Keadilan buat Imam Dr. Fadi

Di saat negara ini sedang berada dalam suasana kempen menuju Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), kita digemparkan dengan berita pembunuhan seorang imam muda yang berasal dari Palestin sewaktu beliau dalam perjalanan untuk menunaikan solat Subuh di Setapak pada 21 April lalu.

Mangsa, Imam Dr. Fadi Mohammad Al-Batsh, 35 tahun, terbunuh di tempat kejadian setelah salah seorang daripada dua suspek melepaskan lebih sepuluh das tembakan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi. Pihak berkuasa kini sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.

Sementara itu, keluarga mangsa mendakwa bahawa agensi perisikan entiti haram Israel, Mossad terbabit dalam pembunuhan terancang ini. Perkara yang sama turut dinyatakan oleh ketua HAMAS, Ismail Haniyeh yang dipetik oleh akaun Twitter rasmi gerakan tersebut. Insiden sebegini bukanlah yang pertama buat gerakan yang menentang penjajahan tentera rejim Yahudi tersebut. Pada Disember tahun lalu, jurutera dan ketua pakar dron HAMAS, Mohamed Zouari, telah ditembak mati berhampiran kediamannya di Sfax, Tunisia.

Dr. Fadi menetap di Jabaliya, Gaza sebelum berpindah ke Malaysia pada 2011 untuk bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan. Beliau menerima ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Malaya di samping bergiat aktif dalam badan amal MyCARE. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masih kecil. Takziah diucapkan kepada keluarga Dr. Fadi dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau serta memberikan ganjaran syurga baginya.

Pembunuhan Dr. Fadi merupakan suatu tindakan yang sewajarnya dikecam oleh semua pihak tanpa mengira latarbelakang. Pihak berkuasa wajib berusaha bersungguh-sungguh bagi menangkap dan mengheret pihak yang terbabit dalam pembunuhan ini ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, kita juga dapat melihat peristiwa ini sebagai bukti kegagalan penguasa dalam memberi jaminan terhadap keselamatan nyawa. Peristiwa pembunuhan ini bukanlah yang pertama di negara ini. Terdahulu, kita juga telah menyaksikan pembunuhan Kim Jong Nam, iaitu adik kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un pada 2017. Penguasa sewajarnya bertanggungjawab dalam memastikan agar keamanan dan jaminan keselamatan terpelihara, bukannya disibukkan dengan memantau dan menyekat gerakan-gerakan yang melaksanakan tugas dakwah serta membawa aspirasi Islam.

Tragedi sebegini merupakan sebahagian daripada lumrah perjuangan. Inilah risiko yang dihadapi oleh mereka yang ikhlas berjuang menentang penjajahan dan penindasan oleh rejim Yahudi Israel. Saban waktu, mereka berhadapan dengan ancaman, penindasan, dan pembunuhan. Namun semua ini tidak sedikitpun melunturkan semangat mereka.

Sesungguhnya pengorbanan oleh umat Islam di Palestin tidak sepatutnya dipersia-siakan. Kita selaku umat Islam tidak sepatutnya membiarkan mereka berjuang bersendirian. Bahkan menjadi kewajipan bagi kita untuk menghulurkan bantuan serta mendesak agar tentera-tentera Muslimin bergerak bagi membebaskan tanah suci umat Islam daripada cengkaman rejim Yahudi.

Bergeraklah wahai tentera Muslimin! Raihlah kemuliaan dengan mengikuti jejak langkah Saidina Umar r.a yang membuka Baitulmaqdis, serta Salahuddin Al-Ayyubi yang membebaskannya semula daripada cengkaman tentera Salib!

Muhammad Fauzi
Aktivis HTM

Sumber berita:

  1. Harian Metro (https://www.hmetro.com.my/utama/2018/04/332602/update-penembak-tunggu-20-minit-metrotv)
  2. Twitter HAMAS (@HamasInfoEn)