Hifz Al-Din Menurut Pandangan Islam

Antara fitnah besar yang terjadi kepada umat Islam hari ini ialah tidak diterapkan hukum syarak dalam kehidupan bernegara dan dikekalkan sistem sekular. Ada yang ingin berdalih bahawa ketika ini Islam sudah pun diterapkan sesuai dengan maqasid syarak, meskipun sebenarnya ia jelas-jelas bertentangan dengan nas syarak dan intipati kandungan maqasid syarak. Istilah seperti Indeks Maqasid Syariah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dahulu hanyalah untuk mengekalkan lagi hegemoni sistem sekular dengan bertopengkan nama Islam.

Namun mutakhir ini, muncul pula kenyataan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) bahawa konsep penjagaan agama (Hifz al-Din) yang dibincangkan oleh ulama usul dahulu telah disalahfahami oleh umat Islam hari ini, yang hanya menjaga agama Islam sahaja. Tafsiran maksud sebenar Hifz al-Din kononnya ialah penjagaan kesemua agama. Dengan kata lain, agama selain Islam pun turut perlu dijaga berdasarkan konsep ini.

Inilah fitnah baru yang muncul dalam kerajaan baharu sekarang apabila maqasid syariah ditafsirkan sedemikian rupa untuk menyokong idea kebebasan beragama dan mengambil hati golongan kafir dan liberal, dengan alasan kononnya Islam itu rahmatan lil ‘alamin.

Penulisan ini akan menjelaskan tentang kesalahan serta kebatilan tafsiran baru kata Hifz al-Din yang dikatakan sebagai menjaga semua agama. Kesalahan-kesalahan ini dapat dikategorikan kepada beberapa perkara;

  • Kesalahannya dari segi tujuan dakwah Rasulullah SAW.
  • Kesalahan dari segi intipati dalil-dalil syarak yang dijadikan asas untuk membina konsep maqasid ini.
  • Kesalahan dari aspek definisi dan istilah yang diterima pakai oleh ulama.
  • Mencampur-adukkan antara konsep penjagaan agama Islam dan tiada paksaan dalam beragama dengan konsep kebebasan agama ajaran Barat.

Kategori 1: Tujuan Dakwah Rasulullah SAW

Tujuan dakwah Rasulullah SAW adalah untuk memenangkan Deenul Islam ke atas agama lain sebagaimana firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

Dia-lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya [TMQ At-Taubah(9): 33].

Dalam rangka dakwah ini, idea-idea kufur serta fikrah beragama orang kafir Quraisy tidak lepas daripada serangan tajam oleh Rasulullah SAW. Al-Quran sendiri telah merekodkan perkara ini, antara lainnya ialah:

إِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنْتُمْ لَهَا وَارِدُونَ

Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain daripada Allah SWT, menjadi bahan-bahan bakar yang dilemparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya [TMQ Al-Anbiya'(21): 98].

Dalam rangka dakwah bil hal pula, Rasulullah SAW telah meruntuhkan 360 berhala disekeliling Kaabah yang merupakan praktik agama pagan pada masa itu dan sebelumnya.

Dengan demikian, tindakan di atas ialah aktiviti yang dilakukan untuk menghapuskan idea kufur dan sistem taghut. Oleh itu, mana mungkin dakwaan mengatakan bahawa Hifz al-Din juga terkena kepada agama lain sedangkan Islam mempunyai banyak mekanisme dalam dakwahnya untuk dominan dan menghapuskan idea batil baik secara fikrah mahupun secara fizikal.

Kategori 2: Maqasid Syarak – Istilah Hifz al-Din

Berbicara tentang maqasid syarie maka kita tidak boleh lari daripada membicarakan nama para imam besar seperti Imam As-Syatibi rahimahuLlah, Imam Al-Ghazali, Ibnu Taimiyyah dan lain-lain yang membicarakan masalah ini. Pemikiran tentang maqasid ini muncul apabila ulama Islam cuba merasionalisasikan Islam sebagai cara hidup dalam bermasyarakat. Daripada rumusan dan kajian mereka muncullah pemikiran bahawa Islam menjaga lima jenis maslahah-maslahah asasi.

Sebagaimana penjelasan oleh Abu Ishaq al-Syatibi bahawa tujuan utama disyariatkan hukum Islam adalah untuk kemaslahatan manusia baik di dunia mahupun di akhirat. Lebih lanjut lagi, Abu Ishaq al-Syatibi melaporkan hasil penelitian para ulama terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan as-Sunnah Rasulullah SAW dalam menarik kesimpulan bahawa hukum-hakam yang disyariatkan oleh Allah SWT adalah untuk mewujudkan kemaslahatan umat manusia sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Menurut al-Syatibi, kemaslahatan yang akan diwujudkan itu terbahagi kepada tiga tingkatan iaitu keperluan dharuriyat, hajiyat, dan tahsiniyat. [Muwafaqat, hal: 324]

Pemikiran bahawa Islam menjaga lima jenis maslahah asasi ini terletak pada tingkatan pertama iaitu keperluan dharuriyat. Secara ringkasnya pembahasan tentang konsep dharuriyat seperti berikut:

Ada yang menamakan ia sebagai Usul Khamsah dan ada juga yang menamakan sebagai al-Dharuriyah al-Khams. Mereka membahagikannya kepada lima bahagian. Sebagai contoh pembahagian maslahat seperti yang diterangkan oleh Imam al-Ghazali:

  1. Menjaga agama (Hifz al-Din); berasaskan dalil diwajibkan berperang dan berjihad yang ditunjukkan untuk para musuh atau tujuan senada.
  1. Menjaga jiwa (Hifz al-Nafs); berasaskan kewajipan hukum qisas di antaranya menjaga kemuliaan dan kebebasannya.
  2. Menjaga akal (Hifz al-Aql); berasaskan dalil diharamkan semua benda yang memabukan atau narkotik dan sejenisnya.
  3. Menjaga harta (Hifz al-Mal); berasaskan dalil pemotongan tangan untuk para pencuri, illat diharamkannya riba dan suap menyuap, atau memakan harta orang lain dengan cara batil yang lain.
  4. Menjaga keturunan (Hifz al-Nasl); berhujah dengan dalil pengharaman zina dan menuduh orang berbuat zina (Qazf).

Oleh itu, falsafah Hifz al-Din (penjagaan agama) yang menjadi pembahasan ketika ini tergolong dalam kategori maslahah dharuriyat.

Dalil-dalil Yang Melahirkan Falsafah Hifz al-Din

Berdasarkan paparan ringkas di atas, unsur yang paling utama dalam lima keperluan ini ialah Hifz al-Din (menjaga agama). Dalam mengeluarkan kesimpulan tentang istilah ini, ulama usul telah membuat kajian-kajian daripada dalil syarak. Secara asasnya, pemikiran tentang penjagaan agama ini lahir apabila ada pelbagai nas dan dalil yang menerangkan bagaimana Islam secara fizikal mempertahankan keutuhan agama Islam.

Antara dalil-dalil yang dikemukan oleh ulama’ ialah bersumber daripada al-Quran dan al-Hadis, yang memerintahkan untuk berjihad melawan kekafiran, membunuh golongan murtad, dan sebagainya.Imam al-Ghazali rahimahulah berkomentar bahawa urusan penjagaan agama berlaku dengan mekanisme:

قَضَاءُ الشَّرْعِ بِقَتْلِ الْكَافِرِ الْمُضِلِّ وَعُقُوبَةِ الْمُبْتَدِعِ الدَّاعِي إلَى بِدْعَتِهِ، فَإِنَّ هَذَا يُفَوِّتُ عَلَى الْخَلْقِ دِينَهُمْ

Syarak menetapkan untuk membunuh kaum kafir yang menyesatkan dan ahli bidaah dikenakan hukuman kerana bidaah yang mereka lakukan, dengan demikian ia dapat mencegah perkara baru dalam agama mereka. [Raudatul Nazar, hal 481]

Syeikh Atiyyah bin Muhamad Salim pula telah mengulas dengan agak terperinci berserta dalil tentang Hifz al-Din yang dituntut dalam ajaran Islam.

محاسن الشريعة ومساويء القوانين الوضعية (ص: 24)

أما الْأَدْيَان: فضرورة اجتماعية فَلَا تُوجد أمة بِدُونِ تدين سَوَاء كَانَ دينهَا صَحِيحا أَو فَاسِدا فَإِذا كَانَ من عِنْد الله وَجب حفظه. لِأَن بِهِ نظام الْمُجْتَمع وارتباطه. وَعَلِيهِ أَمر الله الْمُسلمين بِقِتَال الْمُشْركين {وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ} وَقَالَ: {تُقَاتِلُونَهُمْ أَوْ يُسْلِمُونَ} والْحَدِيث: “أمرت أَن أقَاتل النَّاس حَتَّى يشْهدُوا أَن لَا إِلَه إِلَّا الله “.. إِلَى آخر الحَدِيث..

فَإِذا أسلم العَبْد وَجب الْحفاظ على دينه فشرع قتل الْمُرْتَد وتتمة لذَلِك حرم الابتداع فِي الدّين وَحرمت الزندقة وَفسق المبتدع وَقتل الزنديق.

(Terjemahan)

Kecantikan Undang-Undang Syariah dan Keburukan Undang-Undang Buatan Manusia

Dalam beragama: Maka telah menjadi keperluan kepada setiap masyarakat,. Tidak ada bangsa yang tidak beragama sama ada agama itu benar atau agama yang rosak. Sedangkan agama daripada Allah SWT itulah yang wajib dijaga kerana ia mengatur masyarakat dan mengikatnya. Oleh sebab itu, Allah SWT telah memerintahkan kaum Muslimin untuk berperang melawan kaum musyrikin dengan firmanNya:

“Perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama itu ke semuanya bagi Allah SWT”. [TMQ al-Anfal (8): 39].

FirmanNya dalam surah yang lain: “Kamu perangi mereka atau sebaliknya mereka memeluk Islam” [TMQ al-Fath (48): 16].

Kemudian daripada hadis Nabi SAW: “Aku diutus untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucap bahawa Tidak Ada Tuhan Yang Disembah melainkan Allah SWT…” sehingga akhir Hadis.

Apabila seorang hamba itu telah memeluk Islam, maka dia wajib untuk menjaga agamanya dan disyariatkan membunuh golongan murtad, diikuti dengan pengharaman bidaah dalam agama, menjelaskan kefasikan mubtadi’ah dan membunuh orang zindik [Kitab Mahasin Syariah, hal 24].

Di samping itu, ulama’ mutakhir seperti Imam Saleh Munajid turut memberikan penjelasan tentang perkara ini dengan membuat pengelasan penjagaan urusan agama tersebut kepada beberapa aspek. Hal ini dapat diringkas daripada khutbah beliau:

طرق الشريعة لحفظ الدين العمل به أولاً، والجهاد من أجل إقامته ثانياً، والدعوة إليه ثالثاً، والحكم به رابعاً، ورد كل ما يخالفه خامساً.

(Terjemahan)

Mekanisme syariah dalam menjaga agama adalah dengan melaksanakan tuntutannya yakni; (1) berjihad untuk menegakkannya, (2) berdakwah mengajak kepada agama, (3) memerintah dengan agama, (4) menolak apa sahaja yang menyalahinya [https://almunajjid.com/6380].

Intipatinya dapat disimpulkan bahawa:

  • Wajib mendalami pengajian agama, beramal dan melakukan dakwah.
  • Wajib berhukum dengan hukum Islam
  • Wajib mempertahankan agama dan menyebarkannya. Islam mensyariatkan jihad dan mengenakan hukuman kepada ahli bidaah.
  • Dikenakan hukuman riddah (murtad) sebagaimana hadis Nabi SAW:

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

“Barangsiapa yang murtad maka bunuhlah dia”,

dan sabda Baginda SAW lagi:

لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِي وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ

“Tidak halal darah seorang Muslim yang telah bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah SWT dan aku adalah utusan Allah SWT, kecuali dalam tiga keadaan ini, seorang janda yang berzina, seseorang yang membunuh orang lain, dan orang yang meninggalkan agamanya, memisahkan diri daripada kesatuan jamaah (murtad)” [HR Bukhari & Muslim].

