SN039 – RAMADHAN PEMANGKIN KESATUAN POLITIK
SN Keluaran 2005
[SN039] Penentuan awal dan akhir Ramadhan merupakan perkara yang sentiasa bermain di dalam minda Umat Islam setiap kali bulan yang penuh keberkatan ini tiba. Namun apa yang pasti, Ramadhan tahun ini tiada bezanya dengan tahun-tahun lepas di mana sekali lagi ia mendedahkan keadaan Umat Islam yang berpecah-belah, lebih-lebih lagi pada saat negara-negara kaum muslimin di Iraq, Palestin dan Kashmir dijajah oleh kuasa-negara kafir. Sementara kerja-kerja dakwah masih diteruskan untuk menyatukan negara-negara kaum muslimin, pemimin negara-negara ini bersekongkol dengan pihak kafir membunuh saudara seIslam mereka atas nama menentang ‘keganasan’ (terrorisme).
Saban tahun, semangat kaum muslimin dibangkitkan dengan keadaan Umat hari ini dan saban tahun juga kita berbicara mengenai perpaduan tanpa memahami asas kepada permasalahan tersebut. ‘Bersatu padu’ hanya boleh diselaraskan dengan pemahaman yang komprehensif mengenai ikatan yang mengikat seluruh Umat Islam. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas mengatakan bahawa Umat Islam diikat oleh Aqidah Islam yang menjadi asas kepada undang-undang yang komprehensif sebagai risalah keseluruh pelusuk dunia. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang bermaksud :
“Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada suatu Umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran dan dengannya mereka menjalankan keadilan.” [TMQ Al A’raaf : 181]
Perpaduan Umat jelas dinyatakan di dalam teks Al-Quran dan Sunnah sebagai perpaduan Aqidah, perpaduan dalam beriman hanya kepada Tuhan Yang Esa dan Nabi yang terakhir Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam. Perpaduan ini hanya akan benar-benar terealisasi apabila kaum muslimin hidup di bawah sebuah entiti politik Islam yang tunggal bagi seluruh Umat Islam Perpaduan sistem politik Islam pula hanya boleh dilaksanakan melalui perpaduan sumber pembentukan undang-undang. Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan Umat untuk tunduk dan mengambil peraturanNya di dalam perhubungan dan tindakan kita dan dengan merujuk hanya kepada Aqidah Islam dalam setiap permasalahan. Allah berfirman dengan maksud:
“…Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran…” [TMQ Al-Maaidah : 48]
Dan Allah juga berfirman:
“…Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang maka patuhilah larangannya…”. [TMQ Al Hasyr : 7]
Firman Allah Ta’aala sebagai pembuat hukum di dalam ayat ini merujuk kepada semua Umat Islam, tanpa membezakan di antara mereka yang berada di Hijaz dengan mereka yang berada di Pakistan mahupun mereka yang berada di Indonesia atau Iraq. Seumpamanya juga, apabila Rasululllah bersabda dengan maksudnya, “Berpuasalah apabila nampak anak bulan dan berbukalah apabila nampak anak bulan”, dan “Sekiranya keadaan mendung yang menyelubungi kamu ketika itu, maka cukupkanlah Sha’ban selama tiga puluh hari”. Ia ditujukan kepada seluruh Umat Islam. Melihat anak bulan Ramadhan mahupun Syawal, walaupun oleh seorang muslim (yang terpecaya) mewajibkan seluruh Umat Islam untuk berpuasa atau berbuka, tanpa ada perbezaan di antara satu negara dengan negara lain atau di antara seorang muslim dengan muslim yang lain. Sesiapa sahaja di antara orang Islam yang telah melihat anak bulan sudah cukup menjadi bukti kepada mereka yang tidak melihatnya.
Kriteria untuk menentukan waktu berpuasa atau berbuka mestilah berdasarkan peraturan-peraturan Islam dan bukannya didasarkan oleh geo-politik negara kaum muslimin hari ini yang pada hakikatnya merupakan ciptaan kaum penjajah. Hari ini, dengan kecanggihan media massa yang wujud di sekeliling kita, berita rukyah anak bulan boleh disebarkan ke seluruh dunia dalam masa yang sangat pendek. Tidak bersatu di dalam menentuan anak bulan adalah merupakan salah satu daripada masalah yang melanda Umat Islam dan ini sebenarnya berpunca dari tiadanya kesatuan sistem politik bagi kaum muslimin. Khilafah, sebagai wadah penyatuan ini berperanan menguruskan kemaslahatan Umat melalui peraturan Islam dengan menyatukan Umat Islam berdasarkan Aqidah Islam di dalam segenap aspek, termasuklah menentuan awal dan akhir Ramadhan.
Justeru itu, seruan untuk bersatu dalam penentuan mula berpuasa dan akhir puasa adalah merupakan suatu peringatan kepada pemimpin negara-negara kaum muslimin dan kaum muslimin secara umumnya akan perpecahan yang terus berlaku di dalam Umat yang mulia ini akibat dari sempadan-sempadan buatan ciptaan barat. Sesungguhnya Umat ini adalah Umat yang satu, sumber perundangannya adalah satu, perjuangannya adalah satu, pemikiran dan perasaannya adalah satu dan negaranya adalah satu.
“Kamu (wahai Umat Muhammad) adalah sebaik-baik Umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu kepada perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” [TMQ Ali Imran : 110]
Wallahu’alam
TRAGEDI PENGEBOMAN BALI?
Kejadian pengeboman kali kedua di Bali pada 1 Oktober 2005 yang mengorbankan 23 nyawa sekali lagi mengejutkan umat Islam di rantau ini. Apatah lagi apabila peristiwa yang sama pada tahun 2002 masih menimbulkan pelbagai tanda tanya – malah perbicaraan ke atas pelakunya dan usaha mencari perancang sebenar masih lagi diteruskan. Seperti biasa dua ‘figur’ utama iaitu Dr Azahari Husin dan Noordin Mohamed Top yang merupakan rakyat Malaysia dan ahli kepada kumpulan yang digelar kumpulan militan Jemaah Islamiah menjadi buruan kerana disyaki mendalangi kejadian-kejadian tersebut. Ironisnya, pemimpin Jemaah tersebut yang kini di tahan di Indonesia menafikan penglibatan kelompoknya serta menegaskan penafian mengenali ‘pengebom-pengebom’ tersebut di dalam perbicaraannya. Kejadian pada 1 Oktober itu menimbulkan beberapa kesangsian yang kini menghantui badan penyiasatan sepertimana yang disiarkan di dalam wawancara sebuah stesen TV tempatan Indonesia dengan anggota penyiasat terbabit, di antaranya: i) Video yang menggambarkan pengebom di ambil oleh salah seorang pelancong berbangsa Australia dengan alasan untuk koleksi keluarga, ii) mengapa badan penyiasat Indonesia memperolehi video tersebut daripada Australia, iii) terdapat khabar yang mengatakan bahawa rakyat Australia dilarang untuk mengunjungi kawasan tersebut beberapa hari sebelum kejadian. Perlu diperhatikan juga bahawa adakah secara kebetulan kejadian ini berlaku di saat seluruh pelosok Indonesia dilanda demonstrasi jalanan berikutan bantahan rakyat akibat kenaikan harga Bahan Bakar Minyak (BBM) yang juga berkuatkuasa pada 1 Oktober 2005.
Reaksi selepas pengeboman menunjukkan negara pertama yang menawarkan bantuan keselamatan dan perisikan adalah Australia walaupun hakikatnya hanya dua orang rakyatnya meninggal dunia dalam peristiwa tersebut berbanding pengeboman tahun 2002 di mana 88 rakyat Australia terbunuh. Mengapakah Australia begitu berminat terhadap Indonesia? Sedangkan mereka tidak pula berminat untuk mengambil tahu tentang kekejaman yang berlaku di selatan Thailand. Ini merupakan wajah sebenar Australia sebagai proksi utama Amerika Syarikat dalam memerangi keganasan yang juga pada masa ini cuba menekan kelompok-kelompok Islam di dalam negaranya. Dalam perkembangn yang sama, Berita Harian melaporkan bahawa tidak lama lagi sebuah filem berkaitan tragedi Bali ‘versi Australia’ akan difilemkan dengan menampilkan hero-hero dari kalangan rakyat Australia [Berita Harian 10 Oktober 2005]. Pada 6 Oktober 2005, akhbar yang sama juga melaporkan bahawa Menteri Luar Australia, Alexander Downer akan ke Indonesia untuk melobi kerajaan negara itu supaya mengharamkan kumpulan Jemaah Islamiah. Akhbar Jakarta Post pula melaporkan bahawa Perdana Menteri John Howard mengatakan dalam sebuah wawancara radio, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono akan memberikan isyarat yang meyakinkan kepada umat Islam ‘sederhana’ Indonesia dengan mengambil tindakan keras ke atas pertubuhan itu. Lebih menarik lagi, sebuah laman web popular Indonesia hidayatullah.com, melaporkan bahawa Amerika Syarikat pada 6 Oktober 2005 mengumumkan tawaran bernilai USD 10 juta bagi setiap maklumat sehingga tertangkapnya pelaku pengeboman Bali 2002 yang kelompoknya juga dikaitkan dengan siri pengeboman 1 Oktober lalu.
Sautun Nahdhah kali ini tidak bertujuan mempersoal siapakah yang bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut namun apa yang ingin kami lakukan adalah memberikan pandangan mengikut hukum syara’ tentang kejadian-kejadian seumpamanya yang sejak kebelakangan ini tidak kunjung padam. SN juga ingin mengajak umat Islam untuk mengetahui kedudukan sebenar persoalan seperti ini menurut pandangan Islam agar umat tidak mudah goyang dengan pelbagai tohmahan dan propaganda musuh-musuh Islam.
Pandangan syara’
Pendapat yang sewajarnya diambil berkaitan dengan peristiwa pengeboman di Bali dan kejadian-kejadian seumpamanya mestilah dikembalikan kepada nas-nas syara’. Persoalan ini dapat dipecahkan mengikut keadaan-keadaan berikut.
Pengebom berani mati – Aktiviti ini dikaitkan dengan meledakkan diri samada menggunakan bom atau menggunakan kenderaan yang dipandunya ke tengah-tengah musuh hingga membinasakan dirinya dan musuh-musuhnya. Di dalam Islam aktiviti ini dikenali sebagai al-istisyhad al-mabrur. Pada kebiasaannya, hal ini dilakukan di tengah-tengah pertempuran sengit antara kaum muslimin dan orang-orang kafir (harbi) dengan tujuan menghasilkan kerosakan yang besar dan kepanikan yang boleh menggerunkan musuh dan juga menimbulkan keberanian di kalangan kaum muslimin. Aktiviti ini tergolong peperangan yang diterima Allah dan pelakunya termasuk orang-orang yang syahid (dunia dan akhirat) [Dr. Muhamad Khair Haekal, al jihad wal qital fi as-siyasati asy syariah]. Imam Qurthubi mengatakan bahawa Muhamad bin Hassan pernah mengatakan bahawa jika seorang perajurit secara sendirian terjun kekancah peperangan di tengah seribu orang musyrik dengan tujuan memberi pengajaran kepada musuh dan mengagungkan Dinullah dan melemahkan kekufuran, maka pelakunya memperolehi darjat yang amat tinggi sebagaimana firman Allah:
إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ
ُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka, dengan memberikan syurga untuk mereka jika mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh….
[Surah at Taubah (9):111]
Diriwayatkan juga bahawa dalam perang Badar, Rasulullah telah bersabda:
“Bersegeralah ke satu tempat yang di situ kalian dapat meraih syurga seluas langit dan bumi’. Umair bin Humam kemudian bertanya ‘Apakah benar seluas langit dan bumi?’ ‘Ya’ jawab Rasulullah. Umair berkata ‘Wah, (hebat sekali)’. Rasul bertanya ‘Apa yang menyebabkan engkau berkata demikian?’ Ia pun menjawab ‘Kerana aku berharap menjadi penghuninya’. Rasulullah lantas bersabda ‘Engkau pasti akan menjadi penghuninya’, laki-laki itu lantas memecahkan sarung pedangnya seraya mengeluarkan beberapa butir kurma. Ia memakan sebahagiannya dan membuang sisanya. Lalu ia berkata ‘Jika aku masih hidup hingga kurma (yang dikunyah) ini habis, maka kehidupan itu terlalu lama’. Seketika itu juga ia maju ke garis hadapan untuk memerangi musuh, hingga ia mati syahid”. [HR Muslim].
Perlu diperhatikan bahawa keadaan di atas hanya berlaku dalam keadaan terjadinya peperangan samada Daulah Khilafah menyerang negara kufur atau ketika negara kafir menyerang atau menceroboh wilayah umat Islam.
Apakah Islam membenarkan memerangi penduduk awam – yang dimaksudkan dengan masyarakat awam adalah orang yang tidak terlibat mahupun dilibatkan di dalam peperangan seperti petani, pegawai kerajaan, buruh, doktor, wartawan dan seumpamanya. Antara nas-nas berkaitan adalah sepertimana hadis-hadis Rasulullah:
‘Rasulullah telah melarang pembunuhan terhadap kaum wanita dan anak-anak (dalam peperangan)’
[HR Muslim]
”Pergilah engkau kepada Khalid bin Walid. Katakan kepadanya Rasulullah telah memerintahkan kepadanya “janganlah engkau membunuh kanak-kanak dan jangan pula para buruh/pekerja” [HR Ibn Majah]
‘Sesungguhnya Rasullulah jika mengutuskan pasukan, beliau selalu bersabda, “pergilah kalian atas nama Allah. Janganlah kalian membunuh orang-orang tua renta, anak-anak kecil dan wanita. Janganlah pula kalian melampaui batas. Kumpulkanlah harta ghanimah kalian, berdamailah dan berbuat baik. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik”. [HR Abu Dauwud]
Hadis-hadis ini merupakan pengkhususan dari ayat-ayat al Quran tentang perintah berjihad yakni memerangi orang-orang kafir. Di sini juga dapat difahami bahawa Rasulullah melarang memerangi penduduk awam samada dalam keadaan perang apatah lagi dalam keadaan tidak terjadinya peperangan. Namun demikian pengecualian diberikan dalam melibatkan penduduk awam ini jika mereka juga turut mengangkat senjata memerangi orang Islam, atau jika penggunaan senjata berat diperlukan untuk menghancurkan barisan musuh yang dengannya penduduk awam juga akan ditimpa kemusnahan, atau jika musuh menggunakan senjata perisai hidup dari kalangan penduduk awam, meskipun sasaran utama adalah tentera musuh.
Mengangkat senjata untuk mendirikan Daulah Khilafah – Menelusuri sirah Rasulullah dari awal pengangkatannya hinggalah tertegaknya Daulah Islam di Madinah maka kita akan mendapati bahawa tariqah Rasul dalam melaluinya adalah hanya dengan pembinaan pemikiran dan pembahasan aqal berdasarkan wahyu Allah. Ini dapat dilihat ketika para sahabat meminta izin untuk memerangi kaum musyrik Mekah yang ketika itu melakukan berbagai penyiksaan fizikal ke atas umat Islam, beliau menjawab bahawa perkara tersebut masih belum diperintahkan keatasnya.
Dan jika diperhatikan ayat-ayat berkaitan perintah untuk berjihad menentang musuh-musuh Allah, ia hanya diturunkan di Madinah iaitu selepas berdirinya negara Islam dan Rasulullah sendiri menjadi panglima perang dalam beberapa peperangan selama tempoh masa beliau sebagai ketua negara. Ini menunjukkan bahawa aktiviti fizikal tidak boleh digunakan oleh mana-mana kumpulan dan ianya bukan merupakan tariqah untuk mendirikan negara, melainkan hanya dengan merubah pemikiran umat daripada pemikiran kufur yang kacau bilau kepada pemikiran Islami.
Berkaitan dengan firman Allah di dalam surah An Nahl ayat 126.
وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُواْ بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ
ِّلصَّابِرينَ
“Jika kalian memberikan balasan (kepada musuh), maka balaslah dengan balasan yang sama dengan perlakuan yang ditimpakan kepada kalian. Akan tetapi jika kalian bersabar sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar”.[Surah An-Nahl:126]
Ayat ini diturunkan berkaitan dengan perlakuan orang kafir musyrik yang merobek-robek perut syuhada pada perang Uhud, memotong kemaluan, tangan dan kaki. Pada keadaan normal-peperangan biasa – hal ini dilarang. Akan tetapi jika musuh memperlakukan kaum muslimin seperti demikian iaitu merosakkan mayat, Allah Subhanau wa Ta’ala. memperbolehkannya meskipun sikap yang terbaik adalah dengan bersabar (iaitu tidak melakukan balasan yang serupa). Kes ini juga hanya sah dalam keadaan terjadinya peperangan.
Khatimah
Wahai kaum muslimin,
Hendaklah kalian tetap tenang dan tidak mudah terprovokasi oleh sesiapapun sehingga kalian melakukan perkara-perkara yang akan merugikan umat Islam itu sendiri. Syariat agama yang kita anuti ini sangat jelas dan terang dalam melarang sesiapapun dengan motif apapun membunuh orang tanpa hak dan alasan yang dibenarkan, merosakkan milik peribadi, kemudahan umum, apatah lagi tindakan itu boleh menghasilkan ketakutan yang meluas dan menyebabkan korban yang banyak. Kepada pihak berkuasa, kami juga ingin menasihati agar berhati-hati menanggapi isu-isu seumpama ini ketika mengaitkannya dengan kelompok-kelompok Islam yang berjuang secara ikhlas dalam menegakkan agama yang mulia ini. Kelompok-kelompok Islam inilah harapan kaum muslimin dalam menegakkan risalah Allah yang mulia ini.
Memang umat Islam hari ini amat tertekan dan mungkin ada di antara kita yang ingin melepaskan diri dari tekanan ini dengan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syara’. Ingatlah, sesungguhnya di dalam Islam itu terdapat segala penyelesaian bagi setiap permasalahan. Permasalahan yang terbesar yang wujud hari ini di kalangan kaum muslimin adalah tiadanya Islam di dalam kehidupan. Allah dan RasulNya telahpun menunjukkan jalan bagaimana kehidupan Islam ini dapat dikembalikan – melalui tariqah dakwah Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam. Inilah tariqah yang wajib kita tempuhi dalam menegakkan Daulah Khilafah dan mengembalikan kemuliaaan umat yang sudah lebih 80 tahun menghilang.
Wallahua’lam