Malapetaka Ekonomi Akibat Kejatuhan Negara Khilafah: Kapitalisme-Ribawi Dan Kekayaan Alam Dibolot Oleh Kapitalis

Khilafah ialah satu bentuk negara yang diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam setelah kewafatannya pada tahun 10 Hijrah. Khilafah ialah negara yang diketuai oleh seorang Khalifah dan ia memerintah dengan menerapkan Islam secara menyeluruh (kaffah) termasuklah dalam hal sistem ekonomi. Selama 13 abad sistem ekonomi Islam berjalan di dalam negara Khilafah, namun setelah lenyapnya Khilafah pada 28 Rejab 1342 Hijrah (bersamaan 3 Mac 1924M) telah menjadi ibu segala malapetaka (ummul jaraaim) buat umat Islam sehingga terjerumus dalam segala yang haram dan rosak termasuk dalam aspek sistem ekonomi. Antara malapetaka terbesar ekonomi setelah kejatuhan Khilafah ialah, 1) penerapan sistem ekonomi kapitalisme-ribawi, dan 2) lesapnya kekayaan alam dibolot oleh para kapitalis.

Penerapan Sistem Kapitalisme-Ribawi

Kapitalisme merupakan sebuah sistem ekonomi yang ciri utamanya meliputi pemilikan swasta atas alat-alat pengeluaran, dan eksploitasi dalam kegiatan pengeluaran dan pengagihan untuk memperoleh keuntungan dalam mekanisme pasaran terbuka dan kompetitif. Disebabkan sistem ekonomi kapitalisme merupakan ciri yang paling menonjol dalam peradaban Barat, maka istilah kapitalisme juga digunakan  untuk menunjukkan ideologi Barat itu sendiri, sebagai suatu sistem yang mencorakkan aturan masyarakat secara menyeluruh.

Akar (aqidah) kapitalisme ialah sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan masyarakat). Ketika agama dipisahkan daripada soal mengatur masyarakat, maka lahirlah fahaman kebebasan (liberalisme). Daripada fahaman kebebasan ini, terutamanya idea kebebasan pemilikan, maka lahirlah sistem ekonomi kapitalisme.

Setelah Khilafah diruntuhkan dan dibangunkan sistem ekonomi kapitalisme di negeri-negeri umat Islam, lahirlah malapetaka ekonomi yang sangat dahsyat dalam tubuh umat ini. Hal ini dapat dilihat ketika kapitalisme membuka ruang bagi menerapkan bunga (interest) sehingga umat Islam menjadi imun daripada perasaan berdosa ketika bermuamalah dengan riba dalam kehidupan seharian. Padahal bunga termasuk salah satu jenis riba yang diharamkan Islam dan sangat besar magnitud dosanya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Riba itu mempunyai 73 pintu (dosa). Yang paling ringan dosanya adalah seperti dosa seorang lelaki yang bersetubuh dengan ibu kandungnya sendiri …” [HR Ibnu Majah dan Al Hakim, dari Abdullah bin Mas’ud RA].

“Satu dirham yang diperoleh seseorang dari hasil riba, lebih besar dosanya daripada 36 kali berbuat zina dalam Islam” [HR. Baihaqi, dari Anas bin Malik RA].

عَنْ جَابِرٍ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ.

Daripada Jabir RA, dia berkata, “Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi riba, penulisnya, dan dua saksinya”, dan Beliau kemudian bersabda, “Mereka itu sama[HR. Muslim, no. 4177].

Maka, ia satu malapetaka besar buat umat Islam apabila mereka tidak lagi takut kepada dosa riba dalam urusan muamalah mereka. Masakan tidak, hampir segala urusan umat Islam mempunyai unsur-unsur riba (bank). Di Malaysia sendiri, ketika seseorang ingin berniaga, belajar, memiliki kereta, memiliki rumah, bernikah, bercuti, makan minum dan lain-lain lagi yang boleh dikatakan hampir kesemuanya melibatkan riba.

