Fikratul Ummah – Mei 2010

 
 

Dari Lidah Pengarang

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Pembaca budiman yang dirahmati Allah,

Laporan Kaji Selidik  Dunia berkenaan dengan Peranan Wanita dalam Pembangunan tahun 2009 (2009 World Survey on the Role of Women in Development) yang dilakukan oleh Bahagian Kemajuan Wanita, Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyentuh peri pentingnya akses kaum wanita terhadap sumber ekonomi, sumber kewangan termasuk kewangan mikro demi memastikan pertumbuhan ekonomi, pembasmian kemiskinan serta kebajikan keluarga dan masyarakat. Ia memberi konotasi seolah-olah akses setara terhadap sumber-sumber tersebut akan memastikan kaum wanita yang sering dianggap sebagai kaum yang lemah ini akan terbela. Hakikatnya, kukuhnya ekonomi sesebuah negara yang diukur dengan Keluaran Negara Kasar (KNK), pendapatan perkapita dan sebagainya tidak pernah menjamin sejahteranya wanita daripada cengkaman dan menjadi mangsa gejala sosial.

Syukur Alhamdulillah Fikratul Ummah edisi Mei 2010 menyajikan dua buah artikel. Artikel bertajuk ‘Koc Merah Jambu Penyelamat Maruahku?’ mengupas tentang usaha murni yang dilakukan KTMB dengan menyediakan koc khas untuk kaum wanita. Manakala artikel ‘Wahai Bonda, kalian bukan Ibu si Kucing! Ayuh, Berdakwahlah!’ bertujuan untuk menyuntik semangat dalam kalangan ibu-ibu muslimah khususnya untuk terjun dalam dunia dakwah dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Adalah menjadi harapan kami semoga apa yang dipaparkan akan menyedarkan ibu-ibu muslimah bahawa melakukan dakwah adalah satu kewajipan dan bukannya satu pilihan. Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri [TMQ Al Fussilat (41): 33]. Wallahu a’lam bisshawab.



KOC MERAH JAMBU, PENYELAMAT MARUAHKU???

Bayangkan betapa tenangnya hati dan minda seorang wanita ketika hendak berpergian atau ketika kembali ke rumah dengan menaiki kenderaan awam yang menenteramkan hati. Jika hendak terlelap, tak perlu risau akan ada “garpu merayap” dari lelaki-lelaki nakal yang mungkin mengambil kesempatan terutamanya ketika kenderaan penuh sesak dengan penumpang. Kesesakan lalu lintas di waktu puncak terutamanya di bandar-bandar besar menyebabkan sebahagian rakyat termasuk kaum wanita memilih untuk menaiki kenderaan awam seperti kereta api dan sistem transit aliran ringan (LRT). 

Bertindak atas keperluan semasa, KTM Komuter mengambil inisiatif memperkenalkan koc wanita yang pertama di negara ini yang memulakan operasi untuk laluan Sentul – Pelabuhan Klang, sepanjang hari bermula 27 April 2010.  Perlaksanaan Koc Wanita ini berpandukan statistik yang menunjukkan 60% pengguna perkhidmatan komuter adalah terdiri daripada kaum wanita.  Demikian petikan dari laman web rasmi Keretapi Tanah Melayu Berhad KTMB yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, KTMB [http://www.ktmb.com.my/Story.aspx?Id=3351]. Menggunakan tema ‘wanita sahaja sepanjang masa’ atau ‘Ladies Only At All Times’ koc wanita ini berada di gerabak yang tengah dan dibezakan dengan pelekat khas koc wanita yang berwarna merah jambu (pink). Menurut sumber itu lagi para pelanggan akan dapat mengenali koc ini melalui pelekat khas yang dipamerkan di tingkap, pintu dan di dalam koc.  Manakala di stesen, penumpang boleh mengenal pasti lokasi pemberhentian Koc Wanita ini melalui kain rentang yang dipamerkan di platform dan tiang yang diwarnakan dengan warna merah jambu.

Secara ringkasnya kedudukan Koc Wanita bagi setiap tren Komuter yang mempunyai tiga (3) koc (gerabak) adalah seperti berikut: Koc Hadapan – Koc Biasa (lelaki dan wanita) – Koc Tengah – Koc Wanita (wanita sahaja) – Koc Belakang – Koc Biasa (lelaki dan wanita)

Pengenalan Koc Wanita ini adalah bertujuan untuk memberi lebih keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual dan bersesak-sesak dengan penumpang lelaki. Walau bagaimanapun, kanak-kanak lelaki yang berumur kurang dari 12 tahun yang membuat perjalanan bersama pengiring/saudara wanita, mereka dibenarkan menaiki koc ini. Selain menyeru orang ramai agar menghebahkan kemunculan gerabak “pink”, sumber tersebut turut menyatakan bahawa pengguna wanita tidak diwajibkan menggunakan Koc Wanita sahaja ketika menggunakan perkhidmatan KTM Komuter. Mereka boleh memilih sama ada untuk menggunakan Koc Wanita atau koc biasa. Walau bagaimanapun, memandangkan kemudahan telah disediakan, KTM Berhad menggalakkan pengguna wanita untuk mencuba kemudahan Koc Wanita ini.

Berbagai pandangan mengenai Koc Wanita

Rencana bertajuk “Koc wanita beri keselesaan”, oleh Mazlina Abdul Majid yang disiarkan di Kosmo pada 16 Mei 2010, [[email protected]], antara lain memetik kata-kata Pemangku Pengerusi Kanan Komunikasi Korporat Keretapi KTMB, Encik Mohd Fazil Ismail di mana beliau menegaskan bahawa koc wanita diwujudkan bukanlah petanda bahawa kegiatan jenayah seperti gangguan seksual ataupun kes si penyeluk saku berlaku secara berleluasa.  Menurut beliau: “Aduan berbentuk gangguan ke atas kaum wanita tidak di tahap serius, tetapi kita tidak mahu pepatah sudah terhantuk baru nak tengadah.  Ini kerana kita percaya, kes ada berlaku tapi orang ramai tidak buat aduan, jadi lebih baik kita bergerak ke hadapan”.

Matlamat koc berasaskan gender ujar beliau adalah untuk memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan dalam keadaan bersesak-sesak. Beliau seterusnya menambah, Malaysia bukanlah negara tunggal yang mengimplementasikan kemudahan itu kerana ia dimulakan oleh negara Jepun dengan koc wanita pertamanya beroperasi di Tokyo kemudian diperluaskan ke bandar raya Osaka, Nagoya dan lain-lain.  [http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm]. Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Bin Noordin, melalui blognya pada hari Jumaat 2 April 2010, [http://zul4kulim.blogspot.com/2010/04/koc-wanita.html], menegaskan bahawa usul mewujudkan koc wanita bukan bermaksud mendiskriminasikan kaum wanita tetapi bertujuan untuk memberi keselesaan kepada mereka.  Wanita boleh memilih untuk menggunakan koc khas “wanita”, ataupun menaiki koc bercampur, itu hak mereka dan terpulanglah kepada mereka. Melalui artikel bertajuk “Gerabak asing KTM OK, tapi jangan paksa”, G. Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra mengutarakan beberapa pendapat daripada kalangan pemimpin wanita, antaranya mereka memetik Dr. Hamidah Marican selaku Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS) dipetik sebagai berkata,  “Saya menyambut baik tetapi pilihan harus diberikan sama ada mahu menggunakan gerabak lelaki atau wanita”. Hamidah berpendapat perkara-perkara seperti ini perlu diperhalusi supaya tidak mencetuskan suasana tidak senang dalam kalangan pengguna.

Dalam pada itu, Ketua Wanita parti komponen Pakatan Rakyat juga menerima baik cadangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mewujudkan gerabak berasingan untuk wanita kerana hal ini akan memberi keselesaan perjalanan kepada golongan hawa dan menjamin persekitaran yang lebih selamat. Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin berkata, pengasingan yang dimaksudkan akan memberi lebih keselesaan kepada golongan wanita selain melindungi mereka daripada gangguan seksual. “Cadangan mewujudkan gerabak berasingan ini bagus kepada golongan wanita kerana selain memberikan keselesaan sepanjang perjalanan, mereka juga selamat daripada masalah gangguan seksual”. Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh juga berpendapat pengasingan akan meningkatkan keselamatan kepada golongan tersebut apabila menggunakan pengangkutan awam. “Apabila ada gerabak berasingan ini, wanita akan berasa lebih selamat dan selesa semasa menggunakan perkhidmatan komuter. Apa yang penting mereka tidak akan lagi mengalami masalah gangguan seksual apabila berada dalam komuter.[http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/58959-gerabak-asing-ktm-ok-tapi-jangan-paksa]

Ada juga yang mempersoalkan mampukah koc pink ini menjaga maruah wanita atau sekadar menyediakan keselesaan kepada wanita semasa menaiki kenderaan awam?  Pendapat oleh Marina Chin Abdullah ini mungkin mampu mengetuk minda kita, beliau menyatakan “Pengasingan seks bukanlah penyelesaian mutlak. Ianya seperti menampalkan plaster yang merupakan sementara, namun isu sebenar kepada keganasan masih belum diatasi.  Disamping itu, langkah ini juga memberikan persepsi bahawa lelaki tidak boleh dipercayai manakala wanita sememangnya terdedah kepada risiko yang tinggi dan memerlukan perlindungan”. http://web1.themalaysianinsider.net/index.php/opinion/breaking-views/58989-pengasingan-gerabak-kereta-api–maria-chin-abdullah. Presiden Persatuan Pergerakan Wanita (Awam), Haslinah Ya’cob berkata cadangan tersebut mesti dikaji dengan lebih teliti.  Beliau menambah “Kalau untuk meningkatkan keselesaan golongan warga emas, wanita, keluarga dan sebagainya, penyelesaian yang lebih baik adalah menambah gerabak dan menambah frekuensi perjalanan untuk mengelakkan keadaan penuh sesak”. http://web1.themalaysianinsider.net/index.php/bahasa/58361-gangguan-seksual-gerabak-gender-ktm-bukan-idea-logic

Begitulah antara berbagai-bagai pendapat, daripada kalangan lelaki mahupun wanita di Negara  1Malaysia ini.  Ada yang bersikap positif dan ada juga yang bersikap negatif.  Namun Fikratul Ummah (FU) kali ini bukanlah hendak mempertikaikan kewujudan Koc Wanita kepada pengguna kenderaan awam. Apa yang hendak dikupas ialah isu sosial terkait wanita, peranan individu, masyarakat dan Negara dalam menangani isu sosial itu tadi berdasarkan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam.

Hukum Syara’ berkaitan ikhtilath (percampuran antara lawan jenis)
Sebenarnya apa yang perlu difahami oleh umat Islam adalah tentang hukum syarak berkaitan dengan ikhtilath iaitu percampuran antara lawan jenis supaya kita memahami bahawa isu yang hendak diselesaikan bukanlah terfokus kepada koc berwarna merah jambu yang diperkenalkan oleh KTMB. Secara umumnya menurut ajaran Islam, prinsip asas interaksi antara lelaki dan perempuan adalah terpisah. Ini bermakna, dalam seluruh aspek kehidupan dan di semua tempat sama ada di tempat khusus ataupun di tempat umum, interaksi antara lelaki dan perempuan secara umumnya adalah dilarang. Banyak dalil yang menunjukkan hukum pemisahan antara dua jantina ini, dan banyak hadis yang menjelaskan hukum berkaitan hal ini sama ada di tempat umum mahupun khusus (seperti di rumah dsb):

Abu Dawud telah meriwayatkan hadis-hadis seperti di bawah:  Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam  bersabda, “Barisan yang terbaik untuk lelaki adalah barisan hadapan, (yang paling jauh dari barisan wanita) dan barisan yang paling baik untuk wanita adalah di barisan belakang dan yang terburuk adalah di hadapan (paling hampir dengan barisan lelaki).[HR Abu Dawud]

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melihat kaum lelaki dan perempuan di luar masjid bergerak bersebelahan antara satu sama lain. Beliau (Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam) menahan kaum perempuan lalu berkata, “Adalah tidak elok untuk kalian berjalan di tengah-tengah laluan ini, adalah lebih baik bagi kalian untuk berjalan mengikuti tepi-tepi dinding.[HR Abu Dawud]

Dalam Sunan Abu Dawud, muka surat 284, Hadis No 4931, diriwayatkan dengan kebenaran Saidatina Aishah Radiallahu Anha, beliau berkata: “Aku selalu bermain dengan teman-temanku dan tatkala Rasulullah masuk, mereka(teman-temanku) akan pergi dan apabila beliau (Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam) keluar, mereka akan kembali semula.”

Dalam Sunan Abu Dawud , Hadis No. 4933, diriwayatkan bahawa Aishah Radiallahu Anha berkata: “Rasulullah mengahwiniku pada usia tujuh tahun dan kami mengadakan hubungan di usia sembilan tahun dan apabila aku berpindah ke Madinah, segolongan wanita mempersiapkan ku untuk majlis perkahwinan ku dan tidak pernah sekali-kali mereka mahupun aku, bercampur dengan lelaki di dalam rumah yang dipenuhi wanita. Pihak wanita menyambutku dan pihak lelaki menyambut Rasulullah dan kemudian kami masuk ke rumah.”

Dalam Sunan Abu Dawud Vol. 4, muka surat 370, Hadis No. 5273, diriwayatkan dengan kebenaran Nafih bahawa Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Usah berjalan di antara dua lelaki ataupun di antara dua wanita di satu lorong.” [HR Abu Dawud]

Ini bermakna lelaki dan wanita perlu mengelak daripada membuat sebarang hubungan dengan lawan jenis sama ada sesama muslim atau bukan muslim kecuali dalam hal-hal tertentu seperti melakukan dakwah. Sungguhpun begitu, jenis pergaulan yang dibenarkan pada keadaan ini, bukanlah bebas, dan ianya terhad mengikut aturan dan batasan-batasan tertentu yang dibenarkan oleh Syarak seperti tempat pertemuan sama ada dalam rumah atau kenderaan persendirian, dalam kehidupan umum seperti di pusat beli-belah, sekolah, universiti, dsb. Justeru, kewujudan koc terpisah antara lelaki dan wanita adalah satu langkah terpuji untuk memastikan wanita berasa tenang berada di tempat umum.

Apa yang mesti difahami oleh umat Islam khususnya muslimah ialah Allah Subhanahu wa Ta’ala yang menjadikan lelaki dan wanita menurunkan Islam ini bersama-sama dengan aturan iaitu hukum-hakam untuk memastikan interaksi antara kedua jantina ini tidak menyalahi hukum syarak. Dalam hal ini, memandangkan tidak wujudnya Islam dalam kehidupan dalam sebuah Negara (Daulah Islamiyyah) gangguan seksual yang melanda wanita termasuk muslimah dapat dielakkan melalui kewujudan dua daripada tiga unsur perlaksanaan Islam Kaffah iaitu i) Ketaqwaan individu dan ii) Kawalan masyarakat.

Ketaqwaan individu
Selain daripada hukum-hakam melarang interaksi antara lawan jenis kecuali dalam hal-hal tertentu, antara beberapa hukum-hakam yang ditetapkan Allah ‘Azza wa Jalla selaku AsSyari’ (Pembuat Hukum) adalah perintah menundukkan pandangan, hukum menutup aurat iaitu memakai khimar (tudung) dan mengenakan jilbab serta larangan bertabarruj.

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” [ TMQ: al-Nur (24): 30-31]

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.”
[TMQ Al-Ahzab (33): 59]

Larangan bertabarruj dirakamkan dalam al-Qur’an, firman Allah yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian(luar) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan (tabaruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka.  Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [TMQ An Nur(24):60]

Ada dua golongan dari penduduk neraka yang belum pernah aku lihat: [1] Suatu kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi untuk memukul manusia dan [2] para wanita yang berpakaian tapi telanjang, berlenggak-lenggok, kepala mereka seperti punuk unta yang miring. Wanita seperti itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, walaupun baunya tercium selama perjalanan sekian dan sekian.[HR. Muslim no. 2128]

Kawalan Masyarakat
Kawalan masyarakat adalah dalam rangka untuk melaksanakan perintah amar makruf nahi mungkar. Apa yang dilakukan oleh KTMB sebagai sebuah organisasi adalah salah satu langkah kawalan oleh masyarakat. Ini bermakna, bukan KTMB sahaja yang perlu “turun padang” sebaliknya organisasi, kelompok-kelompok dalam masyarakat seperti badan bukan kerajaan (NGO), parti dan gerakan Islam juga hendaklah melaksanakan amar makruf nahi mungkar yang mana pematuhannya adalah prasyarat menjadi umat terbaik (khairu ummah). Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali-Imran(3): 110]. Selain itu, penyedia pengangkutan awam yang lain seperti bas awam, sistem transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya dan Ampang juga hendaklah mengambil langkah-langkah yang serupa.

Khatimah
Kedua unsur (i) ketaqwaan individu dan ii) kawalan masyarakat adalah mekanisme yang wujud pada hari ini yang dilakukan oleh individu serta anggota masyakat dalam usaha mencegah kemungkaran seperti gangguan seksual dan sebagainya yang sering kali menjadi kebimbangan wanita apabila berada di tempat umum dan bukan hanya dalam pengangkutan awam sahaja. Walau bagaimanapun, ketiadaan sebuah Negara (Daulah Islam) yang mana dengannya seluruh hukum hakam terlaksana secara kaffah menyebabkan tidak adanya penguatkuasaan ke atas hukum hakam yang mesti dipatuhi oleh anggota masyarakat termasuk menyediakan ruangan khusus seperti koc berwarna merah jambu yang dilakukan oleh KTMB. Selain itu, ketiadaan penguasa yang menerapkan sistem perundangan Islam juga menyebabkan kaum wanita berasa selamat berada di dalam koc-koc ini tetapi sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari stesyen kereta api, hati mereka mula diulit kebimbangan kerana ancaman gangguan seksual menunggu mereka setiap kali mereka berada di tempat umum.

Hal ini berbeza apabila hukum Islam diterapkan. Institusi negara atau khalifah akan benar-benar menjaga keselamatan golongan wanita. Sebagai contoh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah mengisytiharkan jihad ke atas Yahudi Bani Qainuqa’ hanya kerana tersingkapnya aurat seorang Muslimah. Khalifah al-Mu’tasim Billah tanpa berlengah terus membela seorang Muslimah yang dicabul oleh orang Romawi di kota Amuria. Hanya kerana membela seorang rakyatnya yang dinodai, Khalifah yang memimpin umat Islam mengirimkan ratusan ribu pasukan kaum Muslimin hingga berhasil menakluki kota tersebut. Para Khalifah memahami bahawa menjaga rakyatnya adalah tanggungjawab dan amanah yang Allah telah pikulkan ke atas bahu mereka. Mereka sentiasa ingat dan mematuhi perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam: “Imam (Khalifah) adalah laksana perisai (pelindung) di mana orang-orang berperang di belakangnya dan berlindung kepadanya”. [HR Muslim].

Sesungguhnya setiap permasalahan yang terkait dengan wanita sebenarnya sangat mudah untuk diselesaikan iaitu apabila melaksanakan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan.  Islam bukan hanya perlu diimplementasi dalam ibadah spiritual (amalan ruhiyyah) semata-mata tetapi Islam mesti diterapkan secara keseluruhan dalam seluruh kehidupan.  Sekiranya Islam tidak diterapkan secara kaffah, maka sampai bila-bila pun wanita Muslimah khususnya dan umat Islam umumnya hidup dalam ketakutan.  Wanita akan terus-menerus dieksploitasi tenaga dan tubuhnya, menjadi pelampias nafsu dan kekerasan lelaki manakala umat Islam sendiri akan terus menerus diracuni pemikirannya oleh pemikiran-pemikiran rosak Barat malah akan terus diperbodoh-bodohkan dan dipandang rendah oleh Barat.  Taraf pemikiran umat Islam juga akan menjadi mundur.  Pendek kata umat Islam keseluruhannya akan terus lena dan hanyut oleh tipu daya si Kuffar Barat yang sememangnya menginginkan Islam dan umat Islam terus hancur terkubur supaya matlamat mereka untuk menguasai dunia akan menjadi kenyataan.  Sedarlah wahai Muslimah dan umat Islam, tegakkan kembali hukum syariat Islam dan seterusnya melaksanakan Islam secara kaffah di bawah naungan Daulah Khilafah agar nasib seluruh umat Islam akan terbela dan terjamin tanpa gangguan si Kuffar Barat.  Firman Allah Subhanahu wa Taala: “Hai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya”. [TMQ Al-Baqarah (2): 208]

Dan mengutus seorang Rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan (bermacam-macam hukum) supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh dari kegelapan kepada cahaya”. [TMQ At-Talaq (65): 11]

Wallahu a’lam bisshawab.


Wahai Bonda…. Kalian bukan Ibu Si Kucing!! Ayuh, Berdakwahlah!!

Mukadimah

Bagaikan sebuah fenomena yang menjadi ikutan dan percakapan yang indah, ia menjadi buah mulut dan cerita panas. Saban hari berita mengenainya memenuhi paparan pelbagai bentuk media yang ada. Kisahnya menjadi popular, berjaya memberi impak maksima kepada seluruh umat. Hati tersayat, jiwa tersentap. Perasaan bergelora dan bercampur baur dengan persoalan yang tiada jawapan lagi, seolah tiada penyelesaian abadi. Islam yang turun sebagai rahmatan lil ‘alamin seakan jauh dari jangkauan. Kekuatan dan jatidiri anak-anak muslim seakan sirna. Lenyap ditelan rakus peradaban yang datang menjajah hati, perasaan dan pemikiran mereka. Anak-anak ini umpama lalang, ditiup semilir bayu pun tumbang mengekor arus. Anak-anak ini terserap dan terbius dengan keselesaan budaya dan peradaban yang ada. Adalah janggal dan kekok jika ‘berbeza’ dengan arus perdana. Anak-anak ini seolah tidak terdaya membezakan antara baik dan buruk, perbuatan mulia atau tercela. ‘Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)’ [TMQ Al Balad (90): 8-10]. Anak-anak ini terus tenggelam dalam ‘air bah’ yang menggila membadai mereka tanpa sedikitpun peluang untuk mendapatkan udara dan atmosfera yang ‘suci dan bersih’! Perintah atau suruhan Yang Maha Menghidup dan Mematikan itu umpama penyataan yang perlu diambil dengan mengambil kira ada manfaatnya atau tidak. Umpama satu pilihan, umpama satu kebebasan tanpa perlu terikat atau ‘terpaksa’ melakukannya. Anak-anak ini terus menongkah gelombang itu tanpa ada ‘kekuatan’ dan ‘pedoman’ untuk melaluinya… Siapakah yang punya tanggungjawab dalam membentuk dan memberikan anak-anak ini ‘kekuatan’ dan ‘pedoman’ untuk melaluinya??? Adakah anak-anak ini akan pandai dan cerdik sendiri? Atau pandai-pandailah kau, wahai anak-anak mengatur dan ‘mentadbir’ hidupmu….“Tidaklah lahir seorang bayi melainkan lahirnya dia itu di atas fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi…[HR al-Bukhari dan Muslim dengan lafaz al-Bukhari].

Realiti
Seperti sebuah rutin harian yang dipaparkan saban hari, petikan kes-kes sosial dan jenayah yang terlibat adalah anak-anak ‘kita’. Cuba kita selami dan ‘memahami’ apakah makna dan ‘aspirasi’nya kepada kita. Atau mungkin sahaja kita merasakan bahawa realiti ini tiada kaitan dengan kita sama ada hidup ataupun mati. “Ahh!! Ini anak orang, apa kaitannya dengan aku??” Fikir-fikirkanlah semula wahai ibu-ibu Muslimah kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam  pernah menegaskan melalui sabdanya yang bermaksud: “Tidak beriman seorangpun daripada kamu sehingga kamu mencintai saudara kamu sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri..”[HR Bukhari & Muslim]. Siapakah ‘saudara’ yang dimaksudkan oleh Junjungan Mulia ini? Ini telah jelas dinyatakan dalam kalam Allah Subhanahu  wa Ta’ala dalam firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara…[TMQ Al Hujurat (49): 10].

Murid Cuba Bunuh diri (Harian Metro -26April 2010)- Kota Bharu: Akibat tertekan dengan masalah keluarga, seorang murid perempuan tahun lima dipercayai cuba membunuh diri selepas naik ke tingkat empat bangunan di sekolahnya di Kandas, Bachok pagi semalam. Kangar 24 April  2010: Tertekan diejek rakan kerana cinta ditolak dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini, cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah terbabit, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pelajar lelaki yang baru kematian bapa sebulan lalu bertindak nekad keluar dari bilik darjah dengan memecah cermin tingkap dan berdiri di hujung koridor bangunan setinggi sembilan meter. 23 April 2010 – Sepasang kekasih bersekedudukan dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka di Duyong selepas mendapat aduan penduduk setempat. Pasangan yang masing-masing berusia 24 tahun itu mempunyai seorang anak lelaki dan wanita berkenaan juga hamil lima bulan. 15 Januari 2010 – Jabatan Agama Islam Pahang menahan lima wanita dan tiga lelaki termasuk satu pasangan sudah bertunang kerana disyaki bersekedudukan lebih sebulan di sebuah rumah di Jalan Mat Kilau. Sepang 4 Mei – Mulanya disangkakan bunyi kucing mengiau. Tetapi rupa-rupanya suara bayi menangis. Itulah yang dialami Aminah Muhamad, 56, yang menemui seorang bayi lelaki di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di sini hari ini. 17,303 anak luar nikah didaftar 2009 [Berita Minggu, 21 Mac 2010].

Sebagai ibu muslimah, sedarkah kita bahawa sebahagian anak-anak generasi kini memiliki jiwa yang kosong. Persoalannya ialah siapakah yang bertanggungjawab dalam membentuk dan memberikan anak-anak ini ‘kekuatan’ dan ‘pedoman’ untuk melaluinya? Adakah banyaknya jumlah ‘A’ yang dikumpul oleh sang anak menjadi bukti bahawa kita-golongan ibu muslimah  layak menjadi ibu mithali? Adakah paparan gejala sosial yang tidak pernah surut statistiknya tidak menyuntik sesuatu dalam minda bahawa kita boleh melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan dan tidak hanyut dibuai arus hedonisme adunan puak Sekular-Kapitalis Barat?

Siapapun pesalah atau orang yang terlibat dengan paparan realiti yang dinyatakan tadi, jelas mereka semuanya adalah individu yang bernama anak kepada seseorang individu lainnya iaitu Si Ibu… Sebagai rangka menyedarkan ibu bahawa memahami peranan dan cara menghargai ibu bukanlah seperti mana yang diajarkan oleh Barat iaitu dengan mengingati atau menyambutnya hanya dalam bulan Mei setiap tahun, Fikratul Ummah ingin mengulas tentang peranan ibu sebagai muslimah yang terbeban di atas bahunya kewajipan yang sama sebagaimana kaum lelaki iaitu kewajipan dakwah.

Fokus Kita
Sesebuah masyarakat terdiri daripada empat komponen penting iaitu bermula daripada beberapa orang individu yang memiliki perasaan, pemikiran dan peraturan yang sama. Jadi sebuah masyarakat yang Islami hendaklah menjadikan Islam sebagai asas dan wadah dalam mencorakkan segala-galanya; perasaan, pemikiran dan peraturan hanya diambil daripada Islam. Ia bermula dari gelanggang yang sangat kecil iaitu rumah. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan bahawa fungsi utama seorang ibu sangatlah besar kerana ianya sangat mempengaruhi setiap individu- anak yang mana dari seorang anak yang dibentuk itulah akan membentuk masyarakat. Jika Islam yang dijadikan asas pembentukannya, Insyaallah, anak tersebut akan membawa dan menjulang Islam dalam membentuk kekuatan kendiri dan jatidirinya. Islam, bukan sekadar agama yang bersifat kerohanian semata-mata. Islam adalah agama yang sempurna dan melengkapi. Betapa bertuahnya kita kerana sebagai penganut aqidah yang suci ini, kita juga yang mengakui keEsaan Allah selaku Maha Pencipta dan Maha Pentadbir kita telah dibekalkan segala-galanya. Sebagaimana kalam Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitabNya yang bermaksud: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu ke atas kamu, dan Aku redha bagi kamu Islam itu sebagai agama…[TMQ Al Maidah (5): 3]. Sungguhpun begitu, apa yang perlu kita sedari ialah dalam membentuk masyarakat yang bermula di rumah, seorang ibu muslimah mestilah memiliki ilmu-ilmu agama untuk melaksanakannya dengan sempurna.

Peranan Ibu Muslimah Selaku Da’ie
Sesungguhnya, sudah terlalu banyak air mata yang tumpah. Malangnya slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ yang hebat dicanangkan tidak menjamin keselamatan dan keamanan daripada ancaman virus mungkar di bumi 1Malaysia ini. Selaku para wanita khususnya golongan ibu yang diraikan ‘hari’ nya dalam bulan Mei ini, apakah sebenarnya yang perlu dilakukan? Adakah hanya memohon ke hadrat Yang Maha Esa agar dijauhkan segala noda dan dosa dari menimpa kaum keluarga sendiri? Cukupkah kita merasa bangga kerana dari rahim wanitalah lahir para lelaki terbilang dan terhormat? Kalau pun status ibu diangkat laksana seekor lebah yang hinggap di atas bunga-bunga yang semerbak harum dan ranting-ranting yang rapuh tapi teguh, adakah cukup memanjatkan doa demi memenuhi perintah Rabbnya: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.[TMQ at Tahrim (66): 6].

Apa yang perlu difahami oleh para ibu Muslimah khususnya bahawa apa yang berlaku bukanlah takdir yang tidak boleh diubah. Ibu muslimah mampu melakukan sesuatu lebih sekadar menjadi ibu dan suri rumahtangga apabila dia memahami tanggungjawabnya sebagai seorang muslim yang dibebankan di atas bahunya prasyarat menjadi khayru ummah (umat terbaik) iaitu melaksanakan dakwah yang bermakna fokus dakwahnya bukanlah hanya terhadap kaum keluarganya semata-mata, sebaliknya dakwah juga dilakukan dalam kalangan masyarakat di sekelilingnya. Dalam hal ini, seorang ibu muslimah tidak akan memberi tumpuan kepada amalan ruhiyyah semata-mata dan memberi fokus pada tanggungjawab selaku ibu dan pengatur rumah tangga sahaja. Sebaliknya dia juga berusaha melaksanakan kewajipan lain, yang mana hal ini diketahui apabila dia berusaha mendalami ilmu agama secara istiqamah. “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).[TMQ Al-Insyirah (94): 7-8]. Ibu muslimah akan juga melakukan amar makruf nahi mungkar yang mana perintah melakukannya amat banyak disebut di dalam Al Quran. “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh [mengerjakan] yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar.[TMQ at Taubah (9): 71]. Menurut Imam Al Qurtubi, Allah telah menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai garis pemisah di antara orang-orang beriman dan orang munafik. Ia menjadi ciri orang beriman yang mana asasnya ialah menyeru (berdakwah) kepada Islam. Imam Al-Ghazali ketika membicarakan Surah At Taubah ayat 71 ini telah memberi komentar yang menarik. Menurut beliau, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman: “Mereka itu tidak sama; di antara Ahli Kitab itu ada golongan yang lurus [4], mereka membaca ayat-ayat Allah pada beberapa waktu di malam hari, sedang mereka juga bersujud (sembahyang). Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan mereka menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebaikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh. [TQM Ali Imran (3): 113-114]. Di sini, apa yang mesti difahami adalah Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak akan mengiktiraf kebaikan mereka semata-mata kerana mereka beriman kepada Allah dan hari Akhirat sehinggalah ditambahkan cirinya dengan mengerjakan amar makruf nahi mungkar. Justeru, kebaikan yang dicurahkan oleh ibu muslimah terhadap kaum keluarga tidak akan sempurna tanpa mengerjakan amar makruf nahi mungkar ini tadi.

Apabila diteliti dengan mendalam peri pentingnya keterlibatan wanita dalam dakwah, kita mendapati bahawa dalam beberapa aspek tertentu yang menyangkut isu wanita, wanita lah yang lebih arif tentang permasalahan dirinya. Realitinya, sebahagian kaum wanita malu bertanya kepada pendakwah lelaki, sehingga dia menyembunyikan apa yang sepatutnya dia tanyakan. Ada kalanya pula dia terlarang untuk mendengarkan dakwah daripada lelaki jika tidak dapat mengelak masalah ikhtilath (percampuran antara lawan jenis). Namun jika pendakwahnya wanita, dia tidak demikian kerana amat mudah sesama wanita mendekati dan menyampaikan apa yang perlu baginya serta hal itu lebih besar pengaruhnya.

Melaksanakan kewajipan dakwah, menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran termasuk kes-kes gejala sosial yang telah menjadi wabak di kala ini bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Seumpama syurga Allah yang luasnya seluas langit dan bumi disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, perjalanan merealisasikan angan-angan kekal di dalamnya perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam  bersabda: “Jalan ke syurga dibentangi dengan perkara yang tidak disukai manakala jalan ke neraka dibentangi dengan syahwat.” [HR al-Bukhari dan Muslim]. Seorang muslimah khususnya para ibu perlu melakukan pengorbanan yang amat besar untuk melakukan kewajipan ini kerana dibahunya turut sama terbeban kewajipan selaku ibu dan pengurus rumah tangga (ummun wa rabbatul bayt).  Memadukan dakwah dan urusan rumah tangga bukanlah satu perkara yang mudah dilakukan terutamanya kepada ibu-ibu muslim yang bekerjaya. Akan tetapi para Muslimat perlu memahami bahawa peranan mereka dalam dakwah adalah penting terutamanya dalam aspek yang didominasi oleh wanita seperti aurat wanita, hukum-hukum tentang kelahiran, penyusuan, pemeliharaan anak dan lain-lain urusan yang melibatkan wanita, yang mana seorang muslimah itu akan diminta pertanggungjawaban lebih daripada urusan haid dan nifas sahaja.

Jika ditelusuri sejarah, muslimah di zaman Rasulullah Salallahu ‘Alahi wa Sallam iaitu Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah umpamanya menjadikan rumahnya tempat tumpuan kaum lelaki dalam menimba ilmu. Beliau terkenal kerana keaktifannya dalam memberi nasihat dan menyampaikan ajaran Islam dalam kalangan pelbagai qabilah. Menurut Zainab al-Ghazali di dalam bukunya yang berjudul ‘Ila Ibnati’, keadaan umat masa kini sangat memerlukan kaum wanita memainkan peranan yang aktif dalam dakwah. Ini disebabkan penjajah Barat mengeksploitasi wanita dalam menabur benih-benih kejahatan dan keruntuhan nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan. Wanita Islam yang lemah pegangan agamanya serta cetek ilmunya akan terus menjadi alat propaganda syaitan dalam melariskan kemungkaran yang ditajanya melalui media massa, sama ada media cetak mahupun media elektronik. Justeru wanita perlu bangkit dari lena dan buaian kehidupan moden. Sebaliknya berusaha mengorak langkah untuk aktif dalam berdakwah, belajar ilmu-ilmu agama, terlibat dalam kegiatan dakwah dalam lingkungannya dalam rangka melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan menanam tekad dalam diri bahawa sebuah kewajipan yang dibebankan ke atas bahunya sebagai seorang muslim ini melayakkan dirinya menjadi ibu terbaik dan bukannya ibu si kucing. “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.”[TMQ Ali Imran(3): 133)]. Wallahu a’lam bisshawab.