SN471 – Memahami Hakikat Di Sebalik Tragedi Pengeboman

PDF

SN Keluaran 15 Julai 2016

Bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu, selain meninggalkan kebaikan yang begitu banyak di dalamnya, telah meninggalkan calar yang tidak dapat dilupakan oleh umat Islam. Sungguh menyedihkan apabila Ramadhan tahun ini dicemari dengan serangkaian tragedi pengeboman yang terjadi di beberapa tempat di negeri kaum Muslimin, termasuklah di Malaysia. Pada 28 Jun 2016, sebuah bom tangan dilemparkan dan meletup di pusat hiburan Movida di Puchong, Selangor dan mencederakan lapan orang pengunjung. Buat julung kalinya pihak polis mengesahkan bahawa kejadian pengeboman tersebut didalangi oleh kumpulan bersenjata Islamic State (IS). Susulan kejadian ini, pihak polis telah menahan 15 orang di mana dua orang daripadanya adalah anggota PDRM sendiri. Pada hari yang sama, berlaku serangan bom di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki, mengorbankan lebih 40 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain.

Pada 1 Julai, serangan bom berlaku di sebuah restoran di Dhaka, Bangladesh. Ledakan yang terjadi pada Jumaat malam di sebuah restoran Sepanyol yang cukup terkenal di Dhaka itu telah mengorbankan 20 nyawa. Manakala tiga hari selepas itu (4 Julai), bertepatan dengan hari kemerdekaan negara Amerika Syarikat (AS), sebuah kenderaan yang berisi bom diletupkan di Konsulat Amerika di Erbil, Iraq dan tiga orang dilaporkan terkorban. Pada hari yang sama, sebuah van yang sarat dengan bom diletupkan di Baghdad, Iraq menyebabkan 143 terbunuh, yang menjadi serangan terburuk seumpamanya di Baghdad sejak kemasukan Amerika pada 2003. Akhir sekali, pada tarikh yang sama juga, Arab Saudi digegarkan dengan empat siri letupan dalam satu hari yang diawali dengan dua ledakan bom di masjid komuniti Syiah di Kota Qatif. Kemudian diikuti dengan ledakan bom bunuh diri kira-kira 20 meter dari Konsulat Amerika di Jeddah dan letupan terakhir terjadi setelah azan maghrib, ketika umat Islam sedang berbuka puasa berdekatan Masjid Nabawi dan mengorbankan empat jiwa.

Natijah Daripada Tragedi

Dari kesemua kejadian yang berlaku, jika ada pengakuan daripada pihak yang bertanggungjawab dan mereka benar-benar melakukannya tanpa ada rekayasa politik, maka itu adalah seburuk-buruk pengakuan. Manakala jika tidak wujud pengakuan, tuduhan atau anggapan yang ada, atau setidaknya apa yang bermain di fikiran kebanyakan orang ialah, ia dilakukan oleh kumpulan militan Islam. Ada juga yang beranggapan bahawa ia adalah tindakan individu yang terinspirasi daripada perjuangan kumpulan militan. Ada pula yang beranggapan bahawa ia adalah perancangan atau perlakuan dari pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

Walau siapa pelakunya sekalipun, apa yang pasti ialah Allah akan mempertanggungjawabkan (membalas) pelaku pengeboman tersebut sewajarnya. Mereka telah melakukan pembunuhan, menumpahkan darah, mencederakan dan menimbulkan ketakutan kepada orang ramai, dengan jalan yang menyalahi Islam. Selain itu, apa yang juga pasti ialah, kejadian tersebut telah dimanfaatkan oleh musuh-musuh Islam dan turut dimanfaatkan oleh rejim pemerintahan di negeri-negeri kaum Muslimin ke arah kepentingan politik mereka. Daripada siri pengeboman yang berlaku, ada beberapa natijah yang dapat dilihat secara langsung:-

Pertama: Musuh-musuh Islam, khususnya dari kalangan orang-orang kafir menggunakan kejadian tersebut sebagai senjata serangan berterusan mereka untuk memburuk-burukkan Islam. Lebih jauh, mereka menyeru agar kaum Muslimin terus menjadi moderat (wasatiyyah) dan meninggalkan ajaran Islam yang disifatkan sebagai ekstrem dan ganas, dan menekankan betapa pentingnya untuk umat Islam berpegang teguh dengan idea pemisahan agama dari kehidupan (sekular). Islamophobia pula menjadi semakin menebal kerana alasan agama sering dijadikan justifikasi dalam setiap serangan, walaupun hakikatnya apa yang dilakukan itu bercanggah seratus peratus dengan Islam. Dalam masa yang sama, kerajaan di negara-negara Barat telah mengambil kesempatan untuk menjustifikasi polisi diskriminasi mereka terhadap Islam dan kaum Muslimin, baik polisi dalam mahupun luar negeri.

