Cegah LGBT: Kembalilah kepada fitrah dengan penerapan sistem Islam

Berita:

SHAH ALAM – Pendakwah, Pencetus Ummah (PU) Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, melahirkan kegusaran dengan kehadiran ikon gay antarabangsa ke Malaysia.

Dakwanya kehadiran Sinon Loresca, yang juga merupakan aktor, dan model berasal dari Filipina itu ke Malaysia bakal membawa bala dan malapetaka kepada negara.

“Bala sudah sampai di Malaysia. Mereka bakal berpesta. Beliau disambut baik oleh pendokong gay dan pengamal seks songsang di negara ini”

Sumber – http://www.sinarharian.com.my/nasional/bala-sudah-sampai-di-malaysia

Komentar:

Kehadiran ikon gay antarabangsa Sinon Loresca ke Malaysia yang disambut baik oleh pendokong gay dan pengamal seks songsang sewajarnya mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat di negara ini. Pelakon dan model dari Filipina yang terkenal dengan gelaran The King of Cat Walk itu secara terbuka melakukan pertunjukkan di Pavilion Kuala Lumpur dan dijangka akan mengunjungi Apollo Club di Indonesia pada penghujung November ini. Sememangnya kehadiran ikon gay ini telah menunjukkan mesej keterbukaan pentadbiran kerajaan Malaysia terhadap penerimaan  golongan LGBT. Justeru tidak hairan kehadirannya tidak dihalang dan tidak langsung dilihat sebagai  ancaman  kepada negara. Statistik membimbangkan yang dikeluarkan JAKIM baru-baru ini berkenaan peningkatan jumlah gay di Malaysia dilihat akan semakin parah sekiranya situasi seperti ini tidak dibendung.

Kehadiran ikon gay antarabangsa beserta pendokongnya yang semakin berani malah berbangga dalam menzahirkan kehadiran kelompok mereka ini merupakan kerosakan yang serius dalam masyarakat kita. Sikap berdiam diri pihak kerajaan  dalam isu ini ialah sesuatu yang tidak wajar sama sekali memandangkan ia mampu memberi kesan yang membahayakan. Jika dibiarkan membarah, akan berlakulah normalisasi budaya sehingga kehadiran kelompok songsang ini dilihat menjadi satu kebiasaan dan akhirnya dengan mudah akan diiktiraf sebagai satu norma dalam masyarakat.

Aktiviti yang bertentangan dengan fitrah manusia ini perlu ditolak secara mutlak tanpa perlu memberi sebarang toleransi. Pencegahan awal perlu dilaksanakan di semua peringkat dengan menghalang sebarang bentuk  penyebaran idea mahupun simbol yang membolehkan aktiviti ini bertapak. Masyarakat perlu dijauhkan daripada pengaruh serta budaya keji perlakuan LGBT dan pelbagai kerosakan yang telah dibawanya.  Oleh itu, amat wajar sekali mengkategorikan aktiviti songsang ini sebagai satu jenayah berat dengan dikenakan hukuman yang setimpal ke atas pelakunya. Selain itu, perlu dibongkar kelicikan slogan LGBT yang sering dilaungkan secara lunak oleh golongan tersebut serta pendokong mereka. Kebebasan individu dan hak asasi manusia ialah ‘dalil’ bagi menghalalkan aktiviti terkutuk ini.

Justeru itu, menangani budaya dan pengaruh LGBT merupakan tugas kita bersama sebagai umat Islam kerana ini termasuk dalam tugas mencegah dan menghapuskan kemungkaran. Umat Islam tidak mengenal istilah kebebasan ataupun hak asasi manusia yang sebenarnya alat untuk melegalkan kemaksiatan dan kemungkaran.

Di sebalik semua ini, apa yang perlu umat Islam sedar juga ialah pengaruh LGBT ini tidak boleh lari daripada penerapan sistem kehidupan yang ada ketika ini. Sistem demokrasi yang bertunjangkan aspek kebebasan sebenarnya yang menjadi penghalang utama kepada pencegahan LGBT dan ditambah pula dengan pihak pemerintah yang dilihat bersikap lunak terhadap golongan pelaku maksiat ini.

Oleh itu, perkara utama yang perlu dilakukan ialah kembali kepada penerapan sistem hidup Islam yang berpandukan kepada hukum-hukum Allah SWT yang sememangnya sangat bersesuaian dengan fitrah kehidupan manusia dari dulu hingga ke akhir zaman. Dengan ini, barulah wabak LGBT ini dapat ditangani iaitu dengan adanya undang-undang serta pendidikan yang berteraskan ajaran Islam.

Khamis Satiman
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia