Perbuatan Umar mengambil Usyur – Bukan alat untuk menghalalkan GST/SST

GST mahupun SST kedua-duanya merupakan sistem percukaian yang dikenakan oleh pemerintah ke atas rakyat bagi menjana pendapatan kerajaan. Bezanya adalah dari segi mekanisma bagaimana cukai tersebut dikenakan keatas rakyat. Oleh itu, persoalan utama yang perlu dibahas dari perspektif Islam adalah, apakah cukai sedemikian iaitu GST ataupun SST yang bakal gunakan semula pada 1 Semptember bagi mengantikan semula GST dibenarkan dalam ajaran Islam. Ketika GST hendak diperkenalkan, ianya telah membuka ruang kepada perbincangan dari pelbagai sudut tentang impak pelaksaannya termasuklah dari segi hukumnya menurut pandangan Islam. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu telah menerangkan bahawa GST tidak bertentangan dengan ajaran Islam dengan  mengambil beberapa peristiwa yang berlaku dalam sejarah pemerintahan Islam suatu ketika dahulu. Antaranya ialah kisah Khalifah Saidina Umar Al-Khattab yang pernah mengambil cukai usyur ketika zaman pemerintahannya.

Semasa pemerintahannya, Saidina Umar Al Khattab pernah melaksanakan kutipan usyur ke atas peniaga-peniaga dari luar Daulah Islamiyah (Negara Islam yang dijalankan hukum Islam di dalamnya dan keamanan dan keselamatannya berada di tangan umat Islam) yang ingin membawa barang jualan mereka masuk ke dalam Daulah Islamiyah. Secara kasar, ia kelihatan seolah-olah sama seperti duti import yang dilaksanakan di zaman sekarang (namun sebenarnya adalah amat berbeza dan akan diterangkan kemudian).

Oleh kerana kutipan cukai usyur ini tidak pernah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah S.A.W., maka para ulama yang pro kepada pemerintah sekular hari ini ingin membuktikan bahawa langkah pemimpin hari ini sesuai dengan perbuatan Umar Al-Khattab ra. Itulah hujah mereka walaupun mereka tahu bahawa terdapat dalil-dalil yang jelas yang mengharamkan kutipan cukai (termasuk GST/SST) ini. Di antaranya, Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Janganlah kamu memakan harta milik sebahagian daripadamu dengan cara yang batil. [TMQ Al Baqarah(2): 188]

Batil di sini adalah umum, termasuk juga GST/SST kerana ia adalah bentuk kerajaan mengambil harta rakyat secara batil (tidak sah mengikut syara’).

Sabda Rasulullah SAW:

فوالذي نفسي بيدِه ! لقد تابت توبةً ، لو تابها صاحبُ مُكْسٍ لغُفِرَ لهُ

Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman had ke atasnya tetapi baginda menjawab, Demi jiwaku pada tangan Allah, seseungguhnya wanita itu telah bertaubat yang sekiranya seorang pemungut cukai bertaubat juga akan diampunkan baginya. (HR Muslim).

Justeru, pemungut cukai adalah haram kerana itu baginda Nabi menyebut ‘bertaubat’ menunjukkan ianya berdosa.

Dalam hadith yang lain,

إنَّ صاحبَ المَكْسِ في النارِ

Sesungguhnya pengutip cukai itu tempatnya di neraka” (HR Ahmad: Sohih menurut Al-Suyuti).

Walaupun terdapat dalil yang jelas sebegini, namun di antara hujah pihak yang cuba menghalalkan GST adalah dengan cara mengkambing hitamkan kisah Umar Al-Khattab kononnya jika Umar boleh mengutip cukai (walaupun cukai itu tiada di zaman Rasulullah), maka apalah salahnya jika pihak kerajaan mengutip cukai GST/SST daripada rakyat?

 

Menghalalkan cukai dengan alasan perbuatan Umar Al-Khattab ra.

Kisah Umar Al-Khattab yang mengutip cukai usyur jika dibincangkan tanpa melalui konteks yang betul sudah pasti akan membawa kepada kekeliruan. Hujah yang sering dibincangkan oleh intelektual Islam dalam bab Usyur ini.

  1. Cukai Usyur diperkenalkan oleh Umar Al-Khattab kerana negara Islam besar dan sumber pendapatan negara gagal menampung perbelanjaan (perbelanjaan defisit).
  2. Cukai Usyur yang dikenakan ke atas Muslim, Kafir Zimmi dan Kafir Harbi Hukman.

Kalau kita mengkaji dengan teliti hujah yang dibentangkan, nampak logik dengan situasi pada masa itu, namun bila kita mengkaji dengan lebih mendalam, kita akan dapat temui bahawa hujah di atas tidak ada hubungannya dengan sirah dan Islam, ianya rekaan semata-mata.

Polisi Luar Negara Umar Al-Khattab ra : Membalas Sistem Percukaian yang dikenakan oleh Negara Harbi

Pelaksanaan usyur kepada peniaga luar adalah dalam konteks perhubungan antarabangsa. Khalifah Umar Al-Khattab melaksanakan cukai tersebut adalah sebagai membalas tindakan negara asal peniaga tersebut yang turut mengenakan cukai terhadap peniaga dari negara Islam yang membawa barang dagangan ke dalam negara mereka (eksport). Itulah sebenarnya usyur yang dilaksanakan oleh Umar Al-Khattab. Jika negara asal peniaga luar itu tidak mengenakan cukai kepada rakyat dari Daulah Islam, maka Khalifah Umar Al Khattab tidak akan sewenang-wenangnya mengenakan cukai kepada mereka. Itulah realiti pelaksanaan usyur yang berbentuk hukuman kepada negara yang terlebih dahulu melakukannya kepada umat Islam, bukannya berbentuk sistematik dan menjadi antara sumber pendapatan negara yang utama seperti yang dilakukan oleh negara-negara zaman sekarang. Ironiknya, cukai itu ditujukan kepada rakyat sendiri.

Perkara di atas berdasarkan riwayat dari Abu Mujlis Lahiq bin Humaid yang mengatakan, “Mereka bertanya kepada Umar, ‘Bagaimana kita harus memungut dari ahlu al-harbi (warganegara Darul Kufur) jika mereka memasuki (wilayah) kita?’ Umar menjawab, ‘Bagaimana mereka memungut dari kalian jika kalian memasuki (wilayah) mereka?’ Mereka menjawab. ‘(Mereka memungut usyur) 1/10’. Umar berkata, ‘Kalau begitu, sebesar itu pula kalian memungut dari mereka” [hadis ini disebut oleh Ibnu Qudamah di dalam kitab al-Mughni]. Ziyad bin Hudair juga berkata, “Kami tidak pernah memungut usyur daripada seorang Muslim dan mu’ahid pun”. Mereka bertanya, “Lalu siapa yang kalian pungut (usyur)?”. Beliau (Ziyad) menjawab, “Para pedagang ahlu al-harbi sebagaimana mereka memungut usyur (1/10) daripada kami jika kami mendatangi (wilayah) mereka” [Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ubaid dalam kitab al-Amwal].  Perkara ini menjadi Ijmak Sahabat bahawa boleh mengambil cukai atau duti import, jika negara lain mengambil duti import ke atas kita (Amal bil Mitsli) iaitu hukum berkaitan dengan polisi luar negara.

Dasar yang telah dilakukan oleh Saidina Umar mengenai usyur berbeza langsung  dengan GST yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini. Usyur dilakukan oleh Saidina Umar sebenarnya adalah satu polisi luar negara untuk membalas perbuatan negara kafir harbi yang terlebih dahulu mengenakan cukai kepada pedagang Muslim,  tidak ada kaitan dengan cukai dalam negara. !

Ke Atas Siapa Usyur dikenakan?

Memandang usyur ini adalah lafzun mustarak, dengan memberikan maksud Bahasa, bermakna satu persepuluh (10%) manakala digunakan dalam istilah Fiqh yang berbeza dalam hadis dan atsar, boleh disimpulkan bahawa usyur dalam istilah Fiqh berkemungkinan maksudnya;

  1. Maks dengan makna duti import – pungutan sepadan (balasan)
  2. Usyur dengan makna Dharibah (cukai)
  3. Zakat
  4. Syarat bayaran tambahan (akad zimmah) ketika ingin bergabung dengan daulah khilafah.

Sebagai contoh Atsar yang sering dimanipulasi untuk golongan yang membenarkan cukai ialah umat Islam dikenakan usyur (mereka katakan sebagai cukai) dan juga ahli zimmi (mereka katakan cukai). Namun pendapat ini bersalahan pendapat ulama muktabar,

Abu Ubaid berkomentar, “Apa yang aku sukar untuk fikirkan ialah tentang pungutan 1/20 oleh Umar daripada ahlu zimmah. Jadi, aku katakan bahawa mereka itu bukan orang-orang Islam, kerana di dalam Islam, kalau mereka itu adalah orang-orang Islam, maka sudah tentu boleh dipungut sedekah (zakat). Mereka juga bukan penduduk Darul Kufur yang membolehkan kita pungut dari mereka jumlah yang sepadan dengan harta yang telah mereka pungut dari kita. Jadi, aku tidak tahu (harta) apakah itu sehingga aku mengkaji hadisnya, kemudian barulah aku mendapati bahawa beliau (Umar) sebenarnya telah memeterai perjanjian damai dengan mereka (ahlu zimmah tersebut) atas syarat ini (iaitu untuk mereka membayar 1/20 usyur) sebagai tambahan kepada jizyah dan juga kharaj atas tanah-tanah yang ada.

Daripada penerangan ini jelas bahawa Umar hanya mengambil zakat perniagaan dari kaum Muslimin (ini tidak ada kaitan dengan cukai), manakala duti import ialah balasan terhadap orang kafir memungut usyur daripada orang Islam yang memasuki negara mereka, dan bayaran 1/20 usyur sebagai syarat tambahan untuk akad zimmah.
Akad zimmah dan syarat-syaratnya adalah juga polisi luar negara daulah, dan tidak ada kaitan dengan GST yang ada pada hari ini.

Kesimpulan

Memahami hadis dalam konteks yang betul adalah penting supaya tidak berlaku kekeliruan. Kegagalan memahami konteks hadith menyebabkan kita menggunakan sesuatu dalil bukan dalam bab perbincangan yang tepat, ibarat mengambil dalil mengenai hukum zakat tapi melaksanakan dalil tersebut dalam ibadah puasa. Begitulah kelirunya pihak yang cuba menghalalkan sistem percukaian seperti GST/SST dengan mengambil hadith tentang Polisi Luar Negara, untuk digunakan dalam polisi Dalam Negara. Masalah utama ialah pemimpin sekarang menjadikan sistem ekonomi kapitalis yang menjadikan sumber cukai sebagai pendapatan negara, dan menaikkan cukai adalah satu cara untuk meningkatkan hasil negara, dan intelektual pula menggunakan hujah ‘Islam’ untuk menjustifikasi keberlangsungan sistem ini.  Semoga kita semua diberikan hidayah dan taufiq dalam memahami agama-Nya dan menerapkan Sistem Ekonomi Islam secara syumul.

Taha
Aktivis HTM