Bauksit – Kekayaan umat diratah sang kapitalis durjana

KUANTAN, 18 Feb (Bernama) — Tempoh moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang yang akan berakhir pada 31 Mac depan tidak akan dilanjutkan, umum Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini. Berikutan dengan pengumuman itu, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan semula, namun kali ini dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat. [Sumber: Bernama]

Komentar:

Beberapa tahun lepas rakyat Malaysia dikejutkan dengan kegiatan melombong bauksit secara haram mengikut undang-undang Malaysia di Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam, Pahang. Kegiatan yang dipercayai didalangi oleh pelombong-pelombong kapitalis dan juga pemakan rasuah di Pejabat Tanah dan Galian Pahang itu telah digantung seketika oleh kerajaan pusat pada tahun 2016, namun tempoh penggantungannya akan berakhir pada Mac 2019. Menurut Menteri  Air, Tanah, dan Sumber Asli Dr Xavier, penggantungan tersebut tidak akan dilanjutkan lagi selepas ini kerana potensi keuntungan pelombongan bauksit yang dilihat akan menyumbang kepada ekonomi negeri tersebut, namun SOP yang lebih ketat akan diperkenalkan demi memelihara alam sekitar.

Masalah kegiatan perlombongan hasil bumi seperti bauksit ini perlu dilihat jauh melebihi kaca mata manfaat dan kesihatan alam sekitar, iaitu ia melibatkan pengurusan sumber mineral seperti air yang mengalir (tidak terputus) yang menjadi hak milik umat Islam secara bersama (hak umum). At-Tirmidzi meriwayatkan daripada Abyadh ibn Hammal bahawa beliau pernah datang kepada Rasulullah SAW dan memintanya untuk memberinya tanah ladang garam, lalu baginda SAW memberikan tanah tersebut kepadanya. Dan ketika dia berlalu pergi, seseorang telah hadir kepada Nabi lalu berkata, “Tahukah anda apa yang telah anda berikan kepadanya? Anda telah memberinya air yang tidak terputus (Al-‘udd) “. Baginda SAW kemudian mengambil semula tanah ladang tersebut daripada Abyadh. Melalui hadis ini, Islam menjelaskan bahawa sumber mineral atau galian yang tidak terputus tidak boleh dikuasai oleh mana-mana individu melainkan ia perlu diuruskan oleh negara kerana ia hak milik umum bagi umat Islam. Oleh sebab ia merupakan hak milik umum, sebarang keuntungan yang diperoleh hasil daripada pengelolaan sumber galian tersebut hendaklah dikembalikan kepada umat, bukan menjadi keuntungan yang dimanipulasi dan dikaut oleh mana-mana pihak individu mahupun kerajaan.

Demikianlah Islam menjelaskan kedudukan pemilikan sumber galian melalui hadis Rasulullah SAW. Dengan ketiadaan penerapan hukum syarak yang menyeluruh, hak umat telah diabaikan malahan diberikan kepada para sang kapitalis durjana yang rakus membaham apa sahaja yang termampu. Akhirnya umat ini menjadi miskin dan melarat di atas tanahnya sendiri walaupun kekayaan sumber alam yang dikurniakan Allah SWT melimpah dari pelbagai sudut. Wallahu a’lam.

Shan Sinan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia