China buang 50,000 pekerja, natijah keburukan ekonomi
Sebuah syarikat di Beijing yang merupakan antara pengeluar besi terbesar di China akan membuang sehingga 50,000 pekerja, menurut pengerusinya ekoran pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan. Kenyataan ketua syarikat besi pemilik pemerintah, Wuhan Iron & Steel, Ma Guoqiang itu sekali gus memberi gambaran Beijing berdepan dengan cabaran getir menyusun semula ekonomi China tanpa mencetuskan pergolakan sosial.
Divisyen keluli syarikat gergasi tersebut mempunyai 80,000 pekerja, namun hanya 30,000 kakitangan akan kekal menurut Guoqiang selepas sesi Kongres Kebangsaan Rakyat atau Parlimen China sebagaimana yang dilaporkan agensi berita AFP.
Laporan tersebut menyebut yang China mengumumkan sasaran untuk mengurangkan pengeluaran keluli sehingga 150 juta tan dalam tempoh lima tahun akan datang. Hal ini rentetan harga keluli dunia menjunam akibat lambakan global, sementara Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) menuduh China menjual keluli pada harga murah di pasaran AS dan EU.
Walaupun isu pembuangan pekerja ini bukanlah suatu yang baru dan pelik dalam dunia hari ini yang diterajui oleh sistem ekonomi Kapitalisme, namun jumlah 50,000 pekerja yang dibuang itu bukannya satu jumlah yang kecil dan boleh dianggap remeh oleh mana-mana negara sekalipun. Bayangkan 50,000 orang yang bakal menganggur dan bakal mengalami kesusahan hidup untuk menafkahi diri sendiri, apatah lagi bagi mereka yang dah berkeluarga dan hal ini sudah pasti memberi dampak negatif dari segi sosial dan kestabilan politik juga.
Walaupun China adalah sebuah negara besar dan boleh dikatakan antara gergasi ekonomi dunia, tetapi ia tetap tidak terlepas daripada ancaman kemelesetan, kelembapan dan pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan, yang akibatnya akan dirasai oleh rakyat terutamanya golongan bawahan dan pertengahan. Manakala golongan pemimpin atau atasan memang tidak akan terjejas, kerana apa pun yang berlaku, kantung mereka akan lebih dulu diselamatkan berbanding kantung rakyat.
Apa yang lebih memburukkan keadaan ialah, masalah ekonomi yang dihadapi oleh blok Timur mahupun blok Barat dunia, ia akan mempengaruhi hampir keseluruhan dunia, termasuk dunia Islam yang rata-ratanya mengamalkan sistem ekonomi Kapitalisme kerana sistem ekonomi buatan manusia ini bukan sahaja rapuh, malah memang terkenal dengan kesan berantai yang dibawanya.
Sejak sistem ekonomi Kapitalisme menguasai dunia, sebahagian besar penduduk dunia mengalami penderitaan yang tidak berkesudahan dan kita menyaksikan taufan ekonomi melanda dunia secara purata setiap 5-7 tahun.
Umat Islam seharusnya sudah lama celik akan fenomena ini dan tidak boleh tinggal diam menyaksikannya. Perubahan wajib dilakukan dan satu-satunya perubahan yang wajib dilakukan ialah dengan menerapkan sistem ekonomi Islam. Masalahnya ialah, sistem ekonomi Islam tidak akan dapat dilaksanakan tanpa adanya negara yang menerapkannya. Selagi negara atau dunia masih didominasi oleh ekonomi Kapitalisme, selagi itulah kitaran penderitaan dan ketidakstabilan akan terus membadai.
Jadi, setiap Muslim wajib berusaha untuk menegakkan negara yang bukan sahaja akan mewujudkan kestabilan ekonomi, tetapi juga akan mewujudkan kestabilan dan kesejahteraan politik, sosial dan lain-lain.
Satu-satunya negara yang wajib ditegakkan oleh umat Islam ialah Negara Khilafah yang kewajipan mendirikannya amat jelas dan tidak ada khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan ulama muktabar mengenainya. Inilah negara yang dahulunya telah mewujudkan kesejahteraan kepada umat Islam khususnya dan dunia amnya dan negara ini akan kembali Insya Allah dengan usaha yang bersungguh-sungguh dari mereka yang memperjuangkannya.