Kesan daripada amalan riba ini menyebabkan umat Islam tertekan secara mental dan fizikal dengan bebanan hutang riba yang membelit kehidupan mereka. Menurut laporan Pembangunan Risiko dan Penilaian Kestabilan Kewangan Bank Negara pada tahun 2016, jumlah hutang isi rumah penduduk Malaysia sahaja mencecah RM 1.086 trillion atau 88.4% daripada KDNK 2016. Pinjaman rumah menyumbang 50.3% (RM546.3 billion), 14.6 % pinjaman kereta, pembiayaan peribadi sekitar 14.9% dan hutang kad kredit sebanyak 3.5%.

Sudah pasti, pihak yang mendapat keuntungan melimpah ruah daripada model ekonomi ribawi ini ialah golongan minoriti iaitu pemilik bank yang jumlahnya di bawah 1%, manakala masyarakat umum lebih 99% lagi menanggung kesan yang dahsyat akibat sistem ribawi ini.

Tambahan lagi, menurut satu laporan thesundaily (www.thesundaily.my/news/1795586), empat sebab utama kepada kemuflisan pada 2016 adalah hutang kereta, pinjaman peribadi, hutang rumah dan pinjaman perniagaan.

Kekayaan Alam Dibolot Oleh Para Kapitalis

Tanah umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan kekayaan alam yang melimpah-ruah. Namun malangnya kekayaan ini dibolot oleh syarikat-syarikat kapitalis multinasional dan para pemimpin dunia Islam yang bersekongkol dengan mereka. Syarikat-syarikat kapitalis ini beroperasi dalam negara sesuai dengan prinsip kebebasan pemilikan yang dibawa oleh sistem kapitalisme. Hasil daripada kekayaan alam yang sepatutnya wajib dikembalikan kepada umat oleh negara akhirnya diratah oleh sekelompok individu-individu yang jumlahnya hanya 1%. Negara yang sewajarnya menggunakan hasil tersebut untuk membangunkan prasarana bagi memenuhi kemaslahatan rakyat seperti lebuh raya, hospital, sekolah, dan pengangkutan awam sebaliknya telah mengutip cukai daripada rakyat untuk menyediakan prasarana-prasarana tersebut. Bahkan, ketika ini rakyat pula dikenakan caj yang mahal ketika memanfaatkan prasarana-prasarana tersebut.

Berbeza dengan kapitalisme yang membenarkan pihak swasta dan asing menguasai kekayaan alam ini, Islam dengan jelas telah meletakkan kekayaan alam ini sebagai hak milik umum (umat) berdasarkan dalil Abyadh bin Hamal. Pengurusannya tidak boleh diserahkan kepada swasta (corporate-based management) tapi wajib diuruskan sepenuhnya oleh negara (state-based management) dan hasilnya wajib dikembalikan kepada umat. Kekayaan alam merupakan pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya sebagai jalan memenuhi keperluan agar dapat hidup sejahtera dan bebas daripada kemiskinan, sebagaimana firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الأرْضِ جَمِيعًا …

“Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu …” [TMQ Al-Baqarah (2):29].

Juga sabda Rasullah SAW,

الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِى ثَلاَثٍ : فِي الْمَاءِ وَالْكَلإِ وَالنَّارِ (رواه أحمد)

“Kaum Muslim bersekutu dalam tiga hal; air, padang dan api” [HR Ahmad].

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

النَّاسُ شُرَكَاءُ فِي الْمَاءِ وَالْكَلَأِ وَالنَّارِ  (رواه أبو عبيد)

“Orang-orang (Masyarakat) bersekutu dalam hal; air, padang gembalaan dan api” [HR Abu ‘Ubaid].

Hadis-hadis ini menegaskan bahawa semua kekayaan alam termasuk dalam kategori harta milik umum dan syarak telah menghalangnya daripada dieksploitasi oleh hanya sekelompok individu.

Kesimpulannya, semua malapetaka ekonomi sebegini berpunca daripada penerapan sistem kapitalisme. Jika umat Islam ingin keluar daripada belenggu keresahan dan kesulitan yang bertimpa-timpa di saat ini, maka tidak ada jalan lain kecuali dengan dinoktahkan penerapan sistem dan hukum jahiliyah ini, lalu digantikan dengan penerapan sistem dan syariah Islam secara keseluruhan dalam kerangka Khilafah Islamiyah.

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ Al-Maidah (5): 50].

Wallahua’lam.

Mohammad Haswaneezal
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia