“No Answer, No Apology”: Di Manakah Keadilan dan Ketelusan?

Sebuah pertubuhan Hak Asasi Manusia Antarabangsa, Human Rights Watch melaporkan bahawa terdapat sebanyak  4,334 laporan terhadap pasukan polis telah dikeluarkan antara bulan Januari 2005 hingga Mei 2012 dan didapati sebanyak 68% daripada laporan tersebut masih dalam siasatan sehingga ke hari ini. Data tersebut telah dibentangkan dalam sebuah laporan bertajuk “No Answer, No Apology: Police Abuses and Accountability” yang diumumkan melalui sidang akhbar pada 2 April baru-baru ini.1
Pada tahun 2005, Suruhanjaya Diraja bagi Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang diketuai oleh Tun Muhammad Dizaddin Abdullah telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC). Namun, langkah tersebut telah mendapat tentangan yang hebat daripada pihak PDRM.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa wujud ketidaktelusan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan terhadap insiden yang melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan. Meskipun kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada tahun 2011,  tetapi tindakan tersebut dilihat gagal mencapai objektif penubuhannya kerana badan tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan pendakwaan terhadap kes-kes yang disiasat.

Kerajaan seharusnya mengambil tindakan yang sewajarnya dan membuka siasatan yang telus terhadap laporan-laporan yang dibuat demi menjamin keadilan terhadap mangsa dan keluarga mereka. Insiden yang menimpa mendiang A. Kugan pada tahun 2009 dan arwah Muhammad Ramdan Yusuf pada 2010 merupakan antara testimoni terhadap penyeksaan OKT dalam tahanan polis.

Syeikh Taqiuddin An-Nabhani menyatakan dengan jelas bahawa tahanan (si tertuduh) dalam penjara tidak boleh dikenakan seksaan, didera dan dihukum di luar daripada yang telah ditetapkan. Ini berasaskan kaedah syara’ yang muktabar, al-aslu bara’atu zimmah (innocent until proven guilty) sebagaimana yang dinyatakan dalam kitabnya iaitu Muqqadimah Ad-Dustur, Perkara 12 : “Asal seseorang itu tidak bersalah, maka seseorang itu tidak boleh dikenakan hukuman melainkan dengan hukuman Mahkamah, maka tidak boleh menyeksa seseorang secara mutlak, dan siapa jua yang melakukan demikian akan dikenakan hukuman”.2

Terdapat tiga kesimpulan yang dapat diambil daripada kaedah fiqh ini, iaitu;

Seseorang itu :

1) Tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah
2) Tidak boleh dikenakan hukuman sehingga mahkamah menetapkan hukumannnya
3) Tidak boleh menyeksa manusia secara mutlak.
Institusi Polis menurut Islam merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab untuk memelihara sistem Islam dan menjaga keamanan dalam negeri. Peranan polis yang mulia ini tidak sewajarnya dicemari dengan insiden-insiden yang berlaku di luar batasan syarak. Malangnya, peranan tersebut tidak lagi dijalankan dengan penuh integriti, bahkan institusi tersebut (melalui unit Cawangan Khas) telah dipergunakan oleh pemerintah untuk menyekat para pendakwah dalam mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah. Wallahua’lam.

Sumber:
1)    HRW – Most Complaints Against Police Never Prosecuted. The Malay Mail Online, 2 April 2014.

2) Sautun Nahdhah 46 – Polemik Ketuk Ketampi