Bughat Dalam Pandangan Islam

bughat-3Secara bahasa, bughât adalah bentuk jamak al-bâghi, berasal daripada kata baghâ, yabghî, baghyan-bughyat[an]-bughâ’[an]. Kata baghâ bermakna thalaba (mencari, menuntut), zhalama (berbuat zalim), i’tadâ/tajâwaza al-had (melampaui batas), kadzaba (berbohong), ‘alâ (sombong), ‘adala ‘an al-haqq (menyimpang dari kebenaran) (Ibrahim Anis, Mu’jam al-Wasith, 1972, hlm. 64-65; Munawwir, Kamus al-Munawwir, 1997, hal. 98; ash-Shan’ani, Subul as-Salam, hlm. 257, Maktabah Dahlan). Jadi, secara bahasa, al-bâghi (dengan bentuk jamaknya al-bughât), bermaksud azh-zhâlim (orang yang berbuat zalim), al-mu’tadî (orang yang melampaui batas), atau azh-zhâlim al-musta’lî (orang yang berbuat zalim dan menyombongkan diri).

Secara syar’i, orang yang disebut melakukan bughât adalah orang-orang yang keluar menentang Daulah Islamiyah dan mereka memiliki kekuatan. Ertinya, mereka adalah golongan yang membangkang dan tidak mahu taat kepada Daulah, menghunus senjata melawan Daulah dan mengumumkan perang terhadap Daulah.  Dalam hal ini, tidak ada bezanya sama ada bentuk pembangkangan mereka itu disebabkan oleh kepentingan dunia, atau kerana adanya takwil, atau kerana mereka memiliki syubhah dalil. Semuanya merupakan bughat selama mana mereka memerangi kekuasaan Islam (Abdurrahman al-Maliki, Nizhâm al-‘Uqubât, hlm. 41).
Muhammad Khair Haikal dalam kitabnya Al-Jihâd wa al-Qitâl (Dar al-Bayariq, hlm. 63) menjelaskan bahawa terdapat 3 ciri golongan bagi orang-orang yang melakukan bughat ini, iaitu:

1.     Membangkang terhadap kekuasaan Daulah dengan enggan menunaikan hak-hak negara, tidak mahu mentaati undang-undang atau berusaha untuk melucutkan jawatan ketua negara (Khalifah).

2.     Memiliki kekuatan yang memungkinkan mereka untuk menguasai (as-saytharah).

3.     Melakukan khuruj, yakni penentangan, dalam versi moden dikenali sebagai revolusi bersenjata, perang sivil, perang dalam negeri, menggunakan senjata atau kekerasan untuk meraih tujuan politik yang menjadi alasan untuk dilakukan revolusi.

Deskripsi tersebut dijelaskan dalam al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak Sahabat.  Dalil utama tentang bughât adalah firman Allah SWT:

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الأخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Jika dua golongan dari orang-orang Mukmin berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya (zalim) maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali pada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil[TMQ al-Hujurat (49): 9]

Syeikhul Islam Zakariyya Al-Anshari (w.925 H) dalam Fath al-Wahhab (II/153) mengatakan,”Dalam ayat ini memang tidak disebut ‘membangkang kepada Imam’ secara sarih (jelas). Akan tetapi, ayat tersebut telah mencakupi hal tersebut berdasarkan keumuman maknanya, atau kerana ayat tersebut menuntutnya. Sebab, jika perang dituntut kerana kezaliman satu golongan atas golongan yang lain, maka kezaliman satu golongan terhadap Imam tentu lebih-lebih lagi dituntut.”
Rasulullah saw dengan jelas menyatakan betapa tercelanya tindakan membangkang kepada Imam (al-khuruj ‘an tha’at al-imam). Nabi saw bersabda:

مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ وَخَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ فَمَاتَ فَمِيتَتُهُ جَاهِلِيَّةٌ


“Barangsiapa yang memisahkan dirinya daripada jamaah (kaum Muslimin) dan keluar daripada ketaatan (kepada Khalifah) lalu ia mati, maka matinya adalah mati Jahiliyah”.
[HR Ahmad daripada Abu Hurairah ra].

bughat-1Pembangkangan kepada Imam itu tidak semestinya dalam bentuk mereka memulai terlebih dahulu mengangkat senjata. Itulah yang menjadi ijmak para sahabat dalam peristiwa pembangkangan sekelompok orang Arab yang enggan membayar zakat kepada Khalifah Abu Bakar ra.  Khalifah Abu Bakar ra pernah memerangi orang-orang yang enggan membayar zakat kerana kebakhilan mereka, atau kerana suatu syubhat (keraguan) sehingga mereka beranggapan bahawa tidak wajib membayar zakat kecuali kepada orang yang doanya membuat mereka tenteram iaitu Nabi saw sendiri, sedangkan baginda kini telah wafat dan mereka berpendapat bahawa tidak wajib lagi untuk membayar zakat. Berkenaan hal ini, Imam asy-Syafi’i di dalam kitab Al-Umm (II/215) menyatakan, “Sesiapa sahaja yang tidak mahu menunaikan apa yang telah diwajibkan oleh Allah SWT, manakala Imam (Khalifah) juga tidak mampu untuk mengambilnya disebabkan pembangkangan mereka, maka Imam (Khalifah) wajib memerangi mereka. Jika seseorang atau kelompok yang membangkang untuk menunaikan sesuatu kewajipan, misalnya apabila dikatakan kepada mereka, “Tunaikan (kewajipan) ini!”, lalu mereka menjawab, “Saya tidak akan menunaikannya, dan saya tidak akan memulakan perang kecuali kamu yang memerangi saya”, maka mereka perlu diperangi.  Hal ini kerana, mereka diperangi di atas sikap pembangkangan terhadap (kewajiban) yang seharusnya mereka tunaikan.

Abdul Qadir Audah menegaskan tentang maksud Imam, “[Yang dimaksudkan dengan] Imam adalah pemimpin tertinggi (ketua) Negara Islam (ra’is ad-Daulah al-Islamiyah al-a’la), atau orang yang mewakilinya…” (Tasyrî’ al-Jinâ`i,II/676).

Oleh yang demikian, pembangkangan terhadap ketua negara selain Khalifah atau ‘Amirul Mukminin, misalnya kepada Presiden dalam sistem republik, Perdana Menteri dalam sistem Parlimen, maka ia sama sekali tidak boleh disebut sebagai bughât biar dilihat dari segi apapun menurut pengertian syar’i yang sahih.

Selain itu, orang-orang yang melakukan bughât itu haruslah mempunyai kekuatan yang memungkinkan mereka untuk mendominasi. Kekuatan ini haruslah sedemikian rupa sehingga untuk mengajak golongan bughat ini kembali taat, Khalifah perlu mengerahkan segala kekuatannya, misalnya mengeluarkan dana besar, menyiapkan pasukan, dan mempersiapkan perang (Al-Husaini, Kifayah al-Akhyar, II/197). Kekuatan itu dapat terwujud dengan adanya sejumlah orang yang banyak (al-katsrah) dan adanya kekuatan (al-quwwah), serta adanya pemimpin yang ditaati (Zakariyya al-Anshari, Asna al-Mathalib, IV/111). Ini bererti, kekuatan itu terwujud ketika mereka yang melakukan bughât itu berkelompok sebagai tha’ifah.

Hal itu ditegaskan dalam surah al-Hujurat ayat 9, pada frasa “wa in thâ’ifatâni”. Lafaz thâ’ifah di dalam ayat tersebut adalah bermaksud al-jama’ah (kelompok) dan al-firqah (golongan) (Anis, Al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 571). Ayat tersebut menggunakan kalimat syarat “in” yang memberikan pengertian jika bukan tha’ifah maka tidak boleh diterapkan keseluruhan hukum dalam ayat ini.  Oleh kerana itu, istilah bughât tidak boleh diterapkan terhadap individu.  Taqiyuddin al-Husaini mengatakan, “Jika (yang memberontak) itu adalah individu-individu (afrâdan), serta mudah mendisiplinkan mereka, maka mereka itu bukanlah bughât.”(Kifayah al-Akhyar, II/198).
Adapun tentang al-khurûj (penentangan) mengggunakan senjata untuk mewujudkan tujuan-tujuan tertentu, dasarnya adalah frasa “iqtatalû” (kedua-dua golongan itu berperang) dalam surah al-Hujurat ayat 9. Ayat ini mengisyaratkan adanya sarana yang digunakan dalam perang, iaitu senjata (as-silâh). Selain itu, Nabi saw juga bersabda :

مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا

“Barangsiapa yang membawa senjata untuk memerangi kami, maka ia bukanlah daripada golongan kami.”(Muttafaqun ‘alaih).

Dengan semua huraian di atas, maka jelas bahawa bughât adalah pembangkangan terhadap Khalifah atau Daulah Islam yang dilakukan secara berkelompok oleh suatu kelompok (tha’ifah atau jamaah) dengan bermodalkan kekuatan, termasuklah senjata.  Ia juga tetap disebut sebagai bughât walaupun kelompok pembangkang itu belum secara nyata menggunakan senjata atau belum memulakan perang menentang negara, sepertimana yang terjadi dalam peristiwa pembangkangan untuk membayar zakat pada zaman Abu Bakar ra. Mereka membangkang untuk membayar zakat kerana mereka merasa mereka memiliki kekuatan disebabkan jumlah mereka dan senjata yang mereka ada.

Menangani Bughât
Ayat di atas telah menyatakan bahawa hukuman terhadap pelaku bughat adalah diperangi sehingga mereka kembali taat kepada perintah Allah, iaitu kembali taat kepada Khalifah atau Daulah Islam dan menghentikan pembangkangan mereka. Namun, sebelum sampai kepada perang tersebut, Imam atau Khalifah perlu berhubung dengan mereka dan bertanya apakah yang mereka tuntut daripada Negara. Jika mereka menyatakan bahawa disebabkan berlakunya suatu kezaliman, maka kezaliman itu perlu segera dihilangkan (diselesaikan). Jika mereka menyatakan disebabkan oleh suatu syubhat, maka syubhat (keraguan) tersebut perlu dirungkai dan dijelaskan.  Jika mereka menilai dan menganggap apa yang dilakukan oleh Khalifah (Daulah Islam) sebagai menyalahi kebenaran atau syariah, padahal kenyataannya bukan sedemikian, maka perlu dijelaskan hal itu mengikut kesesuaian dan kebijakan Khalifah sehingga syariah dan nas-nasnya perlu ditonjolkan kebenarannya. Semua itu perlu dilakukan dan dirasakan telah memadai. Sebaliknya, jika pelaku bughât itu masih tetap dalam pembangkangannya, maka mereka perlu diperangi agar mereka kembali taat.  Namun harus diingat, perang terhadap mereka adalah perang dalam rangka memberi pelajaran (qitâl at-ta’dîb) dan bukannya perang untuk memusnahkan.  Perang terhadap mereka bukan merupakan sebuah jihad sepertimana perang memerangi kafir harbi fi’lan.  Jadi dalam hal ini, jika perang berlaku terhadap mereka, harta mereka bukan fa’i atau ghanimah dan ia tidak boleh dirampas dan diagihkan.  Mereka yang ditawan juga tidak dianggap sebagai tawanan perang, tetapi dianggap sebagai pelaku jenayah.  Wanita dan anak-anak mereka yang turut serta di medan perang juga tidak boleh dijadikan sabi.
Wallahu a’lam.