Sedekad Berlalu: Di Manakah Keadilan Buat Mangsa Tragedi Tak Bai?

Tanggal 25 Oktober yang lalu menandakan genap sepuluh tahun tercetusnya tragedi yang telah menelan korban sejumlah 85 orang penduduk Muslim di Tak Bai, salah satu kawasan Selatan Thai yang bergolak. Insiden yang berlaku sewaktu umat Islam sedang berpuasa di bulan Ramadhan itu tercetus apabila sejumlah 1500 orang Muslim mengadakan demonstrasi aman membantah penahanan enam orang penduduk di balai polis Tak Bai. Pihak polis Thai kemudiannya cuba meleraikan penunjuk perasaan dengan menggunakan gas pemedih mata dan semburan meriam air setelah beberapa jam berhimpun. Para demonstran kemudiannya melontarkan batu ke arah anggota polis sebagai tindak balas. Polis kemudiannya melepaskan tembakan peluru hidup ke arah demonstran setelah tembakan amaran dilepaskan. Tindakan tersebut menyebabkan sejumlah tujuh orang Muslim terbunuh.

Keadaan menjadi semakin meruncing apabila pihak tentera campur tangan dan bertindak menahan hampir 1300 orang di tempat kejadian. Berdasarkan bukti daripada saksi kejadian dan rakaman video oleh wartawan, para tahanan telah dipaksa untuk meniarap serta dipukul dan ditendang oleh tentera Thai secara kejam meskipun mereka akur terhadap arahan yang diberikan. Tahanan kemudiannya dipaksa untuk merangkak menuju lori tentera dan dipaksa masuk ke dalam lori secara berhimpit-himpit menuju kem tentera Inkayut yang terletak sejauh lima jam perjalanan di wilayah Pattani. Sejumlah 79 orang tahanan telah meninggal dunia sepanjang perjalanan tersebut akibat kesesakan nafas dan kecederaan organ dalaman akibat himpitan.

Sehingga ke hari ini, tiada dakwaan dan tindakan undang-undang dikenakan terhadap pihak polis dan tentera yang secara jelas telah melakukan kezaliman yang melampaui batas kemanusiaan terhadap tahanan yang hanya bersenjatakan batu untuk mempertahankan diri.

Pada tahun 2006, setelah dua tahun tragedi berdarah itu berlaku, Perdana Menteri Thailand telah mengemukakan permohonan maaf secara rasmi terhadap mangsa tragedi tersebut. Namun, tiada pihak yang dikenakan sebarang tindakan undang-undang. Bahkan inkues yang dijalankan pada tahun 2009 juga menyatakan bahawa pihak tentera tidak melakukan sebarang salah laku sewaktu mengendalikan tahanan dalam tragedi itu.

Demikianlah betapa murahnya nyawa umat Islam yang diperlakukan sedemikian rupa oleh pihak tentera Thai tanpa sebarang pengadilan. Sedarkah kita bahawa Tak Bai hanya dipisahkan oleh Sungai Golok daripada Pengkalan Kubur, Tumpat di Kelantan? Tidakkah kita prihatin terhadap nasib yang menimpa saudara seakidah kita di sana? Adakah kita wajar berdiam diri di saat mereka dizalimi hanya disebabkan sempadan nasionalisme palsu yang dipaksakan ke atas umat Islam?

Sejarah telah membuktikan bahawa wilayah selatan Thai suatu ketika dahulu pernah diperintah oleh kesultanan Melayu Muslim Patani. Bahkan kesultanan Patani mempunyai jalinan hubungan yang erat dengan kesultanan Melayu Pahang dan Johor. Patani juga telah melahirkan ramai ilmuan Islam yang menjadi salah satu rujukan utama di Nusantara sehingga ke hari ini.

Namun, siri peperangan dan penjajahan oleh kerajaan Ayutthaya serta kemudiannya Dinasti Chakri telah melemahkan kedudukan Patani sehinggalah sultan terakhirnya, Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah digulingkan pada 1902. Penguasaan kerajaan Thai ke atas wilayah Patani diperkukuhkan lagi apabila pihak British memperakuinya pada tahun 1909.

Penduduk Muslim di selatan Thai kemudiannya terus dipinggirkan, ditindas dan cuba dihilangkan identiti Islam mereka melalui usaha asimilisasi kebudayaan oleh kerajaan Thai yang memuncak sekitar tahun 1960-an. Sungguhpun demikian, keteguhan umat Islam di sana berpegang kepada ajaran Islam telah berjaya mengukuhkan identiti Islam di wilayah tersebut. Namun, polisi kerajaan Thai yang majoritinya menganut ajaran Buddha telah mencetuskan kekacauan di rantau tersebut sehingga ke saat ini.

Tragedi Tak Bai pada tahun 2004 hanyalah sebahagian daripada sejarah hitam yang menimpa umat Islam di selatan Thai lantaran menebalnya sentimen kufur nasionalisme yang membarah dalam tubuh umat Islam di seluruh dunia. Tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kerajaan Malaysia yang kononnya gah di mata dunia sebagai negara Islam contoh, sedangkan kita tidak mengambil sebarang tindakan yang  tuntas di saat saudara-saudara seakidah kita memerlukan pembelaan. Inilah natijah daripada racun sekularisme dan nasionalisme yang disuntik ke atas kita kaum Muslimin. Sudah tiba masanya untuk kita semua membebaskan diri daripada belenggu sistem warisan kufur ini dan bergerak menuju penyatuan yang hakiki melalui penegakan Khilafah rasyidah atas manhaj kenabian. Wallahua’lam.

“Tinggalkankah ia (assabiyah/nasionalisme), ia merupakan suatu perkara yang jijik” [HR Bukhari dan Muslim].