Jadi, setelah kita melihat intipati daripada kandungan dalil dan juga aspek yang terkandung dalam nas itu sendiri, secara tidak langsung kita dapat menjawab persoalan yang terkandung dalam urusan penjagaan agama ini dan adakah ia terkena juga kepada agama lain selain daripada Islam.

Oleh itu,  kita boleh katakan dengan jelas bahawa dakwaan menteri agama yang mengatakan bahawa Islam menjaga agama lain ialah satu kenyataan yang diada-adakan tanpa ada dalil yang menyokongnya. Pemikiran furuk Hifz al-Din yang dilontarkan oleh menteri tersebut sebenarnya bercanggah dengan asas yang digunakan untuk membina pemikiran asas Hifz al-Din.

Jika pemikiran yang batil ini diterima maka persoalannya ialah adakah selepas ini penguasa Islam akan mendenda orang Kristian yang tidak hadir ke Gereja?

Kategori 3: Kesalahan Dari Aspek Definisi Dan Istilah

Apabila membicarakan soal istilah Hifz al-Din, ia tidak boleh lari daripada penggunaan khusus yang digunakan oleh ulama kerana ia merupakan istilah khusus dalam bidang ini. Walaupun kelihatan menteri agama cuba memutarbelitkan dengan penggunaan dari aspek bahasa namun hal ini menzahirkan lagi kecelaruan pemikirannya.

Di sini disenaraikan beberapa definisi dan kesimpulan yang dapat dikutip daripada perbincangan dalam beberapa kitab tentang definisi Hifz Al-Din.

  • Syeikh Abu Ubaidah Masyh ur Hasan Salman, ulama yang menjadi penyunting kepada kitab Muwaafaqat Imam Syatibi telah menjelaskan bahawa:

 والشاطبي تحدث في الضروريات عن حفظ الدين وليس عن حرية العقيدة، وحفظ الدين الذي اعتبره الأصوليون من مقاصد الشريعة استدلوا عليه بأن الشارع قد شرع حدا للمرتد وهو القتل؛ فبهذا يحفظ الدين في شريعة الإسلام

“Imam Syatibi membicarakan keperluan-keperluan menjaga agama (Hifz al-Din) bukannya menjaga kebebasan beraqidah. Istilah Hifz al-Din yang diterima pakai oleh ulama usul dalam konteks perbincangan maqasid syariah, dengan mengemukakan dalil bahawa as-Syari’ (Allah SWT) telah mensyariatkan hukuman murtad ialah bunuh, dan inilah penjelasan sebenar tentang menjaga agama dalam syariat Islam” [Muwafaqat Asyatibi, Muqaddimah, hal 47].

  • Manakala Sheikh al-Munajjid menegaskan bahawa dalam menjaga agama sebagai berikut:

حفظ الدين الذي أنزله الله سبحانه وتعالى وجعله مهيمناً على سائر الأديان، ولم يرتض من عباده غيره

“Menjaga agama yang diturunkan oleh Allah SWT adalan dengan menjadikannya menang ke atas agama-agama lain, dan Allah SWT tidak reda orang yang menyembah selain Dia”.

  • Sheikh Nuruddin pula menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan menjaga agama (Hifz Al-Din) ialah:

تثبيت أركان الدين وأحكامه في الوجود الإنساني والحياة الكونية، وكذلك العمل على إبعاد ما يخالف دين الله ويعارضه، كالبدع ونشر الكفر، والرذيلة، والإلحاد، والتهاون في أداء واجبات التكليف

“Memperkukuhkan rukun-rukun serta hukum-hakam agama (Islam) dalam kehidupan manusia dan alam ini, serta melakukan amalan untuk menjauhkan kehidupan manusia dan alam ini daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Allah SWT seperti bid’ah dan kekufuran, perkara-perkara keji, ateis dan memberi keringanan dalam menunaikan kewajipan dan taklif” [Ilm al-Maqasid al-Syar’iyyah, Nuruddin al-Khadimi, hal 81].

  • Imam al-Syatibi menyatakan maksud penjagaan agama seperti berikut:

الأول: حفظ الدين من جانب الوجود، وذلك بالمحافظة على ما يقيم أركانه ويثبت قواعده الثاني: حفظ الدين من جانب العدم وذلك برفع الفساد الواقع أو دفع الفساد المتوقع

“Pertama; menjaga agama (Islam) dari sudut kewujudannya iaitu memelihara rukun-rukunnya dan memperkukuhkan hukum-hukumnya dan kedua; menjaganya daripada binasa dengan menjauhkan apa sahaja kerosakan yang boleh menghilangkannya atau menghalang kerosakan yang mendatang” [Al-Syatibi, al-Muwafaqat II/18].

Berasaskan rujukan kepada kitab-kitab asal perbincangan dan juga definisi Hifz al-Din, jelas bahawa penjagaan agama itu hanya terpakai untuk Deenul Islam sahaja. Maka, merupakan satu perkara yang salah apabila menggunakan istilah Hifz al-Din untuk agama lain selain daripada Islam.

Kategori 4: Kekeliruan Antara Konsep Kebebasan Beragama Dengan Hifz al-Din

Islam merupakan agama yang luar biasa dalam hal menjaga kebajikan pemeluk agama lain. Agama lain boleh hidup tenang dan damai di bawah naungan Islam. Buktinya, keadaan ini pernah terwujud sejak Nabi SAW membina negara Islam pertama di kota Madinah. Pada masa itu, penduduk di Madinah hidup dalam beberapa komuniti berbeza yakni Islam, Yahudi, Nasrani dan orang-orang musyrik. Institusi politik Islam iaitu Khilafah yang menjadi obor dunia sejak kewafatan Rasulullah SAW (sehingga digulingkan pada tahun 1924) telah menunjukkan kebaikan kepada dunia dalam lipatan sejarahnya. Misalnya, negara serpihan dari Khilafah ketika itu iaitu Sepanyol. Penduduk Islam ketika itu dapat bergaul dan memberikan layanan yang baik terhadap penduduk agama Nasrani dan Yahudi, sehingga Andalusia dikenal dengan sebutan negara tiga agama.

Meskipun secara de jure, Allah SWT tidak pernah redha dengan amalan hambanya yang menyembah dan beribadah selain daripada Dia, namun secara de facto, Allah SWT melarang umat Islam untuk memaksa kaum agama lain dalam bentuk fizikal dalam usaha mengajak manusia memeluk agama-Nya. Umat Islam diwajibkan untuk melakukan dakwah kepada non-Muslim sama ada secara individu dan bernegara tetapi tidak sekali-kali memaksa mereka.

Pengakuan Islam terhadap kemajmukan masyarakat ini tidak terlepas daripada ajaran Islam, iaitu tidak ada paksaan kepada mereka untuk memeluk Islam. Allah SWT berfirman:

لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّيْنِ

“Tidak ada paksaan dalam memeluk agama [Islam]” [TMQ al-Baqarah [2]: 256].

Selain melindungi Islam, Khilafah pun akan menjamin amalan agama lain dengan syarat pemeluknya mesti menjadi ahli dzimmah. Khilafah membiarkan mereka dalam agama mereka; Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan sebagainya.  Golongan kafir zimmi ini dibiarkan bebas mengamalkan kepercayaan mereka. Sebagaimana dinyatakan oleh Hizbut Tahrir:

ويترك الذميون وما يعتقدون وما يعبدون لقول رسول الله صلى الله عليه وسلمفيما أخرجه أبو عبيد في الأموال من طريق عروة قال: كتب رسول الله صلى الله عليه وسلمإلى أهل اليمن أنه: مَنْ كَانَ عَلَى يَهُودِيَّتِهِ أَوْ نَصْرَانِيَّتِهِ فَإِنَّهُ لاَ يُفْتَنُ عَنْهَا، وَعَلَيْهِ الجِزْيَةَ.

(Terjemahan)

Dibiarkan kaum zimmi, pegangan yang mereka anuti dan sembahan mereka kerana sabda Rasulullah SAW sebagaimana dikeluarkan oleh Abu Ubaid dalam kitab Al-Amwal daripada jalan Urwah dia berkata Rasulullah menulis surat kepada Ahli Yaman: “Barang siapa yang beragama Yahudi dan Nasara maka mereka tidak dipaksa meninggalkan agama mereka, dan tanggung jawab mereka adalah dengan membayar jizyah” [Muqaddimah Dustur, Hizbut Tahrir, Perkara 6].

