SN472 – Garis Kasar Sekitar Kudeta Tentera Yang Gagal Di Turki
SN Keluaran 22 Julai 2016
[SN472] Berikut adalah terjemahan soalan dan jawapan yang ditujukan kepada Amir Hizbut Tahrir, al-Alim Syeikh Atha’ bin Khalil Abu al-Rashtah, berhubung kudeta (rampasan kuasa) tentera yang gagal yang berlaku di Turki pada hari Jumaat lepas (15/07/2016). Soalan dan jawapan asal (bahasa Arab) boleh dilayari di facebook beliau https://www.facebook.com/AmeerhtAtabinKhalil/posts/498057193724690:0
Soalan:
Meskipun baru sehari dua berlalu sejak berlakunya kudeta, saya ingin mendapatkan penjelasan biarpun secara kasar, apakah yang berlaku di Turki sekitar kudeta tersebut. Apakah benar ia dilakukan oleh puak Gullen? Atau dilakukan oleh para pegawai tentera yang setia kepada British? Dan apakah kemungkinan setelah itu? Semoga Allah memberikan kebaikan kepada anda
Jawapan:
Setelah meneliti dan menelaah apa yang terjadi di Turki selama dua hari pada 15 dan 16 Julai 2016, tampak bahawa mereka yang melakukan kudeta adalah para tentera yang nekad, yang setia kepada British. Mereka selama ini berada dalam sasaran bahaya. Semua ini berdasarkan realiti-realiti berikut:-
1. |
Keberadaan mereka dalam bahaya kerana Majlis Mesyuarat Tentera Turki biasanya akan mengadakan pertemuan pada akhir bulan ini (Julai) atau awal bulan depan (Ogos) setiap tahun. Majlis ini memiliki bidang kuasa yang banyak dan sangat penting dalam tentera. Pertemuan tersebut biasanya diadakan dengan dipimpin oleh Perdana Menteri di Ibu Pejabat Ketua Staf di Ankara dan dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Ketua Staf, Panglima Angkatan Darat, Panglima Angkatan Udara, Panglima Angkatan Laut, Panglima Pasukan Gendarmerie (sebuah pasukan khas) dan Naib Ketua Staf II. Anggota Majlis Mesyuarat terdiri daripada para komandan kanan tentera. Antara perkara yang dibahaskan dalam mesyuarat rutin Majlis ini, selain sejumlah topik yang berkaitan dengan angkatan bersenjata Turki itu sendiri, ialah kenaikan pangkat jawatan-jawatan tinggi tentera, lanjutan tempoh jawatan beberapa panglima, hal-hal berkaitan dengan pencen serta kes-kes anggota tentera yang dipecat kerana masalah disiplin atau moral…Pertemuan itu berlangsung selama beberapa hari. Keputusan-keputusannya akan diumumkan setelah dibentangkan kepada Presiden. Biasanya seiring dengan pertemuan Majlis tersebut, berakhirlah juga tugas (jawatan) beberapa orang panglima tentera dan pegawai-pegawai tertinggi yang lain. Misalnya, pada pertemuan sebelum ini pada 2/8/2015, di antara mereka yang ditamatkan tugasnya dalam pertemuan tersebut ialah panglima angkatan udara ketika itu, iaitu Akin Ozturk, yang dilaporkan oleh beberapa berita sebagai pemimpin kudeta ini, termasuk beberapa panglima lainnya. Nampak seolah-olah para pegawai yang melakukan usaha kudeta ini tahu atau “berlakunya kebocoran” maklumat bahawa ada tindakan yang akan diambil terhadap mereka di dalam pertemuan Majlis Mesyuarat tersebut yang boleh mengancam survival mereka dalam tubuh tentera. Kerana itu mereka melakukan usaha kudeta ini sebagai tindakan pro-aktif sebelum mesyuarat tersebut diadakan. |
2. |
Berkenaan para tentera yang nekad, yang setia kepada British, umum mengetahui bahawa orang-orang (yang setia kepada) British adalah pelopor tentera di Turki. Umum juga mengetahui bahawa Amerika berusaha untuk memecahkan mereka sejak zaman kepresidenan Ozal lagi, namun, usaha ini gagal. Oleh itu, Amerika kemudian menggarap polis dan pasukan keamanan dalam negeri. Amerika seterusnya menumpukan usaha untuk memecahkan tentera pada zaman Erdogan dan sampai tahap tertentu ternyata berhasil…Akan tetapi, kekuatan British masih ada. Meskipun Erdogan berjaya mematahkan sayap mereka, namun Erdogan tidak dapat menghapuskan mereka sepenuhnya dan di antara mereka adalah para tentera yang nekad itu, yang cuba melakukan kudeta tersebut. Adapun mereka dikatakan sebagai “nekad” kerana tiada tanda bahawa rancangan kudeta ini dilakukan oleh British. Akan tetapi yang tampak ialah para tentera yang nekad itu sendirilah yang merancangnya dan British membiarkan mereka melakukannya…Ini kerana, dengan mengamati perancangan kudeta ini, jelas terlihat bahawa ia hampir-hampir kosong dari kelicikan dan kecerdikan British. Contohnya, para pelaku kudeta memfokuskan penjelasan mereka pada sekularisme dan ini merupakan kebodohan mereka. Ini kerana, perasaan Islami telah tersebar luas dalam kalangan masyarakat Turki saat ini. Maka, sebutan sekularisme merupakan provokasi terhadap mereka (orang-orang Turki) dan mengingatkan mereka kepada pemerintahan Mustafa Kamal dan para pengikutnya yang memprovokasi Islam dan kaum Muslimin serta kebencian serta tipudaya mereka terhadap Islam dan penganutnya. Justeru, penyebutan sekularisme oleh mereka yang melakukan kudeta merupakan kebodohan yang telah membuatkan masyarakat turun ke jalan-jalan, kerana kebencian mereka kepada para pengikut Mustafa Kamal melebihi kecintaan mereka kepada Erdogan…Dan perkara lain yang penting, para pelaku kudeta tidak merancang dengan teliti pada peringkat awal lagi untuk menangkap ahli-ahli politik dan pemerintah, yakni presiden dan kerajaan, sebelum mengumumkan kudeta. Rampasan kuasa (kudeta) justeru diumumkan pada saat para politikus dan penguasa masih bebas berada pada posisi masing-masing! Ini bermakna, tindakan para pelaku kudeta itu sebenarnya lebih kepada rusuhan dan luahan emosi tanpa dukungan massa, malah bukan satu kudeta yang terurus pun! Semua ini menguatkan fakta bahawa kudeta ini dilakukan oleh para tentera yang nekad, yang setia kepada British, sebagai langkah proaktif terhadap keputusan-keputusan Majlis Mesyuarat Tentera yang mereka jangkakan akan menjerumuskan mereka ke dalam bahaya. |
3. |
Adapun berkenaan tudingan kudeta kepada Gullen, maka fakta yang lebih kuat ialah hal itu tidak benar. Pertamanya, kerana kelompok Gullen lebih banyak bergerak dalam aktiviti-aktiviti sosial, sivil dan peradilan serta tidak memiliki kemampuan tentera untuk melakukan kudeta tanpa dukungan penjajah…Kedua, kelompok Gullen hanya berkumpul atas arahan Amerika dan mereka tidak akan bergerak tanpa izin Amerika. Sehingga kini, Amerika memandang Erdogan sebagai orang yang lebih mampu melayani kepentingan-kepentingan Amerika khususnya pada waktu ini. Turki (di bawah Erdogan) adalah saham terakhir Amerika dalam menangani masalah Syria. Erdogan memberi layanan kepada Amerika yang tidak dapat diberikan oleh orang lain dalam keadaan seperti ini. Hal ini terlihat dengan kesediaan Turki untuk memulihkan hubungan dengan rejim Syria, seperti diumumkan oleh Perdana Menterinya, “Turki akan memulihkan hubungan dengan Syria”. Bagi Amerika, Gullen adalah pelan cadangan ketika diperlukan. Misalnya, Gullen mendukung Parti Keadilan pada tiga pilihan raya umum sejak 2002 hingga 2013. Ketika itu mula terjadi ketegangan di antara keduanya (Gullen dan Erdogan) dengan Gullen mengungkit isu rasuah beberapa orang pendukung Erdogan. Demikian juga berlakunya ketegangan ketika Jaringan Darshan milik kelompok Gullen ditutup. Jadi Gullen adalah simpanan (yang akan digunakan oleh Amerika) jika diperlukan. Adanya lebih dari satu ejen di satu-satu tempat tidaklah merbahaya bagi negara-negara penjajah. Juga, tidak berbahaya bagi negara penjajah sekiranya para ejen itu berselisih, bersaing bahkan saling berperang satu sama lain. Negara penjajah akan mendukung siapa yang menang. Ini seperti perselisihan Sadat dengan kelompok Ali Sobri (di Mesir), padahal kedua kelompok tersebut adalah pengikut Amerika. Bagaimanapun, Sadat berhasil menyingkirkan dan menangkap kelompok Ali Sobri. Demikianlah kelompok Gullen, seperti yang kami katakan, fakta yang lebih kuat adalah bahawa kudeta ini tidak dilakukan oleh mereka. Akan tetapi fakta ini tidak menghalang individu-individu dari kelompok Gullen menyertai usaha kudeta atas kapasiti peribadi, khususnya para hakim, sebagai reaksi terhadap kuatnya tekanan yang mereka alami di bawah Erdogan. |
4. |
Tidak diragui yang Erdogan faham bahawa British memiliki kekuatan dalam tentera di Turki meskipun kekuatannya semakin berkurangan. Erdogan faham bahawa kelompok British dalam tentera adalah mereka yang ada di sebalik kudeta, akan tetapi Erdogan sengaja mengarahkan tuduhan kepada Gullen. Ini kerana, mendedahkan kewujudan kelompok British dalam tentera bermakna mengangkat kedudukan mereka. Jadi, untuk merendahkan mereka ialah dengan menyisihkan mereka tanpa menyebut kedudukan mereka. Gullen tidak memiliki kedudukan besar seperti mereka…Erdogan ingin menghancurkan kelompok British tanpa keriuhan, yakni secara rahsia sehingga tidak mendedahkan mereka dan tidak mewujudkan kelompok di sekitar mereka…Dalam pada itu, Erdogan ingin melemahkan pesaingnya dengan keriuhan, sebab kelompok Gullen tidak memiliki kekuatan sebagaimana yang dimiliki oleh kelompok British. Inilah pandangan yang lebih kuat berhubung apa yang terjadi…Selebihnya, apa yang berlaku itu bukanlah usaha kudeta yang utuh dan ia tidak dikaji dengan baik pun terlebih dahulu oleh pelakunya. Malah, kudeta itu lebih kepada usaha tidak matang bercampur perasaan marah tanpa persediaan sepatutnya. Bagaimana pun, hal penting yang harus diperhatikan bukanlah pada apa yang terjadi, akan tetapi pada kemungkinan setelah itu. |
5. |
Adapun kemungkinan setelah itu adalah, kecamuk yang terjadi di sekitar usaha kudeta ini akan berpengaruh pada dua pihak:- Pertama: Amerika dan Erdogan. Keduanya akan mengerahkan segenap usaha dalam rangka memanfaatkan apa yang terjadi untuk mengambil tindakan serius bagi mengakhiri kekuatan British dalam tubuh tentera, atau sekurang-kurangnya melemahkan pengaruh mereka sampai batas terendah. Amerika dan Erdogan telah membesarkan skala usaha kudeta untuk menjustifikasi tangkapan ke atas orang-orang yang setia kepada British secara besar-besaran dan dengan cara yang keras. Erdogan pula sudah pasti akan memanfaatkannya dalam melemahkan pesaingnya, Gullen, sebesar mungkin, tetapi masih dalam batas-batas yang diizinkan oleh Amerika untuk itu…Penangkapan terhadap ribuan orang membuktikan hal tersebut. Kedua: British. Apa yang terjadi tentu terkait dengan British. Meskipun British dengan kelicikan dan kecerdikannya bukanlah pihak yang merancang cara dan sarana kudeta, tetapi British membiarkan orang-orangnya dengan rancangan kudeta tersebut. Oleh kerana itu, tidak boleh menolak kemungkinan yang British akan memantau situasi dari dekat untuk melakukan reaksi bagi mengembalikan wibawa orang-orangnya…Dan ini tentu sudah dijangka oleh Amerika dan Erdogan. Oleh kerana itu, Obama memanggil mesyuarat Dewan Keamanan Nasional untuk membahas apa yang terjadi di Turki, seolah-olah kejadian itu terkait langsung dengan keamanan dalaman Amerika. Pertemuan itu sebagai perhitungan menghadapi reaksi internasional yang mungkin timbul. Demikian juga Erdogan, dia berpesan kepada orang ramai untuk bertahan di tempat-tempat terbuka, lapangan terbang dan masjid-masjid untuk menghalang apa jua tindak balas daripada orang-orang British dan mereka yang setia kepada British. |
6. |
Sebagai penutup, apa yang terjadi sesungguhnya merupakan suatu yang menyakitkan. Ini kerana darah yang tertumpah adalah darah kita dan bukan darah British atau Amerika…Kehancuran yang terjadi ke atas pelbagai bangunan, lapangan terbang dan tempat-tempat awam juga terjadi di negeri kita dan bukan di Amerika atau Britain…Demikianlah saat-saat (kejadian) kudeta ini merupakan kegelapan yang bertimpa-timpa di negeri kita dan di depan kita…Dan ini merupakan hal yang memilukan dan menyakitkan…Akan tetapi di sana ada cahaya, meskipun sekelumit, cahaya yang muncul di tengah-tengah kegelapan, iaitu orang ramai keluar ke jalan-jalan dan melaungkan “Ya Allah! Ya Allah! Allahu Akbar! Allahu Akbar!”. Hal itu kerana deklarasi para pelaku kudeta atas sekularisme mereka secara terang-terangan, telah memprovokasi perasaan kaum Muslimin di Turki, membuatkan mereka turun ke jalan-jalan menghadapi kereta kebal-kereta kebal. Mereka melaungkan semua itu demi menolong agama mereka. Mereka mengadang usaha kudeta tentera, bukan kerana kecintaan mereka kepada Erdogan dan rejimnya, tetapi kerana kemarahan mereka terhadap sekularisme dan para pengikutnya…Mereka bergerak secara emosional menentang sekularisme yang hakikatnya sekularisme itu ada pada rejim (Erdogan) dan para pelaku kudeta. Sekularisme membawa keburukan di mana sahaja…cumanya mereka memandang bahawa kudeta sekularisme ini telah memprovokasi perasaan Islami mereka. Sesungguhnya kudeta merupakan jejak langkah Mustafa Kamal dan para pengikut serta sekutunya. Kaum Muslimin telah memiliki pengalaman dengan kebencian dan tipudaya para pengikut Mustafa Kamal terhadap Islam…Adapun sekularisme yang diamalkan oleh rejim (Erdogan) masih menjaga sebahagian daripada Islam, inilah yang menyejukkan perasaan masyarakat…Lalu bagaimana seandainya kaum Muslimin memiliki negara yang benar dan adil, yakni negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah, yang mengurus mereka dengan adil dan baik, menegakkan hukum-hukum Allah di tengah-tengah mereka, berjihad bersama mereka di jalan Allah, sehingga dengannya mereka menjadi mulia di dunia dan meraih kejayaan di Akhirat? Bagaimana (agaknya)? Sungguh, mereka akan pasti melindunginya dengan harta dan jiwa mereka, dengan perasaan dan pemikiran mereka, dengan lahir dan batin mereka, dan dengan semua yang ada pada mereka…Sungguh kaum Muslimin adalah umat yang terbaik, sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan untuk manusia. “Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah” [TMQ Ali Imran (3):110]. Dengan izin Allah SWT, umat Islam akan diselimuti dengan pemerintahan yang berhukum dengan apa yang telah Allah SWT turunkan (yakni) Khilafah Rasyidah yang menaungi kaum Muslimin dengan panji Rasulullah SAW. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas hal ini. |
12 Syawal 1437 H
17 Julai 2016 M