Polemik Sultan Murka: Sebuah Manipulasi Berita

KOTA BHARU 21 Okt – Speaker DUN Kelantan, Ustaz Nasaruddin Daud memberikan peluang sehari kepada Berita Harian untuk menarik balik kenyataan Akhbar Berita Harian semalam yang bertajuk Sultan murka kerajaan PAS gagal tadbir Kelantan.
Dalam artikel ini kelihatan Berita Harian cuba memanipulasi titah ucapan Sultan Kelantan kepada kerajaan negeri yang dipimpin PAS, untuk menghentam PAS yang pada pandangan mereka gagal mentadbir kerajaan negeri. Hentaman dan propaganda Berita Harian ini cuba ‘dilapik’ mereka dengan titah ucapan Sultan.

Mungkin Berita Harian cuba memulangkan paku buah keras kerana sebelum ini PAS dilihat menyerang Kerajaan Pusat dengan kenyataan Sultan Kelantan melalui tulisan yang bertajuk Sultan tegur kerajaan pusat lambatkan projek pembangunan di Kelantan. Isu itu tidak dijawab oleh kerajaan Pusat, tetapi kemudian Berita Harian kini cuba menyerang balik PAS dengan penulisan yang hampir sama. PAS bagaimanapun terus merespon kepada serangan ini dengan meminta  Berita Harian menarik balik laporan. Berita Harian pula hari ini memuatkan satu penulisan untuk melawan balik dan mempertahankan kebenaran dengan tulisan Tajuk berita titah Sultan dibantah.

Bermula dengan pertikaman pena, kemudian pertikaman lidah dan tidak mustahil boleh membawa kepada mahkamah, semuanya kerana teknik penyampaian/penulisan berita dalam Sistem Kapitalis yang cuba untuk menjatuhkan satu sama lain, walaupun penulisnya beragama Islam dan bersaudara. Berita sering dimanipulasi sedemikian rupa untuk menutup kelemahan sendiri dan mencari kelemahan orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan pihak lawan.

Perseteruan yang melibatkan dua kerajaan ini (kerajaan negeri dan kerajaan pusat) hanyalah menyebabkan rakyat menjadi mangsa, ibarat kata pepatah gajah sama gajah berlawan, kancil mati di tengah-tengah. Siapa tak tahu yang rakyat Kelantan sering di anak tirikan oleh Kerajaan Pusat dengan tidak memberi atau pun melambat-lambatkan segala projek atau pemberian geran dan sebagainya, semata-mata kerana yang memimpin Kelantan adalah mereka yang datang dari parti yang berbeza dari kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat seolah-olah memberitahu bahawa inilah padahnya jika kamu mengundi selain UMNO/BN. Inilah hakikat sebuah parti sekular yang sememangnya tidak akan dapat bekerjasama dengan sebuah parti Islam.

Sistem demokrasi telah mengajar bahawa yang memimpin kerajaan adalah parti politik. Oleh itu, mana-mana parti yang memimpin sudah secara tabiinya akan mengutamakan rakyat yang merupakan ahli partinya dari ahli parti lain. Mereka memandang dan melayan ahli-ahli dari parti lain seolah-olah seperti ‘musuh’, walaupun akidah keduanya adalah sama-sama Islam. Kerana cara berfikir yang salah inilah yang telah menyebabkan rakyat yang tidak separti dengan pemerintah terabai.

Sedangkan Islam mengajar bahawa kewajipan seorang pemimpin adalah untuk menjaga kebajikan rakyat dan mengatur hal ehwal mereka, tidak kiralah parti apa yang dimasuki rakyatnya, atau yang tidak mempunyai parti atau bahkan jika rakyatnya kafir sekalipun. Selama mana mereka adalah rakyat, maka kewajipan bagi pemimpin/pemerintah untuk menjaga mereka. Sabda Rasulullah saw,
 
“Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas orang yang dipelihara (rakyat)nya” [HR Muslim]

Menurut Imam Nawawi dalam Syarah Muslimnya, perkataan al-ra’i dalam hadis ini bermaksud pemimpin atau pemelihara yang diberikan amanah dan tegas dalam menjalankan amanahnya sebaik mungkin bagi memastikan kebaikan, keselamatan dan kesejahteraan apa yang diamanahkan kepadanya sama ada dari segi kehidupan keduniaan dan keagamaan atau keakhiratan dan lain-lain perkara yang bersangkutan dengan kedua-duanya.

Justeru, bukanlah tugas pemimpin (sama ada Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat) membuat laporan-laporan akhbar yang boleh menipu rakyatnya sendiri, atau memutar belit berita yang boleh mengelirukan atau pun berpolemik dengan berita, apatah lagi melaporkan berita yang boleh menyebabkan pergaduhan sesama umat Islam.
 
Islam memandang penting akan berita-berita yang dilaporkan sehingga Allah SWT menyeru kita agar melakukan pemeriksaan rapi terhadap berita yang kita dengar. Firman Allah,
 
“Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” [TMQ al-Hujurat (49):6]

Justeru, kita sepatutnya keluar dari polemik yang boleh memecahbelahkan lagi sesama umat Islam dan kita sepatutnya bersama-sama berusaha untuk menyatukan umat Islam di bawah satu pemerintahan dengan menegakkan kembali Sistem Khilafah. Hanya dengan ini sahajalah, maka tidak akan wujud lagi konsep ‘kerajaan negeri’ dan ‘kerajaan pusat’ yang menjadi amalan dalam sistem federasi di Malaysia yang telah ditinggalkan penjajah kuffar ini.