Ramadhan Merupakan Bulan Kesatuan Umat Islam

Hampir satu abad lamanya seluruh umat Islam berada dalam naungan negara bangsa dan  diterapkan sistem peraturan yang tidak berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah sejak runtuhnya Daulah Khilafah Islamiyyah di Turki pada tanggal 3 Mac 1924. Mulai detik itu, umat Islam mula kehilangan arah tuju dalam persada politik dunia. Mereka dipecah-pecahkan melalui kepada lebih daripada 50 buah negara kecil yang lemah melalui fahaman nasionalisme dan patriotisme. Sejak daripada itulah mereka telah terlupa dan terlena tentang kemuliaan dan ketinggian darjat yang pernah mereka miliki satu ketika dahulu selama lebih daripada 1300 tahun mereka berada di bawah naungan Daulah Khilafah.

Salah satu perkara penting yang dianggap sebagai manifestasi kepada perpecahan umat Islam adalah Hari Raya ‘Eidul Fitri dan Eidul Adha. Saban tahun, mereka sentiasa mula menjalani ibadah puasa Ramadhan dan merayakan kedua-dua hari kebesaran Islam itu pada hari yang berbeza antara satu sama lain.  Padahal jika kita telusuri kembali kepada sirah Rasulullah SAW dan juga para sahabat, maka kita akan dapati bahawa puasa dan hari raya mereka adalah sama walaupun berada di tempat yang berlainan. Dari segi realiti fakta peredaran bumi yang mengelilingi matahari dan bulan yang mengelilingi bumi, ia juga akan dapat membuktikan perkara tersebut. Jarak matahari yang paling jauh dapat dilihat di muka bumi pun tidak akan membezakan hari. Perbezaan jarak waktu yang paling lama di belahan bumi ini adalah 12 jam dan ia tidak akan sampai melebihi tempoh 24 jam. Malah, bulan itu cuma satu. Sudah sepatutnya penentuan awal dan juga akhir bulan melalui pemerhatian hilal (anak bulan) adalah sama.

Sesungguhnya Allah SWT dan RasulNya telah memerintahkan kepada kita untuk memulakan bulan Ramadhan dan juga mengakhirinya melalui rukyatul hilal (melihat anak bulan) secara fizikal. Pada saat ini, kita dapat menyaksikan segelintir umat Islam yang telah melakukan perkara ini dengan bersama-sama walaupun mereka berada di negeri yang berbeza. Mereka tentu akan lebih bersatu dalam menjalani ibadah Ramadhan dan juga Hari Raya dengan dengan penuh kebersamaan di seluruh dunia jika sekiranya mereka disatukan dalam satu kepemimpinan dunia yang mana ia disatukan oleh satu komando. Kepimpinan dan komando yang satu itu tidak lain adalah Khilafah Islam yang telah disyariatkan oleh Allah dan Rasul serta telah terbukti selama belasan abad yang mampu menyatukan umat Islam di seluruh dunia.

Kaedah syarak ada menyatakan bahawa ‘amrul Imaam yarfaul khilaf’ (perintah  seorang Imam/Khalifah akan menghilangkan perbezaan/perselisihan). Ini termasuklah persoalan tentang perbezaan dalam memulakan dan mengakhiri bulan Ramadhan jika umat Islam memiliki satu kepimpinan. Bahkan Allah SWT telah menjadikan bulan Ramadhan, ‘Eidul fitri dan ‘Eidul adha sebagai syiar (simbol) kesatuan umat Islam di mana umat Islam di seluruh dunia disatukan dengan mula melaksanakan puasa Ramadhan secara serentak pada hari yang sama, kemudian disatukan pula dengan melakukan solat Eidul fitri serentak pada hari yang sama. Pada bulan Zulhijjah pula, umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Mekkah dan di sekitarnya bagi melaksanakan ibadah haji, seterusnya mereka berpuasa pada hari ‘Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah dan melaksanakan solat ‘Eidul adha pada keesokan harinya. Ibadat ini dilanjutkan pula dengan tiga hari tasyrik melalui takbir dan penyembelihan haiwan korban.  Inilah ruh yang seharusnya dimiliki oleh umat Islam agar mereka menyedari bahawa mereka adalah umat yang satu dan tidak terpecah-belah.

Terlalu banyak hadis daripada Rasul saw yang memerintahkan kepada kita untuk memulakan Ramadhan dan berbuka (menyambut ‘Eidul fitri) secara serentak di seluruh dunia:

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِين

“Berpuasalah kalian dengan melihatnya (anak bulan) dan berbukalah (berhari raya ‘Eidul fitri) kalian dengan melihatnya ( anak bulan). Maka jika terhalang penglihatan kalian (awan mendung), maka sempurnakanlah Sya’ban itu menjadi tiga puluh hari.” [HR Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu].

لاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلاَلَ وَلاَ تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ

 “Janganlah kamu berpuasa sehinggalah kamu melihat hilal (anak bulan) dan janganlah berbuka (berhari raya ‘Eidul fitri) sehinggalah kamu melihatnya (hilal).” [HR Bukhari daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu].

Imam Ahmad ra mengatakan :

يَصُومُ مَعَ الْإِمَامِ وَجَمَاعَةِ الْمُسْلِمِينَ فِي الصَّحْوِ وَالْغَيْمِ

“Berpuasalah bersama-sama Imam/Khalifah dan bersama-sama seluruh Muslimin, baik dalam keadaan cuaca cerah (nampak hilal) ataupun mendung (hilal tidak kelihatan).”

Hadis-hadis di atas memerintahkan agar seluruh umat Islam untuk memulakan  puasa bulan Ramadhan dan mengakhirinya (berhari raya) tatkala apabila terdapat salah seorang daripada kaum Muslimin yang ternampak hilal. Jika ada seorang Muslim yang menyaksikan kehadiran bulan baru (nampak anak bulan), kemudian diambil sumpah kesaksiannya bahawa ia benar-benar telah melihatnya dan orang tersebut sanggup untuk memberi sumpah, maka kaum Muslimin yang lain baik di sekitarnya mahupun di seluruh dunia wajib untuk mengikuti hasil pemerhatiannya.  Di sinilah berlakunya rukyah global sebagaimana pendapat daripada jumhur ulamak.

Pada zaman Rasulullah saw, pelaksanaannya dilakukan secara terpimpin oleh Rasulullah saw sendiri, lalu diteruskan pula oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin (Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Khattab, Utsman bin ‘Affan dan Ali bin Abi Thalib). Kemudian dengan cara yang sama juga telah diteruskan oleh para Khalifah seterusnya di sepanjang keberadaan Daulah Khilafah kerana penentuan awal dan akhir Ramadhan adalah merupakan hak seorang Imam/Khalifah (melalui pemerhatian yang dilakukan oleh seluruh kaum Muslimin). Daripada sini dapat kita perhatikan bagaimana Khalifah memiliki peranan yang sangat besar dan penting dalam menyatukan umat Islam dalam apa jua perkara.

Daripada secebis paparan di atas dapat kita lihat bagaimana Allah SWT telah menciptakan bulan Ramadhan dan juga sambutan ‘Eidul fitri sebagai salah satu medium yang bersistematik untuk mewujudkan kesatuan sekaligus menguatkan lagi ukhwah sesama umat Islam. Akan tetapi kesatuan yang hakiki ini hanya akan dapat wujud dan dizahirkan apabila umat Islam berada di bawah satu kepimpinan iaitu Khilafah, di mana Khalifah yang memerintah akan menerapkan syariat Islam secara kaffah kepada seluruh umat di samping menyebarluaskan dakwah ke seluruh penjuru dunia. Pada saat ini, kepimpinan tersebut sudah tidak lagi wujud sejak runtuhnya Khilafah lebih 90 tahun yang lalu. Justeru, langkah utama yang perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam adalah berjuang bermati-matian untuk menegakkan kembali Khilafah di atas muka bumi ini dengan menjernihkan semula pemikiran dan pemahaman umat Islam serta menanamkan kesedaran di tengah-tengah  umat tentang peri  pentingnya institusi Khilafah terhadap umat dan juga deen yang Maha Mulia ini. Dengan itu, mereka akan berjuang dengan bersungguh-sungguh dan akan sentiasa berasa rindu untuk kembali hidup di bawah naungan Khilafah sepertimana yang dijanjikan oleh Rasulullah saw:

“…Kemudian akan ada kembali Khilafah di atas jalan kenabian.”
[HR Ahmad],