Ibadah Haji dan Kepentingan Khilafah

Oleh: Pn. Rahmah Nadzri (Pimpinan MHTM)

Labbaikallahumma Labbaik, Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik, Innalhamda Wan Ni’mata, Laka Wal Mulk Laa Syarikalak;

 “Aku memenuhi panggilanMu ya Allah, aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu, tiada sekutu bagiMu, aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah milikMu, begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu”

Indahnya lantunan talbiah yang dilaungkan jemaah setiap kali tiba musim haji. Ada api kerinduan yang membakar jiwa hingga setiap dari kalangan mereka saling menyambut seruan untuk bertauhid dan beribadah kepada Yang Maha Esa sambil mengharap rahmat dan keredhaanNya.

Insan-insan mulia yang mengharapkan keberkatan dan kemuliaan di sisiNya menyimpan keinginan tinggi menikmati keindahan ibadah haji di Baitullah yang merupakan rukun Islam yang kelima. Mereka ingin menghayati manisnya iman ketika menjalani kewajipan ibadah ini yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah” [TMQ Ali-Imran (3): 97].

Apabila dihalusi dalam nas yang lain, Allah SWT juga menyebutkan hikmah di sebalik pelaksanaan ibadah ini. Dalam Surah Al-Hajj [22]:27 Allah menyatakan, Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menaiki unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat untuk mereka”.

Perjuangan mengerjakan ibadah haji memerlukan persediaan rapi secara holistik sehingga seseorang bersedia dari segi mental dan fizikal. Rahmat dan kasih sayang Allah yang melimpah ruah dikurniakan kepada para hamba sehingga Dia Azza Wa Jalla hanya mewajibkan haji bagi orang yang mampu sahaja sama ada dari segi kewangan atau fizikal. Oleh kerana itu, kemurkaan Allah menanti pada hamba yang memiliki kemampuan tetapi tidak menunaikannya.

Lantunan talbiah yang syahdu begitu menusuk kalbu. Namun ia tidak seindah liku-liku dan ranjau yang perlu ditempuhi oleh para jemaah tatkala mengerjakan ibadah ini. Ketika sebahagian umat Islam beranggapan bahawa kesulitan ini seolah-olah suatu takdir yang perlu diterima tanpa dipersoal, amat menyedihkan kerana realitinya, kesulitan yang dialami ini adalah disebabkan oleh penerapan Sistem Sekular dalam kehidupan umat Islam. Semangat nasionalis yang lahir dari sistem ini menyebabkan umat Islam hidup terpecah-belah menjadi banyak negara dan terhalang dari hidup dalam kesatuan sehingga terpaksa mengharungi kesulitan dan kerumitan dalam menunaikan ibadah.

Sistem Sekular-Nasionalis inilah yang menjadikan urusan haji menjadi sukar dan rumit. Sistem kuota mengikut ketetapan kerajaan Arab Saudi bagi setiap negara kerap menjadi isu disamping isu pemeriksaan visa dan pasport dengan kerenah birokrasi yang buruk. Malah pelbagai sekatan yang dikenakan sama ada dari kerajaan Arab Saudi mahupun dari negara masing-masing menyusahkan umat yang mampu untuk mengerjakan haji. Ini secara tidak langsung menjadikan sebilangan besar umat Islam terpaksa menunggu bertahun-tahun malah puluhan tahun untuk mengerjakan haji. Jika bernasib baik giliran mengerjakan haji tiba jua namun kebiasaannya ini terjadi ketika usia sudah lanjut dan keadaan kesihatan yang tidak memuaskan disamping timbul pelbagai masalah lainnya. Atas faktor terpaksa menunggu jangka masa yang lama serta rayuan mengerjakan haji telah beberapa kali ditolak pihak Lembaga Tabung Haji, menjadikan sebilangan dari umat Islam nekad menggunakan khidmat agen pelancongan yang mengendalikan pakej haji swasta. Kesempatan ini diambil oleh pihak tertentu yang tamak haloba dengan mewujudkan pakej yang menarik bagi memancing umat Islam yang benar-benar ingin mengerjakan haji. Mereka dijanjikan dengan janji-janji manis sehingga akhirnya terjerat dan tertipu dengan taktik sindiket sebegini. [1]

Insiden sebegini telah mendorong Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Hamzah Rahmat untuk menggesa kerajaan agar tindakan drastik seperti mengenakan hukuman penjara perlu dilaksanakan ke atas pihak yang mengambil kesempatan memperdaya jemaah haji. Beliau turut mengingatkan jemaah agar berurusan dengan ejen yang berlesen bagi mengelak daripada ditipu. [2]

Hakikatnya permasalahan di atas tidak mungkin terjadi sekiranya urusan haji ini ditangani dengan menggunakan sistem Islam yang diterapkan oleh negara Khilafah. Dengan ini akan hilanglah sempadan dan batasan nation state, tiada lagi masalah visa; pemeriksaan pasport yang rumit ketika datang mahupun pulang; kerenah birokrasi yang berterusan dan sebagainya.

Tidak dinafikan ibadah haji dapat terlaksana tanpa negara Khilafah sekalipun. Namun pelaksanaannya menjadi kurang sempurna kerana masih terdapat banyak masalah dan hambatan tanpa negara Khilafah. Misalnya, urusan pasport haji. Ketika adanya Khilafah, status negara-bangsa yang ada di dunia Islam akan dihapuskan sekali gus menjadikan pasport tidak lagi  relevan dan diperlukan. Ini kerana siapa pun dalam kalangan umat Islam, ketika pergi ke Mekah, dia tidak akan dianggap seperti orang asing yang pergi ke luar negara dan memerlukan visa dan pasport, melainkan melakukan perjalanan di dalam negara Khilafah semata-mata. Ini pastinya memudahkan urusan mengerjakan haji bagi umat Islam di samping tidak terbeban dengan kos perbelanjaan yang tinggi.

Dengan itu, kewujudan Negara Islam Khilafah adalah sangat diperlukan demi pelaksanaan pelbagai kewajipan syariah secara menyeluruh dan sempurna. Akan tetapi, ia bukan sahaja ibadah haji malah turut meliputi misi dakwah, jihad, penerapan hudud, jinayat, pungutan dan pengagihan zakat serta pelaksanaan pelbagai sistem kehidupan lainnya. Dengan erti kata lain tanpa adanya Khilafah, pelaksanaan pelbagai kewajipan syariah itu tak akan mungkin terlaksana secara menyeluruh.

Hal ini sesuai kaedah syariah: ‘Selama suatu kewajipan tidak terlaksana kecuali dengan sesuatu, maka sesuatu itu wajib pula hukumnya’.

Sejarah pelaksanaan ibadah haji dibawah naungan Khilafah telah terang lagi bersuluh menyingkap hakikat sebenar pentingya sebuah negara yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemaslahatan umat tatkala menunaikan rukun Islam yang kelima ini.

Di zaman Khilafah Uthmaniyyah contohnya, Khalifah telah berjaya mengurus dan mengelola ibadah haji ini dengan baik. Ini dapat dibuktikan dengan sistem pengawalan dan penyediaan logistik yang mencukupi. Bahkan, ketika jemaah yang datang dari suatu wilayah kehilangan dompet, Khalifah bersegera menggantikan dompetnya yang hilang dan menyelesaikan masalah logistik yang berkaitan.

Khilafah Uthmaniyyah juga telah membuka jalan kereta api dari Istanbul, Damsyik hingga ke Madinah. Kereta api ini masih lagi wujud hingga kini baik di Istanbul mahupun di Madinah. Namun jalur jalannya telah diputuskan semasa pemberontakan Arab yang didalangi oleh pihak Inggeris untuk melawan Khilafah Uthmaniyyah.

Di zaman Khilafah Abbasiyyah pula, Khalifah telah memberi perhatian akan tempat-tempat mulia yang ada bagi penyempurnaan ibadah haji ini. Ianya terbukti sehingga kini di Muzium Dua Tanah Suci. Disamping itu, bekalan air bersih yang digunakan untuk disalurkan kepada jemaah haji telah dibangunkan yang bermula daripada Iraq, ibu kota Khilafah hingga ke Mekah. Khilafah Abbasiyyah juga telah membangunkan beberapa pusat penampungan air bersih, yang dikenali dengan nama Birkah [Ain] Zubaidah. Di daerah Muzdalifah-Mina juga terdapat saluran air bersih yang dikenal dengan nama Qanat Zubaidah. Zubaidah adalah nama isteri Khalifah Harun ar-Rasyid, yang dikatakan membiayai dan melaksanakan projek ini.

Sedikit sebanyak catatan di atas menggambarkan betapa pentingnya institusi penyatu ummah, institusi penegak syariah dan pemelihara urusan ummah iaitu negara Khilafah. Telah nyata bahawasanya urusan haji ini, sejak dari zaman Nabi hinggalah Khalifah yang terakhir sentiasa menjadi urusan negara, bukan semata-mata kerajaan Arab Saudi atau Nation State, melainkan negara Khilafah. Namun dengan lenyapnya Khilafah, sejak diruntuhkan 3 Mac 1924 atau lebih dari 90 tahun, pelbagai beban penderitaan ditanggung oleh umat termasuk dalam urusan mengerjakan haji yang sangat sulit, rumit dan mahal.

Biarpun tanpa negara Islam Khilafah, biar serumit apa pun, ternyata umat Islam di seluruh pelosok dunia tetap sabar dan bersungguh-sungguh berjuang dan berkorban mental dan fizikal di samping harta, semata-mata menyahut panggilan dan melengkapkan kewajipan rukun Islam yang kelima ini. Mereka sanggup mengharungi pelbagai halangan dan kesulitan dengan harapan dapat meraih haji yang mabrur. Mengapa tidak umat Islam juga bersungguh-sungguh menyahut seruan Allah SWT dan RasulNya untuk bersegera berjuang mendirikan semula institusi kemuliaan umat Islam, negara Islam Khilafah? Mengapa umat Islam masih terbelenggu dengan pemikiran dan pemahaman Sekular-Nasionalis yang memisahkan kesatuan dan menjadikan mereka bercerai-berai? Cukuplah ayat-ayat Allah ini menjadi peringatan kepada kita semua. Semoga kita semua termasuk dalam golongan mereka yang sedar dan berjuang bersungguh-sungguh menegakkan kembali institusi kemuliaan umat Islam, Negara Islam Khilafah.

“Wahai orang-orang yang beriman, sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Dia menyeru kepada kamu sesuatu yang menjadikan kamu hidup sempurna” [TMQ al-Anfal (7):24].

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara” [TMQ Ali-Imran (3):103].

Rujukan:

[1] http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/11/22/pakej-haji/

[2] https://www.bharian.com.my/node/78878 1/9/2015

https://www.facebook.com/har1924/posts/630442093783373

https://fkimuikabogor.wordpress.com/2011/10/31/ibadah-haji-persatuan-umat-dan-urgensi-daulah-khilafah/