Turki Memerlukan Khilafah Dan Bukan NATO Dan Tentera Sekular

Turki, Israel berpatah arang: Tayyip Erdogan
ANKARA – Kerajaan Turki memberi amaran bahawa hubungannya dengan Israel ‘rosak teruk’ selepas insiden tentera Israel menyerang konvoi kemanusiaan ke Genting Gaza, Isnin lalu.

Sebagai respon kepada perbuatan Israel itu, Turki bertindak membatalkan latihan ketenteraan bersama dengan Tel Aviv dan memanggil Duta Israel di Turki untuk meminta penjelasan mengenai tindakan negara rejim itu.

Selain itu, Turki juga menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan perbuatan tidak berperikemanusiaan Israel itu.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan juga menggambarkan serangan rejim Zionis itu sebagai perbuatan pengganas dan menuduh Israel mencabuli undang-undang antarabangsa selepas melancarkan serangan itu di perairan antarabangsa.

Seramai 19 orang aktivis dipercayai terbunuh, dengan kebanyakan daripadanya adalah rakyat Turki, semasa tentera Israel menyerang dan menembak aktivis di atas kapal Turki, Mavi Marmara yang mengetuai konvoi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza.

Turki, negara berpengaruh dalam Majlis Keselamatan PBB dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), merupakan sekutu terkuat Israel di rantau Timur Tengah.

Sumber: Sinar Harian 02/06/10

Turki memerlukan Khilafah dan bukan NATO dan tentera sekular

Sejak penubuhannya pada tahun 1924 dengan diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular, tentera Turki yang merupakan salah satu tentera terbesar di Eropah adalah merupakan benteng utama untuk mempertahankan sistem sekular yang merupakan tunjang kepada penubuhan negara tersebut.

Sekiranya terdapat mana-mana rakyat negara Israel yang menjadi keganasan puak militan di Timur Tengah, maka Israel tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap keganasan tersebut.

Tetapi keadaan sebaliknya berlaku sekiranya Israel melancarkan serangan terhadap kapal muatan Turki, tentera Turki hanya menunjukkan sikap berdiam diri. Bagi tentera seperti ini, membela sistem sekular adalah lebih penting daripada membela rakyatnya yang terkorban akibat keganasan Israel.

Berlainan pula apabila berdepan dengan pemberontak Kurdis. Sekiranya ada rakyat Turki yang terkorban akibat pengeboman puak tersebut, maka tentera Turki akan bertindak-balas dengan cepat terhadap pemberontak Kurdis.

Turki adalah anggota NATO dan menurut Artikel 5 dan Artikel 6 di dalam piagam NATO, sekiranya salah satu negara anggota NATO diserang maka ianya adalah serangan terhadap kesemua anggota NATO dan ini termasuklah Amerika, Britain dan Peranchis di mana ketiga-tiga ini merupakan ahli Majlis Keselamatan PBB.
Berikut adalah terjemahan Artikel 5 dan 6 di dalam piagam NATO:

Artikel 5

Ahli-ahli bersetuju sekiranya terdapat serangan ketenteraan terhadap salah satu atau lebih di kawasan Eropah dan Amerika Utara ia akan dilihat sebagai serangan ke atas kesemua anggota dan seterusnya bersetuju bahawa sekiranya serangan tersebut berlaku, setiap ahli anggota, dengan memerhatikan kepada Artikel 51 Piagam Bangsa Bangsa Bersatu mempunyai hak untuk membela diri secara individu atau secara kolektif kesemuanya, akan membantu pihak yang diserang, secara individu dan kolektif, di mana tindakan tersebut dilihat perlu, termasuklah pengunaan tindakan ketenteraan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan di kawasan Atlantik Utara.

Artikel 6(1)

Dengan merujuk kepada Artikel 5, serangan ketenteraan terhadap salah satu atau lebih daripada ahli adalah serangan ketenteraan yang termasuk:

1)  i) Berlaku di mana-mana kawasan ahli di Eropah atau di Amerika Utara, di wilayah Algeria-Perancis, dan ii) Berlaku di kawasan sekitar dan di kepulauan di bawah kekuasaan mana-mana ahli di kawasan Atlantik Utara , utara daripada Garisan Tropic of Cancer.

2)  Terhadap tentera, kapal terbang dan kapal perairan mana-mana ahli di mana-mana kawasan di luar Eropah di mana tentera mereka berada pada permulaan tarikh perjanjian penyertaan tentera tersebut, atau di Laut Mediterranean, atau di kawasan Atlantik Utara sebelah utara garisan Tropic of Cancer.
www.nato.int/cps/en/natolive/official_texts_17120.htm [diakses pada 3 Jun 2010]

Maka menurut Artikel 5 dan 6 di dalam piagam NATO tersebut, ini menjadikan mana-mana anggota NATO yang diserang oleh Israel, Israel wajib diserang oleh mana-mana anggota NATO sebab serangan tersebut berlaku di perairan Mediterranean.

Walaupun apa yang dipersetujui oleh piagam tersebut, tidak akan ada negara anggota NATO yang akan mengambil tindakan ketenteraan terhadap Israel. Berbeza pula dengan serangan peristiwa September 11 ke atas Amerika yang juga dilihat sebagai serangan ke atas NATO menurut Artikel 5 dan 6 di dalam piagam NATO, di mana selepas sahaja Amerika menyerang dan menjajah Afghanistan, ia diikuti oleh beberapa anggota NATO yang lain yang turut menghantar tentera mereka untuk menjajah Afghanistan termasuklah Britain, Perancis, Jerman dan beberapa buah negara Eropah lain yang merupakan anggota NATO.

Jelas di sini, negara Turki perlulah kembali kepada zaman kegemilangan Khilafah Uthmaniyyah mereka, dan tidak lagi boleh mengharapkan tentera sekular atau tentera NATO untuk membela rakyatnya yang diserang. Tentera sekular negara Turki hanya berminat untuk mempertahankan sistem sekular negara tersebut yang diwujudkan oleh Mustafa Kamal Ataturk, dan tidak berminat untuk membela dan mempertahankan mana-mana rakyatnya yang mati terbunuh oleh kekejaman Israel. Dan NATO pula tidak akan mengambil tindakan ketenteraan terhadap Israel, tetapi akan hanya mengambil tindakan ketenteraan ke atas negara umat Islam sekiranya mana-mana ahli NATO diserang oleh negara umat Islam tersebut.

Sejarah kegemilangan Khilafah Uthmaniyah bukanlah sejarah kuno ribuan tahun dahulu, tetapi sejarah yang masih baru, sejak Muhammad al-Fatih membuka kota Istanbul pada tahun 1453, cucu-cucu Muhammad al-Fatih memimpin, membela dan mempertahankan umat Islam di dalam Daulah Khilafah selama 700 tahun lamanya dan ini berterusan sehinggalah tahun 1924.