SN047 – STOP AIDS! KEMBALI KEPADA ISLAM
SN Keluaran 2005
[SN047] STOP AIDS, KEEP THE PROMISE (Hentikan AIDS, Tetapkan Janji) adalah tema Hari AIDS sedunia yang dilangsungkan pada 1 Disember 2005. Sambutan ini bertujuan memberikan harapan kepada insan yang menghidap HIV untuk menikmati hidup yang lebih baik dan bebas daripada stigma yang sering membelenggu mereka selama ini. Di samping itu, diharapkan agar semua pihak akan mendapat maklumat meluas mengenai wabak AIDS yang disebabkan oleh penyebaran virus HIV. Majlis AIDS Malaysia dan Kementerian Kesihatan juga tidak ketinggalan menyambutnya, cuma tiada sambutan di peringkat nasional tetapi lebih kepada inisiatif tiap-tiap negeri di Malaysia.
Tema ini juga bertujuan agar tumpuan diberikan terhadap komitmen untuk mencari titik noktah AIDS disegenap peringkat individu, masyarakat, organisasi mahupun kerajaan. Jadi, topik perbincangan hangat sambutan ini adalah meneruskan penyelesaian yang sedia ada dengan menambahkan komitmen yang luar biasa untuk melawan ancaman AIDS. Setiap tahun banyak cara baru yang telah diperkenalkan; bermula dengan pengenalan kondom dan jarum percuma, seks sihat, jarum yang bersih serta suntikan dadah yang berdos rendah, namun hakikatnya, pertambahan bilangan penghidapnya terus mendebarkan dada kita.
Punca Aids
AIDS atau Acquirred Immune Deffiency Syndrome yang disebabkan oleh virus HIV (Human Immunodeficiency Virus) yang merosakkan sistem pertahanan badan. Akibatnya seseorang itu akan mudah dijangkiti penyakit yang sebelumnya tidak berbahaya menjadi amat merbahaya selepas jangkitan dan boleh mendatangkan maut. Sehingga kini masih belum ditemukan penawar yang mampu mengubati penyakit ini.
HIV pula adalah virus yang disebarkan secara dominannya melalui hubungan syahwat yang diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti hubungan homoseksual dan heteroseksual yang tiada pertalian pernikahan. Ia juga boleh disebabkan oleh perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih najis dadah. HIV nyata adalah azab Allah ke atas pelaku seks bebas dan songsang yang telah disindir oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dari hadisnya:
“Bila riba dan zina telah berkembang merata di suatu negeri, maka (bererti mereka, penduduk negeri itu) telah menghalalkan untuk diri mereka azab Allah” [Riwayat Hakim]
HIV adalah virus yang berjangkit dari individu ke individu melalui peralihan kuantiti tertentu cecair badan manusia, umumnya bendalir seksual dan darah. Cecair ini tidak akan berpindah dengan mudah kecuali melalui aktiviti khusus yang berada di bawah kawalan manusia seperti perhubungan seks dan perkongsian jarum suntikan dadah. Terdapat juga kes-kes di mana AIDS dijangkiti melalui pemindahan darah, namun jumlahnya adalah amat sedikit.
Keadaan yang sihat boleh diciptakan sekiranya seseorang itu dapat mengelakkan dirinya daripada aktiviti tertentu yang berisiko tinggi agar kemungkinan jangkitan HIV menjadi kecil. Jika dua insan bernikah dan saling percaya-mempercayai antara satu sama lain, maka risiko jangkitan HIV dapat dielakkan. HIV yang ada pada kanak-kanak selalunya dipindahkan melalui jangkitan ibunya semasa mengandungkannya. Namun begitu, sekiranya orang dewasa tidak mempunyai kuman pembawa sudah pasti kanak-kanak juga tidak akan dapat dijangkiti.
Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan bahawa kadar jangkitan HIV telah meningkat ke tahap yang tertinggi dalam tahun 2004 dimana dianggarkan sebanyak 39.4 juta orang dijangkiti AIDS diseluruh dunia dan telah membunuh sebanyak 3.1 juta orang pengidapnya. [http://www.unaids.org/wad2004/report.html]. Malaysia juga tidak terkecuali dengan statistiknya yang amat membimbangkan. Sebanyak 19 kes baru dikesan setiap hari dengan peningkatan 300% dari tahun 1999 hingga 2003 [Harian Metro 20 Mei 2005]. Sejak mula dikesan pada Disember 1986 hingga Disember 2004, sebanyak 64,439 kes HIV/AIDS dilaporkan. Daripada jumlah itu, 9,442 merupakan kes AIDS dan melibatkan 7,195 kematian. Majoriti pengidapnya adalah dari golongan yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun [Kertas Kerja ucapan Menteri Kesihatan Malaysia semasa merasmikan Riding for Life 2005, 4 September 2005 di Menara Kuala Lumpur]
Kebebasan Bertingkah Laku
Sekiranya diteliti secara intelektual, fenomena ini jelas berakar dari kebebasan bertingkah laku yang dijamin oleh sistem demokrasi-kapitalisme. Kebebasan ini diterima sebagai suatu peraturan yang tanpanya, demokrasi-kapitalisme tidak akan kekal. Oleh yang demikian masyarakat secara otomatis menjadi malu untuk saling nasihat-menasihati bagi mengelakkan aktiviti tidak bermoral yang menjadi punca utama menularnya HIV. Mereka lebih cenderung mencari kaedah lain dengan melakukan pelbagai aktiviti pencegahan yang berisiko dengan perlindungan yang minima serta keputusan yang tidak pasti untuk diamalkan.
Kebebasan bertingkah laku sudah pasti akan menimbulkan banyak implikasi sosial yang serius. Ini terbukti dengan semakin menularnya penyakit ini serta pertambahan bilangan penagih dan masalah sosial yang lain. Hakikatnya, masalah sebenar bukanlah virus HIV, tetapi sikap manusia yang bertuhankan nafsu syaitan yang disemarakkan oleh agenda kebebasan. Maka timbullah banyak aktiviti hedonis yang tidak berpenghujung seperti pelacuran, dadah dan seks rambang. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Apakah kamu dapat menjadi pemelihara keatasnya? Ataukah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya”
[TMQ al-Furqan : 43 – 44]
Penggunaan kondom dan bekalan jarum suntikan percuma, mengharapkan agar penagih tidak akan berkongsi adalah pandangan tidak matang yang mengharapkan penagih dadah agar lebih bertanggungjawab. Strategi ini adalah antara langkah utama pencegahan penularan HIV yang telah dijalankan oleh Barat namun gagal menyekat penularannya. Kini ia diperkenalkan pula di beberapa negara membangun termasuk Malaysia. Jika ini sahajalah bentuk pencegahan yang paling diharapkan, kegagalan adalah suatu kepastian dan virus akan terus merebak. Mungkin ada yang mengatakan, sementara mencari kaedah penyelesaian yang terbaik mengapa tidak dicuba sahaja apa jua kaedah yang dirasakan sesuai – maka kaedah ‘trial and error’ diguna pakai. Namun sampai bilakah kaedah ini boleh bertahan? Bukankah merupakan satu kerugian yang besar membelanjakan jutaan ringgit untuk penyelesaian yang belum tentu, malah lebih cenderung unuk tidak mendatangkan hasil yang diinginkan?
Di samping itu, pendidikan seks yang diperkenalkan di Barat malah memburukkan lagi keadaan dengan peningkatan peratusan masalah sosial dan jangkitan HIV. Sesi kaunseling juga nampaknya masih jauh dari membuahkan hasil. Kaunseling hanya cuba menyelesaikan simptom dan bukan akar permasalahan – kebebasan bertingkah laku yang mesti dihapuskan dari akar umbinya. Apa tidaknya, kebanyakan sesi kaunseling hanya berupaya menegur emosi penghidap supaya berubah menjadi insan yang lebih bermoral atau tidak berputus asa dalam kehidupan. Sedangkan kita tahu emosi manusia akan berubah-ubah mengikut gelombang persekitaran; sekiranya seseorang itu tinggal di dalam persekitaran yang baik di mana masyarakatnya menjaga tingkahlaku dan saling nasihat-menasihati maka mungkin sesi kaunseling tersebut berkesan. Namun keadaan ini mustahil berlaku di dalam persekitaran hari ini yang lebih banyak menjanjikan budaya keseronokan dan kebebasan
Pandangan Islam
Kebebasan bertingkah laku telah menjatuhkan martabat manusia kepada darjat kebinatangan yang sangat rendah. Kebebasan ini telah menjadikan manusia begitu liar dan bebas melakukan apa sahaja tindakan yang malah tidak pernah ditemui di dalam alam binatang sekalipun. Dan masyarakat kita yang mengamalkan pemikiran kebebasan ini telah sedikit demi sedikit meniru kehidupan masyarakat Barat yang sudahpun sampai ke tahap kebinatangan.
Di dalam Islam, tidak wujud kebebasan sepertimana yang ditanggapi oleh Barat. Pertamanya, Islam jelas mengharamkan kebebasan bertingkah laku, dan mewajibkan semua aktiviti manusia terikat dengan hukum syara’, kerana hukum asal perbuatan manusia terkait dengan hukum syara’. Islam memberikan aturan yang lengkap kepada manusia dalam bertingkah laku bukan sebagai suatu kekangan. Islam memberikan seluas-luasnya peluang bertindak, berekreasi dan berinovasi, tetapi dalam batas-batas yang digariskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Kedua, hukum Islam sentiasa mengangkat martabat manusia. Oleh kerana itu, semua aktiviti yang menjatuhkan martabat manusia adalah diharamkan oleh Islam. Oleh yang demikian, di dalam Islam, masyarakat adalah kesatuan yang tak pernah dipisahkan dari kehidupan individu. Islam memandang bahawa kebaikan dan kemudaratan dari tindakan dan perilaku seseorang itu bukanlah untuk individu tersebut sahaja, bahkan adalah sebahagian daripada perilaku masyarakat seluruhnya. Oleh yang demikian, Islam mengharamkan sesuatu yang boleh membahayakan masyarakat. Berdasarkan dua pandangan diatas, maka Islam menghendaki semua tindakan, perbuatan serta hasrat dari semua anggota masyarakat mesti bersifat menjunjung Islam dan tidak membahayakan manusia.
Islam Sebagai Alternatif
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam mengibaratkan masyarakat seperti sekelompok manusia yang menaiki sebuah kapal. Jika ada yang cuba melubangi lantai kapal untuk mengambil air yang akan menenggelamkan kapal, maka semua penumpang wajiblah mencegahnya. Begitu jugalah sekiranya ada sebahagian masyarakat yang bertindak membahayakan dan merosakkan masyarakat keseluruhannya, maka hendaklah ia dicegah oleh semua. Sekiranya ini tidak dilakukan, maka semua akan binasa. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:
“Sesungguhnya Allah tidak akan menyiksa masyarakat umum kerana perbuatan orang-orang tertentu hingga masyarakat umum melihat kemungkaran di hadapan mereka, sedangkan mereka mampu mengingkarinya, tetapi mereka tidak mengingkarinya. Jika mereka berbuat demikian, Allah pasti akan menyiksa masyarakat umum dan orang-orang tertentu”. [Riwayat Ahmad dan at-Tabarani]
Oleh yang demikian masyarakat umumnya hendaklah berusaha semampu mungkin dan bersungguh-sungguh dalam mencegah dan menghalang perilaku bebas yang membantu menularnya HIV dan masalah sosial lainnya. Tindakan amar maaruf dan nahi mungkar hendaklah ditingkatkan baik dari segi kualiti serta kuantitinya.
Walaubagaimanapun, tindakan fizikal dengan kekuatan dan kekuasaan adalah cara yang paling efektif bagi mencegah dan menghilangkan perilaku bebas yang menyumbang kepada peningkatan HIV dan AIDS. Oleh itu, pemerintah sebagai pihak yang memegang kekuatan dan kekuasaan bertanggung jawab ke atas perlaksanaan pencegahan ini. Masyarakat wajib lebih tegas mendorong pihak pemerintah melaksanakan perundangan Islam secara kaffah (keseluruhan) kerana hal ini merupakan tanggungjawab setiap individu muslim keatas pemerintah/negara yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Sistem Sosial Islam hendaklah dilaksanakan sepenuhnya oleh negara dan ini akan menjadi penyelesaian jangka panjang. Ia akan membina masyarakat yang menitik beratkan peri pentingnya pernikahan sebelum melakukan hubungan seksual serta menghukum keras (dengan hukum Allah) sesiapa sahaja yang melanggarnya. Ini akan menghasilkan masyarakat yang mempunyai karakter tertentu – masyarakat yang dibina di atas dasar Islam. Masyarakat ini walaubagaimanapun hanya akan dapat terhasil sekiranya hukum Islam diterapkan secara kaffah di bawah bendera La Ilaha illa Allah. Negara atau Khilafah yang menerapkan Islam secara kaffah ini akan mencipta atmosfera yang kondusif untuk ketaqwaan dan kesedaran kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hukum syara’ akan menghalang daripada berlakunya perhubungan sosial yang tidak bermoral. Ini termasuklah peraturan berpakaian, pergaulan antara lelaki dan wanita dan pengurusan bangunan persendirian. Negara juga akan menggalakkan perkahwinan pada usia muda sekiranya perlu dan akan menghapuskan segala kekangan yang cuba menghalangnya.
Dengan perlaksanaan sistem sosial Islam, golongan muda, melalui perkahwinan akan diingatkan bahawa hubungan seks bukanlah sekadar suatu yang menyeronokkan namun ia juga datang dengan tanggungjawab dan komitmen yang cukup besar. Ini akan dapat mencegah penularan HIV secara jangka panjang. Dalam konteks institusi perkahwinan ini, Khilafah juga akan memastikan melalui penerapan Islam yang kaffah, segala perundangan yang berkaitan dengan institusi perkahwinan ini akan dilaksanakan dengan benar dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga, sepertimana yang berlaku di banyak negara kaum muslimin pada hari ini yang kononnya menjalankan ‘syariah Islam’.
Dalam masalah dadah pula, Daulah tidak akan bertolak ansur dengan pengeluar dan pengedar dadah. Hukuman berat yang sesuai dengan kehendak syara’ akan dikenakan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti ini. Tambahan pula, dengan nuansa ketaqwaan yang cukup tinggi tanpa sebarang peluang untuk seseorang individu itu cenderung kearah dadah, aktiviti pengeluaran, pengedaran dan penggunaannya pasti akan berkurangan secara drastik.
Islam memandang bahawa menghidap AIDS bukanlah suatu dosa, tetapi perbuatan yang melanggar hukum syara’ dan boleh menghantarkan kepada jangkitan HIV, itulah yang membawa kepada maksiat dan dosa. AIDS hanya akan berkubur sekiranya punca kepada penyakit ini dihapuskan. Dan punca kepada masalah ini hanya akan dapat dihapuskan sekiranya hukum Allah yang suci ini dilaksanakan secara kaffah, bersungguh-sungguh dan ikhlas. Wahai kaum muslimin, bersegeralah dalam usahamu untuk menegakkan Islam melalui Khilafah Islamiyyah yang mulia agar kemuliaan kalian terjaga, hak-hak kalian dilindungi dan terpelihara dan kalian sentiasa berada di dalam keredhaanNya.
Kepada penghidap AIDS yang beragama Islam, kami menyeru agar bersegeralah bertaubat dan bersabarlah. Jalanilah hidup kalian dengan penyesalan yang mendalam dan kembalilah bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sebenar-benar taqwa. Semoga Allah berkenan mengampunkan kalian. Sesungguhnya setiap yang hidup itu pasti akan merasa kematian. Janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala yang keluasannya adalah lebih dari luasnya langit dan bumi!!.