SN554 – Meniti Takbir Kemenangan Yang Hakiki
Bil: SN554 – 26 Ramadhan 1440 / 31 Mei 2019
ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR, LA ILAHA ILLALLAHU WALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR WA LILLAHIL HAMD. Itulah takbir yang memecah kesunyian pagi menandakan hari kemenangan bagi umat Islam yang benar-benar ikhlas beribadat untuk Rabbnya. Itulah juga takbir yang menandakan berlalunya bulan yang penuh keberkatan yang pastinya akan dirindui oleh hambaNya yang benar-benar bertakwa. Sungguh, Ramadhan yang berlalu terasa begitu singkat tempohnya. Namun, tiada apa yang boleh kita harapkan sepeninggalan bulan yang mulia ini, melainkan dengan memanjatkan doa agar Allah SWT menemukan kita lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Semoga setiap ibadah yang dilaksanakan diterima di sisi-Nya, serta mendorong kita untuk istiqamah dalam beribadah dengan sebenar-benar ibadah dalam bulan-bulan berikutnya. Ibadah yang dimaksudkan di sini bukanlah sekadar puasa, solat, atau ibadah mahdhah semata-mata, bahkan mencakupi segala amalan ke arah mentaati apa jua yang diperintahkan-Nya, serta meninggalkan segala bentuk larangan-Nya.
Di Sebalik Kalimah Takbir yang Penuh Makna
Saban tahun, kalimah takbir berkumandang sebanyak dua kali iaitu semasa meraikan Eidul Fitri dan Eidul Adha. Umat Islam melaungkan takbir sebagaimana yang diajarkan oleh junjungan mulia Rasulullah SAW,
“Allah Maha Besar tiada terhingga, segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah di pagi hari dan petang, tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, yang benar segala janji-janji-Nya, dan yang telah menolong hambaNya, dan yang telah memuliakan tentera-Nya, dan menumpaskan tentera al-Ahzab (pasukan bersekutu musyrikin dan Yahudi) dengan keesaan-Nya. Tiada tuhan melainkan Allah dan Dia-lah Allah yang Maha Besar. Allah Maha Besar dan bagi-Nyalah segala pujian”.
Namun, sejauhmanakah kita benar-benar menghayati pengertian di sebalik kalimah tersebut? Amatlah tidak wajar sekiranya kalimah tersebut sekadar dilaungkan tanpa kita menjiwai hakikat yang tersirat di sebaliknya.
Kalimah “Allahu akbar” (Allah Maha Besar) yang diungkapkan merupakan pengakuan kita akan kebesaran Allah SWT jauh melebihi segala sesuatu yang diciptakan-Nya. Dengan kata lain, dalam kita mengakui kebesaran-Nya, kita telah mengecilkan perkara-perkara lain seperti kekayaan, kuasa, kaum kerabat, dan sebagainya serta tidak menjadikan semua itu sebagai tujuan kita dihidupkan di dunia ini.
Manakala lafaz tahmid “Alhamdulillah” (Segala puji bagi Allah) menandakan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian, sebagaimana firman-Nya, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” [TMQ At-Tin (95):4].
Allah SWT juga telah menciptakan alam semesta yang diatur selari dengan Sunnatullah serta isinya yang diciptakan untuk dimanfaatkan oleh manusia. Demikianlah Allah dengan sifat Yang Maha Pemurah (Ar-Rahman) telah mengurniakan nikmat yang tidak terhingga buat seluruh makhluk-Nya. Firman Allah SWT, “…dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menghitungkannya…” [TMQ Ibrahim (14): 34]. Bukan sekadar itu, Allah SWT dengan sifat Yang Maha Mengasihani (Ar-Rahim) telah memberikan petunjuk dalam kita menjalani kehidupan ini dengan menurunkan al-Quran dan mengutuskan Rasulullah SAW. Melalui kedua-duanya, kita dapat membezakan petunjuk dan kesesatan, yang haq dan yang batil, serta mengetahui mana yang diredhai Allah dan mana pula yang dimurkai-Nya.
