SN499 – Pengembang Liberalisme Dibiarkan, Pengembang Islam Disekat

PDF

SN Keluaran 29 Sya’ban 1438H/26 Mei 2017

SN499 - Pengembang Liberalisme Dibiarkan, Pengembang Islam Disekat

[SN499] Perkembangan mutakhir ini menampakkan ada usaha keras daripada pihak berkuasa agama di Selangor untuk menyekat usaha dakwah oleh mereka yang tidak bertauliah. Pada 14 Mei lepas, berita secara meluas melaporkan yang seorang penceramah agama ditahan di Seksyen 8, Shah Alam kerana mengajar tanpa tauliah. Ia disusuli pula dengan penangkapan tiga penceramah bebas termasuk dua bekas peserta program Pencetus Ummah di sebuah masjid di Rawang pada keesokannya, kerana kesalahan yang sama. Apa yang jelas, kandungan ceramah atau dakwah yang disampaikan tidak dinilai oleh Jabatan Agama sedikitpun, kerana apa yang diambil kira hanyalah tauliah semata-mata. Justeru, betapa benar sekalipun dakwah yang disampaikan, ia tetap dikira salah apabila tidak mempunyai tauliah. Inilah hakikat yang telah pun diketahui dan perlu ditelan oleh semua pihak, sama ada suka atau tidak. Agama Islam ini hanya boleh disampaikan oleh mereka yang diberi “lesen” sahaja dan itu pun selama mana penyampaian itu mematuhi kehendak pihak berkuasa agama.

Dalam masa yang sama, umat Islam di Malaysia disajikan dengan “dakwah” oleh kelompok-kelompok liberal yang kelihatan semakin galak menyebarkan idea-idea mereka. Malangnya golongan ini tidak pula ditangkap oleh pihak berkuasa agama, walaupun buktinya cukup jelas. Malah, ceramah-ceramah dan dakyah mereka boleh diakses dengan mudah di youtube. Mereka sering mempertikaikan tafsir al-Quran dan al-Hadis oleh ulama muktabar yang dikatakan jumud dan outdated, dan sering menafsirkan ayat dan hadis menurut hawa nafsu dan kefahaman mereka sendiri. Terbaru, heboh di media sosial tentang isu homoseksual yang dikatakan tiada nas yang jelas dalam al-Quran mahupun al-Hadis yang melarangnya. Pembela LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual) membezakan antara homoseksual dan liwat dan menyatakan bahawa Islam hanya menjelaskan tentang larangan dan hukum liwat, tetapi tidak homoseksual. Malah, dikatakan bahawa Allah SWT melaknat kaum Nabi Luth bukan kerana liwat, tetapi kerana bangkangan mereka kepada Rasul dan kita sama sekali tidak boleh menjadikan kisah Nabi Luth ini sebagai pengharaman homoseksual dalam Islam.

Membezakan Homoseksual Dan Liwat

Antara cubaan kelompok liberal untuk “menghalalkan” LGBT ialah dengan mengatakan bahawa homoseksual itu tidak sama dengan liwat. Walaupun mereka mengakui bahawa hukuman liwat ada dalam Islam, tetapi homoseksual dikatakan tidak ada di dalam al-Quran dan al-Hadis. Atas dasar ini, maka Islam tidak mengharamkan homoseksual. Inilah hujah mereka. Secara umumnya jika dilihat dalam banyak kamus dari pelbagai sumber, “homoseksual” didefinisikan sebagai tarikan seksual oleh seseorang terhadap orang lain yang sama jenis/jantina. Jika tarikan seksual itu adalah sesama lelaki, maka ia dikategorikan sebagai gay dan jika sesama wanita, maka ia dikategorikan sebagai lesbian. Sungguhpun kebanyakan definisi tersebut terlihat longgar, yakni tidak memasukkan elemen “perbuatan seks”, namun pada benak ramai manusia, kita sudah memahami bahawa istilah “homoseksual” itu sinonim dengan “perbuatan” dan bukan sebatas “perasaan” semata-mata.

Atas dasar itulah, istilah “liwat” (dalam bahasa Arab) diertikan sama dengan homoseksual. Liwat bermaksud perbuatan seorang lelaki memasukkan zakarnya ke dubur lelaki lain, baik secara sukarela mahupun paksaan. Pelakunya wajib dihukum bunuh berdasarkan Hadis dan Ijma’ Sahabat. Namun, bagi mereka yang dipaksa melakukannya, ia tidak akan dikenakan hukuman (hudud) jika terbukti wujud ikrah al-mulji’ (paksaan yang bersangatan) ke atasnya, yang biasanya melibatkan nyawa dan kecederaan berat. Jika pun kelompok liberal cuba membezakan antara homoseksual dengan liwat, dengan hujah bahawa homoseksual tidak semestinya bermaksud perbuatan memasukkan zakar ke dalam dubur, namun perbuatan homoseksual yang mereka maksudkan itu tetaplah haram hukumnya dan wajib dihukum, walaupun tidak sampai had bunuh. Misalnya, seorang lelaki yang bercumbu dengan lelaki lain, begitu juga seorang perempuan yang bercumbu dengan perempuan yang lain, maka perbuatan ini tetap haram dan wajib dihukum.

Islam telah mengharamkan apa jua perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang lelaki tertarik kepada lelaki lain atau perempuan tertarik kepada perempuan yang lain (secara seksual), sebagaimana Islam melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki. Sejak kecil lagi, Islam telah mengajar agar anak-anak dipisahkan daripada tempat tidur mereka sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Suruhlah anak-anakmu solat pada usia 7 tahun, dan pukullah mereka pada usia 10 tahun dan pisahkan tempat
tidur mereka” [HR Abu Daud]. Rasulullah SAW juga bersabda, “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki. Jangan pula perempuan melihat aurat perempuan. Janganlah seorang lelaki tidur dengan lelaki dalam satu selimut. Jangan pula perempuan tidur dengan perempuan dalam satu selimut” [HR Muslim]. Dalam hadis lain disebutkan, “Nabi SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki” [HR Bukhari]. Semua hadis ini berupa larangan (pengharaman), sekaligus pencegahan perbuatan yang boleh membawa kepada tarikan seksual sesama jenis.

Justeru, membezakan antara homoseksual dengan liwat hanyalah satu percubaan atau usaha untuk “menghalalkan” perbuatan terkutuk itu, di samping usaha untuk mengiktiraf dan membenarkan kewujudan kelompok LGBT dan kekejian yang mereka lakukan.

Laknat Dan Azab Allah Ke Atas Kaum Luth

Sungguh aneh dan keliru apabila pembela LGBT menyatakan bahawa laknat dan azab Allah ke atas kaum Luth adalah kerana bangkangan mereka terhadap Rasul mereka, dan bukannya kerana perbuatan liwat mereka. Itulah tafsiran mereka terhadap perkataan dan maksud fahishah (kekejian) yang terdapat dalam Surah al-A’raf ayat 80 yakni kekejian yang bermaksud bangkangan mereka terhadap Rasul. Maka kita tidak boleh mengaitkan dan mengatakan haramnya homoseksual berdasarkan kisah kaum Nabi Luth, kata mereka. Sedangkan maksud fahishah dalam ayat tersebut amat jelas merujuk kepada perbuatan liwat yang dilakukan oleh kaum Nabi Luth, sebagaimana disebut oleh ayat selepasnya iaitu ayat 81,”Kami (Allah) juga telah mengutus Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada kaumnya, “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji (fahishah) itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelum kamu?.” Sesungguhnya kamu sering mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu kamu (kepada mereka), bukan kepada wanita. Kamu ini adalah kaum yang melampaui batas” [TMQ al-A’raf (7):80-81].

Kalimat “mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu” adalah merujuk kepada perbuatan liwat kaum Nabi Luth. Manakala kalimat “bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas” menunjukkan celaan dan keharaman perbuatan homoseksual tersebut. Selain menyalahi fitrah manusia, perbuatan tersebut disifati sebagai perbuatan orang yang tidak berakal, berdasarkan mafhum ayat, “Luth berkata: ‘Wahai kaumku, inilah puteri-puteriku, mereka lebih suci bagimu. Maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu mencemarkan (nama)ku terhadap tetamuku ini. Tiadakah di antara kamu seorang yang berakal?” [TMQ Hud (11):78]. Kalimat “tiadakah di antara kamu seorang yang berakal?” yang berbentuk istifham inkariy (kalimat soal yang maksudnya pengingkaran keras) menunjukkan bahawa Nabi Luth mencela perbuatan kaumnya yang homoseksual sebagai perbuatan tidak berakal.

Justeru, fahishah (perbuatan keji) yang dirujuk di dalam ayat tersebut jelas menunjukkan kepada makna/perbuatan liwat, di mana Allah SWT menjelaskan bahawa fahishah seumpama itu belum pernah dilakukan oleh seorang manusia pun di muka bumi sebelum mereka. Sedangkan bangkangan kepada Rasul sudah terjadi sejak Nabi Adam alaihi salam. Pembela LGBT juga tidak mahu mengakui bahawa apa yang dilakukan oleh kaum Nabi Luth sebagai “liwat” yang dilakukan secara suka sama suka antara mereka, tetapi menafsirkan bahawa “perbuatan itu” adalah satu bentuk serangan dan perogolan, bagi menunjukkan bangkangan mereka kepada Nabi Luth. Ia juga merupakan satu bentuk penindasan pada masa itu. Inilah tafsiran mereka. Padahal daripada ayat-ayat al-Quran itu sendiri jelas menunjukkan bahawa fahishah (liwat) itu dilakukan oleh kaum Nabi Luth secara suka sama suka, yang atas dasar itulah Allah SWT melaknat dan mengazab mereka semuanya. Atas dasar itu juga, Rasulullah SAW menegaskan dalam hadis baginda bahawa siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Luth wajib dibunuh baik fa’il (pelaku liwat) mahupun maf’ul bih (yang diliwat), kerana pilihan secara sukarela oleh kedua-duanya.

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan melaknat dan Islam tidak akan menghukum orang yang ditindas, orang yang dirogol. orang yang dianiaya dan sebagainya. Namun demikian, Allah SWT telah melaknat dan menurunkan pelbagai azab ke atas kaum Nabi Luth akibat fahishah (perbuatan keji – homoseksual) yang mereka lakukan secara suka sama suka. FirmanNya, “Dan sesungguhnya mereka telah membujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka), lalu Kami butakan mata mereka. Maka rasakanlah azabKu dan ancaman-ancamanKu” [TMQ al-Qamar (54):37]. Dalam ayat ini secara khusus, Allah SWT telah membutakan mata mereka walaupun hakikatnya mereka tidak berpeluangpun untuk melakukan perkara keji terhadap tetamu Nabi Luth (malaikat Jibril yang berupa lelaki tampan). Ini menunjukkan bahawa keinginan seksual mereka kepada sesama lelaki menjadi penyebab turunnya azab Allah kepada mereka. Jadi, bagaimana mungkin pembela LGBT mengatakan homoseksual (dengan maksud tanpa liwat) bukan suatu kesalahan dan tidak ada di dalam al-Quran!

Dalam ayat lain Allah SWT menerangkan, “Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang bergemuruh, ketika matahari akan terbit” [TMQ al-Hijr (15):73]. Allah SWT juga mengazab mereka dengan bentuk yang lain sebagaimana firmanNya, “Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi” [TMQ Hud (11):82]. Allah SWT menyebut mereka dengan al-muktafikah, yakni terbalik kepala dan kaki mereka, lalu dilempar kembali ke tanah. Allah SWT berfirman, “Dan negeri kaum Luth yang telah dihancurkan Allah” [TMQ al-Najm (53):53]. Inilah antara bentuk-bentuk azab yang dtimpakan oleh Allah ke atas kaum Nabi Luth.

Daripada ayat-ayat ini amat jelas menunjukkan bahawa laknat dan azab Allah ke atas kaum Nabi Luth adalah kerana perbuatan homoseksual mereka, yang mereka pilih dan sedar akan kesalahannya, yang sekaligus menunjukkan penyimpangan mereka daripada syariat Allah dan daripada fitrah manusia. Ayat-ayat Allah SWT ini juga menunjukkan bahawa perasaan, pemikiran dan perbuatan kaum Nabi Luth yang terkutuk itu sesungguhnya tidak ada kena mengena dengan faktor genetik, kesihatan, kecelaruan identiti dan sebagainya, sebagaimana alasan-alasan yang diberikan oleh golongan liberal bagi menghalalkan tindakan kelompok LGBT. Justeru, sungguh aneh jika ada yang berhujah dengan mengelirukan makna homoseksual dan mengatakan bahawa homoseksual tidak terdapat di dalam al-Quran, lalu kita tidak boleh mengharamkannya. Sesungguhnya “tafsiran” baru seumpama ini bukanlah bentuk pengayaan fiqh Islam sebagaimana dakwaan pembela LGBT, tetapi tidak lebih daripada cubaan mereka untuk menghalalkan perkara yang telah jelas diharamkan oleh Allah.

Islam Membolehkan Cinta Sesama Lelaki?

Antara hujah penyokong LGBT dalam membenarkan tindakan mereka ialah dengan memetik sebuah hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih daripada Anas bin Malik, “Ada seorang lelaki berada di sisi Nabi. Kemudian lalu seorang lelaki lain. Lelaki di sisi Nabi berkata, ‘Wahai Rasulullah, sungguh aku mencintainya.’ Maka Rasulullah bertanya, ‘Apakah engkau sudah memberitahukannya?’ Dia menjawab, ‘Belum’. Rasulullah berkata, ‘Beritahukanlah kepadanya.’ Kemudian dia pun menyusuri lelaki tadi dan berkata, ‘Sungguh aku mencintaimu kerana Allah’. Lelaki itu pun menjawab, ‘Semoga engkau dicintai Allah, yang keranaNya-lah engkau mencintaiku.’” Lafaz “uhibukka” (aku mencintai engkau) ditafsirkan oleh pembela LGBT sebagai “aku suka kepada engkau” yang dikatakan boleh membawa maksud macam-macam jenis suka (termasuk suka atas dasar tarikan seksual sesama jenis). Sedangkan dalam hadis itu dinyatakan dengan jelas oleh lelaki tadi bahawa “uhibukka fillah” (aku mencintaimu kerana Allah) dan bukan atas sebab yang lain.

Di sinilah letaknya kesalahan dan kekeliruan mereka terhadap hadis ini, kerana mengabaikan lafaz “fillah(kerana Allah). Lafaz ini menunjukkan dengan jelas bahawa kecintaan lelaki tadi kepada lelaki lain adalah kerana Allah, dan bukannya kerana tarikan seksual (homoseksual). “Cinta” di sini bermaksud sama seperti kita menyintai Rasulullah, menyintai para sahabat, menyintai orang-orang yang soleh, menyintai para ulama, menyintai para pejuang agama Allah, menyintai sesama Muslim dan sebagainya, yang semua cinta ini dibolehkan kerana Allah (fillah), bukan kerana dorongan seksual terhadap sesama jenis. Malah terdapat banyak hadis lain yang membawa maksud yang sama walaupun tidak menggunakan lafaz “fillah”. Sama seperti seseorang menyintai ibu bapanya, menyintai adik-beradik, menyintai guru, menyintai orang yang pernah menolongnya dan sebagainya. Perasaan cinta seperti ini tidak boleh ditafsirkan mengikut hawa sebagai bermaksud “macam-macam jenis”, sehingga ke tahap mengatakan yang Islam membolehkan seorang lelaki mencintai lelaki lain atas dasar homoseksual. Ini merupakan suatu tafsiran yang menyimpang, di samping jelas out of context.

Khatimah

Berdasarkan nas yang amat jelas, hukuman untuk pelaku liwat adalah dibunuh dan tidak ada yang lain, baik pelakunya muhsan (telah berkahwin) mahupun ghairu muhsan (belum berkahwin). Setiap orang yang mengaku, atau terbukti telah melakukan liwat, maka keduanya wajib dibunuh sebagai hukuman had ke atasnya. Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa yang kalian dapati sedang melakukan perbuatan kaum Luth, maka bunuhlah fa’il (peliwat) mahupun maf’ul bih (yang diliwat)” [HR Ahmad, Abu Daud dan Hakim]. Terdapat banyak lagi hadis lain dan juga Ijma’ Sahabat yang menjelaskan hukuman bunuh ke atas golongan terlaknat itu. Apa yang amat dikesali ialah apabila pihak berkuasa agama hanya berminat dan bersungguh-sungguh untuk menangkap dan menghukum pendakwah yang tidak bertauliah, tetapi hanya membiarkan golongan liberal dan pembela LGBT melakukan aktiviti dan “dakwah” mereka. Kepada golongan liberal dan LGBT, kita mengharapkan ada usaha daripada mereka sendiri untuk berubah (bertaubat) dan mempelajari Islam dengan cara yang benar, bukan hanya sibuk menyalahkan masyarakat yang dikatakan menyisihkan mereka, kerana hakikatnya merekalah yang menyisihkan diri daripada masyarakat.

Wallahu a’lam.