Bursa saham: Pasaran kapitalis, bukan pasaran Islam

Bursa Malaysia merekodkan paras tertinggi Penanda Aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dua hari berturut-turut apabila indeks itu ditutup pada 1,707.04 mata, naik 10.84 mata. Menurut seorang penganalisis, pasaran mengalami pengukuhan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Tambah beliau, peningkatan Bursa Malaysia pada hari ini juga seiring dengan kenaikan tertinggi yang dicatatkan oleh Wall Street. Indeks Dow Jones semalam mencatatkan aras tertinggi iaitu sebanyak 14,802.24 mata manakala Bursa Malaysia juga mencatatkan para tertingginya semalam iaitu 1,696.20.

Bursa atau pasaran saham adalah sumber sekunder selain daripada sumber primer iaitu pinjaman bank yang diberikan kepada syarikat-syarikat untuk menambah modal bagi mengembangkan perniagaan mereka. Syarikat yang ingin disenaraikan di pasaran saham akan menerbitkan Tawaran Awal Awam (IPO), lalu sahamnya akan tersenarai dalam bursa. Syarikat dapat mengembangkan perniagaannya melalui hasil jualan saham tersebut. Pembeli saham pula berharap untuk membuat untung melalui jual-beli saham tersebut pada masa akan datang di pasaran saham seperti Bursa Malaysia.

Pada awalnya, orang awam akan membeli saham dengan harga yang ditawarkan oleh sesebuah syarikat. Harga ini boleh naik atau turun mengikut jumlah permintaan, sama sepertimana perubahan harga barang dalam pasaran. Setelah saham itu dibeli, pemegang saham boleh menjualbelikan pegangan saham mereka masing-masing kepada sesiapa yang diingini. Jual beli saham yang dilakukan oleh individu-individu ini langsung tidak akan mendatangkan keuntungan ataupun kerugian kepada syarikat saham tersebut. Malah ia tidak dimasukkan dalam penyata untung rugi syarikat. Perubahan harga saham yang dijualbeli oleh para pemegang saham hanya boleh memberi kesan kepada imej dan keyakinan pelabur terhadap syarikat tersebut, tetapi ia tidak mempengaruhi status kewangan dan juga operasi perniagaan syarikat tersebut.

Turun atau naiknya harga saham disebabkan oleh sentimen-sentimen yang dimainkan oleh pihak tertentu dan dikaitkan pula dengan aktiviti-aktiviti syarikat tersebut. Ia juga boleh dipengaruhi oleh perkembangan semasa seperti pilihanraya, prestasi bursa saham negara lain, perubahan kerajaan dan lain-lain. Pergerakan harga saham boleh dipengaruhi sama ada melalui perkembangan sebenar ataupun sentimen yang direka-reka atau melalui pembohongan yang dicipta oleh para penganalisis ekonomi dengan tujuan tertentu.

Dalam ekonomi kapitalis, bursa saham dikategorikan sebagai ekonomi bukan nyata (non-real) kerana ia terpisah daripada sektor ekonomi yang nyata (real) yang merangkumi pasaran jual beli barangan dan perkhidmatan. Kebebasan berekonomi tanpa dipimpin oleh wahyu telah mewujudkan kecelaruan sistem ekonomi yang ada pada hari ini sehinggakan mereka sanggup berjualbeli atau memperdagangkan sesuatu yang tidak wujud dan tidak nyata (non-real) seperti saham, insurans dan lain-lain.

Dalam konteks bursa saham kapitalis, jual beli saham sebenarnya adalah jual beli keahlian dalam perkongsian perniagaan. Islam menetapkan bahawa jual beli hanya terdapat pada barangan dan perkhidmatan. Keahlian dalam perniagaan Islam hanya wujud melalui akad syirkah (perkongsian) dan bukannya melalui akad bai’ (akad jual beli). Keahlian dalam perniagaan bukanlah jual beli, tetapi sebaliknya ia adalah komitmen yang diberikan terhadap sesuatu perniagaan yang mana ia memerlukan keseriusan dan kesetiaan dalam mengendalikan operasi sesebuah syarikat perniagaan. Ia bukan seperti barang dagangan yang boleh dibeli dan dijual pada bila-bila masa apabila diperlukan untuk mendapat keuntungan semata-mata. Dalam sistem kapitalis, jual beli keahlian dalam sesuatu syarikat ini boleh dilonggokkan di bursa saham sama sepertimana barang-barang di pasar. Sebagai contoh, seseorang itu boleh menjadi rakan kongsi dalam syarikat TNB untuk beberapa minit, dan kemudian menjual pegangan keahliannya dalam TNB (melalui saham), lalu membeli pula keahlian dalam syarikat TM beberapa minit kemudian. Dia boleh mendapat keuntungan atas angin melalui penjualan saham disebabkan saham TNB melonjak dalam masa beberapa minit kerana wujudnya sentimen atau spekulasi positif terhadap kaunter TNB.

Inilah antara-antara aktiviti yang bukan sahaja tidak sihat dan merosakkan dalam ekonomi, malah ia sama sekali tidak sah di sisi Islam. Aktiviti-aktiviti ini telah menarik sebahagian manusia untuk duduk di hadapan skrin saham seharian untuk melihat pergerakan harga saham dan bukannya turun ke lapangan untuk menceburi bidang perniagaan sebenar dalam bentuk yang nyata. Sistem ini juga telah melahirkan jutawan segera atau muflis segera setiap kali berlakunya krisis ekonomi. Mereka telah dirosakkan oleh penyakit buatan ciptaan manusia sendiri iaitu sindrom bursa saham.

Sumber: Utusan Malaysia, 12/04/13