Dalam pada itu, ungkapan tasbih “Subhanallah” (Maha Suci Allah) pula merupakan pengakuan kita terhadap keagungan Allah SWT yang Maha Sempurna, tiada cacat-celanya. Kemuliaan-Nya dapat diperhatikan pada perjalanan alam semesta yang sempurna dan mustahil wujud tanpa adanya Pencipta yang Maha Sempurna. Maha Suci Allah daripada segala kekurangan.
Kalimah “Laa ilaha illaLlah” (Tiada Tuhan selain Allah) pula merupakan kesaksian (syahadah) bahawa Allah SWT merupakan satu-satunya Zat yang selayaknya disembah tanpa kita menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Kalimah ini bukan sekadar menafikan adanya tuhan selain Allah, bahkan ia juga merupakan penolakan kita terhadap hukum-hukum selain daripada hukum Allah. Dia-lah yang menciptakan kita, pastinya hukum dan ketetapan-Nya itu merupakan yang terbaik buat kita serta wajib dijadikan aturan dalam kita menjalani kehidupan ini.
Selanjutnya, kalimah takbir raya yang dilaungkan turut menyentuh mengenai bagaimana Allah memuliakan tentera Muslimin dengan kemenangan ke atas pasukan al-Ahzab. Sirah memaparkan betapa pasukan gabungan (ahzab) kafir Quraisy dan Yahudi benar-benar nekad mengepung Madinah dengan tujuan untuk menghapuskan Rasulullah SAW dan kaum Muslimi dalam Perang Ahzab yang tercetus pada tahun kelima Hijrah. Namun, Allah SWT Yang Maha Perkasa telah menurunkan ribut pada malam harinya sehingga memporak-perandakan barisan musuh sekali gus memberikan kemenangan ke atas umat Islam. Demikianlah janji Allah SWT bagi mereka yang menolong agama-Nya biarpun sekuat mana sekalipun musuh yang dihadapi oleh kaum Muslimin. Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong dan meneguhkan kedudukan kalian” [TMQ Muhammad (47): 7].
Bagaimana pula dengan keadaan umat Islam pada hari ini? Apakah kita telah benar-benar menolong agama Allah dan berusaha menegakkannya dalam kehidupan ini? Atau kita lebih mementingkan habuan dunia, memberikan pelbagai alasan, dan berdiam diri tatkala sistem kufur buatan manusia mendominasi segenap aspek kehidupan ini? Jika benar demikian, bagaimana mungkin bantuan Allah akan tiba, bahkan kita telah mengundang bala daripada-Nya. Nau’uzubillah min zalik.
Menggapai Kemenangan Hakiki
Ketibaan Eidul Fitri seringkali disinonimkan dengan Hari Kemenangan buat mereka yang berpuasa. Jika diteliti dari konteks kejayaan kita melaksanakan rukun Islam ketiga, maka kenyataan tersebut ada benarnya. Namun, persoalannya apakah umat Islam benar-benar meraih kemenangan sebagaimana yang pernah diraih oleh Rasulullah SAW dan generasi Islam terdahulu? Apakah kita benar-benar meraih kemenangan hakiki, sepertimana yang dikehendaki Allah SWT?
Sesungguhnya Rasulullah SAW dan generasi Islam terdahulu bukan sekadar meraih kemenangan dengan menyempurnakan ibadah puasa semata-mata, bahkan mereka turut berjuang meraih kemenangan dengan menyebarluaskan risalah Islam ke segenap penjuru dunia. Rasulullah SAW dan para sahabat berjuang menerapkan syariat Islam dalam kesemua aspek kehidupan, serta memanifestasikan keimanan mereka dalam bentuk ketaatan terhadap perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Inilah kemenangan hakiki yang ditunjukkan dan dituntut oleh Islam, bukan sekadar kemenangan dalam menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadhan semata-mata.
Dalam kesempatan ini, marilah kita bersama-sama merenung realiti yang terjadi dalam umat Islam pada hari ini. Apakah laungan takbir kemenangan ini benar-benar menggambarkan situasi umat ini pada saat ini? Kini, takbir tersebut bergema di saat umat Islam berada dalam keadaan yang lemah, tertindas, serta berpecah-belah di bawah cengkaman sistem kufur yang diterapkan mengikut telunjuk kuasa kuffar yang sedang mendominasi percaturan politik dunia hari ini. Kita juga dapat menyaksikan bagaimana sebahagian umat Islam hidup dalam serba kekurangan, serta saban hari berhadapan dengan ancaman terhadap nyawa mereka di tangan musuh-musuh Islam seperti yang terjadi di Syria, Palestin, Afghanistan, dan Arakan. Manakala sebahagian lain pula hidup dalam kesempitan di bawah cengkaman rejim penguasa Muslimin yang tunduk kepada kehendak kuasa-kuasa kuffar.
Bahkan Islam tidak lagi diterapkan secara menyeluruh, sebaliknya cuba dipisahkan daripada kehidupan atas landasan sekularisme. Justeru, tidak menghairankan jika sebahagian kita melaungkan takbir dengan penuh perasaan di dalam masjid, namun tatkala di luar masjid mereka takbur kepada Allah. Mereka menjunjung sistem yang lahir daripada doktrin sekular-liberal yang mengangkat suara manusia mengatasi perintah Allah, serta memperjuangkan pemikiran-pemikiran rosak yang datang daripada selain Islam. Bahkan lebih menyedihkan apabila ada yang melihat bahawa Islam tidak sesuai diterapkan pada zaman ini melainkan dalam ruang lingkup peribadi semata-mata. Demikianlah sikap segelintir umat Islam yang takbur meskipun mereka melaungkan takbir tanpa menghayati makna hakikinya. Semoga kita tidak menjadi sebahagian daripada mereka yang gagal menyedari hakikat ini dan hanyut dalam aturan kehidupan sedemikian.
Kembalilah Kepada Fitrah
Eidul Fitri merupakan hari kembalinya manusia kepada fitrahnya. Ketika menjelaskan pengertian fitrah, Ibn Atsir berkata bahawa ia tidak lain adalah sifat penciptaan manusia dan potensi kemanusiaan yang siap untuk menerima agama. Menurut Imam Zamakhsyari pula, fitrah menjadikan manusia bersedia menerima kebenaran secara sukarela, tanpa paksaan, secara semulajadi, wajar, dan tanpa bebanan [al-Fa’iq, III/128]. Oleh kerana itu, makna Eidul Fitri (kembali pada fitrah) adalah kembali mengembangkan potensi manusia untuk selalu siap setiap saat menerima kebenaran. Kebenaran itu tidak lain adalah Islam. Kembali kepada fitrah sama dengan kembali pada akidah dan syariat Islam. Dengan kembali kepada fitrah, manusia akan selamat dari segala dosa dan azab Allah Azza wa Jalla.
Sesungguhnya, Islam diturunkan bagi mengatur manusia dalam segenap aspek kehidupan. Maka, agar kita benar-benar kembali kepada fitrah, kita perlu mengorak langkah untuk meraih perubahan hakiki dengan menjadikan Islam sebagai panduan kita dalam menjalani kehidupan ini. Tidak ada jalan lain untuk merealisasikan tuntutan ini melainkan umat Islam berusaha bersungguh-sungguh membangun kekuatan politik yang akan menyatukan seluruh kaum Muslimin di bawah satu pemerintahan. Kekuatan politik itu tidak lain adalah negara Khilafah, yang akan memayungi dan memelihara umat Islam di seluruh dunia serta menerapkan syariat Islam secara kaffah berlandaskan Kitabullah dan sunnah Rasul-Nya.
Akhirnya, setelah sebulan penuh kita membangun dan meningkatkan ketakwaan kita sepanjang Ramadhan, yang penuh rahmah dan maghfirah, marilah kita bersungguh-sungguh berjuang bersama bagi menegakkan syariat Islam secara kaffah dan menjadikan perjuangan penegakan syariah sebagai agenda utama. Sesungguhnya penerapan syariah dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara merupakan kewajiban setiap muslim, sekaligus merupakan hasil dalam meraih ketakwaan.
Semoga Eidul Fitri kali ini merupakan yang terakhir disambut dalam keadaan umat Islam berpecah-belah dan ditindas serta dizalimi di pelbagai pelusuk dunia. Semoga Eidul Fitri akan datang diraikan dengan laungan takbir yang benar-benar menjadi cerminan kemenangan hakiki buat umat Islam. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
[Diadaptasi daripada SN093]