SN537 – Mencari Erti Kemerdekaan Hakiki

Bil: SN537 – 21 Zulkaedah 1439 / 03 Ogos 2018

SN537 - Mencari Erti Kemerdekaan Hakiki

Sejak 60 tahun lepas, saban tahun Malaysia tidak pernah gagal memperingati bulan ke­merdekaannya. Tarikh 31hb Ogos 1957 dianggap sebagai tarikh keramat dan menjadi hari kebesaran negara kerana ia mengingatkan detik ke­merdekaan tanah air setelah lebih 400 tahun dijajah oleh pelbagai bangsa dan yang terakhirnya adalah British. Ironinya, walaupun setelah dijajah dan dijarah harta kekayaan alam milik rakyat selama 200 tahun oleh British, mereka masih tetap dihormati dan dipandang tinggi. Tidak hairanlah, struktur dan gaya pemerintahan yang dibentuk oleh penjajah British masih kekal sehingga hari ini. Dalam pada itu, sambutan kemerdekaan kali ini sudah tentulah lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini adalah kerana, ada sesetengahnya  berpendapat, selepas PRU ke-14, Malaysia telah mendapat kemerdekaan yang baru, iaitu kemerdekaan daripada pemerintahan kuku besi Barisan Nasional khususnya daripada UMNO. Dengan slogan “Malaysia Baharu” ini, rakyat mengharapkan agar Malaysia benar-benar bebas dan merdeka daripada kezaliman pemerintah dahulu dan undang-undang dakroniannya. Namun, apakah benar kemenangan Parti Harapan dan usaha membawa demokrasi penuh ke dalam negara ini membawa sebuah kemerdekaan yang hakiki?

Di Sebalik Perhambaan

Kemerdekaan bagi sesebuah negara membawa maksud ia bebas daripada penjajahan fizikal dan kawalan kuasa lain. Negara yang merdeka adalah negara yang bebas mem­buat keputusan dan menentukan hala tuju samada dari aspek struktur pemerintahan, ekonomi, pendidikan dan sosial budaya. Kemerdekaan bagi seseorang individu pula bermaksud dirinya tidak dikuasai dan dimiliki oleh sesiapa dan bebas daripada sebarang bentuk belenggu per­hambaan serta bebas membuat keputusan sendiri di dalam menentukan hala tuju hidupnya. Walaupun ramai yang mendakwa bahawa negara telah mencapai ke­merdekaan dan individu pula telah diberikan hak kebebasannya, namun sebahagian besar masih tidak menyedari bahawa mereka masih dikongkong dan dibelenggu ketaasuban kepada manusia lain dan doktrin asing yang menyebabkan seseorang itu tidak sedar hala tuju hidupnya telah dipengaruhi dan ditentukan oleh pihak lain. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan[TMQ At-Taubah: 31].

Ayat ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:

Dari ‘Adi bin Hatim R.A, dia berkata: “Aku mendatangi Nabi SAW, sedangkan pada leherku terdapat (kalung) salib yang diperbuat daripada emas. ‘Adi bin Hâtim juga berkata: “Dan aku mendengar beliau membaca (ayat al-Quran, yang ertinya), “Mereka (orang-orang Yahudi dan Nasrani) menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai rabb-rabb (tuhan-tuhan) selain Allah”. ‘Adi bin Hatim berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka itu (para pengikut) tidaklah beribadah kepada mereka (orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka)”. Nabi SAW bersabda, “Ya, akan tetapi mereka (orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka) menghalalkan apa yang Allah haramkan, lalu merekapun menganggapnya halal. Dan mereka (orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka) mengharamkan apa yang Allah halalkan, lalu merekapun menganggapnya haram. Itulah peribadahan mereka (para pengikut) kepada mereka (para pendeta)[HR. al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, 1/166].

Inilah bentuk ‘perhambaan’ yang jarang disedari oleh ke­banyakan orang iaitu para pengikut akan menuruti sahaja para pemimpin mereka iaitu dengan melakukan apa sahaja yang diperintahkan dan menghindari apa sahaja yang dilarang oleh pemimpin mereka, sekalipun perintah dan larangan tersebut bertentangan dengan perintah dan larangan Allah SWT.

Sistem ‘Penyembahan’ Sesama Manusia

Demokrasi ialah sebuah sistem pemerintahan yang berasas­kan akidah sekularisme iaitu dengan memisahkan antara agama dan kehidupan (fashludeen ‘anil hayah). Fahaman ini menjadikan akal sebagai satu-satunya neraca/standard di dalam mengatur kehidupan individu dan bernegara. Dalam sistem demokrasi, rakyat diberikan hak untuk memilih calon pemimpin mereka yang akan menempati kerusi-kerusi di parlimen dengan cara undian. Walaupun wakil rakyat dikatakan mewakili suara rakyat di parlimen dan rakyat juga merasakan suara mereka telah dibawa ke parlimen, hakikatnya para wakil rakyat mem­bahas dan menggubal undang-undang berdasarkan akal fikiran dan nafsu serta didorong kepentingan parti yang mereka wakili. Tiada ruang bagi perintah dan larangan Allah SWT kerana dewan yang dianggap mulia itu hanya menjunjung tinggi suara majoriti. Undang-undang yang digubal juga boleh berubah mengikut keadaan semasa, yang dahulunya haram, sekarang menjadi halal dan se­baliknya melalui pemesongan terhadap pengertian maqasid shariah dan maslahah. Setelah melalui semua proses penggubalan dan diluluskan, maka undang-undang ini akan dikuatkuasakan ke atas rakyat. Rakyat dipaksa untuk menuruti kesemua undang-undang ini dan akan dihukum sekiranya melakukan sebarang pelanggaran.

Inilah bentuk penyembahan sesama manusia yang di­maksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis di atas. Perbuatan menetapkan apa yang halal dan apa yang haram tidak lagi dilakukan oleh para rahib di zaman moden ini, tetapi tugas ini diambil alih oleh para penggubal undang-undang. Mereka beralasan bahawa ia berlandaskan hak asasi dan kebebasan manusia. Namun hakikatnya, ia merupa­kan hukum atau undang-undang yang hanya berasal daripada akal dan nafsu dengan mengetepikan tuntutan syarak. Akibat daripada penerapan sistem ‘penyembahan’ sesama manusia inilah muncul pelbagai masalah di dunia hari ini yang semakin kronik. Masalah keruntuhan akhlak yang semakin parah, masalah jenayah yang berleluasa sehingga krisis ekonomi dan kewangan seperti kos sara hidup yang tinggi serta beban hutang yang meningkat yang membelenggu rakyat dan negara.

Kemerdekaan Hakiki

Oleh sebab itulah Islam datang untuk mengeluarkan manusia daripada pelbagai bentuk penderitaan akibat belenggu perhambaan sesama manusia menuju kepada pengabdian kepada Allah SWT semata-mata. Inilah erti sebuah kemerdekaan hakiki menerusi kaca mata Islam. Misi mewujudkan kemerdekaan hakiki untuk seluruh umat manusia itu juga terungkap dalam dialog di antara Jeneral Rustum (Parsi) dengan Rab’iy bin ‘Amir (utusan Panglima Saad bin Abi Waqash) pada Perang Qadisiyah untuk membebas­kan Parsi. Jeneral Rustum bertanya kepada Rab’iy bin ‘Amir, “Apa yang kalian bawa?” Rab’iy bin menjawab: “Allah telah mengutus kami. Demi Allah, Allah telah mendatangkan kami agar kami mengeluarkan siapa saja daripada  penghambaan kepada hamba (manusia) menuju penghambaan hanya kepada Allah, daripada kesempitan dunia menuju kelapangannya dan daripada  kezaliman agama-agama (selain Islam) menuju keadilan Islam….[Ibnu Jarir ath-Thabari,ârîkh al-Umam wa al-Muluk, ii/401, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut].

Islam datang untuk menghapuskan semua bentuk penyembahan dalam bentuk berhala, pemikiran mahupun dalam bentuk sistem seperti demokrasi, komunisme, sosialisme atau kapitalisme. Kita wajib menggantikan bentuk-bentuk penyembahan tersebut kepada penyembahan kepada Allah SWT melalui penerapan hukum syariah secara keseluruhan dan hanya diambil daripada sumber wahyu iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak sahabat dan Qiyas. Penerapan syariah pula tidak akan mungkin berhasil dengan sistem pemerintahan yang lain kecuali dalam bentuk yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW iaitu sistem pemerintahan Khilafah Islamiyyah. Melalui Khilafah inilah kaum Muslimin telah memerdekakan manusia sepanjang sejarahnya dari Timur hingga ke Barat. Sejak daripada itu, ramai umat manusia menikmati erti ke­merdekaan yang hakiki sehinggalah muncul kuasa-kuasa imperalis yang merampas kembali nikmat kemerdekaan ini. Oleh yang demikian, jika kita benar-benar menginginkan kemerdekaan yang hakiki, maka tidak dapat tidak kita perlu membebaskan diri daripada belenggu sistem pemerintahan yang ‘menyembah’ sesama manusia ini kepada sebuah sistem pemerintahan yang hanya membawa manusia mengabdikan diri secara keseluruhan kepada Allah SWT dengan menjalani kehidupan yang diatur oleh hukum Islam secara kaffah dalam setiap aspek kehidupan baik individu dan bernegara. Semoga kita diberi kekuatan oleh Allah SWT dalam usaha untuk memperoleh kemerdekaan hakiki. Wallahualam.


