Ahok menghina al-Quran, umat Islam bersatu membela
Sejak perhimpunan reformasi pada tahun 1998 yang menyaksikan jatuhnya Presiden Suharto di Indonesia, rakyat Indonesia melakukan perhimpunan terbesar semalam (4 November 2016) bagi mendesak pihak polis menangkap dan menghukum Gubernur DKI Jakarta, Basuki Tjahya Purnama yang lebih dikenali sebagai Ahok, kerana menghina kitab suci al-Quran.
Ratusan ribu umat Islam mula berkumpul sejak sebelum solat Jumaat dan melakukan perarakan sebaik sahaja usai solat dari Masjid Istiqlal menuju ke istana Presiden yang berada di Jalan Medan Merdeka Utara, Jakarta Pusat. Demonstrasi atas nama “Bela Islam” itu menyaksikan umat Islam dari seluruh ceruk Indonesia berhimpun di tengah-tengah kota Jakarta bagi menunjukkan solidariti dan kecintaan mereka terhadap al-Quran yang dihina oleh Gubernor Jakarta yang beragama Kristian itu.
Sesungguhnya inilah yang kita semua mahukan, yakni umat Islam bangkit dan bersatu apabila al-Quran dihina, apabila Islam dihina dan apabila Rasul dihina. Malah lebih daripada itu, kita mahukan umat Islam turut bangkit dan bersatu apabila maruah mereka dihina, apabila hatta salah seorang Muslimah dihina, apabila umat Islam dizalimi, apabila negeri umat Islam dijajah dan diperlakukan sewenang-wenangnya oleh orang kafir.
Lebih lagi, kita mahukan umat Islam bangkit dan membela al-Quran apabila hukum al-Quran tidak diterapkan oleh pemerintah, apabila hukum al-Quran dicampakkan dan dibakul sampahkan oleh pemerintah yang sekular. Umat Islam mesti bangkit dan membela al-Quran sehinggalah hukum-hukum di dalam al-Quran diterapkan sepenuhnya oleh pemerintah.
Demonstrasi besar-besaran semalam (4 November 2016) membuktikan kepada kita bahawa ruh penyatuan masih tersemat kukuh dalam dada umat Islam di saat perpecahan telah lama melanda. Tanpa mengira latar belakang, tempat tinggal, gerakan apa yang diwakili dan pelbagai cabaran yang wujud, kaum Muslimin tetap dapat bersatu atas tujuan yang satu.
Semoga momentum penyatuan dan sayangkan al-Quran ini akan terus dipertahankan sehingga keseluruhan hukum-hukum al-Quran, syariah Islam dan Khilafah Islamiyyah, yang juga sepatutnya menjadi objektif bersama umat Islam, dapat ditegakkan.