Kini muncul pula bauksit halal bauksit haram

bauksitDalam perkembangan terbaru isu bauksit di Kuantan, dua orang lagi kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan perlombongan hasil bumi tersebut. Sebelumnya, berita melaporkan yang empat orang kakitangan PTG telah pun direman berhubung siasatan rasuah daripada pengusaha lombong bauksit haram.

Mereka ditahan di sekitar bandar Kuantan dalam operasi khas selepas disyaki menerima suapan menerusi penjualan Dokumen Pemindahan Mineral (borang 13D) pada harga antara RM150 hingga RM200 kepada pengusaha lombong haram.

Perlombongan bauksit yang selama ini hanya “didiamkan” oleh kerajaan negeri tanpa sebarang tindakan serius, kini sedikit kecoh setelah berita pencemaran sungai dan laut serta komplen dari orang ramai hangat diperkatakan.

Sebelum ini, tidak pernah timbul isu pengusaha bauksit haram dan kononnya kerajaan negeri telah pun berbincang dengan semua pengusaha bauksit bagi mengelakkan pencemaran dan mereka malah dikatakan bersetuju untuk melakukan pembersihan dengan kos mereka sendiri, namun kini tiba-tiba sahaja beberapa orang kakitangan PTG dan orang awam ditangkap bagi membantu siasatan isu rasuah. Anehnya dalam masa yang sama tidak pula kedengaran berita yang pengusaha bauksit haram dan pemberi rasuah itu ditangkap! Semacam terlalu banyak perkara yang terselindung dalam hal ini.

Itu dari satu sudut. Dari sudut lain, pencemaran alam sekitar dan risiko keselamatan kepada penduduk yang terjejas bukanlah disebabkan oleh pengusaha bauksit haram semata-mata, yang ternyata hanya sebilangan kecil sahaja. Keseluruhan aktiviti perlombongan, termasuk yang dijalankan oleh pengusaha yang majoritinya ‘halal’, inilah yang menjadi penyebab kepada masalah. Komplen dari masyarakat bukanlah terhadap status ‘halal-haram’ aktiviti perlombongan bauksit tersebut, tetapi ‘kesannya’ kepada alam sekitar dan kesihatan.

Kelihatannya kes bauksit ini seperti lazimnya kes-kes berprofil tinggi di Malaysia di mana anak-anak bilis sentiasa menjadi mangsa sementara jerung sentiasa terlepas. Apabila ‘kesalahan’ telah muncul, maka kambing hitam pun akan muncul dan penggembalanya tersenyum gembira. Ia senyum gembira kerana terlepas di dunia dan dia lupa apa yang sedang menantinya di akhirat.

Wallahu a’lam.