Pulih ekonomi negara dengan acuan kapitalis atau Islam?

 Berita:

SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad bakal berdepan cabaran memulihkan dan membentuk semula ekonomi negara jika berjaya mengambil alih kerajaan  selepas PRU14.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tugas Tun Mahathir bukan kerja mudah berikutan kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan sedia ada kini.

“(Kerajaan sekarang) bukan sahaja wang hilang, malah institusi yang utuh selama ini turut menjadi dysfunctional atau tidak berkesan disebabkan kawalan ketat dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pimpinan tertinggi negara.

Sumber : sinarharian.com.my


Komentar:

Kerajaan yang memerintah sekarang memang terkenal dengan pelbagai skandal seperti 1MDB, isu tanah Felda di Jalan Semarak dan lain-lain lagi. Oleh itu, tidak hairanlah jika pihak pembangkang menyifatkan kerajaan sebagai tidak pandai menguruskan wang bahkan juga boros dan membazir.

Bukan itu sahaja, malah Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa Tun Mahathir akan menghadapi tugas yang sukar bagi memulihkan semula ekonomi negara dan langkah itu perlu bagi mengelakkan kerosakan negara terus berlaku.

Semestinya ia sesuatu yang sukar. Tidak kira parti mana pun yang menang sudah pasti akan perlu membersihkan segala sisa-sisa kotor peninggalan pimpinan yang terdahulu. Apatah lagi meneruskan pemerintahan dalam acuan yang sama iaitu acuan sekular yang membuahkan sistem ekonomi kapitalis. Sudah pasti hasilnya nanti juga sama.

Sedangkan sebagai seorang muslim, apabila menghadapi sesuatu masalah maka sudah seharusnya yang diperhatikan ialah adakah solusi yang diambil itu menepati kehendak syarak ataupun tidak. Dalam hal ini harus disedari bahawa yang bermasalah itu bukan pemimpinnya sehingga jika ditukar dengan yang baru maka masalah lama akan selesai. Walhal telah berkali-kali pimpinan negara bertukar ganti namun masalah ekonomi tetap di takuk yang sama bahkan semakin hari semakin parah.

Punca utama permasalahan ekonomi ini berlaku kerana acuan ekonomi kapitalis yang berteraskan riba dan sumber kekayaan negara yang tidak terurus dengan benar. Berbeza halnya dengan sistem ekonomi Islam, sistem kewangannya yang bersandarkan pada emas dinar dan dirham yang stabil dan tidak berteraskan riba. Disamping itu sumber kekayaan negara pula akan diurus selari dengan kehendak hukum Islam.

Sama ada senang atau sukar untuk memulihkan ekonomi yang sedang tenat bukanlah menjadi ukuran. Tetapi yang lebih penting ialah adakah cara yang digunakan itu menepati hukum Allah SWT ataukah kita lebih mempercayai sistem ekonomi kufur yang lahir dari peradaban Barat. Allah SWT berfirman:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

”Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” (QS Al Maidah ayat 50)

Ibnu Shams
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia