Bolehkah non-Muslim menjaga urusan pemerintahan bagi kaum Muslimin?

Beberapa minggu lepas Sahibu as-Samahah Mufti Wilayah telah mengeluarkan penulisannya tentang hukum harus (mubah) untuk mengundi calon non-Muslim yang bertanding dalam PRU untuk kerusi Parlimen/DUN. Kebolehan ini bersandarkan alasan bahawa calon non-Muslim tersebut bukanlah mereka yang menentang Islam dan juga demi menjaga maslahat kumpulan minoriti. Pihak beliau juga beralasan bahawa wakil rakyat bukanlah ketua, wakil rakyat tidak berkuasa penuh dalam membuat keputusan di Parlimen kecuali  perlu memiliki suara majoriti serta ‘urf (tradisi) negara ini yang memiliki masyrakat majmuk dan mengamalkan sistem demokrasi. Dengan alasan-alasan ini, maka seolah-olah dibolehkan kaum Muslim mewakilkan non-Muslim dalam pemerintahan dan non-Muslim juga dibenarkan berada dalam tampuk pemerintahan selagi mana mereka tidak memiliki kuasa mutlak. Namun, bukankah terdapat begitu banyak ayat-ayat al Quran secara jelas memaparkan larangan kaum Muslimin untuk mengambil orang-orang kafir sebagai auliya dan teman rapat sekaligus sebagai pemimpin mereka?

Penulisan ini cuba membincangkan persoalan non-Muslim yang mewakili Muslim dalam aspek pemerintahan. Apakah non-muslim dibenarkan menjaga urusan pemerintahan kaum muslimin? Apakah alasan ‘urf membenarkan non-Muslim mewakili kaum Muslim dalam urusan pemerintahan ini adalah sah?

Sebelum itu, kita perlu jelas tentang sistem pemerintahan di Malaysia agar kita mengetahui sama ada ahli parlimen terlibat dengan pemerintahan atau tidak. Umum mengetahui, Malaysia menerapkan sistem pemerintahan demokrasi dengan corak sistem Westminster daripada United Kingdom. Menurut demokrasi, kuasa pemerintahan perlu dipecahkan menjadi tiga bahagian : Badan Legislatif, Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman. Secara teorinya, ketiga-tiga badan ini mempunyai kuasa yang sama taraf dalam pemerintahan sebagai fungsi semak-imbang dan satu badan tidak boleh mengatasi badan yang lain. Secara praktis, ahli-ahli parlimen menentukan dasar dan undang-undang negara yang kemudiannya dasar dan undang-undang ini dilaksanakan oleh badan esekutif iaitu Perdana menteri dan menteri-menteri kabinetnya. Sebarang bentuk perlanggaran undang-undang negara akan diadili oleh badan kehakiman. Begitulah amalan pemisahan kuasa (separation of power) dalam sistem pemerintahan demokrasi.

Badan legislatif iaitu Parlimen merupakan sebahagian daripada pemerintahan demokrasi kerana institusi tersebut mempunyai kuasa dalam membuat/ menggubal undang-undang dan menerapkannya dalam negara. Selain itu, Parlimen/DUN juga mempunyai kuasa  melantik dan memberhentikan ketua negara/negeri. Parlimen/DUN boleh memberhentikan atau memecat ketua negara/negeri dengan mengusulkan undi tidak percaya sehingga Kabinet/Exco (yang diketuai oleh Perdana Menteri/Menteri Besar) ketika itu boleh dijatuhkan daripada tampuk pemerintahan. Berdasarkan undang-undang dan amalannya, Parlimen/DUN melakukan tiga perkara:-

Pertama: mengawasi dan memuhasabah atau semak dan imbang pemerintah.

Kedua: membuat/menggubal undang-undang, dan

Ketiga: melantik serta memberhentikan penguasa. Jika dilihat Parlimen/DUN dari sisi aktiviti muhasabah dan mengawasi penguasa, memanglah ia bukan sebahagian daripada pemerintahan. Akan tetapi, jika dilihat daripada aspek aktiviti membuat undang-undang dan melantik serta memberhentikan penguasa, maka jelas Parlimen/DUN merupakan sebahagian daripada pemerintahan.

Namun dalam Islam menurut Syeikh An-Nabhani, Pemutus (al-hukm), Pemerintah (al-mulk) dan Penguasa (al-sulthan) ketiga-tiganya mempunyai makna yang sama iaitu kuasa untuk melaksanakan undang-undang atau sebagai tugas kepimpinan (al-imarah) di mana syarak telah mewajibkan bagi setiap Muslim untuk mewujudkannya. Tugas al-imarah adalah untuk menghindari ketidakadilan dan menyelesaikan perselisihan yang timbul. Dalam perkataan lain, memerintah bermaksud menjaga kemaslahatan rakyat. [Al-Nabhani, Nizhamul Hukmi Fil Islam].

Di dalam Islam, undang-undang hanyalah daripada Allah SWT  bukan dibuat atau digubal oleh manusia.

“Sesungguhnya menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am(6):57]

Oleh yang demikian, dalam sistem pemerintahan Islam tiada institusi atau pihak lain yang membuat undang-undang seperti parlimen. Namun, para fuqaha boleh mengeluarkan ijtihad untuk permasalahan yang baru berdasarkan sumber-sumber hukum Islam iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ sahabat dan qiyas syari’y. Tugas pemerintah negara atau khalifah pula melaksanakan undang-undang atau hukum-hukum syarak ke atas manusia dan menjadi hakim untuk mengadili manusia yang melanggar hukum-hukum tersebut. Selain itu, khalifah mempunyai hak untuk mengambil serta menetapkan hukum syarak dan melantik para pembantunya, para pegawai negara dan para qadhi. Inilah yang membezakan pemerintah dalam Islam yang memiliki kuasa penuh namun diatur dan dipandu dengan undang-undang Allah SWT dengan pemerintah dalam demokrasi yang secara teorinya kuasa ini dibahagikan kepada tiga pihak demi mengehadkan kuasa eksekutif.

Tidak Boleh Menyerahkan Urusan Pemerintahan kepada Non-Muslim

Setelah kita dapati bahawa ahli-ahli parlimen merupakan sebahagian daripada pemerintahan negara,  maka Islam melarang kaum Muslimin menyerahkan urusan pemerintahan mereka kepada non-muslim sekalipun dia merupakan kafir zimmi. Allah SWT telah berfirman:

“Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang Mukmin.” [TQS an-Nisa’ (4): 141].

Pemerintahan (kekuasaan) merupakan jalan yang paling kuat untuk menguasai orang-orang yang diperintah. Pengungkapan dengan kata “lan” dalam ayat al-Quran di atas berfungsi untuk menyatakan selamanya (li ta’bîd) merupakan qarînah (indikasi) untuk menyatakan larangan tegas orang kafir memegang suatu pemerintahan atas kaum Muslim, baik berkaitan jawatan khalifah ataupun selainnya. Hal ini kerana Allah telah mengharamkan kewujudan sebarang jalan bagi orang kafir untuk menguasai kaum Mukmin. Dengan ini adalah haram hukumnya bagi umat Islam menjadikan orang kafir sebagai penguasa atas mereka.

Selain daripada itu, pemerintah juga disebut dengan wali al-amri dan Allah SWT telah mensyaratkan wali al-amri mestilah di kalangan kaum Muslim sahaja. Allah swt berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta ulil amri di antara kalian.” [TQS an-Nisa’ [4]: 59].

“Apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Kalau saja mereka menyerahkannya kepada Rasul dan ulil amri di antara mereka.” [TQS an-Nisa’ [4]: 83].

Penggunaan kata ulil amri dalam ayat Al-Quran tidak digunakan kecuali ia terkait dengan kenyataan bahawa mereka mestilah daripada golongan kaum Muslimin. Hal ini menunjukkan bahwa wali al-amri disyaratkan mestilah seorang Muslim. Oleh kerana itu, dalam sistem pemerintahan Islam atau Khilafah, pemerintahnya iaitu Khalifah mestilah seorang muslim. Khalifah juga yang melantik ulil amri (penguasa) selain Khalifah seperti para Mu’awin (pembantu Khalifah), wali (gabenor peringkat wilayah) dan amil (gabenor di peringkat wilayah yang lebih kecil). Kesemua mereka ini juga mestilah Muslim kerana aktiviti-aktivitinya sebagai penguasa dan pemerintah di peringkat masing-masing.

Adakah Alasan ‘Urf Membenarkan Urusan Pemerintahan Diserahkan Kepada Non-Muslim?

Al-‘Urf pada pandangan para fuqaha bermaksud ‘adah (adat, budaya, tradisi, kebiasaan, tabiat). Al-‘adah diambil daripada kata al-mu’awadah yang membawa maksud berulang-ulang. Oleh yang demikian, seseorang yang datang dengan satu-satu perbuatan dan perbuatan itu diulang-ulang sehingga ke tahap di mana dia sukar untuk meninggalkannya, maka perbuatan tersebut dipanggil ‘adah. ‘Urf merupakan perbuatan yang berulang-ulang (‘adah) secara jamaah (kolektif). Ia merupakan apa yang menjadi kebiasaan dan tabiat bagi sesebuah masyarakat yang menjadikan mereka bertindak mengikutnya dalam percakapan dan perbuatan mereka sehari-hari.

Imam Malik banyak membangunkan hukum-hukumnya berdasarkan kebiasaan dan tradisi penduduk Madinah dan ‘urf mereka. ‘Urf adalah realiti sebenar hasil daripada pemikiran yang mendominasi dalam masyarakat dan daripada sistem dan undang-undang yang mengatur hubungan di antara ahli masyarakat. Pemikiran dan sistem seumpama ini telah menjadi kebiasaan dan tolok ukur bagi masyarakat sama ada mereka menyedari asal usulnya atau tidak. Oleh yang demikian, ‘urf bagi masyarakat Islam ialah hasil daripada pemikiran-pemikiran Islam yang diambil dan dijadikan panduan dalam menilai kebenaran sejak berabad-abad lamanya. Umpamanya adat meraikan Hari Raya berasal daripada hukum syarak.

Dahulunya, para ulama seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan yang lain, apabila mereka menjadikan ‘Urf sebagai pertimbangan dalam menarik hukum-hukum syariah, masyarakat ketika itu merupakan masyarakat Islam yang tulen, seperti masyarakat Islam di Madinah al-Munarwarah di zaman Imam Malik. Mereka hidup dalam panduan Islam sejak Rasullullah saw mengubah tradisi dan adat mereka daripada jahiliyyah kepada Islam. Oleh kerana itu, apa yang menjadi adat dan tradisi mereka pada zaman Imam Malik adalah adat dan tradisi Islam semata-mata bukan yang lain. Mereka dididik dengan adat dan tradisi Islam dan mereka juga mendidik anak-anak mereka dengan adat dan tradisi Islam yang sama. Oleh yang demikian, perubahan ‘urf(tradisi) dan adat tidak mempengaruhi hukum kerana tradisi bukanlah illat hukum dan bukan dasar suatu hukum. Tradisi kadangkala bertentangan dengan syarak dan kadangkala tidak. Apabila bertentangan dengan syarak, maka syaraklah yang menghapuskan tradisi tersebut dan mengubahnya. Ini kerana salah satu fungsi syariat adala untuk mengubah tradisi dan adat-istiadat yang rosak (bertentangan dengan hukum Allah SWT). Sekiranya tradisi dan adat tidak bertentangan dengan syarak, maka hukum tersebut diambil kerana dalilnya dan illat syariahnya, bukan kerana tradisi, walaupun tradisi tersebut tidak menyalahi syarak.

Realitinya pada hari ini, adat dan tradisi pemerintahan di negara ini adalah sistem demokrasi berparlimen. Sistem ini bukan berasal daripada Al-Quran dan Sunnah, melainkan berasal daripada tamadun Barat yang dipaksakan ke atas kaum muslimin oleh penjajah. Maka sistem demokrasi bukanlah adat dan tradisi Islam, dan ia tidak boleh dijadikan dalil syarak mahupun illat syariah dalam mengambil hukum. Dengan itu, membolehkan mengundi calon non-Muslim dalam PRU berdasarkan ‘urf demokrasi adalah salah dalam kaedah pengambilan hukum.

Khatimah

Dengan ini telah jelas bahawa ahli-ahli parlimen merupakan sebahagian daripada sistem pemerintahan demokrasi kerana tugas dan kuasa yang mereka miliki ialah sebahagian daripada tugas dan kuasa pemerintah. Islam telah melarang para pemilik kuasa ini terdiri daripada kalangan non-Muslim agar umat Islam terpelihara daripada pengaruh dan penguasaan non-Muslim. Sistem demokrasilah yang telah menyebabkan Islam dan umatnya terus dipermain-mainkan oleh musuh-musuh Islam kerana demokrasi membenarkan kuasa-kuasa pemerintahan dimiliki oleh orang-orang bukan Islam dan orang-orang yang memusuhi Islam. Sesungguhnya syariah Islam itulah yang dapat menjaga keutuhan kuasa dan dominasi umat Islam dalam bentuk sistem pemerintahan Khilafah. Dengan Khilafah, tiada seorangpun non-Muslim yang boleh menguasai orang Islam. Wallahua’lam.

Dr Ammar

Rujukan:

  1. Al Wadih fi usul al-fiqh, Muhammad Hussein Abdullah.
  2. Ajhizah Daulah al-Khilafah, Hizbut Tahrir.
  3. Mafahim Hizbut Tahrir, Syaikh Taqiyuddin An-Nabhani.
  4. Nizhamul Hukmi Fil Islam, Syaikh Taqiyuddin An-Nabhani.