SN536 – Mencorak Hala Tuju Pendidikan Negara

Bil: SN536 – 14 Zulkaedah 1439 / 27 Julai 2018

SN536 - Mencorak Hala Tuju Pendidikan Negara

Pendidikan merupakan elemen yang sangat penting dalam membentuk hala tuju generasi akan datang, di samping mencorak peradaban negara. Jatuh bangkitnya sesebuah negara berkait rapat dengan kualiti generasi baharu yang bakal menerajuinya. Justeru, penekanan harus diberikan ke arah pembentukan polisi pendidikan negara bagi melahirkan generasi pelapis yang berkeperibadian unggul serta menguasai bidang-bidang ilmu sejajar dengan arus perkembangan sains dan teknologi. Namun, sejauh manakah keberhasilan polisi pendidikan yang telah dijalan­kan dan bagaimana pula mekanisme yang diambil oleh kerajaan baharu ini dalam menunaikan janji-janjinya berhubung polisi pendidikan seperti dalam manifestonya?

Dalam tempoh seratus hari semenjak pembentukan kerajaan baharu ini kita telah menyaksikan beberapa isu berkaitan pendidikan menjadi fokus agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Antaranya termasuklah be­berapa intervensi yang akan dilaksanakan untuk mem­bantu sekolah tahfiz berikutan saranan oleh bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) agar sekolah tahfiz ditutup baru-baru ini. Hakikatnya isu sebenar yang perlu diberikan perhatian adalah tiadanya kawalan dan pemantauan yang berkesan terhadap sekolah tahfiz per­sendirian, bukannya memukul rata dengan mendakwa “ia tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam” dan mendesaknya ditutup. Meskipun Zam kemudiannya menjelaskan bahawa pernyataannya itu ber­tujuan sebagai provokasi supaya kerajaan dan umat ber­fikir, namun secara tidak langsung tindakannya itu mengukuh­kan lagi persepsi buruk terhadap institusi tahfiz. Sudah semestinya cadangan Zam itu membuka peluang kepada pihak tertentu untuk menyerang institusi-institusi berkaitan agama di negara ini di samping memburukkan Islam secara amnya. Institusi tahfiz atau ‘sekolah pondok’ seringkali dikaitkan dengan sukatan pelajaran yang tidak memfokuskan bidang ‘duniawi’, menjadi tempat ibu bapa menghantar anak-anak yang bermasalah, kes-kes buli pelajar, pengurusan yang tidak cekap, salah laku oleh pihak pentadbiran, dan juga manipulasi pelajar untuk melakukan kutipan dana.  Sedangkan hakikatnya, terdapat juga pelajar-pelajar lulusan sekolah tahfiz yang cemerlang bukan sahaja dalam penghafazan al-Quran, bahkan dalam subjek-subjek ilmu lain, berdaya saing dalam pasaran kerjaya, serta berperanan dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, terdapat juga sekolah aliran perdana yang mengintegrasikan institusi tahfiz dengan tujuan untuk me­lahirkan pelajar yang mempunyai penguasaan ilmu secara holistik. Jelas di sini bahawa masalah yang timbul ber­punca daripada kelemahan pemantauan oleh negara, serta kepincangan pengurusan operasi dan kewangan di sesetengah sekolah tahfiz persendirian. Justeru, penyelesaiannya bukan dengan menutup sekolah tahfiz, sebaliknya memerlukan penstrukturan semula dan pemantauan yang lebih teliti daripada negara, termasuklah dalam penyelarasan sukatan pelajaran bagi institusi tahfiz. Manakala bagi kes salah laku dan buli, kes-kes sebegini turut berlaku dalam sekolah aliran lain, termasuklah kes pencabulan murid oleh seorang guru sebuah sekolah aliran perdana di Lembah Klang baru-baru ini. Apakah kita perlu menutup sekolah aliran perdana dan memburuk-burukkannya kerana wujud beberapa kes salah laku, masalah disiplin dan pencabulan?  Sudah tentu tidak! Sebaliknya penyelesaian yang menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menanganinya, tanpa mengehadkan skop dalam bidang pendidikan semata-mata kerana permasalahan ini bersifat sistemik.

Selain itu, kerajaan juga telah memberi jaminan akan meneruskan rancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selaras dengan manifesto PRU14 Pakatan Harapan. Isu pengiktirafan UEC ini turut dijadikan bahan kempen oleh BN semenjak PRU13 lagi, dan diulang kembali semasa kempen PRU14 lalu. Jelas kedua-dua belah pihak memberikan perhatian terhadap isu ini demi meraih sokongan sebahagian pengundi Cina meskipun mendapat tentangan daripada sesetengah pihak. Pihak yang menentang pengiktirafan UEC antara lain melihat tindakan tersebut boleh mengancam kedudukan Bahasa Melayu (BM) kerana peperiksaan UEC tidak memberikan penekanan terhadap penguasaannya. Bahkan standard kertas BM dalam peperiksaan UEC turut dipermudahkan berbanding peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dalam mendepani isu ini, kita sewajarnya melihat pada akar permasalahan yang menjurus kepada kewujudan UEC, kerana isu ini bukanlah sekadar melibatkan kedudukan bahasa semata-mata. UEC adalah sijil Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang dikelolakan se­penuhnya oleh Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dengan menjadikan model pendidikan di Taiwan dan China sebagai rujukan. Penubuhan SMPC dan pe­periksaan UEC dikatakan bertujuan untuk memelihara budaya Cina, namun jika diteliti sebenarnya boleh dikatakan bertitik-tolak daripada ketidakpercayaan ter­hadap polisi pendidikan kebangsaan. Di samping SMPC, terdapat juga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SKJT), selain daripada Sekolah Kebangsaan (SK). Kewujudan sekolah vernakular ini merupakan warisan penjajah British, dan diteruskan sehingga ke hari ini dengan alasan untuk memelihara kepelbagaian identiti kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini. Namun hakikatnya kewujudan sekolah-sekolah vernakular ini boleh menggugat kesepaduan sosial dan secara tidak langsung menjurus kepada polarisasi kaum. Perubahan lanskap politik Malaysia baru-baru ini tidak menyaksikan sebarang perubahan ketara ke arah penyatuan satu aliran pendidikan, bahkan sebaliknya melalui pengiktirafan UEC akan mengukuhkan lagi keberadaan sekolah pelbagai aliran.

Polisi Pendidikan Negara Islam: Sekolah Satu Aliran

Dalam kita mencorakkan hala tuju pendidikan, sudah semestinya tidak akan sempurna tanpa adanya penerapan sistem Islam secara kaffah dalam kerangka Khilafah. Dalam menentukan polisi pendidikan negara, Khilafah menetapkan bahawa hanya satu aliran pendidikan sahaja yang dibenarkan wujud, berdasarkan Fasal 177 dalam Rancangan Perlembagaan Negara Khilafah yang diusulkan oleh Hizbut Tahrir;

Kurikulum pendidikan hanya satu. Tidak boleh digunakan kurikulum selain kurikulum negara. Tidak ada larangan untuk mendirikan sekolah-sekolah swasta selama mengikuti kurikulum negara dan berdiri berdasarkan strategi pendidikan yang di dalamnya terealisasi politik dan tujuan pendidikan. Hanya saja pendidikan di sekolah itu tidak boleh bercampur baur antara lelaki dengan perempuan baik di kalangan murid maupun guru. Juga tidak boleh dikhususkan untuk kelompok, agama, mazhab, ras atau warna kulit tertentu[Taqiyuddin An-Nabhani, Nizhamul Islam].

Kewujudan aliran sekolah yang diseragamkan bukan sahaja dapat memupuk perpaduan antara warganegara Khilafah yang berbilang kaum, bahkan dapat memastikan sukatan pelajaran yang seragam dalam mencapai objektif murni pendidikan. Di samping itu, polisi pendidikan juga bertujuan untuk memartabatkan Islam, selari dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya[HR. Ad-Daruquthni dan al-Baihaqi]. Keseragaman sukatan pelajaran juga dapat memastikan penularan anasir-anasir luar seperti liberalisme dapat dibendung, tanpa mengesampingkan ilmu sains dan teknologi. Sungguhpun demikian, sekolah-sekolah persendirian masih dibenarkan untuk beroperasi, namun hendaklah mengikut sukatan pelajaran dan ketetapan peraturan Khilafah.

Matlamat utama pendidikan menurut Islam adalah untuk melahirkan Muslim yang berkeperibadian terpuji (syakhsiyah mutamayyizah). Syakhsiyah ataupun perwatakan itu terdiri daripada dua komponen iaitu: Aqliyah (mentaliti) – cara yang digunakan untuk memikirkan sesuatu; dan Nafsiyah (sikap/tindakan) – cara yang digunakan sesorang untuk memenuhi tuntutan gharizah (naluri) dan keperluan jasmani. Sandarannya juga mestilah akidah Islam [Hizbut Tahrir, Min Muqawwimat Nafsiyah Islamiyah]. Sehubungan itu, pelaksanaan polisi pendidikan oleh negara berperanan sebagai pelengkap kepada pendidikan anak-anak yang bermula dari rumah bagi mencapai matlamat tersebut. Polisi pendidikan dalam Khilafah juga tidak membezakan aliran-aliran yang memfokus kepada urusan ‘ukhrawi’ dengan urusan ‘duniawi’. Pembahagian antara kedua-dua komponen tersebut lahir daripada pemikiran berlandaskan sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan. Sejarah telah membuktikan bagaimana para sarjana dan ilmuan Islam bukan sahaja menguasai ilmu-ilmu sains dan teknologi, bahkan merupakan penghafaz al-Quran sejak usia muda lagi. Di samping itu, peranan al-Quran juga bukan sekadar dijadikan hafazan semata-mata, bahkan menjadi rujukan utama di samping as-Sunnah, Ijma’ Sahabat, dan Qiyas dalam mengatur segenap aspek kehidupan.


KOLUM SEJARAH ISLAM

Pendidikan Ketika Zaman Awal Islam

Sewaktu zaman awal Islam, masjid menjadi pusat penyebaran dan pengajaran ilmu-ilmu sains dan kesusasteraan Islam. Menjelang pertengahan kurun ke-9M, semakin ramai pelajar hadir untuk mendalami ilmu fiqh perundangan. Dalam masa yang sama, subjek-subjek sains turut diajarkan, antaranya ter­masuklah ilmu astronomi dan kejuruteraan di Al-Azhar, serta ilmu perubatan di Al-Azhar dan Masjid Ibn Tulun di Mesir. Manakala di Karrawiyyin, ilmu balaghah dan tatabahasa turut diajarkan di samping astronomi, matematik, sejarah, geografi, dan sebahagi­an ilmu kimia. Manakala di Qayrawwan dan Zaytuna, Tunisia, selain daripada pengajian al-Quran dan perundangan, ilmu tatabahasa, matematik, astronomi dan perubatan turut diajarkan. Pengajian bidang perubatan di Qayrawwan disampaikan oleh tokoh ilmuan seperti Ziad bin Khalfun, Ishak bin Imran, dan Ishak bin Sulayman. Karya-karya mereka telah diterjemahkan kepada bahasa Latin oleh Constantinus Africanus, seorang ahli perubatan pada abad ke-11M. Hasil terjemahan tersebut turut diajar­kan di Salerno, Itali yang merupakan fakulti perubatan terawal di Eropah merangkap institusi pengajian tinggi yang pertama di wilayah Eropah Latin. Sementara itu, di Iraq ilmu farmakologi, kejuruteraan, astronomi, dan bidang-bidang sains lain turut diajarkan di masjid-masjid sekitar Baghdad, dan menjadi tumpuan para pelajar yang datang dari wilayah Syria, Iran, dan India.

Manakala di Masjid Qurtubah, pengajian turut disampaikan oleh ilmuan dalam kalangan orang Yahudi dan Nasrani. Perpustakaan-perpustakaan besar yang menghimpunkan khazanah keilmuan turut didirikan dan menjadi rujukan para pelajar dari dekat dan jauh. Menurut S.P Scott dalam karyanya yang ber­judul “History of Moorish Empire in Europe” dinyatakan bahawa, “tiada satupun kampung yang anak-anaknya – baik dari kelompok termiskin sekalipun – dinafikan hak untuk menerima nikmat pendidikan. Terdapat lebih daripada 800 sekolah-sekolah awam di Qurtubah yang dihadiri oleh Muslimin, orang-orang Yahudi, dan Nasrani… Umat Islam di Sepanyol pada waktu itu menerima pendidi­kan yang turut dinikmati oleh para pelajar yang datang dari Asia Minor, Mesir, dari Jerman, Perancis, dan Britain”.

Demikianlah bagaimana Islam mempengaruhi perkembangan ilmu di Eropah sewaktu Zaman Pertengahan. Struktur dan polisi pendidikan negara Islam dijadikan rujukan di Eropah, antaranya ter­masuklah budaya akademik seperti penghasilan tesis kedoktoran dan penilaian setara (peer-review) karya-karya ilmiah yang masih diamalkan sehingga ke hari ini. Di samping itu karya-karya ilmiah cendekiawan Muslim turut diterjemahkan serta menjadi rujukan utama di pusat-pusat pengajian di Eropah. Sesungguhnya, Islam dan tradisi keilmuan sangat berkait rapat sejak dari awal perkembangannya lagi.

Download PDF