Demokrasi sememangnya sistem yang mahal

demokrasiSesuatu yang tidak mengejutkan dengan pendedahan daripada orang UMNO sendiri bahawa BN telah menghabiskan sejumlah dana yang cukup besar iaitu lebih dari RM1.5 bilion dalam kempen mereka semasa PRU ke-13 yang lalu.

Sukar untuk mendengar sebuah parti politik mengaku secara terbuka jumlah dana yang mereka terima atau habiskan dalam setiap pilihan raya, kecuali atas sebab atau kepentingan tertentu sahaja rahsia busuk ini akan terbongkar.

Jumlah 1.5 bilion itu terdedah setelah perbalahan kem Najib dan kem Mahathir yang tidak dapat dipisahkan dengan skandal derma peribadi sebanyak RM2.6 bilion yang diterima oleh Perdana Menteri Malaysia itu.

Persoalannya, dari manakah mereka mendapatkan dana sebanyak itu? Walaupun segelintir pihak tahu akan jawapannya, namun ramai yang masih tertanya-tanya, dan mungkin sampai ke sudah tidak akan menemui jawapannya!

Secara logiknya, jika dikira yuran keahlian dan sumbangan ahli UMNO memang tidak akan mencecah jumlah tersebut. Jumlah sebanyak itu hanya akan tercapai apabila ada ‘sumbangan’ besar daripada pihak-pihak tertentu dan pihak terbabit sudah tentu tidak akan menyumbang begitu sahaja tanpa mengharapkan apa-apa balasan!

Inilah realiti parti yang bergelumang dengan sistem demokrasi. Harga demokrasi memang sangat mahal. Untuk bertanding dalam sesuatu pilihan raya, jika kantung hanya ada setakat RM lima angka, minta maaflah. Realiti ini berlaku di mana-mana sahaja negara demokrasi, baik di dunia Islam mahupun dunia Barat.

Tidak semua calon mempunyai kantung yang tebal. Begitu juga dengan parti. Jadi dari manakah dana yang mereka peroleh untuk membiayai proses kempen? Di sinilah wujudnya peranan para kapitalis (pemilik modal) yang bertindak sebagai ‘sponsor’ terhadap calon atau parti-parti yang bertanding.

Ahli politik dengan para kapitalis sesungguhnya ibarat belangkas, mereka tidak akan berpisah, kecuali setelah hilangnya kepentingan antara satu sama lain. Golongan pemilik modal (kapitalis) akan terlibat sama ada secara langsung atau tidak, bagi mendanai calon atau parti politik tertentu, ya sudah pasti dengan mengharapkan pulangan modal yang lumayan jika calon yang mereka taja itu menang dan berkuasa.

Kerana itu, demokrasi adalah satu sistem yang cenderung memihak kepada pemilik-pemilik modal, bukannya berpihak kepada rakyat yang telah memilih mereka selaku wakil yang bertanding dalam pilihan raya. Segala undang-undang, peraturan dan polisi yang dibuat akan memerhatikan kepentingan pemilik modal ini dan akan dipastikan tidak menjejaskan mereka.

Rakyat sekadar dijadikan alat atau batu loncatan bagi ahli politik dalam usaha mereka menaiki takhta dan seterusnya melahap kekayaan negara dengan pangkat dan jawatan yang mereka perolehi setelah menang pilihan raya. Segala kekayaan yang mereka kaut itu pula sudah pasti “wajib” dikongsi sponsor mereka. Inilah sistem demokrasi!

Demokrasi lahir dari akidah sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan). Manakala ideologi yang melahirkannya dipanggil sebagai ideologi Kapitalisme, kerana ciri yang paling menonjol di dalam sistem demokrasi tersebut terkait rapat dengan peranan para pemilik modal sehingga hakikatnya pemilik modallah yang mencorakkan suasana dan keputusan politik dalam sesebuah negara demokrasi.

Rakyat bukan hanya menjadi mangsa dan alat permainan pemerintah dan ahli politik, tetapi terus diperbodohkan untuk mempercayai yang sistem demokrasi ini adalah berasal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat dan merupakan sistem terbaik! Walhal ia adalah sistem yang bukan sahaja kufur, malah terlalu mahal dan gagal!