Pengangguran kerja meningkat dan tenat

Berita:

BANGI, 18 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Lebih 50,000 pekerja dalam pelbagai sektor utama dijangka diberhentikan tahun ini, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Bardan.

Jangkaan beliau turut diakui oleh Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor, yang merujuk kepada laporan Jabatan Buruh diterimanya. Memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Shamsudin berkata, industri pembuatan akan menjadi sektor utama yang terjejas.

Sumber berita: ismaweb.net

Komentar:

Dalam perkembangan lain, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyangkal dakwaan tersebut. Beliau menyatakan bahawa jumlah pemberhentian 50,000 pekerja itu adalah tidak tepat. Namun begitu, beliau mengakui memang ada pemberhentian kerja pada tahun ini, tetapi pekerja yang terkesan akan diambil bekerja semula di syarikat lain.

Merujuk kepada laporan yang telah diterima oleh Menteri MITI itu, setakat ini kebanyakan pekerja yang ditamatkan kontrak bekerja adalah dari industri pembuatan atau perkilangan seperti Seagate, Hitachi Global Storage Technology dan Rubicon di Pulau Pinang. Sebahagian daripada pekerja yang diberhentikan tersebut pula sudah diserap masuk ke dalam syarikat lain syarikat seperti Keysight, Inari, HP, Osram dan Infineon, jelas Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Apa yang dapat kita saksikan sejak kebelakangan ini, isu pengangguran dan jaminan kerjaya yang kukuh masih tetap menjadi isu yang hangat dalam kalangan masyarakat. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh banyak pihak yang terlibat seperti institusi pendidikan, syarikat, pihak industri dan juga kerajaan sendiri bagi mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan tahap kecekapan bekerja namun statistik pengangguran dan pemberhentian pekerja tetap bertambah saban tahun.

Masalah yang berlaku ini merupakan implikasi pertumbuhan ekonomi negara yang tidak begitu baik beberapa tahun yang lalu akibat daripada beberapa isu seperti penurunan nilai mata wang negara dan kesan perlaksanaan cukai GST ke atas perniagaan yang terpaksa ditanggung oleh kebanyakan syarikat mengakibatkan penguncupan saiz syarikat atau penutupan cawangan.

Dalam menangani isu ini, kerajaan perlulah lebih serius bertindak untuk menyelesaikan krisis dan mengelakkan daripada berlaku kembali demi untuk menjaga kepentingan maslahat umum. Setiap polisi yang dilaksanakan sudah pasti akan memberikan kesan kepada masyarakat, oleh itu, setiap polisi yang hendak dilaksanakan hendaklah dikaji dengan teliti terlebih dahulu dengan mengambil kira impak kepada semua lapisan masyarakat, bukan hanya untuk kepentingan golongan tertentu. Malah mengikut Islam, merupakan tanggungjawab negara untuk memastikan setiap individu warganegara dapat memenuhi keperluan asasnya. Semoga negara yang berpaksikan Islam yang mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat akan kembali berdiri suatu hari nanti, dan itulah negara Khilafah.

Jabbar Al-Bujesi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia