SN524 – Bagaimana Khilafah Diruntuhkan (Siri 1): Faktor Kelemahan Umat Islam

Bil: SN524 – 23 JAMADIL AWAL 1439 / 9 FEBRUARI 2018

SN524 - Bagaimana Khilafah Diruntuhkan (Siri 1): Faktor Kelemahan Umat Islam

Keruntuhan Khilafah Turki Uthmaniyah secara rasmi pada 3 Mac 1924 merupakan satu peristiwa hitam dalam sejarah umat Islam. Runtuhnya sistem pemerintahan ini bererti runtuhnya ibu segala hukum syarak dan memusnahkan sebahagian besar syariat Allah SWT di bumi sehingga yang tersisa kini hanyalah melibatkan hukum berkaitan akhlak, ibadah, dan sebahagian kecil aspek muamalah seperti Al-Ahwal Asy-Syakhsiyyah (Hukum tentang kekeluargaan). Lenyapnya Negara Khilafah menyebabkan sebahagian besar syariat berkaitan sistem ekonomi, uqubat (hukuman), pendidikan dan pemerintahan tidak dapat dilaksanakan sedangkan negara yang telah diasaskan oleh  Rasulullah SAW ini dan diteruskan oleh para Khalifah selepas itu bukan sahaja telah membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh manusia malah, memberikan sumbangan yang signifikan  terhadap  perkembangan ketamadunan manusia dalam setiap aspek.

Kegemilangan Negara Khilafah yang menjadi kuasa besar dunia selama 13 abad adalah hasil daripada menjadikan Islam sebagai qiyadah fikriyah (kepimpinan berfikir) sehingga berjaya mempersatukan seluruh umat Islam sebagai satu kesatuan yang utuh dengan kekuatan akidah yang sama. Negara Khilafah telah menjadi pelindung umat Islam daripada penjajahan negara-negara imperialis malah, melindungi tanah suci Palestin daripada jatuh ke tangan Zionis Yahudi. Penganut agama lain yang bernaung di bawah Negara Khilafah turut menikmati kesejahteraan hidup dan bebas mengamalkan ajaran agama mereka dengan aman dengan syarat tertentu.

Runtuhnya Negara Khilafah telah membuka ruang dan peluang kepada negara imperialis Barat merampas kekayaan sumber alam, memecah belahkan umat Islam dan menumpahkan darah manusia tanpa belas kasihan dan sifat kemanusiaan. Inilah keadaan umat Islam saat ini setelah runtuhnya Khilafah. Persoalan penting yang menjadi tanda tanya kepada umat Islam hari ini ialah, bagaimana sebuah Negara Khilafah yang telah mengalahkan Empayar Rom dan Parsi serta dalam masa yang sama dapat meluaskan pengaruhnya ke seluruh pelusuk dunia telah diruntuhkan? Sesungguhnya terdapat pelbagai faktor telah menyumbang kepada runtuhnya Negara Khilafah.

Faktor-Faktor Kelemahan Dalaman Negara Khilafah

Menurut Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani (1953) dalam kitabnya Ad-Daulah Al-Islamiyah, beliau menjelaskan bahawa kelemahan ini dapat dilihat dalam dua aspek: pertama, kelemahan umat terhadap kefahaman Islam (al fahm); dan kedua, kelemahan dalam penerapan hukum-hakam Islam (at tathbiq).

Pertama, kelemahan umat terhadap ajaran Islam yang berkaitan dalil-dalil Islam, bahasa Arab, dan kekeliruan memahami hukum syarak dalam kehidupan. (i) Telah terjadi usaha daripada kaum Zindiq dengan mencipta dan menyebarkan hadis-hadis palsu untuk memesongkan pemahaman ajaran Islam. Namun, usaha mereka berjaya dilumpuhkan dengan kebangkitan para ulama hadis dengan usaha pemurnian hadis. (ii) Kelemahan menguasai bahasa Arab mula terjadi semasa pemerintahan Dinasti Mamluk (Khilafah Abbasiyah) sedangkan, bahasa Arab merupakan ilmu asas yang sangat penting bagi melakukan ijtihad terhadap pelbagai persoalan baharu yang timbul, tanpanya, istinbat hukum tidak mungkin mampu dapat dilakukan. Kesannya, negara mengalami kekacauan dalam memahami realiti dari perspektif Islam sehingga terjadi kesalahan dalam penerapannya dan memberi pengaruh yang cukup besar terhadap Khilafah se­hing­ga men­jadi lemah, te­nat dan akhirn­ya ber­jaya di­runtuh­kan. (iii) Ke­keliruan da­lam me­mahami ajaran Islam mula muncul pada abad per­tama hijrah kerana wujud usaha kom­promi ilmu fal­safah India dengan ajaran Islam. Sebagai con­toh, konsep asketisme (menolak kenikmatan dunia) ditafsirkan sebagai zuhud menyebabkan ramai umat Islam yang lari menghadapi kenyataan hidup, sedangkan tenaga dan fikiran mereka seharusnya digunakan untuk kemajuan negara dan penyebaran dakwah Islam.

Kelemahan kefahaman dalam tiga aspek ini semakin bertambah parah apabila Barat mula menyebarkan budaya dan doktrinnya yang bertentangan dengan Islam dan mendakwa peradaban mereka sesuai dengan Islam sehingga akhirnya kefahaman umat terhadap Islam menjadi semakin lemah. Umat Islam akhirnya mengadaptasi sebahagian doktrin Barat ketika pemerintahan Khilafah Uthmaniyah dengan mula mentakwil hukum riba dan membuka bank, memberhentikan pelaksanaan hukum Hudud dan digantikan dengan undang-undang Barat. Doktrin ini terus meracuni pemikiran umat Islam hingga hari ini.

Kedua, telah berlaku penerapan yang buruk (isa`atut tathbiq) terhadap hukum Islam dalam kehidupan seperti kewujudan parti politik yang menggunakan kekuatan ketenteraan (thariqul quwwah) untuk meraih kekuasaan dan bukannya menggunakan dukungan umat (thariqul ummah) seperti era Khilafah Abbasiyah yang menguasai wilayah Iran dan Iraq. Contoh lain, golongan Fatimiyyin menguasai Mesir dan menjadikannya sebagai pusat kekuatannya. Selain itu,  berlaku situasi,  Wali (Gabenor)  wilayah Islam yang berkuasa secara bebas seperti Abdurrahman Ad-Dakhil yang berkuasa di Andalusia namun, Khalifah Abbasiyah  ketika itu membiarkannya. Meskipun Andalusia ketika itu masih menjadi sebahagian wilayah Khilafah, namun terpisah daripada aspek pentadbirannya.

Semua faktor ini telah melemahkan Negara Khilafah sehingga mendorong golongan Uthmaniyah mengambil alih pemerintahan Khilafah (abad ke-9 H/ke-15 M). Mereka telah berjaya mempersatukan negeri-negeri Islam di bawah kekuasaannya (abad ke-10 H/ke-16 M) sebelum  menyebarkan Islam ke negara Eropah. Namun, usaha itu tidak didasari kefahaman Islam yang sahih dan perlaksanaan yang benar, melainkan hanya bersumberkan kekuatan iman para Khalifah. Khilafah dibelenggu kejumudan kerana ketiadaan ijtihad-ijtihad baharu yang menyebabkan peradaban Islam berkembang. Masalah ini berpunca akibat kemunduran taraf pemikiran dan tiada kebangkitan dijantung Negara Khilafah, sehingga mereka terpaku menyaksikan revolusi pemikiran dan industri di Eropah. Sebahagian besar ilmuan Islam pada masa itu bingung sama ada ingin menerima atau menolak kebangkitan di Eropah kerana tidak mampu membezakan di antara aspek madaniyyah (kemajuan sains dan teknologi) dan hadharah (pemikiran yang terkait akidah).

Akhirnya, Negara Khilafah menjadi semakin lemah sehingga tidak mampu menjaga dirinya sendiri. Kelemahan ini menimbulkan keberanian musuh-musuh Islam untuk merobek-robek Khilafah sehingga terpecah menjadi negara-negara kecil. Khilafah ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa untuk melindunginya sehingga menimbulkan keberanian gerakan misionaris melancarkan serangan dengan alasan ilmu pengetahuan. Negara yang sudah lemah ini akhirnya  berjaya diruntuhkan secara rasmi pada 3 Mac 1924.


KOLUM SEJARAH ISLAM

Serangan Misionaris 

Serangan misionaris telah berlaku seawal abad ke-16 di mana mereka memulakan gerakan penyesatan dengan mengatasnamakan ilmu pengetahuan dan kemanusiaan. Di akhir abad ke-16, mereka mendirikan markas misionaris di Malta sebagai pangkalan khusus untuk  serangan terhadap dunia Islam [Ad-Daulah Al-Islamiyah, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani].

Gerakan mereka akhirnya berjaya memecah-belahkan negara Khilafah sehingga diruntuhkan pada 3 Mac 1924. Misi mereka berterusan sehingga hari ini dengan meniupkan keraguan ke atas umat Islam terhadap agama Islam.

Download PDF