cuti sehari yang diberikan itu disalahgunakan oleh pembantu rumah seperti dengan melarikan diri dan mencari peluang pekerjaan lain kerana dipengaruhi oleh PATI senegara. Selain itu, timbul juga kemungkinan mereka menjadikan majikan sebagai batu loncatan untuk masuk ke Malaysia sebelum bertindak lari daripada majikan tersebut. Akibatnya, majikan tetap akan didenda di kemudian hari walaupun telah membayar ribuan ringgit bagi kos pengambilan pembantu rumah melalui agen sah. Tidak kurang juga yang mula mempersoalkan pihak manakah yang sanggup memberi jaminan bahawa pembantu rumah ini tidak akan melarikan diri atau melakukan sesuatu di luar batasan seperti penderaan anak-anak majikan, kecurian dan sebagainya sekiranya passport diberikan kepada mereka untuk disimpan. Begitulah keluhan dari segelintir masyarakat kita yang mungkin pernah melalui pengalaman pahit berurusan dengan pembantu warga asing ini.
Selain itu, langkah-langkah yang pernah diimplementasikan untuk mengatasi kebergantungan para majikan tempatan terhadap pembantu rumah warga asing ini masih menampakkan kepincangan dalam pelaksanaannya. Sebelum ini, agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta disyorkan untuk mendirikan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja. Pihak ini ditawarkan insentif dengan pengurangan cukai sebanyak 10% setahun atas kos penubuhan pusat bagi tempoh 10 tahun serta diberikan geran RM80,000 untuk renovasi dan kelengkapan perabot.[BERNAMA, 14 April 2009].
Ahli Parlimen PAS-Rantau Panjang, Siti Zailah Yusof pernah mengajukan cadangan agar kerajaan mempergiatkan usaha untuk menggalakkan rakyat negara ini mengambil pembantu rumah di kalangan warga tempatan. Beliau juga berkata, kerajaan tidak seharusnya memikirkan soal kewangan semata-mata tetapi perlu juga menitiberatkan soal akhlak dan moral anak-anak bangsa pada masa hadapan. Beliau juga turut melahirkan kebimbangan terutama soal pengaliran wang negara ke negara asing jika kerajaan terus menggalakkan pengambilan pembantu warga asing ke negara ini. Ujar beliau:-
“Jadi apakah penyelesaian jangka panjang pihak kerajaan supaya menggalakkan pembantu rumah warga tempatan diberi peluang dan jangan kita hanya fikirkan soal kewangan tetapi ini penting untuk masa depan anak-anak kita”. [www.harakahdaily.net, 13 Mei 2008].
PENYELESAIAN SEBENAR DALAM ISLAM
Hukum asal bagi wanita bekerja adalah mubah (harus) bukannya wajib seperti yang dianggap oleh segelintir masyarakat; khasnya apabila melibatkan golongan yang berpendidikan tinggi. Malah, bukanlah tanggungjawab wanita untuk memastikan ekonomi rumahtangganya kukuh serta segala keperluan di dalamnya mewah, yang akhirnya memaksa beliau untuk keluar bekerja bersama-sama suami. Tanggungjawab utama seorang wanita apabila bergelar isteri ialah ummu wa rabbatul bayt (ibu dan pengurus rumahtangga). Maka, adalah sangat tidak wajar apabila wanita dipaksa untuk meletakkan bebanan kerjaya sebagai keutamaan melebihi tanggungjawabnya kepada keluarga.
“Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoalkan atas apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya”. [Hadis Hadis Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya)].
Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna wanita tidak diperlukan langsung di dalam industri pekerjaan. Contohnya, Saidatina Khadijah menjadi usahanita dan kekayaannya digunakan untuk mendukung Islam. Di dalam sejarah Islam, wanita juga pernah memberikan sumbangan mereka ketika perang dengan menjadi perawat kepada mangsa perang, menjadi qadi nisbah dan sebagainya. Bezanya, penglibatan wanita di dalam bidang pekerjaan ketika itu tidak pernah mendahului peranan utama mereka di rumah sebagai ibu dan isteri yang terbaik. Hal ini sekaligus memastikan pembinaan generasi muda Islam yang cemerlang dari segi syakhsiyyahnya.
Islam lahir sebagai mualajah lil masyakil insan (penyelesaian kepada permasalahan manusia) melalui penerapan pelbagai hukum-hakam bagi memastikan kemaslahatan manusia dipenuhi. Isu kedatangan warga Indonesia ke Malaysia untuk menjadi pembantu rumah sebenarnya berpunca dari desakan hidup dan masalah kemiskinan yang memaksa mereka untuk mencari rezeki di negara jiran.
Penerapan sistem ekonomi Islam mengatur agar harta dan kekayaan beredar secara teratur dan adil kepada semua pihak. Hal ini seterusnya akan memastikan seluruh warganegara memperolehi hak mereka sewajarnya. Antaranya dijelaskan seperti berikut:-
1. Jaminan Pemenuhan Keperluan Pokok (Primary Needs)
Islam telah menetapkan keperluan pokok manusia terdiri daripada makanan, pakaian dan tempat tinggal. Walaubagaimanapun, jaminan pemenuhan keperluan pokok bagi setiap individu tidak bererti negara akan membahagi-bahagikan makanan, pakaian, dan rumah kepada sesiapa sahaja sehingga menjadikan rakyatnya malas, sebaliknya, ia dilakukan dengan mewujudkan mekanisme-mekanisme yang dapat menangani masalah kemiskinan. Mekanisme tersebut adalah:
A. Mewajibkan lelaki memberi nafkah kepada diri dan keluarganya.
Islam mewajibkan lelaki yang mampu dan memerlukan nafkah untuk bekerja dalam rangka memenuhi keperluannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf.” [TMQ Al-Baqarah (2): 233].
B. Mewajibkan saudara terdekat untuk membantu saudaranya
Sekiranya pihak lelaki terbabit tidak mampu untuk bekerja mencari nafkah, maka tanggungjawab tersebut beralih kepada kerabat terdekat yang mempunyai hubungan darah dan terdapat kelebihan harta. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“…Dan kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya. Dan warispun berkewajipan sedemikian…” [TMQ al-Baqarah (2): 233].
“Sebaik-baik sedekah adalah harta yang berasal dari selebihnya keperluan.”
[HR. Imam Bukhari dari Abu Hurairah].
C. Mewajibkan negara untuk membantu rakyat miskin
Kewajiban memberi nafkah akan beralih ke Baitul Mal (kewangan negara) sekiranya lelaki tersebut miskin dan tidak memiliki saudara yang boleh membantunya. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Siapa saja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya, dan siapa saja yang meninggalkan ‘kalla’ (sebatang kara iaitu orang yang lemah, tidak mempunyai anak dan ibu-bapa), maka dia menjadi kewajiban kami.” [HR. Imam Muslim].
D. Mewajibkan kaum muslim untuk membantu rakyat miskin
Sekiranya Baitul Mal tidak ada harta sama sekali, maka kewajiban menafkahi orang miskin beralih kepada umat Islam secara kolektif. Allah SWT berfirman:
“Di dalam harta mereka, terdapat hak bagi orang miskin yang meminta-minta yang tidak mendapatkan bahagian.” [TMQ adz-Dzariyat (51): 19].
Mekanisme ini dilakukan dengan dua cara. Pertama: Umat Islam secara individu membantu orang-orang yang miskin. Kedua: Negara mewajibkan dharibah (cukai) kepada orang-orang kaya, hingga mencukupi keperluan untuk membantu orang miskin. Cukai ini hanya diwajibkan ketika Baitul Mal benar-benar kehabisan sumber kewangan.
