Wajah demokrasi: Tiga jam seminggu bersorak dalam Parlimen
Wakil-wakil rakyat dari barisan kerajaan dan juga pembangkang di negara ini disibukkan dengan bercakaran sesama sendiri kira-kira tiga jam seminggu, ujar Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Menurutnya, tindakan dari kedua-dua pihak tersebut langsung tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada mereka dan juga rakyat.
Bekas Menteri Besar Selangor itu juga mengakui bahawa beliau tidak gemar dengan sikap bermuka-muka yang wujud dalam arena politik ketika ini. Malah politik sekarang menjadi terlalu kucar kacir sehingga tidak sempat mengubah tatacara pengurusan rakyat yang berada dalam kemiskinan kerana wakil-wakil rakyat sibuk bersorak di dalam Parlimen. Politik merupakan satu persaingan yang tiada undang-undang dan ini bermakna adanya kelonggaran yang sangat besar dalam politik hari ini, ujarnya lagi.
Tanpa perlu hadir ke Parlimen atau menjadi ahli Parlimen, rakyat Malaysia umumnya sudah mengetahui hakikat yang disebutkan oleh Khalid. Cuma yang menjadi persoalan ialah, kenapa ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu baru membangkitkan hal ini sekarang walhal perkara ini sudah lama terjadi secara berulang-ulang dan persoalan yang lebih penting ialah, apakah tindakan Khalid, sebagai seorang ahli Parlimen, dalam menanggapi isu ini?
Terjadinya kucar-kacir dalam politik hari ini berpunca daripada ketidakfahaman para politikus tentang pengertian politik itu sendiri. Hal ini diburukkan dengan sistem demokrasi yang mereka bergelumang di dalamnya yang menjadikan perjuangan ahli Parlimen tidak lari sedikit pun dari acuan sistem yang telah membentuk mereka ini. Buruknya perangai ahli Parlimen mencerminkan betapa buruknya sistem yang mereka anuti.
Fungsi utama Parlimen dalam sistem demokrasi ialah untuk menggubal undang-undang, selain menjadi tempat pembahasan polisi-polisi negara. Sebahagian besar ahli parlimen ialah mereka yang mewakili parti masing-masing dan bertindak atas arahan parti, atas nama parti dan untuk kepentingan parti. Jadi, jika mereka menggubal undang-undang atau apa-apa polisi pun, ia sebenarnya adalah untuk kepentingan parti mereka dan bukannya untuk kepentingan rakyat. Inilah realiti dalam negara demokrasi.
Tidak semua ahli Parlimen terdiri daripada orang-orang yang prihatin dengan masalah rakyat atau pakar dalam bidang pengurusan rakyat atau pembuatan polisi negara. Mereka hanya terpilih kerana mereka disukai oleh ketua parti masing-masing. Itu sahaja. Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika mereka tidak pergi pun ke Parlimen, atau jika mereka pergi, hanya untuk tidur atau untuk bersorak-sorai dan melakukan perdebatan ala budak-budak yang sungguh memalukan. Inilah perangai sebahagian besar ahli Parlimen.
Sedangkan makna politik (siyasah) dalam Islam ialah ri’ayah al-su’un al-ummah (mengurusi urusan umat) yakni bagaimana pemerintah mengurusi urusan rakyatnya dan bagaimana rakyat melakukan muhasabah terhadap pemerintah jika mereka lalai dalam hal pengurusan tersebut. Inilah maksud siyasah dalam Islam. Manakala ri’ayah (pengurusan) di sini bermaksud pengurusan hal ehwal umat dengan hukum-hakam Islam dan segala polisi yang mendatangkan kemaslahatan kepada umat Islam.
Dalam sebuah Negara Islam (Khilafah), akan ada Majlis Umat yang diwakili oleh mereka yang dipilih oleh umat, tetapi bukan untuk membuat undang-undang sebagaimana Parlimen pada hari ini. Majlis Umat merupakan tempat untuk wakil-wakil yang dipilih oleh umat untuk memberikan input-input yang berguna kepada ketua negara (Khalifah) serta melakukan muhasabah kepada Khalifah di atas kezaliman atau pengabaiannya ke atas rakyat.
Justeru, dalam Negara Islam Insya Allah tidak akan berlaku perbincangan yang sia-sia, apatah lagi perbincangan yang haram yang menyalahi syarak sebagaimana perbincangan dalam Parlimen pada hari ini, kerana fungsi Majlis Umat itu sendiri adalah untuk menjaga hukum-hukam syarak, bukannya untuk melanggar syarak sebagaimana fungsi Parlimen.
Wallahu a’lam.