Orang-orang non-Muslim tetap bebas untuk beribadah, menikah, bercerai, termasuk bebas makan dan minum serta berpakaian sesuai dengan agama mereka. Ini semua merupakan konsep yang diajarkan oleh Islam untuk umatnya tentang sikap dan cara bergaul dengan kaum non-Muslim yang ingin hidup dalam naungan kekuasaan Islam.

Itu dari aspek ‘kebebasan atau keluasan’ yang diberikan oleh Islam untuk penduduk non-Muslim, mereka tidak akan dipaksa untuk memeluk Islam. Namun demikian, perkara ini berbeza bagi kehidupan umat Islam. Seorang Muslim tidak boleh meninggalkan Islam alias murtad. Orang Islam yang murtad, mengaku sebagai nabi, atau menistakan agama Islam dan syariahnya akan dibunuh. Nabi SAW bersabda:

مَنْ بَدَّلَ دِيْنَهُ فَاقْتُلُوْهُ

Siapa saja yang murtad dari agamanya, bunuhlah dia! [HR Bukhari, Ahmad dan lain-lain].

Oleh itu, tidak wajar mengatakan bahawa Islam menjaga agama selain daripada Islam, semata-mata terkeliru dengan konsep kebebasan berakidah yang diimport daripada sistem demokrasi. Menjaga agama (Hifz al-Din) tidak sama dengan konsep freedom of religion yang dibawa oleh Barat, sehingga menjadikan umat Islam bebas untuk murtad.  Perbincangan tentang masalah tidak ada paksaan dalam beragama tidak ada kaitan dengan konsep Hifz al-Din dalam perbincangan konsep maqasid syariah.

Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa, kenyataan menteri agama tersebut terkeliru. Berasaskan fakta bahawa dakwah Islam adalah untuk menzahirkan Islam dan mengalahkan agama-agama lain, hal yang dinyatakan bahawa penjagaan agama meliputi agama lain sebenarnya jelas-jelas terkeliru daripada pemikiran asal yang membentuk teori maqasid ini. Pemikiran cabang seharusnya sesuai dengan pemikiran asal yang terbit daripada dalil-dalil terperinci. Dari segi definisi pula, ternyata definisi ini amat janggal dan berlawanan dengan konsep yang diterima pakai oleh para ulama.

Perlu dingatkan teori atau falsafah perbincangan tentang maqasid syariah ini bukanlah bertujuan untuk menyesuaikan Islam dengan ideologi selain Islam dan bukan juga alat untuk menjustifikasi realiti Malaysia Baharu itu sesuai dengan Islam atau tidak. Apa yang jelas teori maqasid ini muncul kesan penerapan hukum-hakam Islam.

Dalam kesibukan kita membicarakan konsep Hifz al-Din yang kononnya meliputi semua agama ini, perlu juga kita timbulkan persoalan, adakah kita betul-betul telah mengamalkan konsep ini? Adakah kita menerapkan hukum-hakam hudud kepada orang yang meninggalkan agama Islam di Malaysia? Adakah sistem pemerintahan yang ada pada hari ini menerapkan hukum-hakam Islam? Adakah anak-anak kaum Muslimin hari ini terselamat daripada dakyah LGBT dan Islam Liberal. Dalam masa yang sama, kenapa pula kita sibuk dengan isu Islam menjaga agama lain sedangkan konsep Hifz al-Din itu sendiri tidak diterapkan untuk agama Islam itu sendiri. Hakikatnya, konsep Hifz al-Din yang sebenar mengikut definisi para ulama Islam tidak dapat diterapkan secara lengkap dalam sistem sekular ketika ini. Oleh sebab itulah, umat Islam hari ini memerlukan sistem Khilafah. Khilafahlah yang akan melaksanakan thariqah Islam dalam aspek penjagaan akidah, menguatkuasakan peraturan-peraturan Islam dan menyebarkan dakwah dan jihad ke seluruh penjuru dunia. Apabila Islam diterapkan secara kaffah (menyeluruh) barulah akan terlihat hikmahnya Islam itu sebagai agama Rahmatan Lil Alamin.

Korie S FYA
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia