Krisis Pendidikan di Malaysia dan Dunia Islam
Akhir 2017 di’warnai’ dengan dua peristiwa yang melibatkan dua warga pendidik yang dihadapkan ke mahkamah kerana menghukum pelajar yang melakukan kesalahan dengan hukuman yang dianggap melampau.Cikgu Azizan dikatakan telah menampar pelajar yang mempunyai masalah disiplin yang mengakibatkan tindakan mahkamah diambil ke atas beliau. Kes terbaru pula melibatkan Ustaz Adib yang akan didakwa di mahkamah pada bulan Februari depan kerana merotan pelajar yang enggan mendirikan solat. Kedua-dua kes ini terus diperkatakan di media sosial sehingga ke hari ini dengan pelbagai tanggapan dilontarkan oleh pengguna media sosial dalam kedua-dua kes tersebut.
Diantara tanggapan yang dilontarkan termasuklah mempersalahkan sistem pendidikan hari ini yang gagal untuk membina keperibadian para pelajar.Antara aspek sistem pendidikan yang dipersalahkan adalah garis panduan menangani masalah disiplin pelajar yang dikatakan terlalu lembut dan terlalu menyebelahi murid.Ada juga yang mengatakan bahawa garis panduan tersebut perlu diperhalusi lagi agar masalah disiplin pelajar dapat ditangani dengan lebih baik dengan mengambil kira hak dan keselamatan murid-murid. Apapun, persoalan yang jarang, malah mungkin tidak dibincangkan dalam isu ini adalah sama ada sistem pendidikan Malaysia itu sendiri, secara keseluruhannya, berjaya atau telah gagal dalam fungsinya sebagai salah satu tonggak pembinaan masyarakat berintegriti dan berkeperibadian mulia. Bagi menjawab soalan ini, adalah amat penting untuk kita kembali kepada konsep asas pendidikan negara. Asas pendidikan negara boleh disimpulkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mengatakan:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”
Hakikatnya, falsafah ini memang boleh membawa kepada lahirnya pelajar yang seimbang dan harmonis secara intelek, kerohanian, emosi dan jasmani sekiranya diterapkan dengan sempurna. Namun, ramai yang sudah mula melihat bahawa sistem pendidikan Malaysia telah gagal dalam membina generasi yang diinginkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Selain daripada permasalahan disiplin pelajar yang membawa kepada kes-kes seperti yang disebutkan sebelum ini, kita sedia maklum bahawa gejala sosial dan jenayah, yang boleh disandarkan kepada gagalnya sistem pendidikan sesebuah negara, juga semakin meningkat dari hari ke hari. Persoalannya kini, bagaimanakah caranya untuk kita menerapkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara betul agar negara benar-benar dapat menghasilkan generasi muda yang terbaik?
Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menyebutkan bahawa proses pendidikan merupakan satu proses berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari pelbagai aspek berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Dengan kata lain, proses pendidikan seharusnya melahirkan sebuah generasi berilmu yang memiliki keperibadian terpuji. Namun demikian, adalah penting untuk mengenal pasti asas yang akan membentuk generasi yang berpotensi secara holistik dan berilmu ini. Adalah amat menyedihkan pada hari ini, segenap aspek pendidikan negara dibentuk berdasarkan ideologi yang mendominasi kehidupan semasa kita iaitu kapitalisma. Semua aspek pendidikan dibina atas aqidah sekularisma sebagai asas kepada ideologi tersebut di mana agama sebagai solusi kepada segenap permasalahan hidup dipisahkan dari kehidupan itu sendiri. Meskipun di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan disebutkan bahawa pembinaan individu mesti diasaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, hakikatnya, aspek ketuhanan hanyalah dilihat daripada konteks kepercayaan semata-mata dan bukannya kepatuhan. Oleh itu, pembinaan generasi pelajar langsung tidak disandarkan kepada konsep kepatuhan kepada Tuhan. Akibatnya, apa yang dicita-citakan oleh falsafah ini tidak akan dapat dicapai sepenuhnya. Sistem pendidikan ini mungkin dapat melahirkan para pelajar yang cemerlang dalam ilmu duniawi (sains, teknologi dan sebagainya) tetapi cita-cita untuk melahirkan sebuah generasi yang seimbang dalam segala aspek kehidupannya tidak akan tercapai.
