No Pendaftaran Jadi Rebutan

Inilah kehidupan dunia yang menipu. Manusia sanggup berhabis dan berbelanja sehingga jutaan ringgit semata-mata kerana ingin mencari kepuasaan dunia yang sementara. Apakah hebatnya dengan nombor kenderaan yang berjaya dibida? Apakah dengan nombor yang dimiliki itu akan meningkatkan dan menaikkan kedudukan seseorang itu di sisi Allah SWT. Inilah akibatnya apabila manusia itu tidak melihat kehidupan ini dengan dimensi kehidupan yang sebenarnya. Mereka ditipu dengan kehidupan dunia yang ada pada hari ini. Seseorang muslim itu haruslah melihat kehidupan ini dengan dimensi yang sebenar yang mengandungi dimensi kehidupan dunia dan akhirat. Disebabkan itulah apabila seseorang muslim itu berdoa, ia adalah suatu doa yang terkait dengan kebaikan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka [TMQ al-Baqarah (2) : 201].

Oleh itu, janganlah kehidupan dunia ini menipu kita. Sebagaimana kehidupan orang-orang kafir yang telah dijelaskan oleh Allah SWT:

“Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat”
. [TMQ ar-Rum (30) :7].

 Sedangkan hakikatnya setiap manusia pastinya akan dihisab amal perbuatannya di hari akhirat kelak. Semuanya akan menerima balasan samada syurga ataupun neraka. Beruntunglah  mereka yang beroleh syurga dan dijauhkan dari api neraka dan celakalah sebaliknya. Firman Allah SWT:

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”
. [TMQ al-‘Imran (3) :185].

Keadaan ini sebenarnya sudah menjadi satu kebiasaan bagi para pemimpin umat Islam hari ini yang sering menghambur-hamburkan kekayaan mereka kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Lihatlah bagaimana kekayaan para pemimpin dunia Arab hari ini yang dengan bangganya menaja, membeli dan memiliki kelab-kelab bolasepak terkenal di Eropah. Sedangkan  kekayaan yang dimiliki oleh mereka itu sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat dan umat Islam yang masih ramai lagi memerlukan bantuan.

Sumber: Kosmo 29/5/2012, A & B