SN453 – Deradikalisasi Atau Sekularisasi?
SN Keluaran 29 Januari 2016
Deradikalisasi Atau Sekularisasi?
[SN453] Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan (IDC) 2016 baru sahaja selesai. Persidangan dua hari itu turut dihadiri semua menteri ASEAN dan sembilan menteri negara rakan strategik Malaysia iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Australia, United Kingdom, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, China dan Itali. Persidangan tersebut menyaksikan wakil dari setiap negara membentangkan langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh mereka dalam usaha melawan aktiviti keganasan di negara masing-masing. Dalam rangka menangani kumpulan radikal agama dan pengganas, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa merasmikan persidangan tersebut menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai undang-undang dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 untuk melindungi keselamatan rakyat. Selain itu, kerajaan juga turut memperkenalkan undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru sahaja diluluskan di Dewan Rakyat bertujuan mengekang segala aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara. Terbaru, kerajaan Malaysia melalui tiga agensinya akan melaksanakan usaha menjadikan Malaysia Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) Antikeganasan ASEAN bermula 1 Mei 2016 ini. Pembangunan awal pusat yang mendapat peruntukan sebanyak RM200 juta dari kerajaan Malaysia itu mengambil model yang diguna pakai oleh Amerika Syarikat dan UAE.
Radikal Dan Deradikalisasi
Rakyat Malaysia umumnya sudah lali dengan istilah ‘terrorisme’ dan ‘ekstremisme’ serta usaha-usaha memerangi kelompok teroris dan ekstremis di seluruh dunia yang diketuai oleh AS, yang sebenarnya bertujuan untuk memerangi Islam. Istilah ‘radikal’ juga bukanlah satu istilah asing yang ditujukan kepada beberapa individu atau kelompok Islam dengan konotasi yang negatif. Namun istilah ‘deradikalisasi’ (yang diambil dari perkataan Inggeris ‘deradicalisation’) merupakan satu istilah yang agak baru diketengahkan oleh kerajaan Malaysia. Dengan diadakan IDC 2016 yang mana istilah deradikalisasi digandingkan dengan istilah terrorisme, jelas menunjukkan motif kerajaan dengannya.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘radikal’ bermaksud menyeluruh (tidak sedikit-sedikit atau terbatas), secara yang menjejaskan (mengubah dan sebagaimana) aspek atau sifat asas sesuatu. Ia juga bermaksud memperjuangkan (menyokong atau cenderung kepada) perubahan-perubahan dasar pada bidang atau keadaan politik (ketatanegaraan, ekonomi, sosial dan lain-lain). Berdasarkan definisi ini, ‘radikal’ pada pengertian asalnya adalah satu kata yang bersifat ‘neutral’ yakni tidak condong kepada sesuatu yang bersifat positif atau negatif. Jadi, positif atau negatif akan bergantung kepada kata apakah ‘radikal’ itu digandingkan. Misalnya jika disebut “Muslim radikal”, ini bererti seorang Muslim yang sungguh-sungguh berpegang kepada agama Islam secara benar dan menyeluruh, baik secara keyakinan, ucapan dan perbuatannya dan memang begitulah seharusnya sikap seorang Muslim. Dengan kata lain, kalau ia hanya melaksanakan sebahagian tuntutan Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain, atau dia mahu melakukan perubahan Islam yang tidak menyeluruh, maka ini bermakna dia tidak radikal. Inilah pengertian atau definisi ‘radikal’ yang sebenar dan murni.
Namun, istilah ini berjaya dipesongkan oleh Barat dan musuh Islam dengan menjadikan istilah radikal identik dengan fahaman atau aktiviti fizikal yang bersifat kekerasan yang dilakukan oleh umat Islam. Hal ini sama sebagaimana istilah ‘teroris’ yang dinisbahkan kepada umat Islam. Contohnya jika dua orang pelaku melakukan tindakan keganasan atau pengeboman yang sama, bagi pelaku Muslim akan dicop sebagai teroris, manakala jika pelakunya non-Muslim, maka itu hanyalah tindakan ‘jenayah’ biasa sahaja. Bukan sekadar berhasil memesongkan istilah, Barat malah berjaya menjadikan istilah teroris dan radikal sebagai alat propaganda yang cukup efektif untuk ditujukan kepada mana-mana individu atau kelompok yang tidak selari dengan ideologi dan kepentingan Barat. Istilah ‘Islam radikal’ kemudian digunakan secara sistematik terhadap pihak-pihak yang menentang sistem dan ideologi Barat (kapitalisme, sekularisme dan demokrasi) dan ingin menggantikannya dengan penerapan syariah Islam secara kaffah.
Oleh yang demikian, ‘deradikalisasi’ bermaksud langkah atau usaha untuk merubah sikap dan cara pandang yang dianggap sebagai radikal agar menjadi lembut, lunak, bertolak-ansur, fleksibel, moderat malah hingga ke tahap menjadi liberal dan plural. Ringkasnya, deradikalisasi merupakan proses untuk menghilangkan radikalisme (yang dianggap salah).
Projek Deradikalisasi Agenda Barat
Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan yang dianjurkan Malaysia ini tidak lebih dari langkah Malaysia dalam memberi nafas baru kepada agenda ‘war on terror’ Amerika, yang sudah ditolak oleh ramai Muslim. Amerika sudah merasakan yang war on terror-nya tidak lagi mendapat tempat dan telah banyak menghabiskan kewangan, aset serta kekuatan mereka. Jadi, fokus negara kafir itu kini ialah dengan mempergunakan pemerintah umat Islam bagi memerangi rakyatnya sendiri, yang dilihat oleh Amerika lebih mudah dan lebih berkesan kerana Amerika tidak perlu lagi turun padang dan hanya perlu memberi arahan sahaja. Kewujudan dan kejahatan yang dilakukan ISIS juga telah berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Amerika dalam menakut-nakutkan pemerintah Muslim dan melagakan sesama umat Islam bagi meneruskan agenda war on terror-nya yang sebenarnya sudah kehabisan modal. Atas alasan kononnya ‘memerangi’ ISIS yang mereka cop sebagai pengganas, maka seluruh pemimpin umat Islam berjaya diperkudakan oleh AS dalam menjayakan agendanya memerangi Islam dari dalam.
Justeru, projek deradikalisasi memang berjalan seiring dengan projek war on terror kerana kelompok pengganas dikatakan datangnya dari kelompok radikal. Inilah fahaman dan propaganda yang dibawa oleh Amerika. Amerika mahu setiap Muslim tunduk kepada mereka dan menjadi kelompok moderat yang mereka sifatkan sebagai Muslim yang ‘baik’. Siapakah kelompok moderat, yang tidak radikal yang dimaksudkan dan dikehendaki oleh negara kafir itu? Rand Corporation, sebuah badan penyelidik yang banyak menjadi rujukan pemerintah AS, dalam laporannya “Building Moderate Muslim Networks” menjelaskan karakter Muslim moderat yakni Muslim yang mendukung demokrasi, mengiktiraf hak asasi manusia (termasuk persamaan gender dan kebebasan beragama), menghormati sumber undang-undang yang tidak berasal dari Islam mahupun agama tertentu dan menentang terrorisme.
Secara lebih mendalam, Robert Spencer, salah seorang penganalisis terkenal di AS menyebut kriteria seseorang yang dianggap sebagai Muslim moderat antara lain ialah menolak pengenaan hukum Islam ke atas non-Muslim, meninggalkan keinginan untuk menggantikan perlembagaan dengan hukum Islam, menolak ketinggian Islam atas agama lain; menolak hukum bunuh ke atas Muslim yang murtad, mendorong kaum Muslimin untuk menolak larangan kahwin beza agama dan lain-lain. Angel Rabasa salah seorang kakitangan Rand Corporation pernah menyatakan di Simposium Japan Institute of International Affair (JIIA) di Tokyo (pada 2008) bahawa Muslim moderat adalah Muslim yang mahu menerima pluralisme, feminisme dan persamaan gender, menerima proses demokrasi, kemanusiaan dan masyarakat madani. Andrew McCarthy dalam National Review Online, 24 Ogos 2010 dengan tegas menyatakan bahawa siapa sahaja yang membela syariah tidak dapat dikatakan sebagai moderat.
Inilah antara kehendak dan sasaran jelas Barat dalam menghasilkan Muslim moderat (sederhana). Inilah kempen global negara kafir itu dalam memerangi umat Islam yang terselindung di sebalik perang melawan keganasan dan deradikalisasi. Ia merupakan perancangan penting dan besar serta dilakukan secara sistematik dan menyeluruh dengan menggunakan pelbagai sumber dan kekuatan yang mereka ada. Mereka mempopularkan istilah ‘Islam radikal’ dalam konteks yang cukup negatif sebagai asas untuk mereka memunculkan istilah dan kelompok ‘Islam moderat’. Malaysia yang sebelum ini telah menjalin kerjasama erat dengan negara kafir penjajah AS untuk memerangi pengganas, kini telah memperluaskan kerjasama dengan memerangi kelompok yang bakal mereka cop sebagai radikal!
Deradikalisasi = Sekularisasi
Secara umumnya, umat Islam mengetahui dan menolak aktiviti keganasan yang diharamkan dalam agama. Aktiviti pembunuhan dan menakut-nakutkan orang ramai dengan tindakan keganasan memang diharamkan dalam Islam dan pelakunya wajib diiqab (dihukum) menurut undang-undang Islam. Namun demikian, tindakan keganasan ini bukan sahaja dilakukan oleh segelintir umat Islam, ia turut dilakukan oleh penganut agama yang lain, malah yang tidak beragama sekalipun. Jadi, secara intelektual, adalah suatu yang dangkal untuk mengaitkan tindakan keganasan dengan mana-mana agama.
Itu dari satu aspek. Dari aspek yang lain, seluruh dunia mengetahui bahawa raja pengganas ialah Amerika dan juga entiti Yahudi yang terbukti telah memerangi dan membunuh jutaan umat Islam di seluruh dunia. Malah, jika dilihat dari segi sejarah, negara-negara kafir Barat dan Timur telah terbukti melakukan tindakan keganasan tanpa peri kemanusiaan ke atas umat Islam sejak era penjajahan mereka ke atas dunia Islam. Namun kini, Barat berjaya memperbodohkan para pemerintah umat Islam dan mencucuk hidung mereka bahawa pengganas di dunia ini ialah umat Islam. Barat tidak hanya mahu para pemerintah sahaja mendengar cakap mereka, malah kalau boleh setiap individu Muslim itu tunduk kepada mereka. Mereka mahu setiap Muslim mengikuti cara hidup mereka dan Barat tidak akan redha selagi kita tidak mengikuti cara hidup mereka yang kafir. Inilah yang telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam KitabNya dan kita amat yakin dengan hal ini.
Cara hidup Barat ialah cara hidup yang sekular yakni memisahkan agama daripada kehidupan. Agama tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal kehidupan dengan erti kata, hukum Allah SWT tidak boleh digunakan untuk menguruskan kehidupan seharian. Dalam kerangka inilah Barat memerangi Islam dan umatnya yakni agar umat Islam tidak mengamalkan hukum-hakam Islam dalam kehidupan, apatah lagi dalam menguruskan masyarakat dan negara. Maka mana-mana Muslim yang ingin melaksanakan syariat Islam secara kaffah, apatah lagi jika mahu menegakkan Negara Khilafah dan menerapkan Islam dalam aspek bernegara, maka tuduhan akan terus dilemparkan bahawa ia merupakan seorang ekstremis dan juga radikal.
Kebencian Barat kepada Islam telah disebut dengan tegas dan nyata tanpa terselindung sedikit pun di banyak tempat dan kesempatan. Mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, di hadapan Kongres Parti Buruh pernah menyebut bahawa Islam adalah ideologi syaitan (BBC News, 16 Julai 2005) yang mengandungi ciri-ciri: (1) menghapuskan Israel; (2) menjadikan syariah Islam sebagai sumber hukum; (3) menegakkan Khilafah; (4) bertentangan dengan nilai-nilai liberal. Inilah yang Barat sifatkan sebagai ekstrem dan radikal yakni umat Islam yang ingin menegakkan syariah dan Khilafah, ingin menghapuskan entiti haram Yahudi dan siapa sahaja yang tidak mengikut nilai-nilai liberal Barat. Dengan kata lain, projek deradikalisasi sesungguhnya merupakan projek bagi memastikan umat Islam kekal berada dalam sistem sekular dan terus mengamalkan cara hidup sekular yang memisahkan Islam daripada kehidupan. Di bawah projek ini, umat Islam dipastikan agar terus berpegang kepada nilai dan kehendak Barat dan jangan sekali-kali berpegang kepada syariah atau Islam kaffah.
Dalam masa yang sama, apa yang Barat mahukan dengan projek deradikalisasi ialah untuk menjinakkan para pejuang Islam agar menjauhkan diri daripada politik kenegaraan Islam. Istilah-istilah mulia dalam Islam seperti “Daulah Islam”, “Khilafah”, “jihad” dan banyak lagi di gambarkan sebagai suatu yang buruk dan radikal jika diperjuangkan. Begitu juga dengan syiar-syiar Islam seperti bendera Rasulullah (al-liwa’) dan panji Rasulullah (al-rayah) turut dikaitkan dengan keganasan dan radikal. Apa yang Barat mahukan ialah umat Islam atau gerakan-gerakan Islam terus berjuang dalam kerangka demokrasi, mentaati undang-undang ciptaan manusia dan mengingkari undang-undang Allah, mentaati perlembagaan ciptaan penjajah 100% dan meletakkannya lebih tinggi daripada Al-Quran, terus berpecah di bawah negara-bangsa dan menjaganya dengan darah dan nyawa serta jangan sesekali berjuang untuk menegakkan Khilafah atau bersatu di bawah Negara Khilafah. Inilah yang Barat mahukan dan inilah projek deradikalisasi yang Barat mahu pemerintah dan umat Islam jalankan.
Lebih buruk, dalam melaksanakan projek deradikalisasi ini, berapa ramai daripada kalangan alim ulama yang dipergunakan dan turut terjebak dengannya. Ulama salathin (pemerintah) dipergunakan habis-habisan bagi mempengaruhi dan mendapatkan kepercayaan umat Islam bahawa projek ini adalah satu projek yang Islami dan mesti disokong oleh umat Islam. Semoga para ulama yang ikhlas sedar akan hal ini dan kembali menjadi sebagaimana para ulama terdahulu yang lebih sanggup mati dalam memuhasabah pemerintah berbanding menjadi rubber stamp kepada setiap tindakan pemerintah.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa agenda deradikalisasi ini hanyalah untuk menjauhkan kalian daripada ajaran Islam yang sebenar dan sempurna serta menakutkan kalian daripada berjuang menegakkan Islam secara kaffah. Walhal realitinya, sistem sekular dan ideologi Kapitalis yang diamalkan oleh negara inilah yang menjadi ancaman kepada Islam dan umat Islam selama ini. Lihatlah bagaimana rosaknya pemimpin serta umat, rosaknya negara, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, budaya dan lain-lain di bawah sistem sekular-demokrasi sekarang. Lihatlah betapa besar dan banyaknya kes-kes rasuah, penyelewengan, jenayah, perjudian, zina, riba dan bermacam kesesakan hidup lainnya di bawah pemimpin dan sistem yang tidak berpandukan al-Quran dan al-Sunnah ini. Jadi, bukankah lebih baik untuk kita menjadi ‘Muslim radikal’ yang mengerjakan solat dan mahukan penerapan hukum Islam secara kaffah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, berbanding menjadi ‘Muslim sekular’ yang mengerjakan solat tetapi mahukan penerapan hukum buatan manusia sebagaimana yang dikehendaki oleh Barat?
Wallahu a’lam.