SN046 – POLEMIK KETUK KETAMPI

PDF

SN Keluaran 2005

alt
 


[SN046] Dalam kesibukan polis dan Jabatan Imigresen memburu 50,000 pelancong China yang telah tamat pas lawatan ke Malaysia, kita dikejutkan pula dengan isu pembogelan seorang warga China oleh seorang anggota polis wanita di Balai Polis Petaling Jaya. Isu ini telah menggamatkan Sidang Parlimen Malaysia. PM sendiri mengatakan bahawa isu ini amat memalukan dan pihak polis Malaysia sendiri mengakui bahawa kejadian ini sememangnya benar dan berlaku di Balai Polis PJ dan dilakukan oleh bukan seorang sahaja pegawai polis [Mingguan Malaysia 27 November 2005].

Media massa Barat juga turut menggunakan isu ini untuk menyerang ideologi Islam. Alangkah kejinya, sekiranya benar, pihak yang menyelitkan ‘sound-track’ bacaan ayat Al-Quran untuk adegan berbogel dan 10 kali ketuk-ketampi yang memakan masa 1 minit 12 saat itu [3]. Pihak BBC mengulas ” The officer, who wears a Muslim headscarf, stands in front of the woman, who is forced to strip naked, grasp her ears and squat repeatedly. The pictures are accompanied by the sound of verses from the Koran being recited, although it is unclear if this would have been audible to the woman”. Jika selama ini dalam kempen dan propaganda mereka untuk menyerang ideologi Islam mereka seringkali mengaitkan Islam dan keganasan, kali ini mereka juga tidak melepaskan peluang untuk membentuk padangan umum yang buruk tentang Islam melalui ungkapan seperti “…officer who wears a Muslim headscarf”.

SN kali ini tidak ingin melakukan sebarang analisis mengenai apa yang telah berlaku. Apa yang ingin kami kemukakan minggu ini kepada umat adalah pandangan Islam mengenai institusi polis dan adakah mereka dibenarkan untuk melakukan penyiksaan, penderaan dan membogelkan tahanan ketika proses soal siasat. Semoga integriti polis dalam pandangan Islam dapat difahami dengan cara yang benar oleh umat bagi menjawab tuduhan serong dari pihak kuffar keatas Islam melalui serangan media Barat. Bukanlah tujuan kami untuk menjadi peguambela kepada perempuan warga China tersebut atau menjadi pendakwa raya keatas pihak polis, ataupun sebaliknya. Apa yang ingin kami lakukan adalah membela Islam dengan mengetengahkan konsep Islam tentang polis dan hukum penyiksaan tawanan. Sebagai sistem hidup yang sempurna, Islam sesungguhnya dapat menyelesaikan seluruh permasalahan manusia.

Penyiksaan Orang Kena Tahan (OKT) dan banduan merupakan satu perkara biasa dalam dunia Kapitalisme. Ini adalah kerana mereka berpegang kepada pendapat bahawa matlamat menghalalkan segala cara dan adakalanya mereka beraksi sedemikian buruk sekadar untuk berseronok dan ‘menikmati’ kuasa mereka. Kita dapat menyaksikan kekejaman mereka di penjara Abu Gharib dan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo. Penyiksaan dan penderaan dilakukan sehingga membawa kematian kepada pejuang Islam di Uzbekistan. Di Malaysia sendiri ada beberapa peristiwa seperti kes Dato’ Seri Anwar yang telah ditumbuk sehingga lebam biji matanya semasa dalam tahanan. Begitu juga dakwaan peniaga perempuan bernama Norazimah yang dibogelkan setelah disoal siasat dan baru-baru seorang penuntut mendakwa disiksa dalam tahanan. Inilah beberapa kes dari banyak lagi kes lain yang tidak kami paparkan.

Polis Dalam Islam

Rentetan dari serangan pemikiran bertalu-talu yang amat hebat dari Barat, umat Islam seakan lupa tentang perbincangan berkenaan polis dalam Islam. Walhal, banyak nas yang jelas menunjukkan bahawa kerja dan aktiviti polis ini telah wujud sejak zaman Nabi dahulu.

Polis dalam bahasa Arab disebut dengan syurthah iaitu mengikut bahasanya ialah شيء خِيارُهُ [5] – sesuatu yang terpilih. Dalam Hadis Bukhari ada disebutkan bahawa Qais bin Saad adalah seorang anggota polis;

“Dari Anas bahawa Qais bin Saad di hadapan Nabi berstatus anggota polis”.

Al-Azahari berkomentar, bahawa polis adalah unit yang terpilih kerana polis adalah unit pilihan dari tentera. Bahkan ada yang mengatakan bahawa polis adalah lebih menonjol berbanding dengan pasukan tentera dan dikatakan bahawa unit ini dinamakan syurthah kerana mereka dikenali kerana pakaian dan kedisiplinan (gerak) mereka.

Polis atau syurthah dalam Islam adalah pihak yang dibentuk untuk menjaga sistem Islam, menjaga ketenteraman dalam Negara Islam dan menguatkuasakan arahan pemerintahan sebagaimana yang telah disebut dari Hadis Anas yang menerangkan bahawa Rasulullah telah melantik Qais bin Saad sebagai orang yang berada di hadapan baginda, sebagai anggota polis[10]. Ini menjadi hujjah bahawa polis merupakan barisan hadapan pemerintah. Ia juga bermakna bahawa polis adalah pelaksana bagi pihak penguasa dari segi penguatkuasaan untuk melaksanakan perundangan, menjaga sistem, memelihara keamanan yang dilakukan dengan melakukan pengawasan dan rondaan malam, untuk memantau orang-orang mencuri, penjenayah dan orang yang disyaki melakukan kejahatan.

Dengan kata lain, polis adalah pasukan yang terpilih yang diberi pendidikan yang khas[11] tentang hukum-hakam Islam untuk bertugas dan menguatkuasa undang-undang ini. Maka, polislah yang sepatutnya lebih berdisiplin, mematuhi dan memahami hukum syara’ semasa bertindak. Walaupun polis ditugaskan untuk membenteras jenayah dan menjaga ketenteraman awam, ini bukanlah justifikasi kepada mereka untuk melanggar hukum syara’ dengan sewenang-wenangnya ketika menjalankan tugas.

Hukum Mendera OKT (Orang Kena Tahan)

Ada berbagai jenis OKT di Malaysia yang meliputi tahanan reman, tahanan pelatih Pusat Serenti, banduan penjara, tahanan Imigresen dan tahanan ISA.

Syeikh Taqiuddin An-Nabhani menyatakan dengan jelas bahawa tahanan (sitertuduh) dalam penjara tidak boleh dikenakan siksaan, didera dan dihukum di luar dari yang telah ditetapkan. Ini berasaskan kaedah syara’ yang muktabar; Al-Aslu Bara’atu Zimmah (innocent until proven guilty) sebagaimana yang tertulis di dalam kitab Muqadimah Ad-Dustur mukasurat 75 perkara 12 – ”Asal seseorang tidak bersalah, maka seseorang itu tidak boleh dikenakan hukuman melainkan dengan hukuman Mahkamah, maka tidak boleh menyiksa seseorang secara mutlak, dan siapa jua yang melakukan demikian akan dikenakan hukuman”

Ada tiga kesimpulan yang dapat diambil dari kaedah ini:

Seseorang itu :
1) Tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah
2) Tidak boleh dikenakan hukuman sehingga mahkamah menetapkan hukumannnya
3) Tidak boleh menyiksa manusia secara mutlak.

Perkara Pertama : Innocent Until Proven Guilty (Al-Aslu Bara’atu Zimmah)

Perkara pertama iaitu “innocent until proven guilty” diambil dari Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu ”Beban membawa bukti adalah oleh pendakwa, dan sumpah penafian adalah ke atas yang tertuduh”. Hadis ini menerangkan bahawa hukum asal seseorang itu adalah tidak bersalah (innocent) kerana si pendakwa perlu membawa bukti untuk membuktikan bahawa sitertuduh itu bersalah. Nas yang kedua ialah hadis tentang peselisihan antara seorang dari Hadramaut dan seorang Bani Kindah yang disampaikan kepada Nabi berkenaan dakwaan lelaki Bani Kindah itu mengenai tanah milik ayahnya yang ditanami oleh lelaki Hadramaut. Maka Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam bertanya ”Adakah anda ada bukti, maka jawapan lelaki itu, tidak…”. Hadis yang kedua ini menerangkan bahawa lelaki dari Hadramaut itu terselamat dari dakwaan selagi tidak ada bukti jelas bahawa tanah tersebut milik ayahnya. Ini menunjukkan bahawa hukum asal kepada seseorang itu adalah ia tidak bersalah.

Perkara yang kedua :Hukuman tidak boleh dikenakan sehingga ada penghakiman.

Tidak boleh dikenakan hukuman keatas seseorang sehingga ada keputusan hukum dari Hakim. Dalilnya dapat dilihat dalam Hadis Nabi; ”Maka barang siapa yang telah terambil olehku hartanya maka inilah hartaku maka bolehlah dia mengambilnya dan barangsiapa yang telah aku tersalah sebat belakangnya maka ini belakangku untuk disebat, maka hendaklah dia mengambil keputusanku ini”
Perkataan ini adalah keputusan dari Hakim yang mana seseorang tidak boleh mendera orang lain kecuali dengan keputusan Hakim dan menjelaskan bahawa adalah haram bagi orang lain selain Hakim untuk menghukum atau mendera orang lain. Tambahan pula ada dalil lain – dalam kes li’an, yang mana seorang perempuan yang dituduh oleh suaminya bersekedudukan dengan orang lain kemudian perempuan ini teragak-agak melakukan penafian. Dalam kes itu, perempuan tersebut terselamat dari direjam kerana dia melakukan sumpah. Namun kejadian ini telah diungkapkan oleh junjungan mulia Sallallahu ’Alaihi Wasallam ”Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti, nescaya aku akan merejamnya”. Ini menunjukkan bahawa tidak boleh merejam seseorang apabila tidak ada bukti jelas meskipun anda kesamaran dalam penafian perempuan tersebut.

Hakim walaubagaimanapun berhak untuk menahan seseorang tertuduh, seperti tahanan reman untuk mengumpulkan maklumat sebelum dilakukan dakwaan dengan syarat penahanan ini mendapat akuan dari Mahkamah dan masanya terhad. Ini berasaskan dalil Hadis;

“Dari Bahz bin Hakim dari bapanya dari Datuknya, ” Bahawa Nabi menahan seorang lelaki kerana tuduhan kemudian dia dibebaskan” [Riwayat Lima kecuali Ibn Majah] dan dari Abi Hurairah ”Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam menahan seorang individu selama sehari semalam dalam kes pertuduhan”. Dalam kes ini, ia menjelaskan bahawa perlu ada batasan masa untuk menahan seseorang sebagaimana yang dilakukan Rasulullah dan kemudian melepaskannya selepas sehari semalam. Penahanan tersebut bukanlah satu bentuk hukuman tetapi ianya adalah untuk mendapatkan maklumat dan keterangan sebenar.

Perkara yang Ketiga: Hukuman hanya selepas disabit kesalahan.

Tidak ada hukuman kepada si tertuduh sebelum disabit kesalahannya. Berkenaan haramnya menjatuhkan hukuman sebelum disabitkan kes kesalahan, dalilnya adalah berdasarkan Hadis Rasul – ”Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti nescaya aku akan merejamnya” , meskipun perempuan tersebut diketahui telah melakukan zina. Jikalau hukuman dikenakan kepada sitertuduh semata-mata kerana hal ini diketahui, maka sudah tentu perempuan ini dihukum kerana sudah diketahui kejahatannya. Oleh itu, secara mutlak tidak diperbolehkan menjatuhkan hukuman kepada sitertuduh tanpa penyabitan kes. Oleh itu adalah diharamkan memukul sitertuduh, mendera atau mengenakan apa sahaja siksaan kepada sitertuduh selama mana tidak disabitkan dengan kesalahan.

Dalam nas lain pula, seorang lelaki telah meminum khamar dan mabuk serta muntah. Ketika kes ini dimaklumkan kepada Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam, baginda ketawa seraya bertanya ”Apakah yang telah dilakukannya? Dan Nabi tidak memerintahkan apa-apa” . Ini menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam tidak menjatuhkan hukuman kepada peminum khamar kerana tidak ada pengakuan dari tertuduh dan tidak ada saksi.

Walaupun dalam peristiwa al-Ifki (peristiwa pembohongan bahawa Aisyah telah berlaku serong) diriwayatkan bahawa Ali Radhiallahu ’Anhu telah memukul seorang hamba perempuan di hadapan Rasulullah, namun ini tidak boleh dijadikan dalil untuk mengatakan bahawa yang tertuduh boleh dipukul. Ini adalah kerana hamba tersebut bukanlah sitertuduh. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari tidak menyebut bahawa Ali memukulnya, sebagaimana Hadisnya yang bermaksud;

Sedangkan Ali bin Abu Talib berkata ”Wahai Rasulullah Salallahu ’Alaihi Wasallam, Allah tidak akan menyempitkan engkau, dan ramai lagi wanita lain. Jika engkau bertanya kepada Jariah, nescaya engkau akan mengetahui kebenarannya”. Maka aku berkata : Maka Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam menyeru, ”..di mana Burairah?”.

Imam Bukhari tidak menyebutkan bahawa Ali memukul Jariah. Namun dalam sirah Ibn Hisyam dijelaskan bahawa Ali memukul Jariah tersebut seperti juga di dalam kitab syarah Imam Abu Daud;

Jika peristiwa pemukulan ini benar, ia tidak boleh menjadi hujjah kepada orang yang mengatakan bahawa diperbolehkan untuk memukul sitertuduh. Ini adalah kerana Burairah (hamba yang dipukul tadi) bukanlah sitertuduh dalam kes ini sebaliknya dia adalah saksi. Tidak juga layak dikatakan bahawa seorang saksi itu boleh dipukul kerana saksi Zainab Jahsy dan saudaranya Hamnah binti Jahsy tidak dipukul. Hal ini boleh dilihat di dalam riwayat kitab Sahih Bukhari[15]. Oleh itu, dalam kes ini ulama fiqih mengatakan bahawa pemukulan Jariah(hamba) tadi, jika sahih riwayatnya, adalah pemukulan pengajaran dari tuan kepada hamba-sahayanya, yang mana seseorang tuan itu dibenarkan untuk memukul hamba-sahaya yang degil atau membenarkan orang lain memukul hambanya, sebagaiman Ali memukul hamba Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wasallam.

Penyelesaian Islam

Belumpun mahkamah menjatuhkan hukuman dan siasatan rapi dimulakan, media massa yang membentuk pandangan umum (public opinion) telahpun ‘menghukum’ anggota polis yang terbabit. Tambahan pula, ia dikaitkan dengan anggota polis yang memakai tudung. Jikalau benar pihak polis telah menyalahgunakan kuasa mereka maka apakah hukumannya kepada mereka? Adakah cukup mereka digantung dari bertugas atau dipindahkan tempat kerja? Tanpa adanya dakwaan dari pihak yang dianiaya tadi adakah wajar untuk orang awam mewakili individu yang dizalimi tadi? Bagaimana dengan tanggapan bahawa pihak berkuasa acapkali terselamat dari dakwaan pihak awam? Di dalam sistem sekarang, sering kali apabila ada kes yang melibatkan pihak berkuasa, Tribunal Khas atau Badan Siasatan Khas akan dibentuk khusus untuk kes ini. Badan yang berfungsi secara ’ad hoc’ ini biasanya akan dibubarkan setelah kes ini diselesaikan.

Islam sebagai cara hidup sekali lagi telah menjawab persoalan ini. Satu-satunya Mahkamah yang dapat bertindak untuk mengadili kesalahan dan penyalahgunaan kuasa adalah Mahkamah Mazalim iaitu sebuah Mahkamah khusus yang ada di dalam Islam namun tidak wujud di dalam sistem kapitalis Barat dan juga dalam sistem Sosialis-Komunis.

Mahkamah ini dimunculkan berasaskan kepada dalil Firman Allah dalam surah Al-Nisa’ ayat 59 yang menjelaskan bahawa apabila manusia saling berselisih maka wajiblah perkara tersebut dikembalikan kepada Allah dan RasulNya; apabila rakyat dan pemerintah bertelagah, maka pengembalian kepada Allah dan Rasul oleh seorang Qadhi dilakukan dan Qadhi ini dinamakan Qadhi Mazalim[16]. Qadhi ini adalah Qadhi yang dilantik untuk menyelesaikan tindakan kezaliman yang dilakukan oleh Negara terhadap individu-individu yang hidup di bawah kekuasaan Daulah Islamiyyah tidak kira samada individu tersebut warga negara daulah atau bukan warga negara, samada kezaliman tersebut dilakukan oleh khalifah, atau oleh pegawai pemerintahan atau oleh kakitangan awamnya[17].

Institusi Mazalim ini telah lama diperkenalkan dalam Islam untuk menyelesaikan persengketaan dan kezaliman pemimpin terhadap rakyatnya, yang mana ini telah ditunjukkan dari nas. Antaranya adalah Rasulullah Salallahu ’Alaihi Wasallam pernah melantik Rashid bin Abdillah sebagai Qadhi Mazalim, terhad kepada wilayahnya sahaja. Khalifah Ali mengurusi sendiri masalah Mazalimnya, manakala Khalifah Malik bin Marwan telah menubuhkan Dar Al-Adl (Rumah Keadilan) untuk meneliti kes penyalahgunaan kuasa.