2. Pengaturan Pemilikan
Pengaturan pemilikan yang dimaksudkan di sini mencakupi tiga aspek pemilikan iaitu pemilikan individu, pemilikan umum dan pemilikan negara. Negara/penguasa bertanggungjawab dari segi pengelolaan pemilikan dan pengagihan kekayaan di tengah-tengah masyarakat mengikut hukum syarak. Pemilikan umum menjadikan aset-aset milik masyarakat seperti emas, perak, pertrolium tidak boleh dimonopoli oleh individu atau syarikat tertentu seperti apa yang telah berlaku hari ini. Sebaliknya ia menjadi milik seluruh manusia untuk sama-sama memanfaatkannya. Pengelolaan aset ini akan dapat digunakan oleh penguasa untuk keperluan rakyat, sehingga kesannya menyebabkan wanita tidak perlu bekerja kerana telah ada penguasa untuk mencukupi keperluannya melalui pengagihan kekayaan (distribution of wealth) kepada seluruh anggota masyarakat.
Khatimah
Sistem ekonomi Islam hanya mampu diterapkan melalui sistem pemerintahan Islam secara kaffah. Sistem ekonomi di dalam Islam ini akan menghasilkan pengagihan kekayaan yang seimbang, tidak sebagaimana berlaku ketika ini, yang natijahnya, tiada keseimbangan di dalam pengagihan kekayaan mengakibatkan sebahagian besar wanita terpaksa bekerja demi untuk mencari sesuap nasi. Pemerintahan yang adil adalah sepertimana pemerintahan negara Islam (Daulah Islamiyyah), yang telah terbukti kejayaannya bertahan selama 13 abad lamanya. Umat hidup sejahtera di bawah naungan Daulah Islamiyyah ini. Pelbagai kebajikan dapat diperolehi oleh umat yang berada di bawah pemerintahannya. InsyaAllah, negara Islam yang telah dikuburkan oleh agen-agen kafir laknatullah ini, akan pasti muncul kembali sesuai dengan janji Allah Subhanahu wa Taala.Wallahualam.
Seminar Terbuka Selamatkan Wanita Dengan Syariat
TAMAN SRI RAMPAI, KUALA LUMPUR – Pada tanggal 6hb Jun 2010, Khilafah Centre (KC) dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah berjaya menganjurkan Seminar Terbuka bertajuk ‘Selamatkan Wanita Dengan Syariat’.
Seminar ini diadakan sempena kemuncak Kempen Gejala Sosial yang telah diadakan selama sebulan di sepanjang bulan Mei lalu oleh MHTM Mahaliyyah KL. Disepanjang kempen tersebut, MHTM telah berjaya berinteraksi dengan para muslimah dengan mengadakan “open circle” di beberapa kawasan surau dan rumah disekitar lembah kelang serta mengedarkan nasyrah seperti Fikratul Ummah, Sautun Nahdah dan terbitan-terbitan HTM di pasar-pasar malam dibeberapa tempat di ibukota serta di stesen-stesen transit ringan LRT dan tempat-tempat umum lainnya.
Seminar yang bermula pada jam 0830 pagi hingga 1230 tengahari ini telah diadakan di Dewan Seminar, Jalan Megan, Taman Sri Rampai, Setapak Kuala Lumpur. Seminar kali ini telah menampilkan dua ahli panel iaitu Ustazah Habsah dan Ustazah Hajjah Umi Kalsom, kedua-duanya adalah merupakan aktivis Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia.
Tema seminar yang dipilih kali ini iaitu “Selamatkan Wanita Dengan Syariat” adalah amat bersesuaian dan relevan dengan pelbagai isu dan permasalahan yang sedang membelenggu wanita masa kini yang tidak berkesudahan malahan semakin parah dan amat memerlukan satu penyelesaian yang dapat merungkai permasalahan ini sehingga ke akar umbinya.
Ustazah Habsah selaku panel pertama telah membentangkan tajuk ‘Realiti Kesengsaraan Wanita’. Beliau telah membawakan kupasan realiti berkaitan wanita daripada perspektif wanita sebagai seorang remaja, isteri, ibu, pekerja dan muslimah yang mana memberi gambaran bahawa wanita keseluruhannya tidak mengira status sedang dihimpit dengan pelbagai masalah yang menyebabkan wanita itu sendiri sentiasa dalam kondisi tidak selamat. Saban hari kita didedahkan dengan pelbagai kisah yang menceritakan wanita sentiasa menjadi mangsa penganiayaan sama ada secara paksa atau sukarela yang membabitkan kes rogol, sumbang mahram, penderaan, masalah sosial remaja, ekploitasi, zina sehingga melahirkan anak luar nikah yang akhirnya membawa kepada gejala pembuangan bayi dan pelbagai lagi permasalahan.
Semua ini berlaku kerana wanita kini hidup di dalam Sistem Kapitalisme yang bertunjangkan kepada sekularisme iaitu memisahkan agama daripada kehidupan secara total yang mana impaknya sistem rosak ini telah melenyapkan kemuliaan dan merendahkan martabat wanita. Sistem yang rosak ini pula cuba mencari penyelesaian kepada permasalahan ini dengan memberikan penyelesaian ‘tampal sulam’ yang tidak menyelesaikan masalah malah lebih memburukkan lagi keadaan seperti memperjuangkan hak-hak wanita, melancarkan kempen-kempen kesedaran, menubuhkan rumah/pusat perlindungan wanita dan juga memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah.
Seterusnya pembentangan diteruskan oleh Ustazah Hajjah Umi Kalsom yang memberikan penyelesaian dari sisi perspektif Islam yang mana hanya Islam sahaja yang dapat menuntaskan segala permasalahan wanita ini dengan sebaik-baiknya. Syariat Islam telah memuliakan dan meninggikan martabat wanita serta menjamin keselamatan wanita. Syariat Islam telah menggariskan segala peraturan dan hukum- hakam berkaitan wanita seperti keterbatasan pergaulan lelaki dan wanita, menghalalkan hubungan lelaki dan wanita hanya dengan pernikahan, pengaturan pakaian Muslimah iaitu jilbab dan khimar, larangan bertabarruj dan perintah kepada lelaki supaya menundukkan pandangan serta memberikan hak kepada wanita untuk berpolitik. Wanita juga mempunyai kewajipan dan hak dalam Islam iaitu wanita berkewajipan menuntut ilmu dan mempunyai hak untuk berpolitik. Ini kerana kedua-duanya merupakan sesuatu yang sangat penting .
Setiap wanita mestilah menuntut ilmu dan mengajarkan ilmu/menyampaikan Islam kepada orang lain. Seterusnya dengan ilmu itulah, wanita mampu berpolitik iaitu dengan mengambil tahu urusan umat dan mengatur urusan umat dengan Islam. Sesungguhnya permasalahan umat kini hanya dapat diselesaikan dengan menerapkan Syariat Islam secara keseluruhannya. Syariat Islam pula hanya boleh diterapkan dengan adanya negara iaitu Khilafah Islamiyah yang mengatur dan mengurusi urusan umat melalui Sistem Pemerintahan, Sistem Pendidikan, Sistem Sosial, Sistem Uqubat, Sistem Ekonomi dan lain-lain yang berlandaskan kepada hukum Syara’. Oleh yang demikian, mendirikan Khilafah Islamiyah sehingga terterapnya hukum Syara’ adalah suatu kewajipan bagi setiap wanita dan umat Islam keseluruhannya.
Seminar ini juga turut ditayangkan dengan tayangan video yang memaparkan realiti permasalahan wanita yang menjadi bukti kerosakan Sistem Kapitalisme dan perlunya umat Islam untuk kembali kepada Sistem Khilafah sebagai satu-satunya sistem yang layak bagi umat manusia. Peserta juga disajikan dengan pameran yang berkaitan dengan tema seminar dan juga jualan buku-buku dan bahan-bahan bacaan terbitan Hizbut Tahrir.
Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab untuk memberi peluang kepada peserta mengutarakan persoalan kepada kedua-dua orang ahli panel.
Dikesempatan ini, MHTM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta yang hadir serta jawatankuasa yang bertungkus lumus meluangkan tenaga dan masa demi merealisasikan gerak kerja dakwah dalam mendekati umat ini.
Semoga segala usaha ini diberkati dan diredhai Allah SWT dan dikira sebagai amal soleh sebagaimana firmanNya : “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [TMQ Muhammad(47):7].