KOLUM SEJARAH

Sheikh Daud Al-Fathani: Penggerak Kemerdekaan

Kekalahan bangsa Melayu di tangan penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Siam sejak tahun 1511 telah meletak­kan bangsa Melayu sebagai antara bangsa Islam pertama terlepas dari kekhilafahan. Kesultanan Aceh (1496-1903) yang dianggap sebagai cabang kekhilafahan Uthmaniyah di Nusantara telah mengalami kemerosotan mendadak selepas Per­janjian Sumatera 1871 antara Belanda dan Inggeris, diikuti dengan Perang Aceh, sehinggalah pada 1896, dengan usaha yang dipelopori oleh Snouck Hurgronje, umat Islam berpecah belah dan akhirnya Aceh menyerah kalah pada tahun 1904.

Antara tokoh generasi awal yang lahir adalah Sheikh Daud al-Fathani dan Sheikh Abdul Samad al-Falembani yang amat dikenali sebagai pejuang yang aktif dalam menentang penjajah. Sheikh Daud al-Fathani selain aktif menentang penjajah secara ter­buka, beliau juga telah berjaya melahirkan kader-kader ulama pejuang yang terkenal seperti Sheikh Abdul Halim Kelantan, Sheikh Wan Hasan Besut, Sheikh Muhammad Mustafa Bendang Daya Fathani, Sheikh Abdur Qadir Mustafa Bendang Daya Fathani, Raja Ahmad Raja Haji Riau, Tuanku Tambusai Minangkabau dan lain-lain. Beberapa generasi kemudian muncul mereka yang dianggap sebagai anak murid kepada Sheikh Daud al-Fathani seperti Sheikh Ahamad bin Muhammad Zain Al-Fathani. Beliau merupakan tokoh terpenting dalam gerakan kemerdekaan yang berpusat di Mekah.

Selain mengkaderkan ulama pejuang untuk beberapa generasi sehingga Perang Dunia kedua, ulama Melayu di Mekah telah menghasilkan karya-karya yang di­anggap penting dalam perjuangan kemerdekaan. Antara yang terpenting ialah Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mukmin ina fi Fadhail al-lihadi wa Karaama al-Mujahidin fi Sabilillah (1772), Lum’ul Fawa’id (1824), dan Tuhfatul Gharib serta diikuti oleh kitab Munyat Muslli (1827) yang dihasilkan Sheikh Daud Al-Fathani. Kesemua kitab ini bertujuan untuk mengerakkan kesedaran jihad ke atas penjajah. Sheikh Daud al-Fathani sendiri dalam kitab Fur ‘ul Masail mem­fatwakan kewajiban berjihad ke atas penjajah kafir. Kitab Hadiqatul Azhar wa al-Rayahin dan ad-Daulah al-Aliyah at-Turkiyah al-Uthmaniyah adalah antara yang membahas pemikiran politik dan sejarah perjuangan umat Islam. Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Percetakan Kerajaan Uthmaniyah dan mengetuai Matba’ah Miriyah yang terkenal di seluruh dunia kerana penerbitan buku-buku agama.

Secara umumnya Sheikh Ahmad al-Fathani telah memberi sumbangan yang besar dalam membentuk kesedaran politik Islam, menyusun dan melahirkan gerakan menuntut kemerdekaan serta mempertahan­kan kekhalifahan Islam yang sedang digugat oleh musuh-musuh Islam.

[Daud, H. Islam dan Politik: Dinamika Kerjasama Tokoh Serumpun Dalam Menghadapi Penjajah; Jurnal Malaysia Dari Segi Sejarah, Jilid 39, 2011]

Download PDF