SN102 – HAJI : PENGORBANAN DAN PENYATUAN
SN Keluaran 2006
[SN102] “Labbaikallahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik, innal hamda, wa ni’mata, laka wal mulk, la syarikalak” (Kami datang menyahut panggilanMu, ya Allah, kami datang menyahut panggilanMu. Kami datang memenuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagiMu. Kami datang menyahut seruanMu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu. Tiada sekutu bagiMu). Inilah seruan yang sama-sama dikumandangkan oleh seluruh jamaah haji. Seruan yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kaum Muslimin tatkala datang ke Baitullah di dalam menyahut perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seruan ini merupakan ikrar bagi kaum Muslimin untuk datang memenuhi panggilan Allah serta siap menerima dan menjalankan perintah-Nya, tanpa menyimpang sedikitpun dari apa yang Allah telah tetapkan.
Hari ini (Jumaat 29/12/06) adalah hari di mana umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berkumpul di padang Arafah untuk melaksanakan satu daripada rukun haji iaitu wukuf. Hari ini, sebagaimana hari-hari yang sama pada setiap tahun, menjadi saksi kepada ketundukan manusia di hadapan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hari ini juga menjadi saksi kepada setiap jemaah haji dan keseluruhan umat Islam bahawa tidak ada perbezaan di antara yang berkulit putih mahupun hitam, yang kaya dan yang miskin, pemerintah ataupun rakyat – semuanya dibaluti dengan kain putih tidak berjahit dan berada di tengah padang pasir, mengharap pahala dan keredhaan dari Sang Maha Pencipta. Di samping mengajar kita kesucian hati dan fikiran, ibadah haji juga mengajar kita untuk menanggalkan semua ikatan Jahiliyyah samada berupa ikatan kaum, keturunan, bangsa, negara dan lain-lain ikatan kekufuran. Yang ada dalam setiap fikiran jamaah haji adalah ikatan La ilaha illallah Muhammad Rasulullah, yang mana dengan ikatan ini, manusia itu adalah sama di sisi Allah, kecuali ketaqwaanlah yang akan membezakan mereka.
Yang Menyedihkan
Boleh dikatakan keseluruhan mereka yang berangkat menunaikan haji tentunya merasa gembira kerana dapat melengkapkan rukun Islam yang kelima ini. Jauh sebelum keberangkatan, suasana gembira, syukur dan meriah sebenarnya telah dapat dirasakan. Benar, kita sepatutnya bergembira pada hari ini. Tetapi pada masa yang sama, ada banyak perkara lain yang menyedihkan kita. Perayaan yang sepatutnya disambut secara serentak oleh kaum Muslimin satu dunia, ternyata menghiris hati kita hampir setiap tahun. Kenapa? Pada tahun ini sekali lagi kita menyaksikan perayaan ini disambut pada hari yang berbeza oleh umat Islam. Kerajaan Arab Saudi telahpun mengumumkan bahawa 21 Disember yang lepas adalah bersamaan dengan 1 Zulhijjah. Oleh itu, wukuf jatuh pada hari ini, yakni Jumaat 29/12/06 dan Idul Adha sepatutnya dirayakan esok (Sabtu 30/12/06). Malangnya kerajaan beberapa buah negara, termasuklah Malaysia telah mengumumkan Hari Raya Idul Adha jatuh pada hari Ahad 31/12/06. Apakah yang menyebabkan perbezaan ini, walhal selisih masa di antara Malaysia dan Makkah hanyalah lebih kurang 5 jam? Tak lain tak bukan, kerana umat Islam masih terpecah kepada negara bangsa ciptaan penjajah yang mana setiap negara masih bermati-matian mempertahankan kedaulatan sempadan negara masing-masing.
Pada masa kita (termasuk ulama dan pemimpin) membicarakan tentang ibadah haji sebagai simbol penyatuan umat Islam, simbol kesetaraan, persaudaraan dan seumpamanya, pada masa yang sama para ulama dan pemerintah tidak mempersatukan kita di bawah satu kepimpinan, satu negara, satu Daulah. Mereka masih berpegang erat bahawa negara Malaysia adalah milik rakyat Malaysia, Indonesia adalah negara ‘orang lain’, Palestin adalah negara milik bangsa Palestin, Iraq, Turki, Pakistan adalah negara mereka, bukan negara kita. Inilah yang masih menyedihkan kita. Para pemerintah dan ulama yang sepatutnya mempersatukan kaum Muslimin sebaliknya yakin, redha dan mempertahankan sempadan ciptaan kuffar penjajah. Mereka lupa bahawa semua tanah kaum Muslimin adalah tanah kita. Mereka lalai bahawa bumi ini diwariskan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman. Mereka tidak sedar bahawa Ka’abah bukan milik Saudi, Masjid Nabawi bukan hak Saudi, Masjidil Aqsa bukan sekali-kali hak Palestin, tetapi semua ini adalah milik Allah dan milik umat Islam. Rasulullah berjuang menghapuskan semua sempadan-sempadan ini dan menyatukan umat Islam, sebaliknya pemimpin hari ini berjuang mempertahankan sempadan ini dan memecahbelahkan kita.
Mereka menyatakan umat Islam itu bersaudara, walhal mereka menghalau saudara mereka yang masuk ke negara mereka tanpa pasport dan visa, mereka menyatakan umat Islam wajib bersatu, tetapi mereka tidak menyatukan umat Islam di bawah Daulah Khilafah, malah mana-mana gerakan Islam yang ingin mempersaudarakan sesama Islam, menghapuskan segala sempadan dan menyatukan umat Islam di bawah satu kempimpinan dan pemerintahan, golongan ini pula yang dipersalahkan. Malah para pemerintah dan ulama ini akan turut menyalahkan mana-mana kaum Muslimin yang ingin menyambut perayaan tidak sama dengan tarikh yang mereka isytiharkan. Yang lebih mendukacitakan, sesetengah umat Islam juga turut menganggap bahawa perbuatan ini adalah salah, malahan sesat!
Di samping kesedihan kita dengan sikap ulama dan pemimpin yang sekular, kita juga amat sedih melihat sesetengah umat Islam yang salah faham tentang konsep ibadah haji di mana mereka menganggap Makkah sebagai satu tempat untuk ‘confession’ (pengakuan salah). Benar, kita dituntut agar bertaubat dan memperbaiki diri. Tapi apa yang dimaksudkan confession di sini ialah menganggap dan menjadikan Makkah sebagai tempat ‘pembersihan’ dosa. Sebelum ke Makkah, mereka hidup sama seperti seorang sekular, tidak mempertimbangkan halal dan haram di dalam perbuatan, tidak memperdulikan dosa dan pahala, syurga atau neraka. Mereka tidak menghiraukan semua ini dengan alasan satu hari nanti mereka akan ke Makkah untuk ‘membersihkan’ diri mereka. Mereka menganggap inilah sebaik-baik tempat untuk melakukan confession. Seolah-olah kita mempunyai hak untuk melakukan dosa, kemudian boleh ditebus dengan menunaikan haji. Walhal ibadah haji bukan memberikan satu alasan untuk kita melakukan dosa, samada sebelum atau selepas menunaikan haji. Kita kesal apabila ada di kalangan umat Islam yang berfikir sebagaimana Kristian yang menganggap dirinya telah ‘bersih’ setelah melakukan sebuah ‘confession’ di tempat ibadat mereka.
Ada segelintir umat Islam menganggap bahawa haji adalah episod akhir di dalam ibadah. Ini adalah kefahaman yang salah. Kita harus sedar bahawa menunaikan haji bukanlah perkara terakhir yang diperintahkan oleh Allah kepada kita. Haji bukanlah perjuangan yang terakhir dalam hidup ini. Banyak lagi perintah dan laranganNya yang wajib dilakukan samada sebelum atau sesudah menunaikan haji. Dakwah umpama contoh, merupakan sebuah perjuangan yang wajib dilakukan oleh setiap kaum Muslimin hingga ke akhir hayat. Menegakkan Khilafah adalah kewajipan yang tidak akan berkesudahan sehinggalah dilantiknya seorang Khalifah bagi umat ini. Jihad, sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah merupakan satu kewajipan sehingga Hari Kiamat. Dan banyak lagi kewajipan-kewajipan lain yang hukumnya kekal hingga Kiamat.
Satu lagi perkara yang turut menyedihkan kita ialah sikap segelintir para jemaah setelah mereka pulang semula ke negara masing-masing. Kita yakin bahawa setiap jemaah haji tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan sebanyak-banyak ibadah semasa mereka berada di Tanah Suci. Mereka juga tentu mengambil kesempatan untuk bertaubat kepada Allah di atas segala dosa-dosa mereka. Masing-masing akan berebut-rebut untuk melakukan, bukan setakat amalan wajib bahkan amalan sunat sekalipun. Kita menyaksikan betapa umat Islam berasak-asak untuk melakukan tawaf sunat, solat sunat dibelakang maqam Ibrahim atau hijir Ismail, mengucup Hajarul Aswad dan pelbagai amalan sunat lain lagi. Setiap jemaah juga akan mempunyai cita-cita untuk kalau boleh, memasuki Ka’abah, sehingga ada yang beranggapan bahawa hanya orang-orang yang dimuliakan oleh Allah sahaja yang dapat masuk ke dalamnya. Ada juga yang pernah berkesempatan melihat pintu Ka’abah dibuka dan terus merasa ‘dimuliakan’ oleh Allah dengan peluang tersebut.
Wahai kaum Muslimin! Tidakkah kalian menyaksikan sebahagian antara mereka yang telah kembali dari haji tetapi tetap melakukan dosa-dosa besar. Berapa ramai yang terlibat dengan amalan riba, seolah-olah riba itu suatu yang halal. Dari golongan bawah hingga ke atas, berapa ramai yang masih mengambil pinjaman riba, walhal mereka adalah golongan yang bertaubat dan menangis di hadapan Ka’abah semasa haji. Berapa ramai yang masih terlibat dengan rasuah untuk mendapatkan projek-projek demi meraih habuan dunia yang sedikit, walhal mereka berzikir siang dan malam di Arafah. Berapa ramai yang memgang kekuasaan tetapi menyalahgunakan kuasa, walhal mereka memohon keampunan kepada Allah semasa tawaf. Ada pula di kalangan pemimpin umat Islam yang diberikan kesempatan oleh Allah untuk masuk ke dalam Ka’abah, tetapi pemimpin inilah yang apabila balik ke negara masing-masing masih terus mempertahankan undang-undang kufur, sistem kufur, membuat undang-undang sendiri yang bertentangan dengan undang-undang Allah serta lain-lain dosa dan keharaman. Pemimpin inilah yang menzalimi rakyat, mengaut kuntungan negara untuk diri sendiri dan kroni, yang menipu rakyat, yang menangkap mana-mana orang yang tidak sehaluan dengan mereka, yang tunduk kepada Barat, yang mengadakan hubungan baik dengan Bush dan lain-lain kejahatan lagi. Maha Suci Allah, Engkaulah yang Maha Tahu akan hakikat haji mereka!
Berkorban Dalam Menunaikan Kewajipan
Ibadah haji mengajar kita erti pengorbanan. Hari Raya Haji juga disebut sebagai Hari Raya Kurban atau Idul Adha karena pada hari ini umat Islam disyariatkan oleh Allah untuk menyembelih haiwan kurban. Allah Subhanahu wa Ta’ala mensyariatkan ibadah kurban ini kepada umat Islam karena Dia telah menganugerahi mereka nikmat yang banyak. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
”Sesungguhnya Kami telah memberi kamu nikmat yang banyak. Karena itu, dirikan solat karena Tuhanmu, dan berkorbanlah”. [TMQ al-Kautsar (108):1-2].
Pada Hari Raya Kurban ini, kita juga dituntut untuk memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail di mana Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Kedua-duanya telah melakukan satu pengorbanan yang besar di dalam keadaan tunduk patuh kepada perintah Allah. Di samping amalan korban yang menjadi syariat di dalam ibadah haji ini, setiap jemaah sebenarnya banyak berkorban samada sebelum atau semasa menunaikan rukun Islam kelima ini. Umat Islam berkorban di dalam usaha menggenapkan belanja (wang), membayar segala hutang, berpisah dengan keluarga dan sanak saudara, masa, pekerjaan dan sebagainya semata-mata kerana ingin menyahut seruan Allah. Para jemaah juga sanggup berkorban di dalam melakukan rukun haji itu sendiri dalam keadaan yang penuh sesak, berebut-rebut, berhimpit-himpit, cuaca yang panas di siang hari, sejuk pada malamnya, pelbagai penyakit yang melanda dan lain-lain kesukaran lagi.
Inilah sedikit dari pengorbanan yang setiap orang akan melalui dengan penuh redha. Seorang pun tidak akan mempertikaikan akan kewajipan dan amalan-amalan yang diwajibkan oleh Allah di dalam ibadah haji ini, walau bagaimana sukar sekalipun. Alangkah redha dan bersungguh-sungguhnya umat Islam dan mereka akan merasa akan kemuliaan yang Allah berikan di dalam segenap kesukaran yang dilalui. Alangkah mulianya umat Islam jika mereka juga turut redha di dalam melakukan kewajipan-kewajipan yang lain. Sungguh mulia umat Islam apabila mereka redha dan bersungguh-sungguh meninggalkan riba, walau bagaimana sukar sekalipun, walau terpaksa menyewa rumah dan memiliki kereta buruk. Betapa mulianya mereka apabila meninggalkan riba semata-mata kerana ingin meraih redha Allah. Alangkah mulianya umat Islam apabila mereka bersungguh-sungguh berdakwah di jalan Allah untuk menegakkan deen ini, walau bagaimana sukar sekalipun, walau terpaksa berkorban wang ringgit, masa, status sosial, kedudukan, pekerjaan, menghadapi celaan orang yang suka mencela, terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan pelbagai ujian lain lagi. Alangkah mulianya jika umat Islam redha sepenuhnya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan Daulah Khilafah, tanpa memperhitungkan segala halangan dan rintangan yang mendatang. Alangkah mulianya jika umat Islam tidak pernah memberi apa-apa alasan di dalam menunaikan segala kewajipan yang Allah telah tetapkan!
Wahai kaum Muslimin! Kenapakah kalian sanggup berkorban di dalam melakukan ibadah haji dengan pengorbanan yang sepenuhnya, tanpa sedikitpun memberi alasan kepada Allah akan kelemahan dan kurangan kalian? Kenapakah kalian sanggup memberi alasan kepada Allah akan kewajipan dakwah yang kalian tidak laksanakan, akan pinjaman riba yang kalian ambil, akan hukum kufur yang kalian pertahankan, akan negara bangsa yang kalian perjuangkan? Kenapakah kalian tidak redha sepenuhnya kepada Allah di dalam kewajipan-kewajipan lain, sebagaimana redhanya kalian di dalam kewajipan haji? Di manakah pengorbanan kalian di dalam berdakwah ke jalan Allah? Di manakan pengorbanan kalian di dalam mempersatukan negeri-negeri umat Islam? Di manakah pengorbanan kalian di dalam menegur dan memuhasabah pemimpin yang tidak menerapkan Islam? Di manakah pengorbanan kalian di dalam menegakkan deenullah? Demi Allah, di saat ini kami hanya mampu bertanya dan mengajukan persoalan agar kalian tidak lupa dan tidak lalai. Namun di saat Izrael datang menjemput kalian, milik Allahlah segala soalan-soalan ini dan hanya kepadaNyalah kalian perlu menjawab!
Haji – Politik Dan Penyatuan
Di dalam perjalanan dakwah Rasulullah semasa di Makkah, baginda telah menjadikan musim haji sebagai waktu dakwah untuk menjalin hubungan dengan rombongan haji dan menyampaikan dakwah kepada mereka. Bermula tahun ke-10 kenabian, Rasulullah mendatangi para pemimpin kabilah pada musim haji untuk menawarkan Islam dan meminta nusrah (pertolongan) dari mereka. Ibn Hisyam meriwayatkan bahawa tidak satu pun dari mereka yang menyambut seruan Rasul itu sehinggalah ke musim haji tahun ke-11 kenabian, di mana datang 6 orang pemimpin suku Khazraj dari Madinah yang menyambut seruan beliau. Lalu mereka kembali ke Madinah dan mendakwahkan Islam di sana. Saat musim haji tahun berikutnya, seramai 12 orang dari kalangan para pemimpin Madinah datang menemui Rasul dan melaksanakan Bai’at Aqabah I. Kemudian pada musim haji tahun ke-13 kenabian, seramai 75 orang wakil penduduk Madinah, menemui Rasul dan membai’at beliau dalam Bai’at Aqabah II. Bai’at ini merupakan akad penyerahan kekuasaan kepada Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan merupakan akad penegakan Daulah Islam di Madinah.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak hanya menjadikan ibadah haji sebagai momentum dakwah pada fasa Makkah sahaja. Pada tahun ke-6 Hijriah, yakni pada fasa dakwah di Madinah, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menjadikan momentum ibadah haji sebagai usaha untuk mengukuhkan dakwah Islam di Jazirah Arab. Saat itu dengan strategi hendak menunaikan ibadah haji, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berhasil mencipta satu atmosfera dakwah Islam di Jazirah Arab. Dengan strategi itu pulalah, termeterinya Perjanjian Hudaibiyah, yang seterusnya menjadi jalan kepada penyebarluasan dakwah Islam di Jazirah Arab. Perjanjian Hudaibiyah jugalah yang kemudiannya menjadi pembuka jalan bagi Penaklukan Makkah (Fathu Makkah). Akhirnya, Makkah berjaya dibebaskan dari cengkaman sistem dan aturan kufur, dan kemudian diganti dengan sistem dan aturan Islam. Makkah akhirnya berubah dari Dârul Kufur menjadi Dârul Islâm.
Hubungan siyasah (politik) dengan ibadah haji juga jelas dapat dilihat ketika Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengangkat Saidina Abu Bakar untuk mengetuai rombongan ibadah haji kaum Muslimin pada tahun ke-9 Hijriah. Setelah keberangkatan Abu Bakar, turunlah Surah at-Taubah tentang pembatalan perjanjian yang pernah dilakukan oleh Rasulullah dengan kaum Musyrikin. Seseorang kemudian mencadangkan kepada Rasulullah agar surah itu dikirimkan kepada Abu Bakar. Lalu, Rasulullah mengutuskan Ali karramallhu wajhah untuk menyusul serta membacakan surah at-Taubah ketika kaum Muslimin berkumpul pada hari kurban di Mina. Ali kemudian bertemu dengan rombongan Abu Bakar dan Abu Bakar bertanya: “Adakah engkau sebagai amir (pemimpin) atau yang dipimpin?”. Ali menjawab: “Aku hanyalah orang yang dipimpin”. Kaum Muslimin pun meneruskan perjalanan di bawah pimpinan Abu Bakar. Ketika waktu Hari Kurban di Mina, Ali menyampaikan kepada kaum Muslimin apa yang diperintahkan Rasul kepadanya, dia berucap “Hai manusia, sesungguhnya orang kafir tidak akan masuk syurga, orang musyrik tidak boleh melakukan haji setelah tahun ini (9H), orang telanjang tidak boleh melakukan tawaf di Baitullah, siapa sahaja yang mempunyai perjanjian dengan Rasulullah, maka perjanjian tersebut berlaku hingga waktunya…..” [Sirah Ibnu Hisham].
