Kekayaan FELDA Jadi Rebutan Kapitalis

feldaSemenjak kepemimpinan Felda diterajui oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, konflik di dalam pengurusan tertinggi Felda semakin menjadi-jadi.  Bermula dengan isu kontroversi yang melibatkan Pengerusi Koperasi Felda sehingga beliau diarahkan bercuti 9 bulan dan isu rancangan penyenaraian saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang mencetuskan kontroversi kalangan sebahagian warganya. Ia juga mendapat bantahan daripada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK).

Umum mengetahui bahawa penyenaraian sesuatu syarikat di Bursa Saham akan melibatkan pembelian saham oleh pihak yang berminat dan sebagai ganti pihak syarikat akan memperolehi dana daripada transaksi ini. Jika dilihat dari segi keupayaan Felda sebagai syarikat gergasi perusahaan sawit yang menguasai 880,000 Hektar  tanah perladangan, maka tidak hairanlah pengapungan saham ini akan menghasilkan dana yang begitu banyak iaitu dikatakan mampu menghasilkan dana sebanyak RM 6 billion.

Jika diperhatiakan keadaan dan sitausi politik-ekonomi ketika ini, Tawaran Awam Permulaan (IPO)berpotensi untuk  naik  pada hari pertama penyenaraiannya . Ini tidak menghairankan jika ianya berlaku kerana Felda merupakan penanda aras kepada era pimpinan Perdana Menteri  Najib Tun Razak dan sudah tentu pihak-pihak yang berkepentingan akan melakukan manipulasi agar harga sahamnya  lebih tinggi daripada harga permulaan .  Kegagalan saham Felda ini bererti kegagalan transformasi yang dilaksanakan oleh kepimpinan Najib  dan membuka peluang kepada serangan  pihak pembangkang.  Oleh yang demikian, ‘tidak boleh tidak’ pihak yang membawa kepentingan kerajaan akan memastikan bahawa  usaha ini berjaya.

Apakah tujuan sebenar penyenaraian sahan FGVH ini? Jika benar ada yang mengatakan ia adalah untuk kepentingan peneroka, sejauhmana ketelusan pembahagian keuntungan itu nanti? Walaupun benar sebahagian keuntungan akan sampai kepada peneroka tetapi keuntungan yang besar pasti diraih oleh sekelompok individu yang mampu menguasai saham-saham di dalam FGVH itu nanti.  Jadi, sebenarnya yang ‘untung besar’ adalah sebilangan kecil Kapitalis yang  rapat dengan kerajaan dan mungkin mereka yang akan menjadi pendokong kuat kepada Parti Memerintah semasa Pilihanraya yang akan datang.

Selain dapat mengumpulkan dana, kemasukan FGVH ke dalam pasaran saham juga disertai risiko yang tinggi iaitu berlakunya pindah milik pegangan saham yang boleh diertikan pindah milik kepemilikan syarikat itu sendiri. Dengan erti kata lain FGVH berpotensi bertukar  tangan kepada pihak lain jika keadaan mendesak.

Wahai kaum muslimin, kesemua perkara diatas bukanlah kaedah yang benar di dalam mengurusi kekayaan rakyat. Islam yang diturunkan oleh Allah swt mempunyai cara dan kaedah  yang tersendiri mencakupi semua bidang termasuk bidang ekonomi ini di dalam mengatur urusan dan keperluan rakyat. Transaksi saham yang tidak jelas dan terdedah dengan risiko itu seharusnya menjadikan kita lebih berhati-hati. Masihkah kita ingat apa yang berlaku semasa krisis ekonomi sekitar tahun 1997 dahulu? Bukankah ianya berpunca daripada pasaran saham matawang yang menyebabkan kejatuhan pasaran saham yang lain.

Selagi umat tidak berpegang kepada penyelesaian daripada Islam di dalam setiap perkara dalam kehidupan, maka selagi itu kita mengekori cara hidup, kehidupan dan budaya barat yang akan membawa manusia kepada kehancuran dan kebinasaan bukan sahaja di dalam ekonomi tetapi juga yang lain.

Sumber: 

1)    Kitab Nizhamul Iqtishadi fil Islam (Sistem Ekonomi dalam Islam),
2)    Utusan Malaysia,
3)    Harakah Daily dan
4)    Sinar