Adakah UMNO dan Najib begitu suci hingga tidak boleh ditegur?
Di saat-saat kepanasan sekarang ini, siapa sahaja yang mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak, maka bersedialah untuk menjadi bahan hentaman menteri-menteri UMNO yang masih setia bersama Najib. Dia juga kena bersedia diburukkan namanya dan dikorek segala kesalahannya oleh media arus perdana di bawah UMNO. Begitu juga dengan kritikan terhadap UMNO, sesiapa sahaja yang mengkritik parti terbesar Melayu itu sebagai telah menyeleweng, rosak atau seumpamanya, maka siaplah untuk menerima balasan daripada pembesar-pembesar yang masih setia dengan UMNO dan juga media yang menjadi ejen UMNO.
Jika pimpinan daripada parti pembangkang yang mengkritik Najib dan UMNO, lalu menerima nasib sedemikian, ini adalah suatu yang wajar. Tetapi kini orang yang dihentam oleh pimpinan UMNO adalah bekas pimpinan tertinggi UMNO dan masih lagi merupakan ahli UMNO itu sendiri. Walaupun ada hentaman yang masih lembut, tetapi rata-ratanya hentaman yang agak keras telah dilontarkan kepada siapa sahaja yang mengkritik Najib dan UMNO.
Antara bekas pemimpin tertinggi UMNO yang dihentam hebat sekarang ialah Dr Mahathir Mohamad. Manakala bekas pimpinan UMNO yang masih lagi merupakan ahli UMNO yang menerima nasib yang sama ialah Tan Sri Muhyiddin Yasin dan juga Datuk Seri Mukhriz….Langkah Muhyiddin yang terus mengkritik kepimpinan Najib dilihat dan dikatakan sebagai suatu tindakan yang tidak bijak oleh rakan-rakan mereka yang masih setia dengan Najib. Mesej yang cuba “dihantar” kepada para pimpinan UMNO yang lain ialah, orang yang bijak ialah orang mengampu, membodek dan memuji Najib dan merelakan diri untuk terus dicucuk hidung oleh Najib. Inilah mentaliti yang ada dan sering ditanam dalam parti UMNO. Hal ini tidak lain kerana Najib masih mempunyai banyak gula-gula untuk diberikan kepada siapa yang membodeknya. Pimpinan dan ahli UMNO mana yang tidak mahu gula-gula daripada Najib?
Apa yang berlaku ini tidak pelik sedikit pun, kerana ini adalah natijah biasa dari politik sekular, yang secara fitrahnya akan melahirkan para politikus yang hipokrit dan pragmatik. Apa yang penting dalam politik UMNO hanyalah periuk nasi dan “perut”. Masing-masing berjuang untuk membesarkan perut masing-masing dan siapa sahaja yang berani melawan arus, habislah periuk nasi. Melepaskan periuk nasi bukanlah satu hakikat yang mudah untuk dilakukan oleh orang-orang UMNO. Periuk nasi adalah persoalan hidup dan mati bagi ramai ahli UMNO. Semakin tinggi ‘darjat’ seseorang dalam UMNO, semakin besarlah periuk nasi yang perlu dijaganya. Melepaskan periuk nasi merupakan satu tindakan yang “sangat bodoh” menurut kamus UMNO!
Walaupun UMNO dan Najib sekarang ini masih berkuasa, tetapi keduanya kini sedang menghadapi mimpi yang paling ngeri dalam sejarah hidup masing-masing. Krisis dalaman UMNO semakin parah, sama parahnya dengan krisis Najib selaku presidennya. Bau busuk batang tubuh UMNO sudah semakin tidak mampu ditutup oleh pewangi mahal serta pakaian berjenama yang dipakainya sejak dulu.
UMNO bagaikan rumah usang yang hanya menanti masa. Serangan kepada UMNO dan Najib ibarat hujan lebat, yang walaupun masih belum mampu merobohkannya, tetapi sudah memburukkan lagi keadaannya yang hanya mampu bertahan dengan sisa-sisa kekuatan yang ada. Rumah ini sudah terlampau usang untuk diperbetulkan. Penghuninya pula sudah bercakaran sesama sendiri dalam usaha menyelamatkan diri masing-masing. Dalam masa yang sama, mereka masih ego dan mendabik dada dengan rumah yang mereka miliki dan menyatakan dengan penuh sombong kepada dunia bahawa rumah mereka masih utuh, sedangkan hakikatnya dari tangga sampai ke atap, orang sudah menyaksikan rumah ini bakal menyembah bumi.
Apalah salahnya jika Najib dan UMNO merendah diri dan mengakui sahaja secara jujur akan segala kesilapannya. Mungkin seluruh rakyat akan memaafkannya sebagaimana rakyat telah “memaafkan” Dr Mahathir yang telah banyak melakukan kezaliman ke atas rakyat di zamannya. Ini tidak, Najib dan UMNO terus berdegil dan nampaknya cuba mempertahankan ego masing-masing hingga ke akhir hayat.
Bukan sekadar itu, malah mereka dengan egonya enggan menerima sebarang kritikan dan sebaliknya menyalahkan kesemua pengkritiknya, seolah-olah diri mereka suci dari sebarang kesalahan! Hal ini mengingatkan kita kepada kisah agung Khalifah Umar al-Khattab yang pernah ditegur oleh salah seorang rakyatnya tatkala dia berucap (sebagai seorang Khalifah),
“Apabila tindakan aku benar, maka ikutilah aku dan apabila aku menyimpang, maka luruskanlah aku”.
Lalu berkatalah salah seorang yang hadir, dengan lantangnya sambil menghunuskan pedangnya ke arah Umar,
“Wahai Umar! Sekiranya engkau menyimpang, maka pedangku inilah yang akan meluruskanmu”.
Lalu dijawab oleh Umar sambil tersenyum,
“Segala puji bagi Allah yang telah memberikan keberanian kepada seorang hambaNya, yang bersedia meluruskan Umar dengan pedangnya.”
Sesungguhnya peristiwa hebat ini tidak akan kita jumpai di mana-mana peradaban kecuali di zaman pemerintahan Khilafah, tatkala sang pemimpin dan orang yang dipimpin merupakan orang-orang ikhlas dan tidak sombong kepada Allah SWT dan sama-sama berpegang teguh dengan Islam.
Insya Allah pemimpin seperti ini akan muncul kembali apabila Negara Khilafah muncul kembali.