Fikratul Ummah – Mac 2013

MUQADDIMATUL KALAM

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….

Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah S.W.T dan selawat serta salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan izinNya FU edisi khas ini dapat menemui pembaca sekalian. Edisi khas ini dikeluarkan sempena Konferens Wanita yang bertemakan “Menyongsong Penegakan Syariah & Khilafah” yang julung-julung kali dianjurkan oleh Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM).

Atas kesedaran bahawa ramai lagi masyarakat Malaysia khususnya wanita yang tidak tahu atau tidak mengetahui secara benar tentang wujudnya sistem pemerintahan Islam yang dinamakan Daulah Khilafah, maka FU kali ini menyediakan penjelasan tentang kepentingan adanya Khilafah. Sesungguhnya Daulah Khilafah ini pernah wujud selama lebih 1300 tahun di atas muka bumi tetapi telah diruntuhkan pada 3 Mac 1924.

Sepanjang tempoh tersebut, seluruh manusia (Muslim dan bukan Muslim) yang tinggal di hampir dua pertiga bahagian dunia telah merasai kesejahteraan dan keamanan hidup di bawah penerapan syariat Islam. Sempena memperingati bulan Mac sebagai titik hitam bagi umat Islam, edisi ini juga memuatkan dalil-dalil tentang kewajipan umat Islam untuk turut serta dalam menegakkan semula syariah dan Khilafah di atas muka bumi Allah ini.

Pembaca sekalian, sesungguhnya tertegaknya kembali Syariah dan Khilafah bukanlah sekadar angan-angan dan kata-kata kosong tetapi ini adalah janji daripada Allah S.W.T dalam firmanNya, “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orangorang yang sebelum mereka berkuasa,…” [TMQ an-Nur (24): 55]. Juga khabar gembira daripada Nabi S.A.W yang mengakhiri sebuah hadis yang panjang iaitu “….Kemudian akan kembali zaman Khilafah ‘Ala Minhaj Nubuwwah (Khilafah di atas jalan kenabian). Kemudian baginda diam[Hadis sahih yang dikeluarkan oleh Ahmad dari jalan Huzaifah Ibn al-Yaman].

Jadi, kami menyeru kepada pembaca sekalian, hayatilah setiap coretan dalam majalah khas ini dengan penuh kesedaran sebagai seorang hamba Allah dan semoga Allah memberi kesedaran kepada kita untuk bersama-sama dalam usaha yang besar dan mulia ini.

Jazakumullahu khayran kathira.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.



DOA MOHON KEMENANGAN

 رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami;  oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir[TMQ al-Baqarah (2): 286].


ARTIKEL PILIHAN 1
PERJUANGAN POLITIK WANITA

Muqaddimah

Populasi wanita Islam hari ini menjangkau lebih daripada 10% jumlah penduduk dunia (hampir 20% daripada jumlah keseluruhan wanita) iaitu bersamaan dengan 700 juta orang. Namun, angka sebesar ini tidak secara automatik menunjukkan kekuatan peranan Muslimah di medan kehidupan hari ini. Realitinya, sejak beberapa dekad kebelakangan ini, Muslimah di kebanyakan negara majoriti Muslim seringkali digambarkan sebagai golongan yang dibelenggu penindasan, kemiskinan, kekerasan (violence), diskriminasi dan golongan kelas kedua di bawah kaum lelaki.

Gambaran ini turut disokong oleh pelbagai kajian yang dijalankan oleh pihak Barat bagi menonjolkan kemunduran wanita Islam yang dilihat daripada sudut pandang sekularkapitalisme mereka. Contohnya, kajian terbaru yang dijalankan oleh World Economic Forum yang bertajuk “The Global Gender Gap Report 2012” mencatatkan deretan negara majoriti Muslim, khasnya di kawasan Timur Tengah-Afrika (antaranya, Yaman, Afghanistan, Mali, Pakistan, Arab Saudi, Bangladesh, Syria, Libya dan lain-lain) sebagai negara-negara yang terburuk layanannya terhadap wanita (The worst places to be a woman) dari 135 negara kajian [http://www3.weforum.org/docs/WEF_GenderGap_Report_2012.pdf].

Realitinya, di negara-negara tersebut, Muslimah telah lama hidup di bawah tekanan rejim despotik (zalim) yang menindas wanita. Hak-hak politik mereka disekat dan kesejahteraan mereka diragut. Keadaan ini semakin parah dengan keadaan budaya-sosial masyarakat Arab yang membataskan penglibatan wanita dalam kehidupan umum. Contohnya di Arab Saudi, golongan wanita tidak dibenarkan untuk memandu, tidak memiliki hak bersuara dalam bidang politik, bahkan tidak boleh memiliki telefon bimbit.

Keadaan inilah yang sering menjadi perhatian serta modal murahan Barat dan aktivis-aktivis pejuang gender dan feminisme untuk membuat pencitraan buruk terhadap Islam. Islam dipropagandakan sebagai ideologi penindas Muslimah yang mengekang kebebasan wanita kerana hukum-hukumnya yang dinilai sebagai patriarki (penguasaan lelaki terhadap perempuan); seperti hukum tentang jilbab, waris, poligami, kebolehan suami memukul isteri dansebagainya.

Persoalannya, apakah benar Islam yang membelenggu hak-hak wanita Islam di dunia Arab? Ataukah tradisi represif rejim despotik yang bertentangan dengan Islam itu sendiri yang menjadi puncanya?

Refleksi 2010-2012: Arab Spring, Kebangkitan Peranan Politik Muslimah

Kehadiran Arab Spring yang meruntuhkan ejen-ejen Barat yang despotik akhirnya menjadi jawapannya.  Di sana, kaum Muslimah justeru memainkan peranan penting di barisan hadapan untuk melawan kezaliman rejimnya, menuntut keadilan dan kembalinya peranan Islam ke pentas dunia, serta menunt hak-hak wanita yang sebelumnya dirampas oleh para diktator tersebut.

18 Disember 2010 menjadi detik bersejarah bermulanya musim Arab Spring di dunia Arab. Tindakan The Burning Man, Mohamed Bouazazi yang merupakan mangsa kepada pemerintah Tunisia yang zalim lagi khianat telah menghasilkan gelombang bantahan besar-besaran oleh rakyat sehingga berjaya menggulingkan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali, yang akhirnya melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari 2011. Seterusnya gelombang ala domino melanda Aljazair, Jordan, Mesir dan Yaman, yang kemudiannya merebak ke seluruh Timur Tengah dan Afrika Utara.

Kebangkitan rakyat di Mesir pula berjaya menghancurkan kekuasaan 30 tahun Hosni Mubarak, manakala penentangan rakyat Libya berjaya menggulingkan Muammar Gaddafi pada Ogos 2011. Di Yaman, gelombang kebangkitan berjaya menyingkir Presiden, Ali Abdullah Salleh, lalu digantikan oleh Abdul Rab Mansur Hadi pada Februari 2012. Manakala kebangkitan rakyat Jordan pula berjaya menggugat keabsahan monarki Dinasti Hasyim di bawah kepimpinan Raja Abdullah Tsani.

Dari Tunisia hingga ke Bahrain, Mesir hingga ke Syria dan Yaman hingga ke Libya, kaum wanita di Timur Tengah turut berdemonstrasi, turun ke jalan-jalan untuk melaungkan suara mereka dan mengharapkan perubahan hakiki yang akan menjamin masa depan mereka yang lebih bermartabat, mulia dan sejahtera di bawah naungan Islam. Bahkan, Tawakkul Karman yang dijuluki “Ibu Revolusi” merupakan watak penting dalam kebangkitan masyarakat Yaman yang menuntut berakhirnya kekuasaan keluarga Salleh selama tiga dekad. Kempennya ‘Islam tidak mengancam Demokrasi’ mendapat penghargaan Barat sehingga aktivis Yaman tersebut meraih Anugerah Nobel Keamanan 2011.

Daripada rentetan peristiwa sepanjang fasa revolusi rakyat dan kebangkitan kesedaran politik wanita Islam seperti di atas, kita perlu sedar tentang wujudnya anasir-anasir Barat yang cuba untuk mengaburkan tujuan dasar dari revolusi ini. Tidak dapat dinafikan, puak-puak Barat berselindung di sebalik misi kesetaraan gender dan hak asasi wanita semata-mata untuk menjaja demokrasi ke negara-negara umat Islam.

Sebagai contoh, kunjungan Pengarah Eksekutif UN Women, Michele Bachelet pada bulan Jun 2012 ke Mesir dan Tunisia adalah bertujuan untuk mendukung peralihan kekuasaan rakyat agar sejajar dengan matlamat demokrasi. Peranan UN Women adalah bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membawa lebih ramai wanita ke kerusi pemerintahan, melatih kepimpinan dalam kalangan wanita, dan meningkatkan kemampuan wanita untuk terlibat dalam pilihanraya umum sebagai wakil rakyat dan pemilih. Bachelet menganggap bahawa Arab Spring telah membuktikan kepada dunia bahawa para wanita (khasnya Muslimah) telah bangkit dan bertekad untuk menuju kepada keadaan yang lebih baik, menuntut kesetaraan gender dan sistem politik yang mewakili golongan mereka.

Acapkali slogan yang diserukan untuk mengatasi masalah wanita adalah “serahkan pengurusan masalah wanita kepada wanita sahaja!”. Itulah salah satu matlamat utama yang digarap oleh UN Women melalui perancangan Leadership and Participation. Badan gender PBB ini bercita-cita untuk meningkatkan bilangan perwakilan wanita sehinga 40% menjelang 2026 (sehingga pertengahan 2009, hanya 17 wanita yang menjadi pemimpin tertinggi negara di seluruh dunia).

Isu-isu kesetaraan gender dan reposisi wanita dalam politik turut menjadi perhatian Majlis Umum PBB ketika menyelenggarakan Highliting Women at the 2011 UN General Assembly Debate pada akhir September 2011. Forum itu ditutup dengan peneguhan komitmen para pemimpin negaranegara revolusi untuk memperjuangkan kesetaraan gender. Menteri Luar Negeri Tunisia menyampaikan bahawa mereka telah ‘diamanatkan’ oleh PBB untuk melaksanakan agenda The Convention On the Elimination of All Forms of the Discrimination against Women (CEDAW) di mana mereka wajib menerapkan sistem  keseimbangan mandat (a mandatory parity system) bagi pemilihan majlisperwakilan di negara masing-masing.

Persoalannya, adakah dengan membuka ruang politik demokrasi seluas-luasnya kepada wanita Islam, sekaligus membenarkan mereka untuk meraih kesetaraan gender khasnya dalam bidang politik, mampu
menyelesaikan segala permasalahan yang melibatkan wanita?

Politik Wanita Versi Demokrasi Kapitalisme

Menurut paradigma kapitalisme, permasalahan wanita hanya mampu difahami dan diselesaikan oleh kaum wanita sahaja, iaitu melalui penerapan idea-idea dan undang-undang yang berorientasikan wanita. Bagi mereka, ini hanya dapat dicapai secara maksimum melalui penglibatan wanita sebagai pemimpin politik. Dalam sistem demokrasi, kedaulatan berada di tangan rakyat dan ditentukan berdasarkan suara majoriti. Semakin ramai wanita terlibat dalam pemerintahan dan semakin tinggi tingkat kerusi pemerintahan mereka, maka semakin terjaminlah hak-hak dan kedudukan wanita kerana undang-undang yang digubal kelak bakal berpihak kepada wanita.

Adakah benar dengan meramaikan wanita di bidang politik, khususnya perundangan, akan membawa kebaikan bagi wanita? Realitinya setakat ini, sejarah dunia membuktikan bahawa pemilihan wanita sebagai aktor utama politik, malah sebagai pemimpin tertinggi negara sekalipun, tidak secara automatik menjamin kesejahteraan wanita.

Contohnya, realiti yang berlaku di Palestin dan Bangladesh. Ketika ini, Hina Rabbani Khar adalah wanita yang memiliki kedudukan sebagai Menteri Luar Negara Pakistan, iaitu orang ketiga terpenting di negara tersebut setelah Presiden Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Yousuf Raza Gilani. Sebelum ini, Benazir Bhutto merupakan Perdana Menteri yang berkuasa selama lebih dua dekad. Namun, kehadiran dua pemimpin wanita ini tidak mampu menyelesaikan permasalahan klasik wanita di negara Muslim kedua terbesar di dunia itu. Menurut kajian Ansar Burney Trust, sebuah organisasi hak asasi manusia, sebanyak 70% wanita di Pakistan mengalami kekerasan dalam rumahtangga seperti penderaan fizikal dan seksual
sehingga mengalami patah tulang dan luka yang sangat serius akibat serangan asid atau pembakaran hidup-hidup (Commongroundnews.org, 17/10/2008).

Di sisi lain, Bangladesh sebagai negara Muslim keempat terbesar di dunia, ketika ini dipimpin oleh Syaikh Hasina Wazed, yang menggantikan pemimpin wanita sebelumnya, Khaleda Zia. Kedua-dua wanita ini masing-masing telah menjadi Perdana Menteri Bangladesh selama dua penggal. Bangladesh yang dianggap sebagai simbol kemiskinan di Asia, wanita-wanitanya turut dibelenggu pelbagai masalah termasuklah masalah pemerdagangan manusia. Pemerintahan Hasina sendiri adalah cermin pemerintahan yang gagal. Sepanjang tahun terakhir pemerintahan penggal pertama, Transparency International menyatakan bahawa Bangladesh adalah negara yang paling banyak mengalami masalah rasuah.

Realiti-realiti ini menunjukkan bahawa penyelesaian masalah wanita sama sekali bukan dengan cara menempatkan wanita di tampuk tertinggi pemerintahan atau meningkatkan perwakilan mereka di parlimen. Rasulullah S.A.W telah bersabda,

Tidak akan berjaya suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada wanita (mengangkat wanita sebagai pemimpin)[HR Al-Bukhari,At- Tirmizi dan An-Nasaie].

Selama sistem pemerintahan yang diterapkan adalah sistem demokrasi, tidak mungkin penyelesaian masalah wanita dapat diselesaikan secara tuntas. Demokrasi adalah anak kandung kepada sistem sekularkapitalisme yang hanya bertujuan untuk membela kepentingan pemimpin dan para pemodal, bukannya rakyat yang sering ditindas, tanpa mengira lelaki mahupun wanita. Maka, masih wajarkah untuk meletakkan harapan kepada pemerintah politik demokrasi seperti itu?

Meluruskan Agenda Politik Wanita Islam: Ke Arah Penegakan Syariah Dan Khilafah

Politik tidak boleh didefinisikan semata-mata sebagai jalan menuju kekuasaan. Definisi inilah yang cenderung mengaburkan mata umat sehingga menjadikan kekuasaan sebagai tujuan akhir dan matlamat kepada kegiatan politik. Definisi keliru ini juga menganggap kaum Muslimah hanya berperanan dalam politik jika mereka sedang berusaha, atau telah berada di kerusi kepimpinan tertentu.

Al-Quran dan as-Sunnah mengajar kita untuk mendefinisikan politik (siyasah) sebagai ri’ayah al-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyyan (mengurus urusan umat baik di dalam mahupun luar negeri). Pengurusan ini mencakupi seluruh pemenuhan keperluan-keperluan hidup dan hak-hak umat sehingga umat mendapatkan seluruh kemaslahatannya. Pengurusan ini dilakukan secara langsung oleh ketua negara iaitu Khalifah sebagaimana hadis dari Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda,

“Imam (Khalifah) adalah pemelihara/pengatur urusan rakyat dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas rakyatnya [HR Bukhari].

Walau bagaimanapun, ini tidak bererti bahawa politik hanyalah aktiviti kepemimpinan. Semua aktiviti yang dilakukan oleh pemimpin, parti politik, atau Majlis Umat (lembaga perwakilan umat yang bertugas untuk memberi pendapat dan nasihat kepada khalifah) atau umat itu sendiri (tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita) yang bertujuan untuk menjaga agar pemimpin menunaikan tanggungjawabnya dengan cara yang syarie, adalah juga sebahagian daripada aktiviti politik. Usaha-usaha kita untuk menyedarkan umat supaya umat memahami hak-hak mereka yang wajib dipenuhi oleh pemimpin juga adalah aktiviti politik.

Kewajipan menegakkan Khilafah adalah perkara yang jelas dalilnya berdasarkan al-Qur’an, as-Sunnah mahupun Ijmak para Sahabat. Dalam sistem Khilafah ini, Khalifah diangkat melalui bai’at berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya untuk memerintah (memutuskan perkara) sesuai dengan ketentuan hukum syarak semata-mata. Allah S.W.T berfirman,

“Putuskanlah perkara di antara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu[TMQ al-Maidah (5): 48-49].

Khatimah
Dunia menantikan sistem baru yang mampu menghadirkan visi politik yang akan menjamin kehidupan dan mengangkat martabat serta menghormati wanita. Sistem demokrasi yang ada ternyata gagal melakukan hal ini. Sebaliknya sistem Khilafah secara fakta pernah memimpin dunia lebih dari 13 abad, terbukti berjaya meletakkan martabat Muslimah di tempatnya. Justeru, sistem ini pasti mampu membawa perubahan hakiki dengan membentuk masa depan dunia yang lebih baik dan sejahtera bagi seluruh masyarakat dunia, baik lelaki atau wanita, Muslim ataupun non-Muslim.

Dalam usaha menegakkan kembali sistem Khilafah ini, Muslimah sesungguhnya memiliki kewajipan yang sama dengan lelaki untuk terjun ke dalam arena politik, meskipun wujud sedikit perbezaan dalam hal-hal tertentu yang telah digariskan oleh Islam. Demi mewujudkan sebuah kehidupan yang lebih baik dan diredhai oleh Allah S.W.T., maka, telah tiba masanya Muslimah memainkan peranan politiknya secara optimum sesuai dengan ketentuan syarak.

 



ARTIKEL PILIHAN 2:  SURI TELADAN RASULULLAH S.A.W: PERJUANGAN ISLAM

Firman Allah S.W.T:  “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah [TMQ al-Ahzab (33): 21].

Asbabun Nuzul
Tercatat dalam Tafsir Ibn Kathir bahawa ayat ini adalah dalil asas tuntutan supaya Rasulullah S.A.W itu dijadikan sebagai suri teladan yang perlu diikuti dalam semua aspek kehidupan; iaitu perkataannya, perbuatannya dan temasuklah taqrir atau persetujuannya dalam sesuatu perkara. Semasa berlakunya Perang Ahzab, Allah S.W.T telah menurunkan wahyu ini dan memerintahkan supaya menjadikan kesungguhan, pengorbanan, perjuangan dan kesabaran baginda dalam menunggu pertolongan serta bantuan Allah S.W.T dalam peperangan tersebut sebagai suri teladan bagi kita. Bagi kelompok yang ergesa-gesa dan tidak mempunyai kesabaran yang tinggi, mereka telah berasa takut serta cemas yang amat sangat semasa berlakunya Perang Ahzab.

Mencontohi Rasulullah Memperjuangkan Islam
Ayat ini membawa pengertian bahawa satu-satunya contoh teladan yang wajib diikuti oleh umat Islam  ialah Rasulullah S.A.W. Baginda wajib dicontohi oleh umat Islam dalam semua bidang kehidupan, bukan hanya dalam aspek tertentu sahaja. Islam adalah ad-din, iaitu satu sistem kehidupan yang sempurna merangkumi ideology dan cara pelaksanaan yang terperinci. Al-Quran dan as-Sunnah, yang menjadi landasan dalam kehidupan umat Islam, dengan jelas ditunjukkan secara utuh oleh peribadi Rasulullah S.A.W. Dengan kata lain, Nabi Muhammad S.A.W merupakan ikon untuk kita memahami praktik tentang Islam secara keseluruhan.

Di samping itu, kita juga diseru agar mencintai peribadi yang mulia lagi agung ini. Kecintaan kita kepada baginda tidak cukup hanya melalui kalbu sahaja, tetapi wajib dizahirkan melalui aktiviti lahiriah (fizikal), iaitu dengan mengikuti setiap perilaku baginda dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besarnya. Kewajipan untuk meneladani dan mencintai baginda tidak boleh sekali-kali dibataskan hanya pada hal-hal ibadat khusus dan akhlak sahaja tetapi wajib dimanifestasikan dalam seluruh aktiviti kehidupan seperti pemerintahan, ekonomi, pendidikan, pergaulan, politik, jihad dan sebagainya.

Rasulullah S.A.W telah diutus oleh Allah S.W.T untuk menyeru umat manusia dan mengajak mereka  untuk beriman kepada Allah S.W.T tanpa menyekutukanNya dalam apa-apa bentuk sekalipun. Rasulullah S.A.W telah memfokuskan dakwahnya untuk menghapuskan kekufuran dan menegakkan agama Allah secara menyeluruh. Islam juga telah dikembangkan ke seluruh pelosok dunia melalui usaha dakwah bukan hanya di peringkat individu dan jemaah sahaja, tetapi yang paling berkesan adalah dakwah oleh negara. Rasulullah S.A.W telah membuktikannya melalui penubuhan negara Islam yang pertama di Madinah. Bahkan usaha dakwah baginda ini tidak pernah terhenti kerana usaha tersebut telah diteruskan oleh para sahabat dan para tabi’in sehingga akhirnya hampir dua pertiga dunia tunduk kepada kekuasaan Islam.

Proses Menegakkan Negara Islam di Madinah
Sejarah membuktikan bahawa dakwah Islam berkembang dengan pesatnya ke seluruh dunia melalui  usaha dan kekuatan dakwah oleh negara. Selepas tertegaknya negara Islam di Madinah, Rasulullah S.A.W kemudiannya menyebarkan dakwah ke seluruh jazirah Arab termasuk pembukaan wilayah yang berada di bawah kekuasaan Rom dan Parsi. Sirah Rasulullah S.A.W juga membuktikan bahawa dakwah dan perjuangan yang dilakukan oleh baginda bukanlah suatu kebetulan, akan tetapi telah dirancang dengan teliti melalui petunjuk daripada Allah S.W.T. Perjuangan Rasulullah S.A.W menubuhkan negara Islam dapat dibahagikan kepada tiga fasa, di mana kejayaan setiap fasa menjadi prasyarat kepada kejayaan fasa kemudiannya. Pertama, ia bermula dengan fasa tasqif wa taqwin (pembinaan dan pengkaderan), kedua fasa tafa’ul ma’a al-ummah (berinteraksi dengan umat) dan ketiga, fasa istilam al-hukmi yang berupa penerapan dan pengembangan Islam oleh negara.

Fasa 1: Tasqif wa Taqwin

Pada fasa ini, Nabi S.A.W menyampaikan risalah Islam kepada para sahabat dan kerabatnya secara tertutup. Melalui bantuan kerabat dan sahabat dekat yang telah masuk Islam, Nabi S.A.W mampu mengajak orangorang lain untuk memeluk Islam. Misalnya, Abu Bakar r.a mengajak Utsman bin Affan, Abdurrahman bin Auf, Sa’ad bin Abi Waqqas dan yang lainnya untuk memeluk Islam.

Fasa awal ini berlangsung selama lebih kurang tiga tahun dan Islam disampaikan secara individu, serta belum ada pertembungan pemikiran atau ideologi dengan orang-orang musyrik dan kehidupan jahiliyyahnya secara terbuka. Pada fasa ini, Nabi S.A.W membina dan memperkukuhkan nafsiyyah dan aqliyyah para sahabat agar berjalan sesuai dengan Al-Quran serta menanamkan keyakinan yang kuat terhadap akidah Islam. Tasqif (pembinaan) ini sangat penting bagi memperlengkapkan para sahabat dengan tsaqafah dan syakhsiyyah Islam yang mantap sekali gus dapat mengelakkan berlakunya sebarang kompromi dengan pemikiran kufur Jahiliyyah dan dalam masa yang sama mempersiapkan para sahabat
untuk menghadapi sebarang konflik terbuka. Rasulullah S.A.W juga telah mendirikan sebuah kutlah (kelompok) dakwah yang terdiri daripada diri baginda sendiri dan para sahabatnya. Ia merupakan usaha yang bersifat kolektif di mana para sahabat telah dibina bagi bersedia untuk menempuh fasa seterusnya. Dalam fasa awal dakwah Rasulullah ini, kutlah ini masih dirahsiakan dan mereka bergerak juga secara rahsia.

Fasa 2: Fasa Tafa’ul Ma’a al-ummah (Berinteraksi dengan Umat)

Proses perubahan dakwah Rasulullah S.A.W dari fasa pertama ke fasa kedua bermula apabila turunnya firman Allah S.W.T:

Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik. Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokan (kamu), (iaitu) orang-orang yang menganggap adanya Tuhan yang lain di samping Allah; maka mereka kelak akan mengetahui (akibatnya) [TMQ al-Hijr (15): 94-96].

Ini dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa penentuan setiap fasa dakwah itu bukanlah sesuatu yang bersifat mubah tetapi merupakan hukum atau perintah Allah yang mesti diikuti. Pada fasa kedua ini, Nabi S.A.W mulai secara terbuka mengajak orang-orang Mekah untuk menerima Islam dan menyeru agar mereka menyembah Allah S.W.T semata-mata dengan meninggalkan segala sembahan selainNya dan agar mereka meninggalkan kehidupan jahiliyyah. Baginda memilih sejumlah uslub (cara) untuk membawa Islam ke arena yang lebih terbuka. Misalnya, baginda pernah mengundang sejumlah kerabat, antaranya terdapat pemimpin-pemimpin Quraisy untuk menghadiri jamuan makan di rumah baginda. Dalam majlis itu, Rasulullah S.A.W menyampaikan Islam kepada mereka.

Nabi S.A.W juga telah menampilkan kaum Muslimin sebagai kelompok tersusun serta teratur (jama’ah mutakattilah) yang komited untuk menentang dan mengubah masyarakat dari segi nilai-nilai, adat-tradisinya, pemikiran dan perasaannya serta sistem pemerintahan dan sistem pengaturan urusan kehidupannya. Perjuangan kolektif ini mampu mewujudkan pandangan umum tentang dakwah Islam dan hal ini membantu penyebaran Islam ke seluruh Mekah. Orang-orang yang masuk Islam adalah mereka yang mempunyai pemikiran dan hati nurani yang memahami kemurnian, kebijaksanaan dan kebenaran Islam.

Ketika menjalankan tugasnya, Nabi S.A.W, terus-menerus menyerang sistem jahiliyyah tanpa kompromi sedikit pun dan tanpa penyimpangan sedikit pun dari apa yang diwahyukan. Ketika kafir Quraisy tidak mampu menghentikan dakwah Rasulullah S.A.W dengan pemikiran dan perdebatan, mereka kemudian cuba untuk melakukan kompromi dan tawarmenawar. Namun, Nabi S.A.W menolak segala bentuk kompromi dan terus menyerukan dakwah Islam secara terbuka. Kerana kegagalan tersebutlah menyebabkan pemimpin-pemimpin Quraisy mula melakukan kekerasan untuk menghentikan dakwah Rasulullah S.A.W. Mereka menyeksa dan membunuh kaum Muslimin. Mereka juga mengarahkan serangan secara langsung terhadap Nabi S.A.W dengan cara memfitnah, menyebarkan kebohongan dan propaganda untuk menghina baginda, serta usaha untuk membunuh baginda. Namun begitu, usaha-usaha itu juga langsung tidak dapat menghentikan dakwah, bahkan kaum Muslimin semakin termotivasi.

Thalabun Nusrah (Mencari Pertolongan)
Menyedari bahawa orang-orang Quraisy tidak mendukung penerapan hukum Islam di Mekah, Nabi S.A.W mula mencari dukungan dan kekuasaan dari suku selain Quraisy, misalnya Bani Tsaqif, Kindah, Bani Amir bin Sha’sha’ah, Bani Kalb dan Bani Hanifah. Bukti bahawa Rasulullah S.A.W mencari sokongan dan kekuasaan politik daripada banibani tersebut dapat dilihat dalam catatan sirah, antara lain merujuk kepada kata-kata bani Amir Sha’sha’ah kepada Rasulullah S.A.W,

Kami harus menyerahkan leher kami pada pedang orang-orang Arab (membahayakan diri dalam peperangan) demi melindungimu, akan tetapi ketika kemenangan diraih, kekuasaan diberikan kepada kamu?(Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam).

Sesungguhnya usaha yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam mencari dukungan politik dan kekuasaan tanpa henti-henti sehingga menempuh kejayaan menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W ketika itu menginginkan adanya suatu institusi yang memiliki kekuatan sebagai pelindung dan penyebar untuk menolong agama ini. Fenomena seperti ini menunjukkan bahawa jalan dakwah Islam bukanlah hanya dengan memanifestasikan kesabaran ketika menghadapi gangguan, malah juga dimanifestasikan dengan usaha untuk mewujudkan kekuatan yang boleh melindungi umat Islam. Lebih dari itu, semua peristiwa dan huraian di atas merupakan thariqah (jalan/metode) yang wajib dilakukan bagi menegakkan Daulah Islamiyyah. Daulah Islamiyyah inilah yang kelak akan menerapkan Islam di tengah-tengah masyarakat, mengembangkan risalahNya yang bersifat global kepada umat manusia seluruhnya, serta yang memiliki kekuatan yang mampu melindungi sekali gus menghapuskan segala rintangan fizikal yang menghalang penyebaran agamaNya.

Akhirnya Rasulullah S.A.W Berjaya mendapat nusrah (pertolongan) dan kekuasaan untuk menegakkan Islam, yang diberikan oleh penduduk Yathrib (Madinah). Maka terjadilah peristiwa Bai’ah Aqabah Kedua yang merupa-kan janji setia di antara wakil-wakil penduduk Yathrib dengan Rasulullah S.A.W. Semasa bai’ah ini, mereka berjanji akan melindungi dan mem-berikan kekuasaan kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W akhirnya memerintahkan kaum Muslimin ber-hijrah ke Yathrib dan hijrah ini merupakan momentum dakwah dari aktiviti yang bersifat pemikiran dan penuh kesabaran ke fasa penerapan syariat Islam melalui sebuah institusi negara, yakni Daulah Islamiyyah.

Fasa 3: Istilam al-Hukmi (Penerapan Hukum) oleh Negara

Pada fasa ini, dakwah dilakukan dengan cara yang baru dan sangat efektif iaitu dakwah melalui institusi negara. Di samping penerapan hukum-hakam Islam secara menyeluruh di dalam negara, Islam juga disebarluas-kan ke luar negara melalui jalan dakwah dan jihad. Akhirnya agama Allah telah tersebar ke seluruh Jazirah Arab hinggalah ke Rom dan Parsi dan hukum Allah telah diterapkan di kesemua tanah-tanah baru yang telah dibuka.

Khatimah
Menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai suri teladan bukanlah hanya sekadar mengambil nilai-nilai murni akhlak baginda, malah lebih daripada itu. Tujuan sebenar Rasulullah S.A.W diutus dapat difahami melalui hasil perjuangan dakwahnya – tertegaknya sebuah negara dan Islam diterapkan secara sempurna dan menyeluruh (kaffah), seperti mana perintah Allah S.W.T,

Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi-mu” [TMQ al-Baqarah (2): 208].

Kejayaan yang dicapai oleh Rasulullah S.A.W sebelum kewafatan baginda adalah menerapkan Islam secara kaffah. Pernyataan bahawa kita menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai teladan sejati membawa pengertian bahawa kita juga mesti mempunyai matlamat untuk berjuang menerapkan Islam secara kaffah. Islam tidak boleh diterapkan hanya sebahagian sahaja kerana apabila menerapkan Islam secara sebahagian, ini bermakna sebahagian yang lain berupa hukum selain Islam sedangkan menerapkan hukum dengan selain Islam adalah bertentangan dengan apa yang telah Allah tetapkan. Tidak wajar juga sekiranya Islam diambil hanya sekadar contoh dan suri teladan semata-mata untuk menjadi tempelan kepada sistem kapitalis dengan berwajahkan pelbagai nama yang indah, sedangkan hakikatnya ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W masih tidak diterapkan.

Rujukan:

•    Terjemahan Al Quran oleh Yayasan Penyelenggara Pen-terjemah/Pentafsir Al Quran Menteri Agama Indonesia.
•    Al-Hidayah : Terjemahan Al Quran Tafsir Perkata Penerbit Kalim Banten Indonesia.
•    English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam.
•    Al Quran Digital Versi 2.1 website http://www.alquran-digital.com
•    Tafsir Jalalain (Terjemahan PESANTREN PERSATUAN ISLAM 91 TASIKMALAYA Versi 2.0 Digital).
•    Daulah Islam oleh Sheikh Taqiyuddin Nabhani (Terjemahan).
•    Khilafah adalah Solusi oleh Anonim (Terjemahan Abu Faiz) Pustaka Tariqul Izzah.
•    Islam Bangkitlah oleh Abdul Rahman al Baghdadi – Gema Insani Press.


SERIKANDI TAULADAN:  KEGIGIHAN ASMA’ BINTI ABU BAKAR MENYONGSONG PENEGAKAN NEGARA ISLAM
Peristiwa hijrah merupakan titik tolak ke arah penegakan Negara Islam di Madinah yang dipimpin oleh baginda Rasulullah S.A.W. Peristiwa hijrah juga mengingatkan kita tentang pengorbanan Muslimin terdahulu dalam proses menyebarkan Islam di Mekah. Selama 13 tahun, Rasulullah S.A.W menyebarkan dakwah di Mekah, sebahagian besar masyarakat Mekah khususnya kaum kafir Quraisy menentangnya dengan cukup hebat. Justeru, belasan tahun perjuangan serta proses hijrah yang membawa kepada kejayaan dalam menubuhkan Negara Islam yang pertama di Madinah bukanlah suatu perkara yang mudah. Pengorbanan demi pengor-banan telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat demi menegakkan hukum Allah di muka bumi.

Dalam peristiwa ini juga terselit sebuah kisah mengenai pengorbanan seorang Muslimah yang berjiwa kental, tidak berasa takut di saat orang lain gerun terhadap kekejaman kafir Quraisy. Beliau adalah antara insan yang turut sama membantu men-jayakan penghijrahan Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar r.a ke Madinah.

Beliau adalah Saidatina Asma’ atau nama penuhnya Asma’ binti Abu Bakar Abdullah bin Abu Qahafah Al-Qursyiyah At-Tamimiyah. Beliau dilahirkan di Mekah 27 tahun sebelum Hijrah. Beliau merupakan seorang sahabiyah yang terkemuka dan puteri kepada sahabat baik Rasulullah S.A.W, Abu Bakar Ash-Shiddiq r.a, isteri kepada orang yang terawal menghunus pedang di jalan Allah, Az-Zubair bin Al-Awwam r.a dan ibu kepada seorang sahabat yang mulia, Abdullah bin Az-Zubair. Beliau merupakan antara wanita yang terawal memeluk agama Islam iaitu sebelum hijrah dan telah berbai’at kepada Rasulullah S.A.W melalui ayahnya.

Asma’ juga dikategorikan sebagai wanita yang matang dalam ilmu, kesabaran dan jihadnya. Ketika peristiwa hijrah, beliau mengharungi pelbagai penderitaan dengan penuh kesabaran. Beliau merupakan salah seorang daripada beberapa orang sahabat yang mengetahui tentang hijrah Nabi S.A.W. Ibnu Ishaq menyebutkan hal ini dengan berkata,

Menurut saya, tidak seorang pun mengetahui keberangkatan Nabi Muhammad S.A.W ketika berhijrah kecuali Ali bin Abu Thalib, Abu Bakar As-Siddiq dan keluarga Abu Bakar”.

Keperibadiannya sebagai seorang Muslimah yang sejati jelas terpancar apabila beliau meletakkan sepenuh keyakinannya terhadap pertolongan Allah S.W.T dalam soal pemberian rezeki. Ketika perjalanan hijrahnya, ayahandanya tidak meninggalkan sedikit pun harta untuk keluarganya.

Pada suatu hari, Asma’ didatangi oleh datuknya yang buta iaitu Abu Qahafah yang masih lagi musyrik ketika itu. Datuknya berkata, “Sesungguhnya Abu Bakar tidak meninggalkan harta dan jiwanya untuk kamu”. Dengan tenang wanita mulia ini menjawab, “Tidak wahai datukku, sesungguhnya dia telah meninggalkan kebaikan yang banyak untuk kita”. Asma’ menggunakan kecerdikan akalnya dengan mengambil beberapa biji batu, lalu dibungkusnya dengan pakaian. Kemudian, beliau memegang tangan datuknya yang buta itu, lalu diletakkan di atas bungkusan itu seraya berkata, “Ini yang dia tinggalkan untuk kita”. Dengan tindakannya itu, Asma’ telah berjaya menenangkan hati datuknya daripada terus memikirkan tentang harta peninggalan ayahnya. Sesungguhnya, Asma’ tidak menginginkan bantuan daripada orang musyrik meskipun datuknya sendiri. Inilah bukti yang menunjukkan betapa besarnya perhatian beliau terhadap dakwah dan kepentingan kaum Muslimin.

Pengorbanan Asma’ r.a sangat terserlah ketika beliau diberi tanggungjawab untuk menghantar kelengkapan perjalanan dan bekalan makanan kepada Rasulullah S.A.W dan ayahandanya di Gua Tsur dalam keadaan beliau sedang mengandung-kan anaknya iaitu Abdullah bin Az-Zubair. Hal itu tidak menjadi alasan baginya untuk tidak menjalan-kan tugasnya. Akibat tidak menjumpai tali pengikat pada saat itu, beliau lantas mengoyakkan tali pengikat pinggangnya kepada dua, lalu beliau mengikat lubang bekalan makanan dengan sebelah ikatan, manakala sebelah lagi sebagai ikatan pinggangnya. Melihat tindakan Asma’ r.a, Rasulullah S.A.W memberi gelaran ‘Dzatun-Nithaqain’ kepada-nya yang membawa maksud ‘wanita yang mempunyai dua tali pinggang’. Hal ini telah diperkatakan oleh Aisyah r.a,

Lalu kami menyiapkan segala kelengkapan yang mereka perlukan dan kami juga membuatkan bekal untuk mereka berdua. Lalu, Asma’ memotong ikat pinggangnya, mengikat lubang bekalan dengan salah satu potongan ikat pinggang itu. Kerana itulah dia digelar Dzatun-Nithaqain [HR Bukhari].

Keberanian Asma’ r.a tidak berhenti sampai di situ sahaja. Perjalanan ke Gua Tsur itu bukanlah satu perjalanan yang mudah sebagaimana yang digambarkan oleh kebanyakan masyarakat kini. Beliau dengan penuh sabar, meredah kegelapan malam sambil membawa makanan, melalui jalan yang sulit dan panjang serta mendaki bukit untuk tiba di gua itu seorang diri dalam keadaan mengandung. Walhal beliau sedar akan risiko yang bakal dihadapinya jika orang-orang musyrik mengetahui-nya. Namun, beliau mengharungi perjalanan itu dengan penuh harapan dan tawakal kepada Allah. Walau bagaimanapun, Allah telah memberi janji kepada orang-orang yang menolong agamaNya bahawa Dia pasti akan menolong dan meneguhkan kedudukan hambaNya. Allah S.W.T berfirman,

Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu  [TMQ Muhammad (47): 7].

Pada saat-saat genting seperti itu, Asma’ mampu meramal kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku. Dengan bijaksana dan penuh perhitungan, beliau berjalan menuju ke gua sambil membawa kambing-kambing yang berjalan di belakang-nya. Taktik ini dilakukan untuk mengaburi mata pihak musuh kerana jejak beliau akan terhapus oleh jejak-jejak kambing gembalaannya itu. Tindakan ini belum tentu mampu dilakukan oleh sembarangan orang kerana ia boleh mengundang bahaya kekejaman daripada orang-orang kafir Quraisy.