Para Khalifah juga sentiasa meletakkan urusan ibadah haji sebagai perhatian utama mereka. Mereka menggunakan musim haji untuk menjaga urusan kaum Muslimin. Di dalam kitab ‘Tarikh al-Khulafa, Imam As-Suyuti banyak menceritakan perkara seperti ini. Di antaranya kisah Mu’awiyah Bin Abu Sufyan yang menggunakan masa ibadah haji untuk mendapatkan bai’at kaum muslimin untuk anaknya, Yazid. Dia berucap untuk mengingatkan ketidakbolehan kaum muslimin tidak mempunyai Khalifah walaupun satu malam dan supaya menjaga kesatuan umat. Ibnu Umar menjawab setelah memuji Allah,
“Para Khalifah sebelum kamu, mereka mempunyai putera, dan putera kamu tidaklah lebih baik daripada putera-putera mereka. Mereka tidak berpendapat untuk putera mereka seperti apa yang aku lihat pada putera kamu (iaitu mereka tidak meminta untuk membai’at putera mereka). Mereka memutuskan apa yang terbaik untuk kaum muslimin. Engkau memperingatkan aku supaya tidak memecah-belahkan kesatuan kaum muslimin dan aku tidak melakukannya. Aku hanyalah seorang di antara kaum muslimin. Jika mereka setuju, aku hanyalah salah seorang di antara mereka. Semoga Allah mengampuni kamu”.
Setelah berucap, Ibnu Umar lalu pergi meninggalkannya. Apa yang jelas dari peristiwa ini adalah amalan siyasah (politik) yang berlaku pada saat ibadah haji. Ibnu Umar yang tidak memisahkan siyasah ketika ibadah haji ternyata menggunakan kesempatan haji untuk menilai, menasihati dan memuhasabah pemimpin. Inilah bentuk aktiviti siyasah di dalam Islam.
Segala peristiwa ini sungguh penuh kaitannya dengan politik. Sejarah Ibadah haji telah menjadi bukti nyata yang kepada kita bahawa Rasulullah dan para sahabat telah mempersatukan kaum Muslimin melalui peristiwa ini. Ternyata, segala seruan (dakwah) dan pelbagai aktiviti politik yang berlaku di saat menunaikan haji ini telah berjaya meletak dan menyatukan umat Muhammad di bawah satu ibadat dan satu kesatuan. Perbezaan suku, bangsa, keturunan, bahasa, status sosial, dan latar belakang budaya terbukti tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk bersatu di dalam menyahut perintah Allah ini. Inilah hakikat yang menunjukkan bahawa umat Islam akan dapat bersatu semula di bawah satu payung pemerintahan apabila tujuan dan matlamat mereka sama, yakni untuk menegakkan syariat Allah dengan melantik seorang pemimpin yang akan melaksanakan pemerintahan dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Demi Allah, Sesungguhnya penyatuan di bawah satu pemerintahan ini pasti akan berlaku!
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Ibadah Haji sepatutnya menimbulkan kesedaran bahawa Tuhan kita satu, agama kita satu dan kiblat kita juga satu. Umat Islam berkumpul semata-mata kerana seruan Allah. Mereka meninggalkan seruan nasionalisme, seruan kepentingan dunia dan semua seruan yang selain daripada seruan Allah. Semoga dengan ibadah Haji kali ini, umat Islam mendapat berkat terutamanya para jemaah haji. Semakin bertambah ketaatan kaum Muslimin kepada Allah, semakin bersemangat untuk mereka menerapkan syariat Islam, sedia berkorban apa sahaja demi Allah dan Rasul-Nya. Semoga ia menjadi titik permulaan kepada kesatuan umat dalam satu kepimpinan, iaitu Khilafah. Sepatutnya ibadah haji ini dapat menghilangkan perpecahan di antara kita, khususnya dalam hal kepemimpinan, di mana kita seharusnya sedar dan wajib berusaha untuk mewujudkan kepimpinan dan negara yang satu, yakni Khilafah Islamiyyah. Inilah penghayatan ibadah haji yang sepatutnya kita wujudkan. Allah Subhanuhu wa taala berfirman:
“Berpeganglah kalian semua dengan tali (agama) Allah dan janganlah kalian bercerai-berai. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu (pada masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, lalu kalian dengan nikmat Allah itu menjadi bersaudara…..” [TMQ Ali-Imran (3):103]
Hanya dengan itulah umat Islam benar-benar akan bertakbir dalam kesatuan dan kemenangan, bukan dalam kekalahan dan perpecahan, sebagaimana yang dikumandangkan oleh Rasulullah dan kita semua setiap kali menjelang Hari Raya. Wallahu a’lam.