Ya mesti tukar sistem, tapi sistem apa?
Suasana politik di Malaysia kini semakin bercelaru. Sejak terbelit dengan pelbagai krisis, kepercayaan banyak pihak kepada kepimpinan Najib semakin menipis. Malah, setelah pemecatan Muhyiddin daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan penyingkiran Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah, sudah semakin ramai ahli UMNO yang mula berani melawan presiden mereka itu. Dr Mahathir sudah hilang seratus peratus kepercayaan kepada Najib sehingga mengisytiharkan dirinya keluar dari UMNO dan berjaya mengumpulkan bekas pimpinan UMNO, pimpinan pembangkang dan NGO untuk menandatangani deklarasi bagi mendesak pengunduran Najib sebagai Perdana Menteri.
Buat masa ini, jangka hayat politik orang nombor satu negara itu sudah semakin tidak menentu. Talian hayatnya kini hanya bergantung kepada beberapa kerat pemimpin UMNO yang masih lagi mengharapkan habuan dan manisan dari kantungnya. Di saat Najib semakin rebah kerana tolakan yang begitu kuat, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO sebelum ini, terdapat pula sebuah parti pembangkang yang cuba menongkat Najib dari tersungkur.
Tragedi politik di Malaysia kini tidak ubah seperti ‘kartun’. Puak yang sepatut mendukung Najib cuba menghumbannya, manakala puak yang sepatutnya menghumban Najib cuba mendukungnya. Lebih kartun, puak-puak yang menjadi musuh politik selama puluhan tahun dan menuduh satu sama lain merosakkan negara, kini boleh duduk semeja dan sepakat bahawa masing-masing sedang berusaha menyelamatkan negara!
Namun, di atas ‘kekartunan’ politik yang terjadi ini, apa yang menarik dalam kemelut yang melanda negara ketika ini adalah munculnya kesedaran bahawa isu ini tidak akan dapat diselesaikan dengan hanya menukar individu semata-mata. Ada beberapa tokoh dari kalangan parti pembangkang dan antaranya ialah Anwar Ibrahim sendiri, yang telah mengeluarkan kenyataan bahawa penukaran sistem adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan Malaysia. Idea dan saranan ini didasarkan kepada pengamatan beliau betapa pengunduran Mahathir semata-mata tidak membawa apa-apa perubahan, malahan keadaan menjadi semakin teruk.
Ya benar, kita bukannya perlu menolak individu semata-mata, tetapi sistem yang ada! Penolakan kepada sistem yang ada mesti diikuti dengan penggantian kepada sistem yang lain. Jadi persoalannya ialah, sistem apakah yang sedia ada, dan sistem apakah yang mesti menggantikannya?
Sesungguhnya segala keburukan yang melanda kita pada hari ini berpunca daripada sistem demokrasi-kapitalisme, yang berasal dari akal manusia dan bukannya dari wahyu. Sistem ini telah terbukti bukan sahaja merosakkan Malaysia, malah telah merosakkan seluruh dunia. Siapa pun yang berakal dapat menyaksikannya dan pasti akan mengakui betapa sistem demokrasi-kapitalisme adalah penyebab utama kepada permasalahan yang berlaku di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya.
Jadi, jika Anwar menyeru kepada perubahan sistem, tidak cukup hanya berhenti di situ kerana persoalan yang lebih penting iaitu sistem apa yang mesti menggantikan sistem yang rosak ini? Persoalan ini mesti dijawab dengan benar dan tuntas, barulah segala masalah dapat diselesaikan dengan benar.
Anwar memang terkenal sebagai pejuang demokrasi tegar sejak sekian lama. Jadi, tiada guna jika beliau bercakap tentang perubahan sistem, jika realitinya tetap menginginkan sistem demokrasi, kerana sesungguhnya ini tidak dikatakan perubahan sistem sedikit pun! Dalam konteks ini, Anwar seharusnya sedar bahawa sistem yang digunapakai oleh partinya sendiri, PKR dalam pemerintahan di negeri yang dikuasainya di Selangor misalnya, ternyata sama sebagaimana sistem yang diterapkan oleh kerajaan yang diterajui UMNO, sama-sama demokrasi! Jadi, seruan Anwar kepada perubahan sistem itu tidak bermakna sedikit pun, malah tidak lebih dari satu pembohongan sekiranya dilakukan untuk tujuan retorik atau menarik perhatian semata-mata.
Jadi, Anwar perlu jelas kepada sistem apakah perubahan itu perlu dilakukan? Sebagai seorang tokoh yang pernah memimpin sebuah gerakan Islam, Abim, Anwar sepatutnya tahu bahawa hanya sistem Islam sahajalah yang dapat menyelesaikan segala masalah dan hanya sistem Islam sahajalah yang wajib diterapkan oleh pemerintah. Oleh itu, ketua umum PKR ini seharusnya jelas dan tidak bertapis, apatah lagi berasa malu untuk menyeru bahawa perubahan sistem yang wajib dilakukan ialah daripada sistem demokrasi yang penuh kekufuran dan kerosakan ini kepada sistem Islam, yang benar dan akan membawa kesejahteraan.
Sistem pemerintahan Islam ialah sistem Khilafah dan tidak ada yang lain. Sistem inilah yang telah menaungi dunia dan membawa rahmat ke seluruh alam selama lebih 13 abad. Oleh itu, Anwar harus benar dan ikhlas dalam seruannya yakni Malaysia wajib menukar sistem pemerintahan yang diamalkan sekarang dari sistem demokrasi kepada sistem Khilafah. Jika tidak, seruan yang datang dari penjara ini hanya menjadi seruan kosong tanpa makna sedikit pun!