Secara nyata, masalah sistem pendidikan negara bukanlah terletak kepada falsafah pendidikannya sendiri namun terkait rapat dengan ideologi yang digunakan dalam merealisasikan falsafah tersebut. Lantas, bagaimanakah caranya untuk kita merealisasikan sistem dan proses pendidikan yang benar-benar memenuhi cita-cita yang dinyatakan tersebut?
Proses Pendidikan di dalam Islam
Sebagai sebuah ad-Din yang diturunkan oleh Allah SWT, Islam merupakan penyelesaian tuntas kepada segenap permasalahan hidup, termasuklah dalam mendidik anak-anak kita. Proses pendidikan dalam Islam merupakan satu proses yang panjang – bermula dari umur yang muda sehinggalah ke peringkat dewasa. Proses ini boleh digambarkan sebagai suatu upaya yang terstruktur, terprogram dan sistematik dalam rangka membentuk manusia yang memiliki syakhsiyah(keperibadian) Islam, menguasai pemikiran Islam dan ilmu duniawi serta memiliki keterampilan dan daya saing yang tinggi. Pembentukan keperibadian Islam ini harus dilakukan pada semua peringkat pendidikan melalui berbagai pendekatan.
Semasa muda, ibubapa memainkan peranan penting dalam membentuk syakhsiyah(keperibadian) anak-anak. Keluarga merupakan sekolah pertama bagi anak-anak kita. Keluargalah yang bertanggungjawab menyediakan nuansa keilmuan, ketaqwaan dan kemuliaan bagi anak-anak dalam usaha untuk menyediakan mereka memasuki masyarakat. Selain itu, dalam konteks pendidikan anak-anak di rumah, Islam telah memberikan tunjuk ajar yang mendalam mengenainya. Ibubapa wajib bertindak sebagai penanggungjawab dalam mendidik anak-anak mereka sesuai dengan hadis Rasulullah SAW:
“Kamu sekalian adalah pemimpin, dan kamu sekalian bertanggung jawab atas orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (penguasa) adalah pemimpin, seorang suami pun pemimpin atas keluarganya, dan isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu sekalian akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.”[HR Bukhari, Muslim dan Ahmad]
Sebagai pemimpin di rumah, ibu bapa bertanggungjwab menyediakan kurikulum pendidikan di rumah yang berdasarkan Islam. Ibubapa wajib memastikan asas-asas Islam diterapkan dalam kehidupan anak-anak di rumah. Antara perkara yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa dalam pendidikan anak-anak di rumah ialah seperti menanamkan pelajaran aqidah Islam, mengajar Al-Quran dan membiasakan anak-anak dengan perkataan yang baik, zikir dan doa, mengajar anak-anak untuk solat dan memisahkan tempat tidur mereka, mendidik anak-anak agar memiliki akhlak yang mulia, jujur, berkata baik dan benar, bersikap baik kepada ibu bapa, keluarga, saudara, tetangga, menyayangi yang muda dan menghormati orang tua. Mereka juga perlu menjaga pergaulan anak-anak supaya hanya bergaul dengan rakan yang berperilaku baik dan orang-orang yang soleh . Selain itu, ibubapa juga haruslah menyediakan nuansa keilmuan di rumah seperti menggalakkan anak-anak untuk membaca dan memperbanyak perbincangan agar anak-anak memiliki kecenderungan ke arah mempertingkatkan ilmu.
Apabila anak-anak semakin meningkat dewasa, mereka kemudiannya akan melalui proses pendidikan formal di peringkat sekolah dan universiti. Pada peringkat ini, negara mula memainkan peranan yang lebih mendasar terutamanya dalam membentuk kurikulum pendidikan negara. Kurikulum pendidikan Islam diasaskan kepada aqidah Islam di mana setiap mata pelajaran dan metodologinya disusun selaras dengan asas tersebut.Ini termanifestasi dalam pembahagian waktu mata pelajaran di mana masa yang agak besar di peruntukkan untuk tsaqafah Islam (ilmu/pemikiran Islam yang digali dari aqidah Islam yang sekaligus menjadi sumber peradaban Islam)dan disesuaikan dengan waktu bagi ilmu duniawi yang lain. Ini amat berbeza dengan kurikulum pendidikan negara sekarang di mana masa yang diperuntukkan untuk tsaqafah Islam dalam kurikulum pendidikan negara adalah amat sedikit atau tiada langsung! Secara struktural, kurikulum pendidikan Islam boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama dalam mencapai objektifnya iaitu pembentukan keperibadian Islam, penguasaan tsaqafah Islam dan penguasaan ilmu duniawi. Untuk meraih ketiga-tiga komponen ini, beberapa perkara perlu diperhatikan oleh negara.
- Seperti yang disebutkan sebelum ini, kurikulum pendidikan Islam dibina di atas aqidah Islam. Dengan itu, negara harus memastikan bahawa bahan bagi mata pelajaran berkaitan aqidah dan tsaqafah Islam didahulukan dan matapelajaran lain yang diperlukan dalam mencapai objektif pendidikan Islam harus disampaikan sesuai dengan tahapannya.
- Dalam Islam, negaralah yang berkewajiban untuk mengatur segala aspek yang terkait dengan sistem pendidikan yang diterapkan, bukan hanya persoalan yang berkaitan dengan kurikulum, akreditasi dan metodologi pengajaran, ia juga bertanggungjawab memastikan bahawa pendidikan dapat diperolehi oleh rakyat secara mudah dan percuma.
- Negara wajib menyediakan kemudahan yang mendorong terlaksananya proses pendidikan yang mantap. Ini termasuklah membina sekolah/universiti yang moden dan lengkap, menyediakan kemudahan perpustakaan yang boleh diakses oleh rakyat dengan mudah, membina prasarana elektronik canggih dan lain-lain.
Semua aspek ini perlu diperhatikan oleh negara bagi memastikan proses pendidikan yang Islami di peringkat sekolah dan universiti dapat berjalan dengan sebaiknya. Namun, semua ini tidak akan bermakna sekiranya peranan golongan pendidik tidak diambil kira. Dalam proses pendidikan Islam, peranan golongan pendidik adalah sangat penting, bukan saja sebagai penyampai ilmu pengetahuan tetapi juga sebagai pembimbing dalam memberikan tauladan yang baik. Oleh itu, golongan pendidik bukan sahaja memerlukan kelayakan profesional bahkan juga mesti memiliki akhlak yang tinggi. Proses pendidikan Islam tidak akan sempurna tanpa golongan pendidik yang menghayati apa yang diajarkan dan menjadi suri tauladan pelajarnya.
Apa yang sedang berlaku kepada proses pendidikan di dunia Islam?
Bila dibandingkan proses pendidikan Islam dan proses pendidikan negara sekarang, memang terdapat kesamaan namun perbezaannya jauh lebih ketara. Mungkin sahaja di dalam masyarakat kapitalis hari ini, masih ada ibubapa yang berusaha sedaya upaya untuk menjalankan proses pendidikan Islam ke atas anak-anak mereka, namun tanpa kesinambungan dalam proses pendidikan Islam sehingga ke peringkat yang lebih tinggi, usaha untuk membentuk manusia yang memiliki keperibadian Islam, menguasai pemikiran Islam dan ilmu duniawi serta memiliki keterampilan yang seimbang dan daya saing yang tinggi tidak akan kesampaian. Lebih buruk lagi, mungkin sahaja apa yang dapat dicapai melalui sistem pendidikan hari ini adalah generasi yang tinggi ilmu pengetahuan duniawinya namun rosak keperibadiannya. Daripada apa yang kita perhatikan, masyarakat yang dilahirkan dalam sistem hari ini sudah tidak lagi menghormati ibubapa, tidak lagi menghargai peranan golongan pendidik, tidak lagi dapat membezakan baik dan buruk berdasarkan pandangan Islam dan lebih teruk, generasi yang lahir adalah generasi yang tidak peka kepada halal dan haram dan tidak bertaqwa kepada Sang Pencipta.
Hakikatnya, pada saat ini dunia Islam termasuk Malaysia sedang dilanda ‘krisis pendidikan’ yang cukup parah. Ini dapat dilihat dengan lemahnya penyediaan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang berkualiti, tahap pendidikan yang rendah, latihan dan gaji golongan pendidik yang cukup memalukan, metodologi pengajaran dan pembelajaran yang tidak efektif, rendahnya akses masyarakat terhadap pendidikan yang komprehensif dalam Islam, terhimpitnya ilmu agama dan lain-lain masalah yang terus memburukkan lagi suasana sedia ada. Sebab utama berlakunya krisis pendidikan ini adalah penanaman secara paksa konsep pendidikan kolonial di negeri kaum Muslimins ejak 9 dekad yang lalu setelah kehancuran Negara Islam Khilafah. Konsep pendidikan ini langsung tidak membawa kepada pemenuhan aspirasi pendidikan umat atau meningkatkan tahap akademik masyarakat atau mencapai kemajuan dan pembangunan di dunia umat Islam. Sebaliknya, konsep ini hanyalah merupakan sarana yang digunakan oleh penjajah untuk menanamkan, menyebarluaskan dan melestarikan budaya sekular-liberal di kalangan generasi muda Muslim. Pada masa yang sama, sistem pendidikan di dunia umat Islam juga membataskan dan melakukan sekularisasi terhadap ajaran Islam. Tujuannya adalah untuk menjajah pemikiran Muslim dan menjadikan mereka hamba kepada budaya dan sistem Barat serta mengukuhkan objektif kolonial mereka di negeri kaum Muslimin. Lebih menyedihkan, kepimpinan sekular dunia Islam yang didokong oleh Barat terus konsisten dalam menerapkan sistem pendidikan penjajah ini dan turut memperkenalkan ‘pembaharuan’ dan ‘pembangunan’ dalam kurikulum pendidikan sekular tersebut. Namun apa yang jelas, semua kurikulum ini langsung tidak memiliki visi yang tulus dalam melahirkan generasi Muslim yang memiliki keperibadian Islam yang kukuh dan aspirasi untuk menjaga urusan umat Islam.
Walhasil, segala permasalahan yang terus diperbincangkan di media perdana dan media sosial yang kerap dikaitkan dengan kegagalan proses pendidikan negara tidak akan dapat diselesaikan selama mana sistem pendidikan negara masih diasaskan kepada sekularisma dan memiliki halatuju yang hanya memperkukuh genggaman Barat dan kuasa kolonial ke atas umat Islam. Masalah Cikgu Azizan, Ustaz Adib, gejala sosial, jenayah dan pelbagai penyakit masyarakat yang lainnya akan terus berlanjutan kerana generasi baru yang dilahirkan oleh sistem pendidikan hari ini bukanlah generasi mulia yang berketerampilan yang kita impikan. Sekiranya kita ingin menghasilkan generasi yang diidamkan ini, sistem pendidikan negara wajib ditukar kepada sistem pendidikan Islam. Proses pendidikan sekular perlu diubah kepada proses pendidikan Islam. Dan ini memerlukan usaha yang tidak berbelah bahagi dalam menegakkan sistem pemerintahan Islam yang mulia – sistem Khilafah di atas jalan kenabian.