Setelah Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar r.a pergi meninggalkan tempat persembunyian mereka, keteguhan hati Asma’ diuji lagi tatkala beliau terpaksa menghadapi para pemuka Quraisy. Abu Jahal bin Hisyam adalah antara yang mendatanginya dengan tujuan untuk mengetahui tempat persembunyian ayahnya. Kemudian, beliau dengan yakin dan tanpa rasa gerun menjawab pertanyaan Abu Jahal itu dengan berkata, “Demi Allah, aku tidak tahu di mana ayahku”. Jawapan Asma’ itu telah menaikkan darah Abu Jahal, si pembengis, lalu menampar pipi Asma’ sehingga tercabut subang yang dipakai di telinganya. Setelah itu, Abu Jahal dan pemuka Quraisy itu beredar dari rumahnya.

Ibnu Ishaq telah meriwayatkan, sesungguhnya Asma’ tidak menge-tahui ke mana hala tuju baginda Rasulullah dan ayahandanya sehingga-lah Asma’ mendengar syair yang didendangkan oleh seorang penyair. Daripada bait-bait syair ter-sebut, barulah Asma’ tahu bahawa Rasulullah dan ayahandanya menuju ke Madinah.

Subhanallah! Begitu hebatnya keperibadian seseorang Muslimah itu jika dididik dengan iman yang sempurna sehingga mereka menjadi-kan dan mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi dari dirinya sendiri dan melebihi daripada segala apa yang ada di dunia ini.

Wahai Muslimah yang (semoga) dirahmati Allah sekalian!

Sesungguhnya kalian mempunyai peranan yang besar dalam dunia Islam. Kalian merupakan ummu wa rabbatul bait (ibu dan pengatur urusan rumah tangga) yang mana di tangan kalianlah terdidiknya generasi berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

Oleh itu, seseorang Muslimah hendaklah menyiapkan dirinya dengan tsaqafah Islam dan seterusnya mem-iliki syakhsiyyah Islamiyyah yang teguh. Seseorang Muslimah mesti memiliki pemahaman yang jernih mengenai Islam. Seseorang Muslimah perlu memahami bahawa dia merupa-kan pencetak dan pembina kekuatan negara kerana dari rahimnyalah akan lahir para mujahid pembela agama. Dengan santun bicara tatkala mengasuh anak-anaknyalah akan tertancapnya semangat jihad dalam generasi seterusnya.

Selain itu, Muslimah mestilah menyedari bahawa umat Islam yang hebat seperti mana kehebatan umat Islam pada generasi awal Islam, hanya akan terwujud melalui proses tasqif (pembinaan) yang benar yang bermula dari rumah tangga sehinggalah kepada tertubuhnya sebuah negara Islam.

Keadaan ini pasti akan kembali dalam kehidupan kita saat ini jika seluruh umat Islam termasuk wanita gigih memahami Islam, mengamalkan Islam dalam kehidupan, berdakwah ke jalan Islam, mengasuh anak-anak dengan fikrah Islam yang hakiki serta menyokong suami dan keluarganya yang berjuang menerapkan Islam. Di sinilah terdapat banyak hal yang menuntut peranan dan pengorbanan kalian wahai Muslimah yang dikasihi sekalian seperti yang dilakukan oleh Asma r.a.

Wallahu’alam.

Rujukan:

•    Wanita Yang Di jamin Surga. Ahmad Khalil Jam’ah. Darul Falah. 337-360
•    Sirah Nabawiyah. Mengungkap Maksud Politis Perilaku Rasulullah SAW. Prof. Dr. Muh. Rawwas Qol’ahji. Al-Izzah. Bangil-Jatim. Cetakan Pertama. 2004. 138-141.


FIKIH: KEWAJIPAN BERPOLITIK DAN KEHARAMAN BERDIAM DIRI

SOALAN:

Assalamualaikum.

Wanita selalu dikaitkan dengan peranan sebagai ibu dan pengurus rumah tangga yang aktiviti kehidupannya berputar di dalam rumah dan tugas-tugas yang terkait dengan urusan rumah tangga sahaja. Tetapi ada juga wanita yang melibatkan diri dalam dunia politik. Apakah sebenarnya hukum berpolitik bagi seorang wanita?

JAWAPAN:

Makna Politik dalam Islam
Istilah ‘politik’ atau dalam bahasa Arab disebut siyasah, berasal daripada kata sasa, yasusu, siyasat[an] yang bermaksud mengatur atau mengurus. Dalam Islam, pengaturan politik adalah didasarkan kepada aqidah dan hukum-hukum Islam. Jadi, politik Islam ber-maksud pengaturan urusan-urusan (kepentingan) umat baik di dalam negeri mahupun di luar negeri ber-dasarkan hukum-hukum Islam. Pengertian ini diambil berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W,

Dahulu, bani Israel dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi wafat, digantikan dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada Nabi sesudahku (tetapi) nanti akan ada ramai Khalifah…” [HR Muslim dari Abi Hurairah r.a].

Hadis ini menjelaskan bahawa, setelah kewafatan Rasulullah SAW selaku Nabi yang terakhir, Khalifahlah yang mengatur dan mengurus rakyatnya. Dari sinilah kata/definisi siyasah (politik) diambil dan difahami yang bermaksud ri’ayah al-syu’un al-ummah (mengurus urusan umat) yang menjadi kewajipan Khalifah selaku ketua negara dan wajib pula ke atas Khalifah itu mengurus urusan umat dengan hukum Allah.

Aktiviti politik melibatkan kedua-dua pihak pemerintah dan juga rakyat. Negara berfungsi sebagai institusi penerapan Islam secara praktikal. Manakala rakyat pula berperanan untuk melakukan muhasabah lil hukkam (menasihati pemerintah) dalam mengurusi urusan rakyat, sama ada di dalam mahu pun di luar negara. Peranan politik menuntut setiap individu untuk sentiasa memuhasabah (menasihati) penguasa. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Agama itu nasihat”. Ditanyakan kepada baginda, “Kepada siapa wahai Rasulullah?” Baginda men-jawab, “Kepada Allah, RasulNya, para pemimpin kaum Muslimin dan rakyat mereka” [HR Bukhari].

Dalam hal ini, setiap Muslim ber-peranan membina kesedaran politik dalam masyarakat dengan melaksanakan kewajipan menyeru kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran serta mengambil berat tentang masalah yang menimpa umat Islam. Sabda Rasulullah S.A.W,

Barang siapa yang tidak memer-hatikan kepentingan kaum Muslimin, maka ia tidak termasuk golongan mereka[HR at-Thabrani].

Kesimpulannya, politik dalam Islam bermaksud mengurusi dan memelihara urusan-urusan masyarakat sesuai dengan hukum-hukum Islam.

Hukum Berpolitik
Tugas berpolitik ini diwajibkan ke atas lelaki mahupun wanita sebagaimana yang telah disebut oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran,

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada Islam, mengajak kepada kebaikan dan mencegah ke-mungkaran. Mereka itulah orang-orang yang beruntung [TMQ Ali-Imran (3): 104].

Bukan hanya lelaki, wanita juga diperintahkan untuk melakukan amar makruf nahi munkar kerana perintah Allah di dalam ayat di atas berbentuk umum. Dalam ayat lain, Allah S.W.T dengan jelas menerangkan bahawa lelaki dan perempuan, kedua-duanya wajib melaksanakan tugas ini. Firman-Nya,

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana [TMQ at-Taubah (9): 71].

Setelah meneliti dan memahami penjelasan di atas, ini bermakna kewajipan Muslimah bukanlah hanya sebagai ibu (ummun) dan pengatur rumah tangga (rabbatul bait) sahaja, tetapi juga memiliki tanggungjawab untuk berpolitik.

Diriwayatkan semasa pemerintahan Khalifah Umar, seorang wanita telah memuhasabah polisi Umar selaku Khalifah pada waktu itu. Umar telah melarang wanita meminta mahar (mas kahwin) yang tinggi dan bagi yang telah mendapat mahar yang tinggi mesti memulangkannya. Wanita tersebut telah menegur Umar dengan menyatakan bahawa perintah itu adalah bertentangan dengan firman Allah S.W.T iaitu,

Dan jika kamu ingin menggantikan isterimu dengan isteri yang lain, sedangkan kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripada-nya barang sedikitpun” [TMQ an-Nisa’ (4): 20].

Khalifah Umar lantas mengubah keputusannya seraya mengatakan, “Benar perkataan wanita itu!”.
Ini bermakna, aktiviti politik ter-masuklah mengawasi para penguasa supaya memerintah umat dengan hukum-hukum Allah dan melontarkan kritikan terhadap penyimpangannya daripada hukum syarak. Sekiranya (setelah dimuhasabah) mereka tetap mengabaikan hak-hak umat atau menyalahi hukum-hukum Islam, maka mereka harus diganti dengan pemerintah yang benar. Selain itu, aktiviti politik juga adalah termasuk mendidik dan membina umat dengan tsaqafah Islam dan membebaskan mereka daripada pengaruh idea-idea dan pandangan-pandangan kufur.

Di samping itu, Muslimah juga wajib menyertai jemaah/parti politik Islam untuk menjalankan kewajipan dan bekerja bersama-sama jemaah/parti tersebut dalam melakukan amar makruf nahi munkar. Dalam keadaan di mana tidak ada Negara Islam, maka Muslimah turut berkewajipan bersama dengan parti politik Islam, mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W dalam menegakkan Daulah Islam. Muslimah wajib mempunyai kesedaran politik, mempelajari dan mengikuti sirah dan sunnah Rasulullah S.A.W untuk di-jadikan asas perjuangan bagi men-capai matlamatnya. Allah S.W.T telah menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai ikutan dan menjadi kefardhuan bagi kita untuk mencontohi baginda sepertimana firman Allah S.W.T.,

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah[TMQ al-Ahzab (33): 21].

Allah S.W.T juga telah berfirman, “Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkan-lah [TMQ al-Hasyr (59): 7].

Penglibatan Muslimah dalam politik sebenarnya bukanlah satu fenomena baru yang hanya berlaku dalam dunia moden hari ini. Antara contoh awal ialah pada zaman Rasulullah S.A.W apabila pemimpin Yatsrib (Madinah) menghantar wakil Bani Khazraj untuk memberikan bai’ah kepada baginda S.A.W. Kumpulan ini terdiri daripada 73 orang lelaki dan 2 orang wanita yang berbai’ah kepada Rasulullah S.A.W, iaitu ketika peristiwa Bai’atul Aqabah kedua yang tersohor kerana membawa implikasi spiritual dan politik. Bai’at itu bukan hanya satu deklarasi menerima Islam tetapi juga adalah satu aku janji untuk memberikan sokongan politik dan ketenteraan kepada Rasulullah S.A.W. Penglibatan kaum wanita di dalam peristiwa baiah ini menunjukkan bahawa wanita turut berperanan di dalam aktiviti politik Negara.

Dalam sejarah Khilafah pula, peranan Muslimah di tengah-tengah masyara-kat tercatat dengan baik. Syifa binti Sulaiman pernah diangkat oleh Khalifah Umar r.a sebagai qadhi hisbah (hakim yang mengurusi pelanggaran terhadap peraturan yang membahayakan hak masyarakat).

Khatimah
Berdiam diri dan berpeluk tubuh daripada kewajipan berpolitik merupa-kan suatu perbuatan maksiat yang besar kerana sesungguhnya tidak ada beza sedikit pun di antara kewajipan berpolitik dengan kewajipan bersolat, berpuasa dan sebagainya. Kesemua-nya adalah kewajipan yang dibebankan oleh Allah ke atas kita dan wajib ditunaikan tanpa sebarang alasan.

Haram hukumnya jika kita menolak untuk berpolitik, dan apatah lagi sekiranya menolak atau memusuhi seruan untuk kembali kepada syariah dan Khilafah. Tidak ada uzur (alasan) apa pun bagi seorang Muslim di muka bumi ini untuk berdiam diri terhadap apa yang telah difardhukan oleh Allah kepada mereka.
Jika seseorang Muslim atau Muslimah itu terus berdiam diri dari berpolitik, maka hukum-hukum kufur akan terus diterapkan di tengah-tengah masyara-kat dan ramai yang akan terus bergelumang dalam kemaksiatan dan kemungkaran.

Oleh sebab itu, sebagai bukti ketaatan kita kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya, marilah kita berjuang melalui aktiviti politik yang dicontohkan oleh Rasulullah S.A.W untuk menegakkan kembali syariah Islam dalam institusi Daulah Islamiyyah. Kita memohon kepada Allah Azza Wa Jalla agar, berkat aktiviti politik yang kita jalankan, maka selepas ini lahirlah seorang pemimpin yang bertakwa, yang akan menerapkan kembali syariah dan sistem pemerintahan Islam dalam bingkai Daulah Khilafah ala minhaj nubuwah. Amin ya Rabbal Alamin.

Rujukan:

•    An – Nabhani, Asy – Syaikh Taqiyuddin, Mafahim Siyasiyah li Hizbit Tahrir, (Beirut:Darul Ummah), Cetakan IV, 2005. 5 -9
•    Abdul Qodim Zallum. Pemikiran Politik Islam, terj. Abu Faiz .Al Izzah (2004)
•    An – Nabhani, Asy – Syaikh Taqiyuddin, Muqaddimah ad-Dustur, aw al-Asbab al-Mujibah Lahu, Jilid 1, (Beirut:Darul Ummah), Cetakan II, 2009.
•    http://www.mykhilafah.com/fok us-muslimah/2460-peranan-mus limah-dalam-mendirikan-kembali-daulahkhilafah … diakses pada 24 Januari 2013
•    http://www.mykhilafah.com/fok us-muslimah/ diakses pada 20 Januari 2013
•    http://www.mykhilafah.com/sautun_nahdhah/SN150_Politik_Kufur_vs_Politik_Islam.pdf di akses pada 25 Januari 2013.