Kedua: Dengan mengaitkan peristiwa pengeboman dengan kelompok bersenjata IS, apatah lagi apabila ada pengakuan daripada kelompok tersebut, maka musuh-musuh Islam terus sahaja memalu gendang memburukkan Negara Khilafah yang disifatkan sebagai barbaric, negara yang penuh kejahatan, pembunuhan dan kezaliman. Sedangkan IS tidak pernah dan tidak sekali-kali mewakili umat Islam dan IS juga sama sekali bukan Negara Khilafah sebagaimana yang mereka dakwakan. Negara Khilafah adalah negara penyebar rahmat dan kebaikan kepada dunia dan sesungguhnya Negara Khilafah secara syarienya masih belum berdiri. Inilah ketakutan dan propaganda yang dimainkan oleh Barat dengan menjadikan IS sebagai kuda tunggangannya untuk memburuk-burukkan Khilafah demi menjauhkan manusia daripada perjuangan menegakkan Khilafah dengan cara yang benar.

Ketiga: Rejim pemerintah di negeri kaum Muslimin memanfaatkan apa yang berlaku untuk meningkatkan pemantauan dan halangan ke atas gerakan Islam dan apa jua aktiviti dakwah yang dilakukan, khususnya yang bertentangan dengan polisi dan aspirasi sekular pemerintah. Ini termasuklah usaha mereka menakut-nakutkan dan meragu-ragukan masyarakat terhadap gerakan Islam, khususnya gerakan Islam yang berjuang di luar kotak demokrasi, walaupun terbukti bahawa gerakan Islam terbabit tidak pernah terlibat dalam aktiviti kekerasan atau keganasan. Di samping itu, masyarakat terus dimomokkan oleh pemerintah dengan idea Islam moderat (wasatiyyah) yang hakikatnya tidak lain merupakan idea acuan Barat untuk menjauhkan umat dari Islam yang sebenar.

Keempat: Apa yang tidak kurang pentingnya dari hal di atas, kejadian pengeboman ini diperbesarkan habis-habisan oleh pemerintah sehingga saban hari masyarakat disodor dan “dipaksa” mempercayai bahawa ancaman tersebut benar-benar wujud, yang sekaligus berjaya menutup segala kudis dan kurap yang ada pada pemerintah. Walhal hakikatnya, keselamatan rakyat jauh lebih terancam dengan kejadian jenayah yang tidak ditangani dengan serius oleh pemerintah yang statistiknya sentiasa meningkat dalam negara. Malah ancaman keselamatan dan keamanan yang berpunca daripada pembunuhan, penculikan, tembakan, rogol, ragut, penyakit kronik, kemalangan jalan raya dan lain-lain, yang kesemuanya terjadi akibat buruknya pengurusan pemerintah terhadap rakyat, jauh lebih besar dari ancaman pengeboman itu sendiri.

Kelima: Kejadian pengeboman ini juga telah mengalihkan perhatian masyarakat dunia, apatah lagi perhatian para pemerintah di negeri kaum Muslimin, dari melihat dan menangani pengganas sebenar yang jauh lebih berbahaya dan besar malapetaka yang diakibatkannya, ke atas umat manusia. Amerika, Israel, Perancis, Russia dan sekutu-sekutu mereka, inilah para pengganas sebenar yang telah membunuh jutaan manusia dengan pengeboman besar-besaran yang mereka lakukan, khususnya ke atas kaum Muslimin dan negeri kaum Muslimin. Jutaan manusia yang lain pula telah cacat, cedera, kehilangan ayah, ibu, anak-anak serta hidup dalam keadaan trauma dan amat dhaif, yang kesemuanya adalah hasil pengeboman dan lain-lain tindakan keganasan secara besar-besaran yang dilakukan oleh kuasa kuffar ini.

Selain kesan-kesan yang disebutkan di atas, kita juga tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang diingini atau yang cuba diraih oleh pihak yang melakukan pengeboman tersebut. Jika ia dilakukan secara “ikhlas” oleh mereka yang mengaku Muslim atau mana-mana kelompok yang mengaku Islam, persoalannya, perjuangan Islam apakah yang mereka bawa dengan mengebom dan melakukan pembunuhan di sana-sini serta menakutkan orang ramai dengannya? Apakah ini cara yang ditunjukkan atau dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam perjuangan baginda? Apakah hujah (nas) yang mereka gunakan untuk membunuh dan menumpahkan darah manusia (baik kafir apatah lagi Muslim) dengan sewenang-wenangnya? Jika apa yang mereka sasarkan ialah untuk menegur dan memberi peringatan kepada pemerintah, maka kenapakah orang awam yang tidak berdosa yang menjadi sasaran dan mangsa? Jika mereka ingin menumbangkan pemerintahan yang sedia ada dan ingin menerapkan Islam, adakah dengan mengebom dan membunuh orang awam dapat mencapai cita-cita mereka? Apakah ini caranya yang diajar oleh Islam untuk menumbangkan pemerintahan? Sesungguhnya tidak lain apa yang mereka lakukan kecuali menyalahi Islam, dilihat dari sudut mana sekalipun.

Membaca Agenda Musuh Islam Di Sebalik Pengeboman

Umum sudah mengetahui bahawa perang melawan keganasan (war on terror) dilancarkan secara besar-besaran oleh Amerika Syarikat sejak peristiwa 9/11. Bermula dari situ, sekutu-sekutu AS, baik dari kalangan pemerintah kafir mahupun Muslim, kesemuanya menjadi pengekor dan pak turut kepada negara Uncle Sam itu dalam war on terrornya. Satu per satu papan memanah diwujudkan oleh Amerika bagi menjustifikasi tindakannya untuk membidik kaum Muslimin. Belum puas memerangi Taliban, Amerika memerangi Al-Qaeda pula. Setelah berjaya “membunuh” Osama bin Laden, Amerika beralih “memerangi” IS. Apa pun yang Amerika lakukan, semua orang yang celik akan mengetahui bahawa yang dibidik oleh Amerika bukanlah papan memanah yang mereka letakkan, tetapi kaum Muslimin yang tidak sehaluan dengan mereka. Maka kewujudan kelompok-kelompok Islam yang mengangkat senjata menjadi pucuk dicita ulam mendatang kepada Amerika untuk merealisasikan tujuannya. Malah, Amerika tidak ragu-ragu sedikitpun untuk mewujudkan pucuk dan ulam, jika keduanya tidak ada.

Amerika mesti memastikan war on terrornya sentiasa relevan, kerana ia merupakan senjata ampuh AS untuk menguatkan cengkamannya ke atas negeri-negeri umat Islam, khususnya negeri yang ada kecenderungan atau keupayaan untuk menghalang apa jua polisi atau kehendak AS. Memandangkan AS telah meletakkan Islam sebagai musuh terbesarnya setelah kejatuhan Komunisme, negeri-negeri kaum Musliminlah yang menjadi bidikan AS untuk dikawal agar tidak menjadi ancaman baru kepadanya. Apatah lagi negeri kaum Muslimin yang mana gema penegakan Khilafah semakin kuat kedengaran dan disahut oleh umat Islam. Ini kerana Amerika sangat memahami bahawa satu-satunya ancaman terbesar kepadanya sekarang ialah Negara Khilafah yang bakal berdiri di atas jalan kenabian, kerana negara ini akan menghancurkan dominasi Amerika beserta ideologi Kapitalis yang dikembangkannya ke atas dunia Islam.

Atas dasar itulah, kita akan dapati yang Amerika terus-menerus berusaha memastikan dunia Islam tidak stabil dan sentiasa wujudnya ancaman dan tindakan keganasan, bagi membolehkannya masuk campur dalam setiap urusan, kerana ia menganggap dirinya sebagai ketua dalam peperangan melawan keganasan dan semua negara mesti mengikut telunjuk dan arahannya. Atas dasar ini juga, selain memburukkan konsep Khilafah bawaan IS yang ternyata buruk dan melabelkannya sebagai pengganas, Amerika cuba mengaitkan setiap aktiviti gerakan Islam yang berusaha untuk menegakkan Khilafah, sebagai aktiviti yang boleh membawa kepada ancaman dan keganasan. Inilah racun yang sentiasa diberi minum oleh AS kepada pemerintah Muslim dan umat Islam secara umumnya, yang dengannya AS berharap gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan Khilafah ini sentiasa dipantau, dihalang, diragui dan dijauhi oleh pemerintah dan umat Islam.

Justeru, tidak dapat tidak, mana-mana gerakan atau Muslim yang bergerak untuk menegakkan kembali Khilafah di atas jalan kenabian, menjadi sasaran kepada polisi war on terror di mana-mana negara sekalipun. Atas dasar ini, kewujudan IS dimanfaatkan sepenuhnya oleh AS untuk mewar-warkan kepada dunia bahawa war on terrornya sentiasa relevan, di samping mencipta satu mindset dalam kalangan umat Islam bahawa Negara Khilafah dan siapa sahaja yang memperjuangkannya adalah penyebar terrorisme. Dengan ledakan bom yang berlaku di sana sini, apatah lagi apabila adanya pengakuan daripada IS bahawa merekalah yang melakukannya, maka semua ini telah mempermudahkan kerja AS. Lebih dari itu, AS berjaya mewujudkan “perang proksi” sesama umat Islam yang akhirnya merugikan umat Islam itu sendiri.

Sebagai Muslim, kita wajib mengambil tahu urusan umat Islam, kita mesti menjadi seorang yang celik politik dan sentiasa memeriksa serta membongkar perancangan jahat musuh-musuh Islam terhadap kita. Sudah berapa banyak serangan, pembunuhan dan letupan bom yang berlaku di seluruh dunia, terbukti bahawa dalang di sebaliknya adalah Barat sendiri dan berapa banyak pula kejadian yang direkayasa oleh pemerintah yang selari dengan kehendak Barat. Jika tidak terbukti sekalipun, berapa banyak pula daripada kejadian tersebut, yang faktanya penuh dengan keraguan dan keanehan. Di sinilah peri pentingnya untuk kita, bukan sahaja berusaha membongkar konspirasi jahat Barat dan talibarut mereka ke atas umat Islam, tetapi berusaha untuk menegakkan sebuah pemerintahan yang Islami dan melantik seorang Khalifah yang bertakwa, yang menjaga dan sayangkan umat Islam serta akan melawan kejahatan dan dominasi Barat ke atas umat Islam.

Khatimah

Sesungguhnya Islam merupakan agama penyebar rahmat kepada manusia, alam dan kehidupan. Inilah tujuan Allah SWT mengutuskan RasulNya supaya menyebarkan agama ini dengan segala rahmatnya. Rahmat ini bukan sahaja dirasai oleh orang-orang Islam, malah seluruh manusia termasuk yang mengkufuri Allah sekalipun. Walaupun Islam memerintahkan penganutnya berlaku keras terhadap orang kafir yang memusuhi Islam, namun siapa sahaja yang menganut agama ini tidak akan menjadi pengganas, tidak akan melakukan tindakan keganasan dan tidak akan berkompromi dengan apa jua aktiviti keganasan.

Islam mengajar penganutnya dengan penuh hikmah dan kasih sayang, sehingga dalam bab jihad (perang melawan kafir harbi fi’lan) sekalipun, Islam melarang membunuh wanita, orang tua dan kanak-kanak (kecuali yang ternyata terlibat dalam peperangan), melarang merosakkan bangunan dan pepohonan, melarang membunuh musuh yang melafazkan syahadah, melarang menyeksa tahanan dan mencincang mayat musuh yang telah terbunuh dan banyak lagi. Inilah secebis daripada keindahan Islam, yang membuktikan bahawa Islam tidak identik dengan keganasan. Sebaliknya Barat dan siapa sahaja yang memusuhi Islam, sudah terbukti bahawa merekalah pengganas yang sebenar. Segala keindahan Islam Insya Allah akan zahir apabila berdirinya Negara Khilafah yang akan menerapkan Islam secara kaffah. Semoga kita termasuk dalam orang-orang yang berusaha mendirikannya. Amin ya Rabbal alamin.