Fikratul Ummah – Jun 2011

DARI LIDAH PENGARANG

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh……

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya Fikratul Ummah dapat diterbitkan lagi pada bulan ini untuk terus menemui para pembaca sekalian dengan informasi baru dan penjelasan yang bernas insyaAllah.

Tatkala seluruh masyarakat dunia masih membahaskan kesahihan kematian pemimpin Al-Qaeda, Usama bin Laden, yang dikaitkan dengan perancangan kotor Amerika Syarikat (AS), umat manusia di beberapa belahan dunia sedang bertarung nyawa menghadapi bencana alam. Di Jepun, kesan berlakunya gempa bumi dan tsunami masih lagi berlarutan. Di AS pula berlaku angin taufan yang menyebabkan banjir memusnahkan beberapa kawasan ladang di sana. ujian Allah ke atas umat manusia agar manusia sedar akan kesilapan yang mereka lakukan. Firman Allah SWT, “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [TMQ ar-Ruum (30):41] Bagi negara yang selamat dari ujian bencana, itu bukan bererti tiada ujian dari Allah. Firman Allah SWT, “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” [TMQ al-‘Ankabuut (29):2] Misalnya di negara ini, rakyatnya diuji dengan gaya hidup sekular. Justru, amanah daripada Allah di sini adalah agar hamba-Nya menghapuskan sistem taghut dan menegakkan Deen yang haq.

Menyedari hal tersebut, sidang redaksi Fikratul Ummah akan meneruskan pembahasan mengenai kurikulum Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang merupakan salah satu daripada agenda musuh Islam untuk menjauhkan umat Islam dari agama mereka. Fikratul Ummah keluaran bulan lepas telah membentangkan kepada anda tentang realiti pelaksanaan pendidikan seks di negara-negara Barat dan Eropah serta tanggungjawab ibu bapa dalam menyampaikan pendidikan seks kepada anak-anak.

Dalam keluaran kali ini, artikel pertama bertajuk ‘Senario Pendidikan Seks di Negeri Umat Islam’ akan membawa anda meneliti realiti pelaksanaan pendidikan seks di beberapa negara umat Islam serta analisis mengenai keberkesanan pelaksanaannya dalam menyelesaikan masalah sosial di negara masing-masing. Artikel kedua pula iaitu ‘Menyoroti Falsafah Pendidikan Negara’ membentangkan sumber dasar-dasar yang menjadi asas kepada pembentukan falsafah pendidikan negara dan juga pembahasan tentang keberkesanannya dalam membentuk generasi pelajar berkeperibadian mulia.

Tidak ketinggalan artikel terjemahan oleh Ir. Retno Sukmaningrum, M.T. yang bertajuk ‘Muslimah Berprestasi Tinggi’. Segmen doa pilihan kali ini menampilkan doa sebelum dan selepas beribadah. Selain itu, Fikih Muslimah membahaskan Hukum Meluruskan Rambut menurut syariat Islam. Khas dalam keluaran ini, dilampirkan seruan dan jemputan kepada muslimah seluruh Malaysia untuk sama-sama hadir ke Konferens Kebangkitan Khilafah 2011.

Dengan terbitnya Fikratul Ummah ini, besarlah harapan kami agar pembaca sekalian terus istiqamah dalam usaha mengkaji isu-isu yang dibentangkan dan semoga ilmu yang diperolehi ini diberkati Allah dan diambil pengajaran untuk diamalkan. Jadi, selamat membaca dan nantikan keluaran bulan hadapan dengan perbincangan yang lagi terperinci, InsyaAllah.


ISU SEMASA: SENARIO PENDIDIKAN SEKS DI NEGERI UMAT ISLAM

Apabila membicarakan tentang isu pendidikan seks, tidak lengkap jika tidak menyentuh sejarah awal ianya bermula. Siapa lagi yang memulakan kalau bukan negara kapitalis tersohor abad ini, Amerika Syarikat. 

Berikut dipaparkan kronologi pendidikan seks yang mula mendapat perhatian dunia sejak ianya dipelopori oleh negara Uncle Sam yang kononnya sangat efektif dalam membendung gejala sosial yang kian membimbangkan ini.

  • 1880-an: Pendidikan seks telah mula wujud di Amerika Syarikat.
  • 1900-an: Antara aspek pendidikan seks yang diperkenalkan ialah kepentingan kebersihan seksual dan persediaan untuk perkahwinan dan menjadi ibu bapa.
  • 1919: Pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks untuk sekolah sebagai suatu keperluan yang mendesak telah dimulakan di sekolah-sekolah.
  • 1953: American Medical  Association dan American Education Association menerbitkan lima risalah dalam siri pendidikan seks.
  • 1970: The Planned Parenthood  Federation of America (PPFA) pula telah menggesa pendidikan seks dijalankan.  Pada tahun 1986 kenyataan dikeluarkan oleh presiden persatuan tersebut supaya pendidikan seks dijalankan bermula dari peringkat    tadika.
  • 1980-an: Dunia dikejutkan dengan sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) yang menyebabkan keperluan terhadap pendidikan seks semakin meningkat. 
Pada ketika ini Amerika Syarikat  telah menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks secara formal bermula dari peringkat sekolah rendah. (Haffner, D.W, Sexuality Education in Public schools, The Education Digest, September 1992)

Di Britain pula, forum diadakan di mana hasilnya ibu bapa, guru dan pekerja kesihatan menghendaki murid-murid menerima pendidikan seks yang berkesan di sekolah yang mencakupi aspek nilai moral dan kepercayaan.  Pendidikan seks diwajibkan sebagai sebahagian dari Personal and Social Education (PSE) dalam kurikulum kebangsaan Britain. (BBC News, 2006).

Belanda juga telah memperkenalkan pendidikan seks ini kepada anak-anak seawal umur lima tahun. Faktor persekitaran, pengaruh televisyen dan internet telah mewajibkan sekolah-sekolah untuk memberikan gambaran sebenar tentang seks.  Pusat  Penerangan Seksual Belanda memperkenalkan pakej pendidikan seksual untuk anak-anak di tadika dan sekolah rendah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Belanda.  Bagi mereka, pakej ini diperkenalkan kerana banyak orang tua segan membicarakan masalah ini dan hanya menunggu apabila anak-anak sudah mencapai akil baligh. Selain itu kebanyakan remaja juga tidak mahu membicarakan masalah seks dengan orang tua mereka sehingga mereka mencari di tempat lain.

Sebuah sekolah di Amsterdam iaitu Regenboog Montessori menyambut baik pakej pelajaran yang ditawarkan oleh Pusat Penerangan Seksual Belanda ini.  Kanak-kanak tersipu-sipu dan ketawa ketika guru menyuruh mereka mengulangi nama-nama organ kelamin. “Yang penting kita tidak boleh takut-takut. Anak-anak mesti belajar bahawa seksualiti itu sebahagian daripada kehidupan. Sama seperti makan, minum dan tidur,” katanya.

Dari 7000 sekolah rendah di Belanda atau kira-kira satu pertiga telah menerima dan melaksanakan pakej pelajaran ini. (http://www.republika.co.id/berita/breaking-news/nasional/10/06)

Begitulah sebahagian realiti sekitar kurikulum pendidikan seks yang dapat dikutip dari beberapa sumber yang membuktikan bahawa pendidikan seks yang sedang dilaksanakan sekarang telah dimulakan oleh negara-negara kuffar Barat dan terus dicedok oleh negara-negara umat Islam termasuk Malaysia. 

Persoalannya di sini, apakah negara-negara Islam yang mencedok pendidikan seks acuan Barat ini yakin bahawa pendidikan seks adalah jalan penyelesaian terbaik dan berupaya mengekang masalah sosial dan penyakit terkait dengan seks dari terus merebak?  Atau sekadar melepaskan batuk di tangga dengan erti kata lain, asal buat daripada tak buat apa-apa dan jangan sampai rakyat kehilangan kepercayaan kepada barisan   kepimpinan yang memerintah negara sekarang.

Negara Umat Islam: Gunapakai Kaedah Terbaik?

Mengambil contoh terdekat dari negara jiran Malaysia, Indonesia iaitu sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduknya beragama  Islam diharap dapat memberi serba sedikit gambaran mengenai sejauh mana keberkesanan kaedah yang digunapakai oleh Barat bagi mengekang gejala sosial di Indonesia sendiri.

Beberapa tahun yang lalu, Pendidikan Kesihatan Reproduksi Remaja (PKRR) telah diperkenalkan di sekolah-sekolah di Indonesia dengan mengintegrasikannya dalam mata pelajaran yang bersesuaian seperti Biologi, Ilmu    Pengetahun Alam (Sains), Ilmu Pengetahuan Sosial, Sosiologi, Anthropologi atau Pendidikan Agama. Malah PKRR ini juga telah disampaikan melalui program-program kemasyarakatan iaitu pengajaran kuliah, pendidikan rakan sebaya dan kaunseling, diskusi kelompok dan cara-cara mengatasi masalah kesihatan reproduksi dan seksualiti dengan melibatkan media elektronik seperti internet, televisyen, radio atau gabungan dari pelbagai cara  tersebut. (http://www.solex-un.net/repository/id/hlth/Comment%201-ind.pdf)

PKRR ini merangkumi tiga elemen utama iaitu Program Menolak Hubungan Seks, Program Menolak Hubungan Seks Plus dan Pendidikan HIV/AIDS. Program Menolak Hubungan Seks (Abstinence only program-abstinence only until marriage) iaitu program yang mementingkan penolakan hubungan seks secara total sebelum pernikahan. Program Menolak Hubungan Seks Plus (Abstinence Plus Program) iaitu program seperti yang dihuraikan di atas, tetapi dalam program ini silibusnya ditambah dengan pendidikan tentang alat kontrasepsi yang boleh digunakan untuk mencegah kehamilan dan PMS, termasukHIV/AIDS. Pendidikan HIV/AIDS (HIV/AIDS risk education, Act Smart atau Choosing Health) pula lebih memfokuskan kepada cara-cara untuk menghindari PMS/HIV/AIDS, bagaimana menolak bermulanya sentuhan pertama dalam melakukan hubungan seks sebelum nikah dan juga memberi penerangan tentang bagaimana menggunakan kondom bagi remaja.

Ianya boleh dipilih untuk dilaksanakan mengikut kesesuaian atau dilaksanakan secara menyeluruh  merangkumi ketiga-tiga elemen ini.  Silibus PKRR ini dapat dikembangkan dan disesuaikan dengan keadaan budaya dan agama setempat  Salah satu silibus PKRR yang diperkenalkan diringkaskan kepada tahapan-tahapan berikut:

1.    Tahap I: Bentuk-bentuk persahabatan/coupling
•     Pergaulan sosial yang sihat/ Healthy social relationships
•     Bentuk-bentuk pergaulan/ Different types of relationships
•     Batas-batas dalam pergaulan  dengan lawan jenis / Self control in relationships
•     Kejujuran, rasa hormat dan tanggung jawab dalam pergaulan / Honestly,  respect and responsibility in relationship

2. Tahap II. Perundingan tentang seks dan bagaimana menolak hubungan seksual
•     Gangguan seksual/Sexual harassment
•     Strategi-strategi berunding untuk perilaku seksual dan bagaimana cara menolak hubungan seksual/Negotiating sexuality and how to say no
•     Kesetaraan gender/Gender equality
•    Keadilan sosial/Social  justice

3. Tahap III. Kehidupan berkeluarga
•     Tidak melakukan dan menolak hubungan seks/Sexual abstinence
•     Pernikahan dan kehidupan keluarga/Marriage and family
•     Alat kontrasepsi/Contraception

4. Tahap IV. Hubungan seks yang aman  dan penyakit menular seksual
•     Hubungan seks yang selamat/Safe sex
•     PMS/HIV/AIDS
•     Seksualiti yang sihat dan  bahagia/Sexual pleasure?
•     Nilai-nilai sosial dan keagamaan tentang seksualiti/Social and religious values on sexuality
•     Hubungan sesama jenis (homoseksual dan lesbian) dan kesannya.

Begitulah gambaran secara ringkas berkenaan silibus dan elemen yang dimuatkan dalam PKRR yang telah diterapkan di sekolah-sekolah di Indonesia bagi para pelajarnya.

Sekali lagi, persoalannya adalah sejauh manakah keberkesanan penerapan PKRR dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dalam  menangani gejala sosial seperti seks pranikah, pembuangan bayi, pornografi serta gejala sosial lainnya di Indonesia?  Hasil kajian di bawah ini akan memberi jawapan kepada persoalan tersebut.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana Nasional (BKKBN) pada  tahun 2010, 51% remaja di Jabodetabek telah melakukan seks pranikah. “Ertinya, dari 100 orang remaja, 51 orang sudah tidak perawan,” ujar Pengarah BKKBN Sugiri Syarief setelah selesai merasmikan sambutan acara akhir Pertandingan Rap sempena memperingati Hari AIDS Sedunia di Jakarta.  Hasil kajian untuk beberapa wilayah lain di Indonesia menunjukkan bahawa seks pranikah juga dilakukan sejumlah remaja, contohya di Surabaya mencatatkan  54%, di Bandung 34% dan 52% di Medan.  “Hasil penelitian di Yogya pula, dari 1160 mahasiswa, kira-kira 37% dari mereka mengalami kehamilan sebelum menikah,” kata Sugiri. (http://www.ilmupsikologi.com/?p=759)

Berdasarkan penelitian, setiap hari 100 remaja melakukan pengguguran bayi.  Jika dihitung setiap tahun, 36000 janin dibunuh oleh remaja dari rahimnya.  Prof Dr Dadang Hawari, pakar psikiatri, mengatakan, pengaruh gaya hidup barat sebagai penyebab para remaja mengabaikan nilai-nilai moral. Mereka cenderung menganggap seks bebas sebagai sesuatu yang wajar.  Padahal agama melarang keras budaya seks bebas. (www.perempuan.com)

Begitulah yang diinginkan oleh kufar Barat iaitu agar negara-negara umat Islam yang ada terus memegang erat  sistem pendidikan sekular acuan mereka dengan mengenepikan elemen aqidah Islam yang suci dalam pengaturan hidup umumnya dan dalam mendidik generasi muslim khususnya.

Sedar atau tidak, menjelang hari Aids sedunia yang disambut setiap awal Disember, para kapitalis seringkali mengambil kesempatan untuk memasarkan alat pencegah kehamilan.  Penyelesaian segera   dengan menggunakan kondom yang selalu digembar-gemburkan ini telah secara terang-terangan dan nyata menggalakkan aktiviti perzinaan bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Termasuk juga, penyelesaian palsu (baca: pendidikan seks) yang disisipkan dalam kurikulum pendidikan melalui Kesihatan Reproduksi Remaja (KRR) yang langsung tidak menyentuh pada permasalahan asasnya.  Malah hampir dapat dipastikan bahawa telah meningkatnya perilaku rosak dalam kalangan pelajar setelah diterapkan KRR dibandingkan sebelum penerapannya.  Meningkatnya kes perzinaan dalam kalangan remaja ini tentu bukan persoalan remeh-temeh melainkan telah mengancam masa depan negara. 

Sayangnya masih ramai dalam kalangan masyarakat terutamanya mereka yang bertanggungjawab merangka polisi sistem pendidikan masih juga tidak peduli apalagi prihatin bahkan ikut serta menjerumuskan generasi muda ini ke jurang kenistaan dan kehancuran.

Buktinya, menurut laporan dari laman sesawang www.perempuan.com,  kurikulum pendidikan seks (sex education) di sekolah-sekolah selama ini dinilai kurang efektif dalam mengekang seks bebas dalam kalangan remaja.  Pergaulan dan seks bebas dalam kalangan remaja Indonesia ketika ini sangatlah membimbangkan.  Oleh kerana itu, peranan orang tua pula dikatakan sangat penting dalam menanamkan nilai-nilai moral, etika hukum dan agama.

Justru tidaklah menghairankan sekitar bulan Jun tahun lalu apabila Menteri Pendidikan Nasional Indonesia, Mohammad Nuh menyatakan pandangannya bahawa beliau tidak bersetuju dengan pandangan beberapa pihak agar pendidikan seks diajarkan di sekolah kepada murid kerana maraknya peredaran filem lucah yang dikatakan telah dilakukan oleh beberapa orang artis. “Saya mungkin orang yang kuno. Tapi saya melihat bahawa pendidikan seks di sekolah tidak perlu,” katanya, kepada wartawan di Istana Wapres Jakarta. (http://www.republika.co.id/berita/brea[…])

Sementara itu, negara jiran sebelah selatan Malaysia pula dilaporkan  telah menjadikan subjek pendidikan seks untuk diajar secara formal di sekolah sebagai satu subjek berasingan.  Bagi murid Islam di   Singapura yang mengikuti pendidikan agama di   masjid atau pusat swasta, mereka mendapat sebuah buku teks pendidikan seks yang dikategorikan sebagai X-rated, yang mana buku ini digubal sebagai salah satu bahagian dalam kurikulum sekolah agama (http://www.adnki.com,2006).  Singapore: Islamic Sex Education Textbook Launched).

Pendidikan Seks di Negara Timur Tengah

Di Mesir, perkembangan yang agak mengejutkan telah disuarakan oleh Kementerian Pendidikannya.  Kementerian tersebut telah mengarahkan sekolah-sekolah agar tidak lagi mengajar pendidikan seks. (http://www.guardian.co.uk/commentis[…]).

Guru–guru disarankan agar tidak menyentuh topik berkaitan seks yang selama ini dipelajari dalam buku teks mata pelajaran biologi manakala buku-buku baru yang mengenepikan topik berkaitan pendidikan seks telah pun siap dicetak.

Mesir merupakan satu dari lima negara-negara Arab yang telah memasukkan subjek kesihatan reproduktif dalam kurikulum sekolah sebelum ini.  Tunisia, Maghribi,Algeria dan Bahrain telahpun menerapkan pendidikan seks asas kepada pelajar sekolah menengah.  Para ulama’ di Mesir telah menolak idea mendidik pelajar berkaitan seks selamat dan bahaya jangkitan penyakit seksual (STD).

Apabila perkara ini diperdebatkan kira-kira lima tahun yang lalu, seorang ulama’ yang berpengaruh mendesak agar pelajar diajar seks dalam keadaan yang tidak mempengaruhi nalurinya atau membahayakan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat.  Pendidikan berkaitan kesihatan reproduksi telah pertama kali dimuatkan dalam kurikulum pendidikan di Mesir susulan daripada International Conference on Population and Development (ICPD) yang  berlangsung di Kaherah pada tahun 1994.

Hasil dari konferens ini adalah semua lelaki dan wanita berhak untuk menerima maklumat dan penerangan yang menyeluruh berkaitan kesihatan reproduksi dan dicadangkan sebagai  bahan yang perlu diajar dan dimuatkan dalam buku teks sekolah.  Namun keputusan kementerian untuk menarik balik pendidikan seks dari kurikulum rasmi sekolah tahun lalu merupakan satu tamparan hebat bagi pertubuhan dan badan-badan persatuan yang selama dua dekad ini bertungkus lumus memberi kesedaran dan menyalurkan maklumat tentang kesihatan reproduksi kepada masyarakat Mesir.

Di Arab Saudi pula, kajian terkini menunjukkan adanya permintaan untuk diterapkan pendidikan seks di negara yang terkenal dengan hukuman hudud itu.  Dilaporkan sebanyak 80% ibu bapa bersetuju agar pendidikan seks diajar di sekolah-sekolah.  Namun sebuah buku berkaitan pendidikan seks yang laris dan mendapat kelulusan dari Mufti Dubai telah diharamkan di Arab Saudi manakala pengarangnya, Wedad Lootah telah menerima ugutan bunuh dari puak konservatif yang membenci tindakannya.

Manakala di Syria, United Nations  Population Funds (UNPF) telah berusaha meyakinkan orang ramai melalui laman sesawangnya bahawa pendidikan seks tidaklah menjurus kepada aktiviti seksual.  Sementara di Lubnan, negara yang sering digambarkan sebagai negara paling liberal dikalangan negara-negara di Timur Tengah ketika menerapkan pendidikan seks kepada kumpulan pelajar berumur 12 hingga 14 tahun pada tahun 1997, telahpun mengenepikan beberapa topik berkaitan pendidikan seks dari kurikulum sekolah tiga tahun kemudian.

Kempen yang giat dilancarkan di Timur Tengah sempena memperingati Hari Aids Sedunia yang jatuh pada 1 Disember setiap tahun telah secara tidak langsung membuka pekung di dada dengan mengungkap kegagalan pendidikan seks melalui peningkatan kes rakyat mereka dijangkiti HIV/AIDS secara mendadak iaitu sebanyak 300% di antara tahun 2004 hingga 2007.  (http://www.guardian.co.uk/commentis[…])

Jadi, tidakkah statistik yang mengerikan ini memberi isyarat kepada kita bahawa penyelesaian sedia ada tidak membawa apa-apa kebaikan malah mengundang seribu satu masalah sosial yang lain?

Bagaimana pula dengan situasi di  Malaysia yang kini telah mula melaksanakannya dalam kurikulum tersendiri pada tahun ini di bawah Kurikulum Baru Sekolah Rendah dengan jenama Pendidikan Kesihatan Reproduksi dan Sosial (PKRS)? 

Apakah PKRS diharapkan dapat menangani aktiviti perzinaan yang semakin membimbangkan ini? Tidakkah Malaysia mahu mengambil pengajaran dan teladan dari apa yang telah diterapkan oleh negara-negara umat Islam lainnya?  Tidak cukupkah angka demi angka yang dipaparkan menggerunkan kita semua betapa  gejala sosial kini telah membarah dan memerlukan ubat yang benar-benar sesuai sebagai penawarnya? 

Ternyata pendidikan seks yang hendak diterapkan di negara umat Islam ini sekadar mengajar anak-anak kita bagaimana hendak mengelak dari hamil dan jika mengadakan hubungan apakah langkah yang wajar diambil dari terkena padah penyakit jangkitan seksual (STD), HIV/AIDS.  Dan jika sudah terlanjur dan termengandung sekalipun, bayi tadi janganlah  dihumban merata-rata kerana ada pusat yang akan menjaganya.  Sungguh penyelesaian buatan akal yang dangkal dan tidak bertamadun!

Walaupun tidak ada jaminan usaha ini akan membuahkan hasil nampaknya masih ada juga pihak yang masih berharap penyelesaian ala Barat inilah yang terbaik untuk diterapkan dalam usaha menangani gejala sosial.  Contohnya, Pengerusi Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Napsiah Omar berpandangan bahawa kajian di negara maju membuktikan pendidikan seks boleh   mengurangkan masalah gejala seksual dalam kalangan remaja. Beliau berkata, pendekatan yang digunakan Belanda banyak dicontohi negara lain di mana kurikulum yang mereka bina terfokus kepada penerapan nilai, pembentukan sikap yang positif, kemahiran dalam berkomunikasi dan kemahiran berunding, ilmu dalam aspek biologi reproduktif serta penyertaan ibu bapa.

“Punca utama kehamilan remaja adalah kerana pembabitan remaja dalam melakukan aktiviti seks ketika umur terlalu muda dan kurang pengetahuan dalam perlindungan diri dan pengaruh rakan sebaya adalah faktor yang menggalakkan remaja mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Malangnya di Malaysia, pendidikan kesihatan reproduktif baru hendak bertapak apabila keadaan telah menjadi semakin serius,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penutup bengkel latihan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) untuk jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 2 di sini, hari ini. (Berita Harian 31/03/2011)

Kerosakan Sistem Pendidikan Punca Sebenar Masalah Gejala Sosial

Pergaulan bebas yang kian berleluasa dikalangan pelajar sekolah terutama remaja telah menunjukkan gagalnya sistem pendidikan sekular yang diterapkan di negara umat Islam.  Ini kerana sebahagian besar dari masa remaja-remaja ini dihabiskan di sekolah sementara sistem pendidikan yang sedia ada tidak mampu menyelamatkan mereka malah menjerumuskan mereka ke jurang kehancuran.

Tidaklah menghairankan kerana kurikulum pendidikan di negara-negara umat Islam ini mengambil  sekularisme sebagai asasnya iaitu memisahkan agama dari kehidupan. Padahal, sebagai seorang muslim, Islamlah yang wajib dijadikan aturan dalam setiap sistem kehidupannya sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam  Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [TMQ al-Baqarah (2): 208]

Di sekolah, anak-anak tidak pernah diajarkan bagaimana sistem pergaulan menurut Islam karena memang tidak ada modul yang disediakan berbanding pendidikan seks. Yang diajarkan adalah reproduksi remaja, termasuk diberitahu bagaimana agar tidak terjadi kehamilan bila bercouple.

Mereka    seolah-olah terlupa bahawa Allah SWT telah berfirman maksudnya, “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” [TMQ al-Israa’ (17):32]

Persoalannya, untuk apa modul yang sebenarnya hanya sesuai bagi mereka yang sudah berkeluarga itu diperkenalkan kepada pelajar-pelajar sekolah? Untuk apa sebenarnya? Bukankah ianya diajar untuk menyemarakkan lagi perzinaan? Sungguh satu penyelesaian yang tidak menyelesaikan akar masalah.  Ini ditambah dengan pemaksaan konsep-konsep pemikiran yang bertentangan dengan Islam seperti idea-idea kebebasan, hak asasi manusia dan kesetaraan gender yang semuanya bersumberkan idea-idea Barat yang telah mempengaruhi pelajar-pelajar ini untuk bebas berbuat apa sahaja sehingga tidak lagi menjadikan halal dan haram sebagai tolok ukur perbuatannya. Akhirnya, bak bercucuk tanam dan menunggu hasil untuk dituai maka begitu jugalah dengan sistem pendidikan sekular yang menanam benih-benih seks bebas yang hasilnya adalah, sebilangan besar anak-anak umat Islam telah berzina! Naudzubillahi mindzalik.

Khatimah

Pendidikan Seks bukanlah satu-satunya agenda buruk hasil idea Barat yang diusahakan penerapannya oleh negara-negara umat Islam.  Lihat sahajalah pada ‘kempen’ penggunaan dan penyebaran alat kontrasepsi (kondom).  Penggunaan alat kontrasepsi juga sudah diperkenalkan kepada para remaja, diantaranya melalui kurikulum Kesihatan Reproduksi Remaja (KRR) yang dimasukkan ke sekolah-sekolah di Indonesia dan tidak tidak terkecuali di Malaysia.

Padahal, akar persoalan merebaknya perzinaan dikalangan remaja dan pelajar adalah kerana hilangnya nilai-nilai Islam dalam tingkah laku dan pola fikir mereka. Pada masa yang sama mereka terus menerus dibekalkan dengan idea-idea kebebasan tingkah laku yang rosak melalui pelbagai media yang ada. Penyelesaian sebenar untuk umat  Islam sebenarnya BUKAN dengan penerapan sex education hasil telunjuk Barat, tetapi tidak lain dan tidak bukan iaitu penerapan syariah Islam melalui penanaman akidah dan ketaqwaan sebenar dalam sistem pendidikan.

Wallahua’alam bisshawab.


ARTIKEL PILIHAN: MENYOROTI FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap  keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Inilah falsafah pendidikan negara Malaysia yang boleh diertikan sebagai pedoman atau arah tuju  terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan di Malaysia. Tujuan falsafah ini diperkenalkan adalah untuk mencari serta membuktikan kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan. Misi Pendidikan di Malaysia pula adalah membangunkan sistem pendidikan berkualiti yang bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia.

Apabila ditelusuri serba sedikit sejarah Pendidikan di Malaysia yang bermula sekitar tahun 1955, sehinga ke waktu sekarang, ia telah mengalami pelbagai perubahan ataupindaan atau penambahan yang dikatakan mampu untuk memperbaiki sistem pendidikan di Malaysia.

Dasar Pendidikan Kebangsaan secara tidak rasminya bermula selepas pilihan raya 1955 dan secara rasminya diisytiharkan pada tahun 1961 dan digubal berdasarkan kedua-dua laporan iaitu Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang akhirnya membentuk Akta Pelajaran, 1961 yang merupakan permulaan kepada dasar pendidikan yang   digunapakai di Malaysia ketika ini.

Semuanya bermula saat Tanah Melayu melangkah menuju kemerdekaan, apabila telah timbul kesedaran para pemimpin dan rakyat Malaysia betapa pentingnya diwujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah demi memenuhi kehendak Negara.  Dasar Pendidikan ini diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisplin dan terlatih.

Antara kandungan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang utama adalah membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang seragam iaitu semua sekolah menggunakan kurikulum yang sama tanpa mengira aliran sekolah, menjadikan Bahasa Melayu sebagai    bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di semua   peringkat, sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi dan seterusnya memastikan bahasa dan kebudayaan lain dipelihara sebagai aspirasi menyatupadukan penduduk berbilang bangsa.

Setelah beberapa tahun, sebuah jawatankuasa telah dibentuk pada tahun 1974 bagi mengkaji semula dasar pendidikan untuk menambah baik dan memantapkan pelaksanaan dasar sedia ada.

Laporan jawatankuasa ini telah ditambah kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang merangkumi beberapa matlamat yang dikenal pasti iaitu menyatukan sistem pelajaran bagi memupuk kesedaran dan perpaduan kebangsaan, memperluaskan serta mengubahsuai rancangan-rancangan pelajaran dan latihan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja, memperbaiki mutu    pelajaran bagi membina suatu masyarakat yang progresif berlandaskan sains dan teknologi moden serta memperbaiki kemudahan-kemudahan penyelidikan, perancangan dan pelaksanaan bagi mencapai objektif di atas.

Dasar pendidikan kebangsaan tersebut dibentuk dan dikemaskini lantaran sistem pendidikan di zaman penjajah sudah tidak relevan lagi kerana tidak mengambilkira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan  perpaduan negara. 

Oleh itu, pelbagai langkah telah  diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri seperti untuk mencapai status negara maju kira-kira 10 tahun yang akan datang. Jangka masa ini akan diisi oleh generasi muda yang berada dalam masyarakat sekarang yang sedang ghairah meniti perkembangan usia dan mereka inilah akan merasai sepenuhnya nikmat negara maju. Merealisasikan Wawasan 2020 adalah suatu tugas yang penuh kebe tanggungjawaban di atas bahu semua pihak khususnya peneraju  pendidikan negara.

Sembilan cabaran Wawasan 2020 yang sebahagian besarnya berkaitan pembangunan modal insan bermula dengan cabaran membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan berakhir dengan cabaran membentuk masyarakat yang makmur.

Pertumbuhan ekonomi yang sangat pantas pada abad ke-20 boleh dianggap sebagai era modal insan kerana taraf hidup, pembangunan ilmu, kemahiran,  kesihatan dan produktiviti telah meningkat di negara-negara yang membuat pelaburan   besar dalam pendidikan. Malaysia juga telah membuat pelaburan yang banyak bagi meningkatkan modal insan. [http://zahirz-inudin.blogspot.com/2010/03/1malaysia-ke-arah-memupuk-perpaduan-6.html]

Adakah Polisi Pendidikan di Malaysia Mencapai Sasaran?

Para cendekiawan juga para ilmuan telah membuat kesimpulan bahawa terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada terpanculnya masalah sosial dalam masyarakat  Malaysia yang selalu dikenali dengan tata susila juga kebanggaan adab sopannya. Ia termasuk persekitaran remaja di rumah, persekitaran di luar rumah, peranan ibu-bapa, peranan pendidikan (Utusan Malaysia, 13 April 1994), masalah kecelaruan falsafah dan dasar pembangunan negara (Berita Harian, 3 Jun 1998) juga beberapa senarai lain lagi. Dalam artikel ini, peranan dan fungsi falsafah pendidikan negaralah yang akan dibahaskan.

Falsafah, visi dan misi pendidikan di Malaysia nampaknya mempunyai impian yang menggunung tinggi yang sedaya upaya cuba untuk direalisasikan. Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan termasuklah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan   kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh, mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin; dan menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin.

Hakikatnya, dengan mencipta falsafah, visi dan misi sahaja tidak mencukupi untuk memastikan pendidikan yang diperolehi oleh  pelajar-pelajar mampu menjadikan mereka insan yang serba sempurna dari segi intelektual dan keperibadian mereka.  Jika diteliti falsafah pendidikan negara seperti yang dibentangkan di awal artikel ini, persoalan yang boleh dibangkitkan di sini adalah benarkah sasaran ini telah tercapai?

Lihat sahajalah pada anak-anak  Malaysia, majoritinya telah gagal memberi gambaran bahawa matlamat pendidikan telah tercapai. Buktinya adalah berlakunya pelbagai kes salah laku dan masalah sosial dikalangan pelajar yang semakin serius dan berada di tahap yang sangat membimbangkan. Buktinya, kurikulum pendidikan kesihatan reproduksi dan sosial (PKRS) sendiri ‘terpaksa’ digubal untuk menyelesaikan masalah sosial terkait seks dikalangan pelajar.

Selain itu, kes-kes ponteng sekolah di kalangan pelajar acapkali dilaporkan di dada-akhbar akhbar dan media massa. Dalam satu kajian yang dijalankan terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah ini dan faktor utamanya adalah pelajar-pelajar ini tidak berminat untuk hadir ke sekolah dan mereka hadir semata-mata atas paksaan ibu bapa dan bukan kerelaan hatinya hadir ke sekolah untuk menuntut ilmu [http://eprints.utm.my/3961/2/AziziYahaya_ponteng.pdf].

Itulah realitinya walaupun pelajar sekolah selalu diajar supaya mengamalkan nilai-nilai murni tetapi nampaknya itu semua hanyalah retorika dan tinggal sebagai teori dalam buku semata-mata.

Selain itu, masalah disiplin yang telah menjadi sinonim dengan pelajar adalah gangsterisme, buli, seks bebas, black metal, penyalahgunaan dadah, dan sebagainya. Menurut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan pada tahun 2005 sahaja, lebih 5% daripada 32,808 penagih dadah yang dikesan terdiri daripada mereka yang berusia 13-20 tahun dan Kajian Yayasan Perlindungan Jenayah Malaysia pula mendapati, kebanyakkan penagih dadah di negara ini mula mengenali dadah dalam lingkungan usia 13-15 tahun dan 71 peratus daripada penagih baru terdiri daripada golongan muda antara 19-39 tahun [http://www.scribd.com/doc/34926386/MAKSUD-GEJALA-SOSIAL].

Pendidikan di Malaysia, di Mana Silapnya?

Setelah diperhatikan fakta dan realiti kehidupan pelajar yang sebenarnya telah tersasar daripada sasaran matlamat pendidikan negara, kemudian perlulah dikaji pula punca sebenar ‘kesesatan’ ini berlaku. Sejarah telah membuktikan bahawa sebelum kedatangan  British ke Tanah Melayu,  sistem pendidikan orang Melayu (baca: umat Islam) adalah berteraskan kepada pelajaran agama Islam, iaitu kitab suci al-Quran. Ketika itu, surau dan masjid sebagai tempat untuk menuntut ilmu dengan cara mengkaji ayat-ayat  al-Quran. Pelajar-pelajar dididik untuk menghafal ayat-ayat al-Quran, menghafal doa, dan mempelajari ajaran Islam langsung daripada sumbernya iaitu al-Quran dengan merujuk kepada imam dan para guru agama.

Namun, titik hitam dalam sistem pendidikan negara terhadap umat Islam bermula sewaktu zaman penjajahan British. Mereka telah melaksanakan dasar terbukanya ke atas sistem pendidikan negara. British atau pihak kuffar Yahudi ini telah melaksanakan sistem pendidikan yang berteraskan pendidikan Inggeris ke atas penduduk Tanah Melayu ketika itu (Sumber: Sistem Pendidikan di Malaysia: Dasar, Cabaran, dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan Nasional, Mior Khairul Azrin Bin Mior Jamaluddin, 2011). Semenjak itu, dasar-dasar pendidikan negara sentiasa merujuk kepada sistem pendidikan Inggeris itu.

Jadi, dapatlah disimpulkan bahawa penilaian terhadap kualiti pendidikan di Malaysia adalah berdasarkan kepada standard pendidikan di negara-negara Barat yang bertentangan dengan keperluan pendidikan di Malaysia yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Jikalau ada pun penerapan Islam hanya sisipan sahaja. Subjek Pendidikan Islam hanya diajarkan dalam tempoh yang sangat singkat dan minima iaitu hanya memenuhi keperluan jadual pembelajaran setiap hari.

Selain itu, pemisahan aspek Pendidikan Islam dan akademik sangat ketara iaitu pelajar-pelajar hanya  diajarkan dengan sebahagian subjek agama Islam sahaja.  Pelajar-pelajar hanya belajar Al-quran dalam bab seperti tajwid, hafazan, tarannum dan sebagainya dan bukannya memahami isi Al-quran. 

Pendekatan ini secara langsung memisahkan antara aqidah Islam dan lingkungan kehidupan para pelajar ini. Pelajar-pelajar akan memahami bahawa subjek agama Islam adalah satu entiti dan subjek akademik adalah satu entiti yang lain pula dan langsung tiada keterkaitan antara keduanya.  Sementara itu pelajaran akhlak dalam subjek pendidikan Islam hanya berorientasikan peperiksaan seperti juga subjek-subjek akademik yang lain.

Perdana Menteri Malaysia sendiri mengakui kebenaran kenyataan ini semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan Malaysia suatu ketika dahulu. Beliau menyatakan bahawa masalah masyarakat Islam rata-rata, bukan sahaja di Malaysia, ialah  telah wujudnya dualisme di antara ilmu wahyu atau naqliah dengan ilum aqliah ataupun sains. (http://www.scribd.com/doc/2083491/KAJIAN-SISTEM-PENDIDIKAN-KEBANGSAAN)

Pencapaian para pelajar hanya dinilai kecemerlangannya dari segi akademik sahaja.  Kesannya, pelajar ini lebih cenderung untuk meningkatkan mutu pencapaiannya akademiknya sahaja berbanding perlunya mengisi ilmu di dada dengan Islam untuk amalan dalam kehidupan sehari-harian. Para pelajar seringkali disuntik dengan semangat untuk mencapai kecemerlangan akademik yang akan menentukan kelayakan mereka  untuk menempatkan diri di institusi-institusi pengajian tinggi sekaligus untuk menempah kerjaya yang akan menjamin kesenangan hidup di masa depan.

Begitulah realiti apa yang ada di minda pelajar-pelajar dewasa ini, mereka menuntut ilmu semata-mata untuk memperolehi pekerjaan dengan gaji yang tinggi dan itulah dia hakikat matlamat pendidikan di Malaysia. Oleh yang demikian, tidak hairan lah apabila hanya pencapaian akademik yang diutamakan, maka tingkah laku, akhlak dan keperibadian para pelajar tidak dihiraukan dan tidak diambil berat. Banggakah Malaysia yang mempunyai pelajar-pelajar yang cemerlang akademik tetapi mempunyai tingkah laku dan akhlak yang sangat mengecewakan? Padahal pelajar-pelajar adalah aset penting bagi Malaysia sebagai generasi pemimpin akan datang yang akan menerajui pembangunan dan kemajuan Malaysia.         

Khatimah

Setelah meneliti penjelasan-penjelasan di atas, maka telah terang lagi jelas sistem pendidikan di Malaysia yang diterapkan kini tidak berjaya mencapai objektif dan tidak memenuhi visi dan misi pendidikan  di Malaysia. Selain itu, perkara yang lebih penting di sini adalah sistem pendidikan sedia ada yang berasal daripada Barat tidak dapat menjanjikan pembentukan keperibadian yang baik pada anak-anak apatah lagi untuk  menjadi selari dengan mutu pencapaian akademik yang sentiasa ditekankan pada mereka.

Jadi, patutkah lagi masyarakat Malaysia berharap pada sistem pendidikan sedia ada dalam proses menyelesaikan masalah sosial dikalangan pelajar?

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud, “Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maa’idah (5):50].

Sekiranya hanya pencapaian akademik yang dikejar tanpa mengambil berat keperibadian seseorang, maka akan porak porandalah masyarakat kerana hanya mempunyai individu yang bijak akademik tetapi buruk peribadinya seperti masyarakat

Malaysia dahulu, kini dan selamanya jika asas yang benar (Islam) tidak dijadikan panduan dan tiada perubahan menyeluruh dilaksanakan.

Firman Allah SWT, maksudnya, “Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat.” [TMQ al-Baqarah (2):85]

Wallahua’lam bisshawab.


ARTIKEL TERJEMAHAN: MUSLIMAH BERPRESTASI TINGGI

Meraih prestasi tinggi dan berjaya dalam kehidupan adalah suatu hal yang fitrah dalam diri setiap manusia termasuk para Muslimah. Berdasarkan fakta pada masa kini, ia bukan suatu yang menghairankan apabila para Muslimah turut berlumba-lumba menumpahkan segenap usaha untuk meraih kejayaan yang diidam-idamkan. Dorongan untuk melakar kejayaan pada masa kini seolah-olah disambut dengan pelbagai peristiwa yang dijadikan landasan untuk meraih kejayaan tersebut.

Di samping itu, merebaknya fahaman sekularisme di tengah-tengah kehidupan umat Islam menyebabkan lahirnya kebebasan dan gaya hidup individu-individu yang mengejar kebendaan rupa-rupanya telah memberikan impak yang besar kepada Muslimah sehingga mereka rela meletakkan diri mereka dalam apa jua keadaan demi untuk meraih kejayaan dalam hidup. Menurut fahaman Sekular-Kapitalis yang menjadikan manfaat sebagai tolok-ukur (standard/miqyas), kebahagiaan diukur dengan nilai-nilai yang bersifat duniawi seperti memenuhi keperluan jasmani secara maksima atau mengumpul harta benda sebanyak mungkin. Akhirnya, para Muslimah bersaing dengan kaum lelaki untuk merebut jawatan tertinggi dalam suatu bidang pekerjaan, organisasi, bahkan dalam pemerintahan tanpa diperhalusi terlebih dahulu adakah ia dibolehkan oleh hukum syarak atau sebaliknya.  Mereka bangga memberi sumbangan kebendaan yang paling besar kepada keluarga. Walhal apa yang mereka lakukan nyaris menanggalkan kebanggaannya sebagai seorang Muslimah serta kemuliaannya sebagai isteri dan ibu, pengasuh dan pendidik kepada anak-anaknya serta masyarakat.

Islam – Persepsi yang Sahih

Sebelum meletakkan sosok Muslimah yang berprestasi tinggi menurut pandangan Islam, apa yang mesti dijelaskan terlebih dahulu adalah mengapakah perspektif Islam perlu diambil kira dalam menetapkan prestasi seorang Muslimah.

Satu-satunya persepsi yang sahih tentang kehidupan dan apa jua dalam kehidupan termasuk definisi kebaikan hanyalah Islam. Hal ini adalah disebabkan hanya Islamlah deen yang berasal dari Zat Yang Maha Sempurna, Maha Benar dan Maha Mengetahui hakikat manusia, Sang Pencipta alam semesta iaitu Allah Subhanahu wa Taala. Islam juga merupakan satu-satunya deen yang sempurna kerana berasal dari Zat yang Maha Sempurna.

Kesempurnaan Islam itu dapat dilihat dari lengkapnya ia kerana Islam bukan hanya memiliki pemahaman tentang akidah (konsep keimanan) dan ibadah mahdhah (ritual/ruhiyah), akan tetapi Islam juga memiliki pengaturan tentang kemasyarakatan dan kenegaraan; sistem pergaulan (sistem sosial), sistem pendidikan, sistem pembuktian (bayyinat) dan sistem hukuman/perundangan, sistem ekonomi, sistem pemerintahan serta gambaran utuh tentang negara. Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa Islam mencakup seluruh aspek kehidupan manusia: hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan dengan dirinya sendiri dan hubungan dengan orang lain.

“Pada hari ini telah Kusempurnakan bagimu agamamu dan telah kucukupkan ni’mat-Ku dan telah Kuredhai Islam menjadi agama bagimu”
[TMQ. Al-Maaidah(5):3]

Kesempurnaan Islam juga dapat dilihat dari keupayaannya menyelesaikan seluruh permasalahan manusia – siapapun dia, bila dan dimana pun dia berada. Keupayaannya telah terbukti dalam sejarah iaitu ketika kaum muslimin menerapkan Islam secara kaaffah dalam kehidupannya, ternyata mereka menjadi suatu kaum yang memiliki ketinggian peradaban, kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi, serta keluasan wilayah, yang mampu bertahan selama lebih 13 abad dan tiada bandingannya hingga sekarang. Selama itu, bukan hanya kaum muslimin yang merasakan kemaslahatan, sebaliknya ia juga dinikmati oleh golongan bukan Muslim, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ini sesuai dengan janji Allah SWT:

“Dan tidaklah Kami utus engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam” [TMQ al Anbiyaa’ (21):107]

“Dan Kami turunkan Kitab ini kepadamu sebagai penjelasan atas segala sesuatu, petunjuk, rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang muslim” [TMQ an-Nahl (16):89]

Dengan demikian, hanya Islam-lah yang wajib diambil dalam menjalani kehidupan, dalam menyelesaikan persoalan dan dalam menentukan: baik-buruk, benar-salah. Lebih jauh, bagi seorang muslim, iaitu yang telah mengikrarkan syahadat, keterikatan dan ketundukan kepada Islam adalah bukti keimanannya, sebagaimana firman Allah SWT:

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim (pemutus perkara) terhadap apa saja yang mereka perselisihkan. Kemudian tidak terdapat dalam jiwa mereka, keberatan sedikitpun terhadap apapun yang engkau putuskan dan mereka menerima dengan sepenuh kepasrahan” [TMQ an-Nisaa’ (4):65]

“Sesungguhnya perkataan (jawaban) orang-orang mu’min jika mereka diseru kepada Allah dan Rasul-Nya agar (Allah dan Rasul-Nya) menjadi hakim (pemutus perkara) di antara mereka, mereka mengatakan “Kami mendengar dan kami taat”. [TMQ an-Nuur (24):51]

Pandangan Islam Terhadap Perempuan.

Keinginan wanita muslimah untuk meraih prestasi tinggi dalam kehidupan perlukan pengaturan dan pandangan yang benar berdasarkan pemahaman terhadap pandangan dan aturan Islam terhadap perempuan. Dengan pemahaman tersebut, seorang wanita muslimah akan dapat berjalan di dunia ini secara benar dan mencapai kemuliaan dan prestasi yang hakiki.

Islam memandang darjat kemuliaan manusia samada lelaki ataupun perempuan adalah ditentukan oleh ketaqwaannya.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”
[TMQ al-Hujurat (49):13]

Ayat di atas menjelaskan dengan terang lagi bersuluh bahawa kemuliaan seseorang bukanlah ditentukan oleh status sosial dalam masyarakat, jenis pekerjaan ataupun jenis jantinanya.

Islam juga memandang perempuan dan lelaki adalah sama-sama manusia, yang memiliki akal, keperluan jasmani dan naluri. Oleh kerana persamaan tersebut, Allah SWT memberikan peranan dan tanggungjawab yang sama antara lelaki dan perempuan. Ia ditunjukkan dengan adanya kewajipan solat, zakat, puasa, berdakwah, bermuamalah secara Islam iaitu tanggungjawab ke atas kaum lelaki dan wanita.

Namun, meskipun keduanya sama-sama manusia, ada hal yang berbeza antara lelaki dan perempuan. Hamil, menyusukan anak, melahirkan anak adalah beberapa hal yang hanya boleh terjadi kepada perempuan, tetapi tidak pada lelaki.

Oleh kerana perbezaan tersebut, Islam memberikan pengaturan yang berbeza yang bersesuaian dengan  tabiat kelelakian dan keperempuanannya. Semua itu sama sekali tidak berkaitan dengan siapa yang lebih mampu, siapa yang lebih pintar dan sebagainya. Maka kerana itulah adanya hukum hakam tentang masalah nafkah, pengasuhan anak, pengaturan rumah tangga, perwalian, kepemimpinan dalam rumah tangga dan pengaturan urusan masyarakat, yang pengaturannya dibezakan antara lelaki dan perempuan.

Semua perbezaan tersebut tidak boleh dipandang sebagai diskriminasi atau ketidakadilan Islam. Ketika Islam menetapkan hanya lelaki yang boleh memegang jawatan dalam kepemimpinan pemerintahan dan mengharamkannya untuk perempuan, bukan berarti status perempuan lebih rendah dari lelaki. Ini adalah kerana, sekali lagi, pandangan Islam, pandangan Allah SWT, terhadap manusia yang paling mulia adalah kerana ketaqwaannya. Seorang ketua negara tidak secara automatik menjadi lebih mulia berbanding rakyat. Seorang suami juga tidak menjadi lebih mulia dibandingkan dengan si isteri hanya kerana memimpin rumah tangga. Ketaqwaan, iaitu ketundukannya terhadap aturan Islamlah yang menentukan kemuliaannya.

Dengan pandangan Islam yang khas tersebut, perempuan dan lelaki tidak perlu berebut peranan kerana ia sama sekali tidak ada hubungan dengan penilaian Allah SWT terhadap mereka. Apa yang perlu dilakukan adalah setiap lelaki dan wanita menjalankan peranan masing-masing secara optimum dalam rangka berlumba-lumba meraih pahala dan redha Allah SWT dan bersaing menjadi yang paling mulia di hadapan Allah SWT.

Tambahan pula, jika seluruh nas tentang perempuan dikumpulkan dan dikaji, kemudian dibandingkan dengan perlakuan sistem atau aturan lain selain Islam, jelas kelihatan bahawa Islam sangat memuliakan perempuan, memberi kesempatan paling luas terhadap perempuan untuk maju, serta memberikan perlindungan paling besar bagi perempuan. Subhanallah.

Muslimah Berprestasi Tinggi

Dengan memandang perempuan sebagaimana yang dijelaskan di atas, maka perempuan yang berprestasi  tinggi dalam pandangan Islam adalah perempuan mulia, iaitu perempuan yang bertaqwa. Dia adalah perempuan yang terikat dan tunduk pada aturan Islam dan terus-menerus meningkatkan ketundukannya itu sehingga semakin bertambahlah darjat ketaqwaannya dan dengan itu semakin bertambah pula darjat kemuliaannya.

Apabila dilihat dari aspek pelaksanaannya, dia adalah seorang muslimah yang melaksanakan solat, puasa, menunaikan zakat, menunaikan fardu haji bila mampu, berpakaian dan menutup aurat sebagai muslimah, makan dan minum yang halal dan thayyibah, berakhlaq karimah, terus-menerus mengkaji Islam, berdakwah, memperjuangkan tegaknya penerapan aturan Islam kaaffah, serta, ketika telah berumahtangga, menjalankan peranan keibuannya dengan penuh semangat dan tanggungjawab. Dia akan berusaha menjadi teladan dan memberikan pendidikan Islam kepada buah hatinya. Dia akan melindungi buah hatinya iaitu anak-anaknya daripada pelbagai bahaya, samada bahaya fizikal mahupun bahaya racun pemikiran kufur.

Adapun terhadap suaminya, dia akan menghormati, taat dan selalu menyenangkan pandangan mata suaminya. Dia amanah terhadap harta suami, menjaga kehormatan diri dan kepercayaan suami, serta mengatur rumah tangga dengan susunan dan pengaturan yang membuatkan rumahnya selalu dirindukan, membawa ketenangan, serta membuatkan diri dan suaminya bersaing mencari pahala dan redha Allah SWT secara optimum.

Muslimah berprestasi tinggi tiada kaitan dengan kecantikan fizikal, banyaknya harta-benda yang boleh dikejar, jawatan atau kedudukan yang boleh diraih, status intelektual yang boleh dikejar, atau status sosial yang dapat digenggam.

Muslimah berprestasi tinggi adalah seorang muslimah yang memiliki aqliyah Islam. Dia menilai segala sesuatu dengan ukuran Islam (hukum syarak) serta bercakap dan melontarkan pendapat sesuai dengan Islam.  Muslimah berprestasi tinggi juga memiliki nafsiyyah Islam.

Dia melakukan apa jua perbuatan sesuai dengan aturan Islam dan menundukkan perasaannya agar sesuai dengan aturan Islam. Bahkan, dia terus-menerus memajukan dirinya agar tsaqafah Islamnya semakin bertambah dan terus-menerus menguatkan perasaannya untuk semakin cinta dengan aturan Islam dan hanya mendambakan syurga dan redha Allah SWT.

Fikirannya sangat tajam sehingga pendapatnya mampu menghunjam hingga ke hati, sedangkan jiwanya adalah jiwa yang ikhlas dan hanif. Malamnya dilalui dengan tangisan kerendahan diri pada Allah SWT, sedangkan siangnya dia adalah seorang ibu yang cekal serta tabah dan seorang pengembang dakwah.

Berjuang Menjadi Muslimah yang Berprestasi Tinggi

Seorang muslimah yang meyakini kehidupan dunia akan berakhir dengan perhitungan terhadap seluruh aktiviti di dunia hendaklah bertekad dan mengubah diri menjadi perempuan mulia. Jika seorang Muslimah itu inginkan kemenangan, sudah tentu dia akan berjuang bermati-matian agar kualiti yang ideal akan segera tercapai.

Persoalannya, dalam kehidupan di mana aturan Islam belum diterapkan secara kaaffah dan pandangan umum yang berkembang di tengah masyarakat bukan berdasarkan kayu ukur atau standard Islam, mengubah diri bukanlah hal yang mudah. Banyak cabaran yang perlu dilalui, di antaranya adalah propaganda yang membiuskan, yang membuat muslimah berpaling dari tujuan asal. Di antara propaganda dan gagasan yang banyak diusung oleh perjuangan feminis adalah :

1.    Lelaki dan Perempuan Sama.

Salah satu idea dasar pemikiran feminisme adalah konsep mengenai kesetaraan gender iaitu bahawa dari segi gender, lelaki dan perempuan adalah sama. Menurut mereka, sekalipun secara biologi lelaki dan perempuan berbeza, perbezaan tersebut tidak boleh membawa implikasi pada perbezaan gender, kerana perbezaan gender hanya akan melahirkan ketidakadilan sistemik ke atas kaum perempuan. Oleh kerana perbezaan itu dianggap merugikan, mereka berobsesi untuk mengubah masyarakat yang patriarki ini menjadi masyarakat berkesetaraan, samada melalui perubahan secara kultural (seperti melalui perubahan pola pendidikan dan pengasuhan anak, perubahan ‘persepsi’ keagamaan yang dianggap berat sebelah terhadap jantina (gender bias) dan lain-lain) mahupun secara struktural (melalui perubahan dasar/polisi). Mereka berharap, ketika suatu masa masyarakat boleh memandang perempuan sebagai manusia (bukan atas dasar kelamin), maka pembahagian peranan sosial (domestik dan umum) akan cair dengan sendirinya. Ertinya, semua orang akan mampu melakukan aktiviti dalam apa jua bidang yang diinginkannya tanpa perlu khuatir ia dianggap menyalahi kudrat.

Jika diperhalusi, secara konseptual mahupun praktis, idea kesetaraan seperti ini sangat tidak masuk akal dan ianya hanyalah khayalan (utopis). Ini kerana  mereka seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan mengapa manusia perlu lahir dengan membawa kudrat maskuliniti dan feminitinya, sementara pada masa yang sama, mereka tak mungkin mengabaikan fakta bahawa manusia memang terdiri dari dua jenis yang berbeza. Jadi, apakah logik  yang boleh dipakai untuk menjelaskan mengapa di dunia ini perlu ada lelaki dan perempuan dengan ‘bentuk’ dan ‘jenis’ yang berbeza, jika bukan kerana keduanya memang memiliki peranan dan fungsi yang berbeza? Bukankah ketika perempuan memiliki rahim dan payudara, sementara lelaki tidak, bererti hanya perempuan yang boleh hamil, melahirkan, dan menyusui? Bukankah fungsi kehamilan, melahirkan, dan menyusui ini merupakan fungsi yang tidak boleh digantikan oleh kaum lelaki? Bukankah ‘aneh’ jika setelah melahirkan anak, kaum perempuan boleh melepaskan fungsi dan peranan keibuannya dengan alasan perempuan pada dasarnya tidak wajar menjadi ibu sehingga peranan ini boleh ditukarkan kepada lelaki?

2.    Ketidaksetaraan Gender Merugikan Perempuan.

Dalam perspektif feminisme, adanya ketidaksetaraan jantina (gender disparity) dianggap sangat merugikan perempuan, kerana ketidaksetaraan inilah yang menyebabkan munculnya pelbagai ketidakadilan sistemik ke atas perempuan, seperti terjadinya amalan meletakkan wanita dalam kedudukan bawahan (subordination) dan membatasi (marginalisation) penglibatan mereka dalam pelbagai bidang (politik, ekonomi, sosial, dan budaya), pelabelan negatif, maraknya kes-kes kezaliman dan penindasan, dan lain-lain.

Secara faktual, dakwaan ini dibantah oleh kenyataan bahawa apa yang disebut-sebut oleh kalangan feminis sebagai ‘persoalan perempuan’ ternyata tidak hanya menjadi ‘milik’ kaum perempuan. Tidak sedikit kaum lelaki yang juga mengalami apa yang dilalui oleh kaum wanita iaitu diletakkan dalam kedudukan bawahan (subordination), dibatasi penglibatan mereka (marginalisation), dizalimi dan ditindas, dan lain-lain. Bahkan di Dunia Ketiga di mana majoriti penduduknya adalah kaum Muslim, persoalan-persoalan seperti kemiskinan, diskriminasi, kekerasan, kebodohan,  paksaan, kesihatan yang buruk, kurang zat pemakanan, dan sebagainya kini menjadi persoalan-persoalan kritikal yang dihadapi masyarakat secara keseluruhan.

Islam sendiri memandang bahawa persoalan yang muncul pada sebahagian individu, samada komuniti lelaki mahupun perempuan, samada berkaitan dengan persoalan ekonomi, politik, sosial, dan bahkan persoalan yang memang  menyangkut aspek keperempuanan (seperti masalah kehamilan, kelahiran, penyusuan, pengasuhan dan seterusnya), tidak boleh dipandang sebagai persoalan lelaki sahaja atau perempuan sahaja. Tetapi ia perlu dipandang sebagai persoalan manusia/masyarakat secara keseluruhan dengan pandangan yang holistik dan sistemik. Dengan demikian, jalan penyelesaian yang dihasilkannya akan menyelesaikan persoalan secara tuntas dan menyeluruh. Hal ini sesuai dengan realiti bahawa masyarakat bukan hanya sekadar terbentuk dari individu sahaja, tetapi juga dari kesamaan pemikiran, perasaan, dan aturan yang diterapkan disertai dengan adanya interaksi yang terus-menerus di antara anggota-anggotanya yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Dalam perspektif yang benar inilah  syariat Islam datang  sebagai jalan penyelesaian ke atas persoalan kehidupan manusia sehingga manusia, yang realitinya terdiri dari jenis lelaki dan perempuan, dapat meraih kebahagiaan hakiki sesuai dengan kemuliaan martabat manusia yang telah dianugerahkan oleh Allah  SWT.

3.      Liberalisasi Perempuan akan Memajukan Perempuan.

Menurut pengusung idea liberalisasi perempuan, kebebasan merupakan teras untuk mencapai kemajuan. Bagi mereka, tatkala kaum perempuan berjaya meraih kebebasan dan kemerdekaannya, itu bererti mereka telah keluar dari status rendah diri (inferiority) yang mereka miliki selama ini, sekaligus berkesempatan secara ekspresif mengejar apa yang dianggap mereka masih ketinggalan tanpa perlu khuatir dengan pembatasan-pembatasan budaya (cultural) dan struktur (structural) yang dianggap menghambat kehidupan mereka.

Hal ini berbeza dengan pandangan Islam iaitu untuk memajukan kaum wanita bahkan umat secara keseluruhan, kuncinya adalah dengan meningkatkan taraf berfikir mereka dengan ideologi Islam.  Dengan cara ini, mereka akan memiliki landasan pemikiran (qâ’idah fikriyah) yang menjadi tolok ukur (miqyas) bagi segala bentuk pemikiran dan menjadi dasar terbentuknya pemikiran-pemikiran yang lain.

Seterusnya ia dapat menyelesaikan seluruh masalah kehidupan, sekaligus merupakan tuntunan berfikir (qiyâdah fikriyah) yang menuntun manusia dalam menghadapi segala masalah kehidupan tersebut setiap masa dengan penyelesaian yang benar. Ini kerana ideologi Islam tertegak di atas keyakinan bahawa seluruh  alam ini, termasuk manusia di dalamnya, diciptakan oleh Zat Yang Maha Pencipta dan Maha Mengatur iaitu Allah SWT. Oleh kerana itu, aturan-aturan yang diturunkan oleh Allah SWT melalui Rasul-Nya (syariat Islam) dipastikan akan menjadi penyelesaian terhadap seluruh persoalan manusia secara sempurna dan menyeluruh. Dengan begitu, umat akan mampu bangkit menjadi pelopor peradaban sebagaimana yang telah terbukti pada masa lalu tatkala Islam dijadikan sebagai landasan kehidupan umat dan syariatnya diterapkan.

4.      Syariat Islam Merendahkan Kaum Perempuan.

Isu ini timbul dari pemahaman bahawa  salah satu faktor yang menyebabkan kekalnya ketidakadilan gender adalah budaya patriarki yang di antaranya disahkan oleh adanya pandangan keagamaan yang dianggap berat sebelah terhadap jantina (gender bias atau sexist) dan misoginis (membenci perempuan). Dalam hal ini, Islam menjadi sasaran utama. Namun sebahagian mereka menyatakan pemahaman masyarakat terhadap Islamlah yang salah, yang terlanjur tersosialisasi oleh kitab-kitab tafsir dan fikih yang tidak mustahil dipengaruhi oleh tradisi dan budaya yang berlaku ketika penafsiran tersebut dilakukan. Oleh kerana itu, mereka pun menggagas kepada perlunya penafsiran-penafsiran baru yang ‘senafas dengan tuntutan zaman’ iaitu dengan melakukan penterjemahan semula (re-interpretation) dan rekonstruksi nas-nas syariat sehingga lebih memihak kepada kaum wanita. Kemudian mereka mendakwa gagasan ini sebagai usaha pembaharuan (tajdid), sekalipun method (cara) dan pendekatan tajdid yang mereka kembangkan ternyata sangat berbeza dengan tradisi tajdid yang selama ini dikenali dalam Islam.

Oleh kerana itu, munculnya isu bahawa syariat Islam merendahkan kaum perempuan hendaklah ditangani dengan benar. Jika dalih yang mereka gunakan adalah fakta bahawa kaum wanita di dunia Islam berada dalam kondisi yang amat buruk, maka harus dilihat bahawa pada kenyataannya saat ini tidak ada satu pun negeri Islam yang menerapkan syariat Islam sebagai aturan kehidupan yang utuh dan menyeluruh (kâffah). 

Justeru pelbagai kerosakan dan ketidakadilan yang terjadi ketika ini, termasuk di antaranya yang menimpa perempuan, adalah akibat diterapkannya sistem yang salah dan rosak di tengah-tengah kaum Muslimin iaitu sistem Kapitalisme yang tegak di atas akidah sekularisme, yang telah memberikan bidangkuasa (authority) secara mutlak kepada manusia dengan akalnya yang lemah dan terbatas untuk menggubal berbagai aturan/sistem kehidupan.

Dengan pelbagai cabaran dan propaganda yang ada, adalah diharapkan agar ianya tidak menyurutkan daya juang muslimah, sebaliknya justeru menjadikannya sebagai ladang dakwah yang luas untuk menuai pahala di sisi Allah  SWT.

Dalam menghadapi ujian dan cabaran tersebut, seorang muslimah hendaklah mengingati bahawa Allah SWT memang sentiasa memberi ujian pada hamba-Nya, yakin bahawa Allah SWT akan semakin dekat kepada hamba yang berusaha untuk dekat kepada-Nya dan akan memberikan jalan keluar bagi hamba yang bertaqwa. Dengan demikian, seorang muslimah menjadi istiqamah dengan perjuangan  yang ditempuhnya.

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (ujian, cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncang (dengan bermacam-macam cobaan) sampai-sampai berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
[TMQ al-Baqarah (2):214]

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”
[TMQ ath-Thalaaq (65):2-3]

Penutup

Jika Islam telah menetapkan masa depan generasi terletak di tangan wanita, sudah tentu kita berharap semua wanita menjadi wanita mulia.

Hanya dengan itu, masa depan gemilang generasi Islam berada dalam genggaman. Hanya saja, menjadi wanita mulia iaitu, yang menerapkan Islam secara kaaffah, ketika ini belum dapat diwujudkan kerana kehidupan bermasyarakat dan bernegara kita masih diatur dengan pengaturan selain Islam.

Oleh kerana itu, langkah-langkah perubahan di tengah masyarakat amat diperlukan agar penerapan Islam secara kaaffah dapat terwujud, sehingga seterusnya dapat dihasilkan sosok-sosok mulia yang berprestasi tinggi sesuai dengan pandangan Allah SWT.

Di sinilah para muslimah yang sudah memiliki kesedaran, hendaklah sentiasa mengubah diri menjadi lebih baik dan berdaya juang tinggi, untuk terjun secara aktif dalam membawa perubahan di tengah-tengah masyarakat.

Wallahu muwaafiq ilaa aqwaamith thariiq

Oleh: Ir. Retno Sukmaningrum, M.T
(www.syariahpublications.com)


FIKIH MUSLIMAH: HUKUM MELURUSKAN (REBONDING) RAMBUT

Soalan :

Ustazah, apakah hukum melakukan proses rebonding rambut?
 
Jawapan :
 
Rambut adalah bulu yang tumbuh di kepala atau sesuatu yang seperti rambut. (Kamus Dewan: 1094).Dalam Islam, terdapat pelbagai hukum yang terkait dengan rambut seperti mencukur rambut anak yang baru lahir, masalah mengqaza‘ rambut, menyambung rambut dan mewarnainya. Rebonding juga termasuk dalam perbuatan yang melibatkan rambut, jadi hukumnya perlu diperincikan.
 
Sebelum permasalahan hukum rebonding ini dikupas, adalah wajar untuk kita mendalami realiti dan fakta proses rebonding itu sendiri. Rebonding adalah satu proses yang dilakukan untuk meluruskan rambut si pemiliknya agar rambut jatuh lebih lurus dan lebih indah.Proses rebonding mempunyai dua peringkat iaitu: Pertama, rambut disapu dengan krim tahap pertama untuk membuka ikatan protein rambut.Kemudian rambut dikepit seperti diseterika dengan alat pelurus rambut bersuhu tinggi.Kedua rambut disapukan dengan krim tahap kedua untuk mengekalkan kelurusan rambut.

Proses rebonding melibatkan proses kimia yang mengubah struktur protein dalam rambut.pembentuk rambut manusia dinamakan keratin, yang terdiri dari unsur cystine iaitu sebatian asid amino yang memiliki unsur sulfida.Ikatan disulfida -S-S- dari cystine inilah yang paling penting dalam menentukan bentuk rambut kita.Rambut berbentuk lurus atau kerinting disebabkan keratin mengandungi ikatan disulfida yang membuat molekul mengekalkan bentuk-bentuk tertentu.
 
Dalam proses rebonding, sejenis krim khas disapu ke atas rambut bertujuan untuk membuka/memutuskan ikatan disulfida itu, sehingga bentuk rambut yang kerinting menjadi lurus. Proses rebonding menghasilkan perubahan yang kekal pada rambut.Namun rambut baru yang tumbuh dari akar rambut akan tetap mempunyai bentuk rambut yang asli.Jadi,  rebonding bukan pelurusan rambut biasa yang hanya menggunakan rawatan fizikal , tetapi juga menggunakan rawatan kimia yang mengubah struktur protein dalam rambut secara kekal.fakta (manath) Rebonding.

Menurut kajian kami, melakukan proses rebonding hukumnya adalah haram kerana dua sebab iaitu mengubah ciptaan Allah dan menipu.Hukum rebonding adalah haram kerana ia termasuk dalam proses mengubah ciptaan Allah (taghyir khalqillah) yang telah diharamkan oleh nash-nash syara’.Dalil keharamannya adalah keumuman firman Allah yang bermaksud:“Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu mereka benar-benar mengubahnya.“ [TMQ an-Nisaa` (4): 119].
 
Ayat ini menunjukkan haramnya mengubah ciptaan Allah, kerana syaitan tidak menyuruh manusia kecuali kepada perbuatan dosa. Mengubah ciptaan Allah (taghyir khalqillah) didefinisikan sebagai proses mengubah sifat sesuatu sehingga seakan-akan ia menjadi sesuatu yang lain (tahawwul al-syai` ‘an shifatihi hatta yakuna ka`annahu syaiun akhar), atau bermakna menghilangkan sesuatu yang asal itu sendiri (al-izalah).[Hani bin Abdullah al-Jubair, Al-Dhawabit al-Syar’iyah li al-‘Amaliyat al-Tajmiliyyah, halaman 9].
 
Dari definisi tersebut, dapat kita ketahui bahawa rebonding termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah (taghyir khalqillah), kerana rebonding telah mengubah struktur protein dalam rambut secara kekal sehingga mengubah sifat atau bentuk rambut asli menjadi sifat atau bentuk rambut yang lain.Dengan demikian, hukum  rebonding adalah haram.

Selain dalil di atas, keharaman rebonding juga didasarkan pada dalil Qiyas.Dalam hadis Nabi SAW, diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud RA, baginda bersabda:“Allah melaknat wanita yang mentatu dan yang minta ditatu, yang mencabut bulu kening dan yang minta dicabutkan bulu keningnya, serta wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan, mereka telah mengubah ciptaan Allah“. [HR Bukhari].
 
Hadis ini telah mengharamkan beberapa perbuatan yang disebut di dalam nash, iaitu mentatu, minta ditatu, mencabut atau minta dicabutkan bulu kening, dan merenggangkan gigi.Keharaman perbuatan-perbuatan itu sesungguhnya didasarkan pada suatu illat (alasan penetapan hukum), iaitu untuk tujuan kecantikan dengan mengubah ciptaan Allah (thalabul husni bi taghyir khalqillah). [Walid bin Rasyid Sa’idan, Al-Ifadah al-Syar’iyyah fi Ba’dh al-Masa`il al-Thibbiyyah, halaman 62].
 
Dengan demikian, hukum rebonding adalah haram, kerana dapat diqiyaskan dengan perbuatan-perbuatan haram tersebut, apabila ada kesamaan illat untuk tujuan kecantikan dengan mengubah ciptaan Allah.

Sebahagian ulama telah menyimpulkan adanya illat dalam hadis tersebut, sehingga mereka mengambil kesimpulan umum dengan jalan Qiyas, iaitu mengharamkan segala perbuatan yang memenuhi dua unsur illat hukum, iaitu mengubah ciptaan Allah dan untuk tujuan kecantikan.

Abu Ja’far Ath-Thabari berkata, “Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa wanita tidak boleh mengubah sesuatu dari apa saja yang Allah telah menciptakannya atas sifat pada sesuatu itu dengan menambah atau mengurangi, untuk tujuan kecantikan, baik untuk suami mahupun untuk selain suami.” [Imam Syaukani, Nailul Authar, 10/156; Ibnu Hajar, Fathul Bari, 17/41; Tuhfatul Ahwadzi, 7/91].

Hukum rebonding adalah haram kerana ia juga termasuk dalam penipuan.Muawiyah berkata:  “Sesungguhnya Rasulullah saw menamakan rambut palsu sebagai penipuan.” [Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim].

Oleh kerana proses rebonding mengubah bentuk rambut daripada satu bentuk menjadi bentuk yang berbeza daripada bentuk asal, maka ia dianggap sebagai penipuan.

Adapun meluruskan atau mengerintingkan rambut tanpa rawatan kimia yang mengubah struktur protein rambut secara kekal, iaitu hanya melalui rawatan fizikal seperti menggunakan alat penggulung plastik dan yang sejenisnya, hukumnya boleh.

Sama juga hukumnya dengan perubahan yang bersifat sementara seperti dengan bersikat, menggunakan gel dan mendandan rambut.Malahan ini perkara yang disunatkan. Nabi saw bersabda: “Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya.” [Hr Abu Daud – hasan sahih]

Ini adalah kerana ia tidak termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah, tapi termasuk tazayyun (berhias) yang dibolehkan bahkan dianjurkan syara’, dengan syarat tidak boleh dipamerkan kepada yang bukan mahram.

Wallahu a’lam.

Sumber: Konsultasi Islam


SERUAN MUSLIMAH: KONFERENS KEBANGKITAN KHILAFAH 2011

WAHAI PARA MUSLIMAH
PENCETAK GENERASI PEJUANG KHILAFAH!

 
Kini kita berada dalam bulan Rejab iaitu bulan yang sering diingati oleh seluruh umat Islam sebagai bulan berlakunya peristiwa Israk Mikraj iaitu suatu peristiwa besar yang berlaku kepada junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi wa Sallam.  Peristiwa Isra’ Mi’raj ini dikatakan berlaku selepas tahun dukacita kepada Rasulullah Salallahu Alaihi wa Sallam. 

Tahun dukacita ini adalah ketika berlakunya kematian dua orang yang banyak membantu  perjuangan dakwah baginda Salallahu Alaihi wa Sallam di Mekah iaitu isterinya Saidatina Khadijah Radiallahu Anhu dan bapa saudaranya Abi Talib. Berkata Ibnu Saad dalam Thabaqat-nya: Selisih waktu antara kematian Khadijah dan kematian Abu Thalib hanyalah satu bulan lima hari.

Di sini, kita dapat melihat bagaimana besarnya peranan dan pengorbanan ummul mukminin Saidatina Khadijah dalam membantu perjuangan yang dibawa oleh suaminya Nabi Muhammad Salallahu Alaihi wa Sallam. Tercatat dalam lembaran sejarah perjuangan Islam yang diawali oleh Rasulullah, sumbangan yang telah dicurahkan oleh para wanita dan para isteri sebagaimana yang telah dicontohkan dan yang telah ditunjukkan oleh Khadijah sendiri ketika beliau memposisikan dirinya sebagai pendokong dan pembantu  dalam menegakkan agama Allah Subhanuhu wa Taala ini.

Penglibatan para muslimah dalam menegakkan deen Allah Subhanahu wa Taala ini adalah sesuatu yang tidak dapat diketepikan. Kerana itu mana mungkin sejarah perjuangan Islam dapat menyembunyikan kisah syahidnya Sumayyah. Wanita pertama yang syahid kerana mempertahankan keislamannya.

Selain daripada peristiwa Isra’ Mi’raj ini, terdapat juga satu peristiwa penting yang berlaku dalam catatan sejarah dunia umat Islam. Peristiwa itu adalah kejatuhan daulah Khilafah. Tepatnya pada tanggal 28 Rejab 1342H. Daulah Khilafah merupakan suatu institusi politik dan pemerintahan yang memayungi dan menjaga umat Islam selama lebih 1300 tahun.

Terlalu  banyak catatan tinta emas yang melatarbelakangi kehidupan umat Islam semasa entiti politik ini wujud di tengah-tengah umat. Selepas lenyapnya entiti politik itu, bermulalah detik hitam bagi umat Islam termasuklah para muslimah. Apabila institusi penjaga dan pemelihara ini hilang dari kehidupan umat Islam, maka kita dapat menyaksikan bagaimana suasana sedih dan pilu menyelubungi kehidupan umat Islam hari ini.

Lihatlah nasib yang menimpa para muslimah di Palestin, Iraq, Afghanistan dan di seluruh dunia pada hari ini. Para wanita menjadi golongan yang paling banyak menjadi mangsa kepada kekejaman dan kerakusan sistem kapitalisme yang  mendominasi dunia saat ini. Dalam dunia kapitalis hari ini juga kita dapat menyaksikan bagaimana golongan wanita menjadi mangsa eksploitasi untuk dimanipulasi oleh pihak-pihak yang mementingkan keuntungan semaksima mungkin.

Justeru, sebagai umat yang terbaik yang dikeluarkan  oleh Allah Subhanahu wa Taala untuk manusia, sudah sewajarnya semua pihak tidak terkecuali juga para muslimah untuk sama-sama bangkit bagi melakukan usaha dalam kedudukannya sebagai ‘agen perubahan’ yang bergerak untuk merubah corak dan warna kehidupan umat Islam amnya dan khususnya kepada para wanita. 
 
WAHAI PARA MUSLIMAH SEKALIAN!

Konferens Kebangkitan Khilafah 2011
ini adalah kesempatan terbaik untuk kita semua mengetahui apakah peranan dan tugas yang wajib kita pikul untuk menjadi sebahagian daripada mata rantai perjuangan Islam.

Ayuh! Jadikanlah diri kita semuanya agar sentiasa bersedia untuk menghadiri konferens ini. Semoga kehadiran kita ke perhimpunan ini akan dapat menyuntik semangat yang tinggi ke dalam diri kita bagi sama-sama menyumbang tenaga untuk meninggikan deen Allah Subhanahu wa Taala. Amin.
 
SIAPAKAH YANG PERLU HADIR?

Para muslimah! Aktivis wanita gerakan Islam! Para isteri! Dan para surirumahtanggalah yang perlu hadir ke konferens ini! Kenapa? Kerana hakikatnya seluruh daripada kita adalah sebahagian dari umat Islam yang mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memikul tugas yang mulia ini. Tugas itu adalah menegakkan kembali Khilafah Islam yang menjadi suatu tuntutan dan kewajipan kepada seluruh umat Islam hari ini termasuk para muslimah.