Terus Sokong BN Bagi Meneruskan Pemerintahan Sekular?

Sultan Pahang mahu rakyat terus sokong kerajaan BN

KUALA KRAU: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah mahu rakyat negeri itu terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan dapat dilaksanakan untuk faedah mereka.  Baginda bertitah, rakyat perlu terus bersama kerajaan kerana agenda pembangunan yang dirancang dalam jangka pendek dan panjang bakal memberi manfaat berterusan kepada mereka.

Sambil memberi contoh pembinaan jambatan Kuala Krau merentangi Sungai Pahang yang berharga RM64 juta, baginda bertitah usaha itu adalah agenda pembangunan mampan bagi memberi keselesaan kepada penduduk yang tinggal di kedua-kedua belah sungai berkenaan.   “Jambatan Kuala Krau berfungsi memendekkan perjalanan di antara Bandar Tun Razak, Jengka dengan Kuala Krau kepada 20 minit berbanding satu jam sebelum ini yang jaraknya sejauh 55 kilometer.

“Di samping itu, jambatan ini juga akan menjadi pemangkin kemajuan ekonomi kepada penduduk di sekitar Bandar Tun Razak, Jerantut dan Temerloh selepas perjalanan dipendekkan kepada 22 kilometer saja dengan memberi manfaat kepada 60,000 penduduk dari daerah Jerantut, Temerloh dan Maran,” titahnya kepada pemberita selepas melawat tapak jambatan Kuala Krau di sini, semalam.

Baginda meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membina laluan motosikal bagi menjamin keselamatan penunggang yang melalui jambatan berkenaan.

Sumber : Berita Harian, 24/09/09

Terus Sokong BN Bagi Meneruskan Pemerintahan Sekular?

Isu projek dan pembangunan masih terus digunakan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan sokongan rakyat. Ini termasuklah kenyataan Sultan Pahang di atas yang secara terbuka meminta rakyat untuk terus menyokong BN agar lebih banyak pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan dapat dilaksanakan untuk faedah mereka.   Persoalannya ialah apakah jika selain BN yang memerintah tidak akan ada pembangunan dan projek-projek untuk keselesaan rakyat? Apakah selain dari kerajaan BN tidak akan mampu memerintah dengan baik? Apa erti slogan pembangunan jika rakyat terus dipaksa dan terpaksa membayar nilai pembangunan itu dengan pelbagai bentuk cukai dan yang seumpamanya. Bukankah itu bermakna kerajaan telah berniaga dengan rakyat? Dahulu mungkin rakyat boleh digula-gulakan dengan projek-projek pembangunan dan yang seumpamanya tapi kini isu seperti ini sudah menjadi isu basi yang tidak akan mampu  memperbodohkan rakyat selama-lamanya.

Dalam Islam, pembangunan dan projek-projek untuk kesejahteraan rakyat adalah merupakan tanggungjawab pemerintah yang wajib ditunaikan oleh sesiapa sahaja dari mereka yang memerintah dan yang memegang kekuasaan di mana kelak mereka ini akan pasti dipersoalkan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin . Dia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang lelaki adalh pemimpin pada ahlinya dan dia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang perempuan itu pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya dan dia akan ditanya tentang rakyatnya, dan khadam itu menjadi pemimpin urusan harta tuannya dan dia akan ditanya tentang rakyatnya dan seorang anak menjadi pemimpin menggunakan harta ayahnya dan dia ditanya tentang rakyatnya, maka semua kamu adalah pemimpin  dan akan ditanya tentang rakyatnya.”

Oleh kerana itu, persoalan projek, pembangunan dan yang seumpamanya ini tidak selayaknya dijadikan suatu  alasan untuk terus mengelirukan dan mempermainkan rakyat. Isu sebenarnya di sini ialah persoalan sistem yang diterapkan oleh sesuatu pemerintah an itu. Apakah sistem tersebut adalah sistem Islam atau sistem kufur? Hakikatnya, isu inilah sebenarnya yang akan dipersoalkan kelak oleh Allah SWT di hari akhirat. Atas perkara inilah maka seluruh umat Islam seharusnya sedar akan kewajiban mereka untuk menuntut dan mendesak pemerintah umat Islam yang ada pada hari ini agar menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Wahai umat Islam! Apakah kalian ingin terus mengekalkan pemerintahan yang akan terus menerapkan sistem taghut sebagaimana yang ada pada hari ini? Bukankah kamu telah diperingatkan oleh Allah SWT dengan firmanNya:

 “Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. [TMQ An Nisaa’ (4) : 60].

Wahai umat Islam! Apakah hati-hati kalian tidak tergugah dengan peringatan dari Allah SWT ini?

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul diantara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [TMQ An Nisaa’ (4) :65].

Wahai umat Islam! Sudah sampai masanya buat kalian terjaga dari mentera sihir yang melingkari diri kalian sejak dahulu lagi dan berjuang bagi menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah yang akan memayungi dan menyebarkan rahmat Islam ke seluruh alam.