SN531 – Pilihan Raya: Adakah Menolak Kerosakan Lebih Utama Daripada Mengambil Kebaikan?
Bil: SN531 – 18 Syaaban 1439 / 4 Mei 2018
Menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang semakin hampir, parti-parti yang bertanding sedang rancak menjalankan kempen mereka untuk mempengaruhi pengundi. Memandangkan majoriti rakyat Malaysia terdiri daripada orang Melayu beragama Islam, maka mereka tidak boleh lepas dari menggunakan hujah agama supaya wala’ umat Islam beralih kepada parti mereka tidak kira sama ada parti yang cenderung kepada Islam atau parti kebangsaan yang diterajui orang Islam. Mereka bersungguh-sungguh ingin membuktikan bahawa mengundi parti lawan akan memudaratkan rakyat dan sebaliknya mengundi parti mereka akan membawa kemaslahatan kepada rakyat. Mereka menggunakan kaedah
درء المفاسد و جلب المصالح
“menolak kefasadan (kerosakan) dan mendapatkan kemaslahatan (kebaikan)
untuk mengatakan tindakan mereka itulah paling benar. Secara ringkasnya, pihak yang menerima kaedah ini telah memecahkan isu ini kepada tiga bahagian seperti berikut:
- “Maslahahnya lebih besar dari mafsadahnya” – mengambil contoh perbuatan Ibnu Umar RA menasihati Hajaj Yusof, seorang pemerintah yang zalim di mana perbuatan menasihatnya dinilai mengandungi kemaslahatan yang lebih besar berbanding kemungkinan beliau dihukum.
- “Kerosakan lebih besar daripada kebaikan” – merujuk kepada Al-Quran, dalam surah al-Baqarah ayat 219, yang menerangkan sebab khamar (arak) dan judi diharamkan kerana manfaatnya sedikit berbanding mudharatnya.
- “Menolak kerosakan lebih didahulukan daripada mendapatkan kebaikannya” – apabila kebaikan dan kerosakan suatu perbuatan adalah sama ukurannya, maka mereka berpendapat perlu meninggalkan perbuatan tersebut. Walaupun hal ini diperselisihkan, mereka cenderung menyatakan hanya bahagian (1) dan (2) sahaja wujud, namun, jika berlaku juga keadaan sebegini maka seseorang perlu ditegah dari melakukan perbuatan tersebut.
Meskipun kaedah-kaedah di atas kelihatan seolah-olah kuat namun sebenarnya ia mengandungi kelemahan-kelemahan mendasar yang bertentangan dengan perbuatan Rasulullah SAW. Sautun Nahdah (SN) kali ini akan mengupas salah faham dalam penggunaan kaedah ini.
Applikasi Kaedah Fiqh Yang Salah
Ada pihak yang mendakwa adalah wajib untuk kita mengambil jalan demokrasi bagi menolak kerosakan (diperintah oleh pihak sekular atau non Muslim) itu adalah lebih utama walaupun dengan pemahaman bahawa demokrasi bukanlah berasal dari Islam. Mereka turut memahami bahawa demokrasi bertentangan dengan Islam kerana suara majoriti diambil sebagai sumber hukum menggantikan al-Quran dan as-Sunnah.
Mereka beranggapan bahawa jika mengundi orang kafir atau sekular maka dibimbangi apabila golongan ini menguasai pemerintahan Malaysia, maka banyak hak dan keistimewaan orang Islam di Malaysia akan dihapuskan. Maka timbullah isu wajibnya mengundi calon Islam ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Persoalannya, benarkah ini sahaja pilihan yang ada? Bukankah hakikatnya kita mempunyai dua pilihan – (i) mengundi atau (ii) tidak mengundi?
Jika diperhatikan dengan kaedah di atas, hakikatnya, pilihan pertama iaitu mengundi itulah yang mendatangkan banyak keburukan dalam pertimbangan hukum syarak. Ini kerana kita terlibat menyuburkan lagi aktiviti penggubalan undang-undang di Parlimen/DUN di kalangan wakil rakyat yang sememangnya meninggikan suara majoriti berbanding perintah serta larangan Allah SWT dan ini merupakan bentuk kerosakan (maksiat) yang lebih besar. Sedangkan jika kita memilih pilihan kedua iaitu tidak mengundi, kita terhindar dari terlibat dalam proses mengangkat wakil rakyat yang akan terus bergelumang dalam perangkap sekularisme, dan secara tidak langsung kita tidak melibatkan diri dalam dosa penerapan sistem yang bertentangan dengan Islam.
Maka atas dasar itu, menolak untuk mengundi (tidak mengundi) adalah lebih diutamakan mengikut kaedah, ”Menolak kerosakan lebih didahulukan daripada mendapatkan kebaikannya”. Inilah kajian realiti sebenar tentang persoalan mengundi jika kita ingin menggunakan kaedah ini. Realiti ini harus dilihat dari seluruh aspek, bukan hanya sebatas isu siapa yang perlu diundi.
Kaedah Yang Lemah Dari Sudut Istidlalnya
Ini dari satu sudut, adapun jika diteliti dari sudut istinbat maka kita akan dapati bahawa ukuran maslahat dan mafsadat yang menjadi dasar kepada kaedah tersebut bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah. Berikut adalah penjelasan kesalahan-kesalahan dalam istidlal (usaha mencari dalil) kaedah-kaedah di atas:
Penolakan bahagian (1). Perbuatan Ibnu Umar RA menasihati pemerintah yang zalim bukanlah berdasarkan maslahat dan mafsadat sebaliknya sudah ada dalil khusus yang mengandungi keutamaan, ganjaran dan kemuliaan bagi sesiapa yang menasihati pemimpin yang zalim iaitu “Penghulu syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthallib dan lelaki yang berkata dihadapan seorang pemimpin yang zalim, lalu dia memerintahkannya (pada kemakrufan) dan melarangnya (terhadap kemungkaran), kemudian pemimpin itu membunuhnya” [HR Al-Hakim].
Penolakan bahagian (2). Menggunakan ayat 219 dari surah Al-Baqarah sebagai istidlal kaedah usul fiqh merupakan kesalahan yang besar kerana ayat tersebut merupakan sebahagian dari ayat dalam tahapan pengharaman arak dan judi oleh Allah SWT sedangkan ayat pengharaman khamar jelas dengan turunnya ayat 90 dari surah al-Maidah.
Penolakan bahagian (3). Satu contoh realiti yang diaplikasikan dalam bahagian ini adalah dengan menganggap bahawa menyerahkan harta adalah lebih utama daripada kehilangan nyawa kerana mudarat kehilangan nyawa adalah lebih besar. Ini dijadikan sebagai hujah dalam mempraktikan kaedah ini walaupun hakikatnya ia bertentangan dengan hadis keutamaan menjaga harta. Dalilnya adalah daripada Abdullah Ibn Amru Ibn al-Ash RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa yang terbunuh kerana membela (menjaga) hartanya, maka ia adalah syahid” [Muttafaq ‘alaih].
Inilah kelemahan-kelemahan yang ketara dari aspek asas perbincangan kerangka berfikir dan dalil yang dikemukakan oleh mereka yang menggunakan kaedah dar ul mafasid wa jalbul masalih.
Bertentangan Dengan Aktiviti Politik Rasulullah SAW
Seringkali pihak yang berhujah dengan kaedah ini untuk mendapatkan kekuasaan menjustifikasi tindakan mereka dengan alasan boleh melakukan perubahan dari dalam dan kedudukan mereka akan menjadikan suasana lebih baik. Memang benar kekuasaan yang berada di tangan orang baik akan mendatangkan maslahah berbanding di tangan orang yang fasik, fajir dan kafir. Namun, adakah aplikasi kaedah ini dalam konteks realiti saat ini selari dan sesuai dengan tuntutan syariat? Jawapannya memerlukan kajian yang mendalam dan pemikiran yang bersih dari sebarang pengaruh pemikiran asing seperti pragmatisme. Hanya dengan ini kita akan dapati bahawa aplikasi kaedah tersebut dalam konteks realiti saat ini adalah pada hakikatnya bertentangan dengan as-Sunnah. Hal ini dapat dijelaskan melalui beberapa ibrah (pengajaran) daripada perjalanan dakwah dan politik Rasulullah SAW seperti berikut.
- Menolak tawaran takhta: Imam Baihaqi meriwayatkan bahawa Utbah bin Walid menemui Nabi SAW dan berkata “Jika engkau menginginkan kekuasaan, maka kami akan mengikatkan panji-panji kami untukmu dan engkau menjadi ketua kami seumur hidup”. Jika mengikut kaedah dar’ul mafasid wa jalbul masalih, sudah pasti Baginda SAW menerima tawaran kekuasaan yang diberikan di mana akan memberikan impak yang besar kepada dakwah dan dapat menolak mafsadah kepada para pengikut Nabi SAW. Namun ternyata tawaran yang tersebut ditolak bulat-bulat oleh Rasulullah SAW.
- Menolak nusrah (pertolongan) dari Bani Syaiban: Semasa proses talabun nusrah (mencari pertolongan) yang dilakukan oleh Baginda SAW, Bani Syaiban bersetuju untuk memberikan nusrah tetapi untuk berhadapan dengan bangsa Arab sahaja dan mereka tidak sanggup berhadapan dengan tentera Parsi. Pada masa itu suasana dakwah Rasulullah SAW sangat getir setelah kematian Khadijah RA dan Abu Talib yang sentiasa menjaga Rasulullah SAW daripada ancaman kafir Quraish. Jika diteliti dengan kaedah masalahah dan mafsadat mengikut akal kita, nescaya Rasulullah SAW akan menerima nusrah yang diberikan agar sekurang-kurangnya mendapat perlindungan daripada ancaman bangsa Arab semasa dakwah, sedangkan Parsi masih belum peduli dengan dakwah Nabi SAW. Namun yang berlaku adalah sebaliknya, Rasululllah SAW menolak tawaran ini. Imam Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang hasan dari Ali RA bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Bani Syaiban bin Tsa’labah ”Kamu tidaklah buruk ketika memberi jawapan balas dan kamu telah jelas bercakap benar. Sesungguhnya agama Allah ini tidak dibantu melainkan oleh mereka yang sanggup untuk meliputinya dari segenap penjurunya”. Hal ini kerana mereka sanggup memberikan nusrah daripada ancaman orang Arab tetapi tidak untuk menghadapi negara Parsi [Muqaddimah Dustur, Hizbut Tahrir I/12].
- Menolak tawaran baiah Bani Amir Bin Sha’shaah: Sebagaimana diriwayatkan dalam sirah Ibnu Hisyam, bahawa Nabi SAW mendatangi Bani Amir Bin Sha’shaah, menyeru mereka kepada agama Allah dan meminta nusrah kepada mereka. Kemudian salah seorang lelaki daripada mereka yang bernama Baiharah bin Firas berkata “Demi Allah, seandainya aku menerima (ajakan) pemuda Quraisy ini (Muhammad), sesungguhnya orang Arab akan murka (kepada kita).” Kemudian dia berkata, “Apakah pendapatmu jika kami membai’atmu dalam urusanmu, kemudian Allah memenangkanmu ke atas orang yang menentangmu. Adakah kami akan diberi kekuasaan selepas engkau (wafat)?” Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Urusan (kekuasaan) itu hanyalah milik Allah yang Dia akan memberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki”. Baiharah berkata, “Adakah kami perlu menyerahkan leher-leher kami kepada orang Arab, padahal jika Allah memenangkan kamu, urusan (kekuasaan) itu bukan untuk kami. Kami tidak memerlukan urusanmu” [Sirah Ibnu Hisyam I/424-425: Rahmat Al-Alamin I/74]. Jika diteliti dengan pertimbangan kaedah maslahat dan mafsadat, maka menerima perlindungan dan baiah daripada Bani tersebut lebih utama berbanding syarat yang dikenakan, namun ternyata Nabi SAW menolaknya.
Inilah antara sebahagian dalil yang jelas bahawa Nabi Muhammad SAW dalam pertimbangan politik beliau tidak menjadikan maslahah dan mafsadat sebagai illat (sebab hukum) dalam mendapatkan kekuasaan, kerana hanya dengan kekuasaan mutlak sahaja kedaulatan syariat Islam dapat ditegakkan dan terjamin dalam sebuah negara.
Kesimpulan
Dalam keghairahan parti-parti yang diterajui oleh orang Islam berusaha untuk meraih sokongan dan undi umat Islam, mereka menjustifikasi tindakan mereka agar terus relevan dalam gelanggang politik demokrasi dengan menggunakan kaedah-kaedah yang disebutkan di atas yang mengandungi sekurang-kurangnya tiga kesalahan yang utama iaitu: (1) salah dalam mengaplikasikan kaedah; (2) kaedah tersebut lemah dari aspek membina kerangka berfikir serta dalil yang digunakan bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah; (3) bercanggah dengan perbuatan Rasulullah SAW dalam proses mendapatkan kekuasaan.
Sekiranya kita benar-benar mahukan perubahan di dalam suasana pemerintahan ini, tanyalah diri kita sendiri, apakah ‘bentuk’ perubahan yang kita ingini? Adakah kita inginkan perubahan dengan hanya pertukaran seorang pemimpin lama kepada pemimpin yang baru? Atau adakah kita inginkan perubahan dengan pertukaran seorang pemimpin dari parti A kepada pemimpin dari parti B semata-mata? Dengan sejarah dan perkembangan yang berlaku, baik di negara ini mahupun di seluruh dunia yang telah dan sedang kita saksikan, masihkah kita menaruh harapan dan ingin mengatakan bahawa satu-satunya jalan perubahan yang terbaik adalah melalui pilihan raya di bawah sistem demokrasi? Hakikatnya, pilihan raya demokrasi sama sekali tidak berfungsi untuk menukar sistem yang berasaskan sekularisme ini kepada sistem Islam. Sebaliknya, ia berfungsi untuk memperkukuhkan lagi falsafah politik Barat dalam kerangka Negara Bangsa seperti Malaysia. Sudah sampai masanya umat Islam mempertimbangkan sama ada untuk kekal berjuang dengan manhaj demokrasi ini atau berdakwah di luar kerangka sistem yang rosak dan gagal ini, dengan membina landskap politik Islam yang sejahtera—Khilafah—dalam usaha memartabatkan Islam dan menggapai mardhatillah.