Apabila berlaku kes yang memerlukan keputusan, beliau telah membawa kes itu kepada Abu Idris Al-Azdi untuk menjatuhkan hukumannya. Khalifah ‘Umar Abd Aziz telah mengadili sendiri pengadilan Mazalim ini dan sehingga masa Abbasysiah, Institusi Mazalim ini telah diserahkan kepada Qadhi khas Mazalim[18].

Sekiranya polis membogelkan tahanan ini wujud di zaman Khalifah Malik b Marwan sudah pasti Qadhi Abu Idris Al-Azdi akan bertindak mengeluarkan keputusan hukuman berasaskan pembuktian Islam. Pemindahan tempat kerja atau gantung tugas adalah tindakan tata-tertib yang selalu digunakan untuk menghukum pesalahguna kuasa namun ini adalah tidak mencukupi. Tindakan ini hanya melibatkan aspek tindakan pentadbiran sebagai pegawai kerajaan sahaja sedangkan perlu ada hukuman mazalim dari aduan rakyat dimana segala kerugian dan kecacatan yang ditanggung oleh pihak yang dizalimi perlu diambilkira.

Kesimpulan

Dapat disimpulkan bahawa institusi polis dalam Islam adalah institusi yang dibentuk untuk menjaga sistem Islam, menjaga kententeraman dalam negara berasaskan hukum-hakam syara’ dan menguatkuasakan arahan pemerintahan yang tidak bercanggah dengan Syariat Islam. Oleh itu tugas menjaga keselamatan dalam negara merupakan tugas yang mulia dan mereka dimuliakan dengan tanggungjawab ini. Adalah salah dari segi perundangan Islam untuk menyiksa tahanan (OKT), menderanya dan membogelkannya, mencacatkan anggotanya, mengenakan sebatan, mengenakan kejutan elektrik dan berbagai bentuk deraan kerana adalah haram mengenakan apa-apa hukuman sebelum mendapat keputusan dari Mahkamah. Sekiranya berlaku kes penyalahgunaan kuasa samada dari pihak polis, askar, khalifah, wali, muawin ataupun anggota kakitangan awam, maka Islam telah menetapkan bahawa mereka diadili berasaskan Islam, dan Qadhi Mazalim bertindak untuk menghukum salah atau tidak persengketaan serta penyalahgunaan kuasa ini, bukannya media massa atau sidang Parlimen. Islam telah menggariskan dengan jelas prosedur menghukum ini. Inilah sistem kita, sistem yang berpaksikan kepada wahyu Ilahi, iaitu sistem yang perlu dan wajib kita terapkan dalam kehidupan bernegara kita, bukannya prosedur Barat yang tidak pernah mengenali Tuhan di dalam sistem mereka.

Wallahu ’alam.

[1] http://www.chinadaily.com.cn/english/doc/2005-11/28/content_498367_2.htm
[2] http://www.chinadaily.com.cn/english/doc/2005-11/30/content_498979.htm
[3] http://news.bbc.co.uk/1/hi/world/asia-pacific/4468810.stm
[4] Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, Fatwa tentang siksaan OKT www.islam-qa.com
[5] Lisan Al-Arab, VII/332
[6] Hadis Bukhari, VI/2616.
[7] Sunan Tarmizi, V/690.
[8] Fathul Baari, Syarah Bukhari Imam Ibnu Hajar.
[9] Imam Syawkaani, Nail Al-Awthar, IX/177.
[10] Taqiuddin Al-Nabhani, Nizhamul Al-Hukm Fi Al-Islam ms 160
[11] Taqiuddin Al-Nabhani, Muqadimmah Al-Dustur, ms 237
[12] Sahih Bukhari IV/1776
[13] Sahih Bukhari IV/1781
[14] Tuhfatul Al-Ahwazi, IX/24
[15] Sahih Bukhari IV/1521, Fathul Baari Syarah Hadis Bukhari, Ibnu Hajar XVII/113
[16] Ahkam AsSultaniyyah, Imam Mawardi, ms 80
[17] Taqiuddin Al-Nabhani, Nizham Al-Hukm fi Al-Islam, ms199
[18] Taqiuddin Al-Nabhani, Nizham Al-Hukm fi Al-Islam, ms200-201; Imam Mawardi, Ahkam Al-Sulthaniyyah ms78.